Bab 15
"SETAHUN aje, sayang. I nak setahun aje you tunggu I. Lepas tu I janji dengan you kita akan kahwin." Tangan itu dikucup lembut. Selepas seminggu menyepi, baru sekarang Nadia setuju untuk berjumpanya. Seminggu fikirannya sasau memikir.
Nadia menangis. Hatinya cukup terluka dengan apa yang berlaku. Sekelip mata saja teman lelakinya dirampas Zenia di depan matanya sendiri!
"Setahun macam-macam boleh jadi, Fahad. You boleh beri jaminan yang you takkan jatuh cinta pada Zenia? You takkan sentuh dia?!" persoal Nadia lagi bertubi-tubi. Lelaki... Kalau perempuan dah terhidang di depan mata, halal lagi, mampu ke tahan diri? Dia tak percaya.
Fahad hilang kata memikirkan kemungkinan itu.
"See... You sendiri tak boleh nak berjanji dengan I soal benda ni. Macam mana you nak suruh I tunggu you sampai setahun?" ujarnya memalingkan tubuh. Hancur segala angan-angannya untuk membina mahligai bersama kekasih hatinya itu.
"I janji."
Nadia berpaling. Kedua-dua tangannya digenggam erat. Dipandang raut itu penuh berbaur.
"I janji, Nadia. I janji dengan you, I takkan jatuh cinta pada Zenia. Dan I takkan sentuh dia sepanjang perkahwinan kami." Fahad memasang janji kerana dia yakin semua itu takkan terjadi antara mereka.
"Senangnya you berjanji. Kalau you bertegas dengan atuk you, semua ni takkan jadi. Kenapa you tak putuskan aje pertunangan ni kalau betul you sayangkan I?!"
"Sebab I tak nak jadi anak derhaka!"
"Habis tu I?!" bentaknya lagi menyimpul lidah si jejaka. Laju air matanya menuruni pipi.
Fahad menarik rambutnya kasar. Berombak dadanya dengan nafas memberat. Buntu!
"You memang tak pernah sayangkan I, kan? Sebab you sebenarnya dah jatuh hati pada Zenia."
Laju Fahad menggeleng. "Tak sayang, I tak cintakan Zenia!"
"Siapa yang you nak tipu? Mata you dah menceritakan semuanya, Fahad."
Tubuhnya ditarik ke pelukan tubuh sasa itu. Mengunci pinggangnya erat.
"I cintakan you, Nadia. I mengaku... Mungkin I pernah keliru dengan perasaan I. Tapi lepas semua yang jadi ni, I tahu I cuma cintakan you seorang aje. I tak sanggup kehilangan you." Pelukannya dierat mengharap si kekasih percaya dengan cintanya.
Nadia menyepi dalam pelukan. "I tak tahu sama ada I boleh percayakan you ataupun tak, Fahad."
"Pandang mata I, sayang." Kedua-dua bahu itu dipegang erat. Lambat-lambat wajah basah itu naik memandangnya.
"Setahun aje, Nadia. Lepas tu I akan jadi milik you selamanya. Takkan ada lagi yang menghalang cinta kita. I promise you!"
Diselam mata itu mencari kebenaran. Bolehkah dia percayakan Fahad? Kalau terjadi sebaliknya macam mana? Tak ke sia-sia penantiannya?
Namun akhirnya dia mengangguk setuju. Kalah dengan cintanya. Mungkin pada awal dulu dia hanya nampak kesenangan yang mampu diberikan lelaki itu padanya kelak. Tapi rasa itu kian beransur hilang diganti rasa cinta. Dia benar-benar cintakan Fahad dan tak rela lelaki itu menjadi milik wanita lain.
"Terima kasih, sayang." Fahad lega.
"You jangan risau. Hubungan kita tetap akan berjalan macam biasa walaupun I dah kahwin nanti," tambahnya. Langsung tak memikir harga sebuah mahligai yang bakal dibina nanti.
"Maknanya I ni tak ubah macam perempuan simpanan you la. Macam tu?" soal Nadia. Kecewa.
Fahad terkejut. "Apa you cakap ni? Jangan pernah samakan diri you dengan perempuan simpanan. You bukan perempuan simpanan!"
Hela dihembus. "Zenia macam mana?"
"Pasal dia you tak perlu la risau. Pandai la I beritahu nanti," putus Fahad tak mahu memanjangkan cerita, apatah lagi bila melibatkan Zenia. Sebaris nama itu saja cukup membuakkan rasa bencinya.
KUNCI kereta digantung tepi pintu. Atuknya yang berada di ruang tamu langsung tak dipandang.
"Fahad, makan jom," ajak Datin Syamila sebaik terlihat kelibat anaknya yang baru pulang dari joging.
"Kejap lagi la. Fahad naik dulu." Terus langkah dihala ke arah tangga.
"Fahad..."
Suara itu kedengaran sebaik kaki menginjak anak tangga pertama. Dia senyap tak bersuara. Marahnya masih menggunung dan tak menampakkan tanda-tanda akan surut dalam masa terdekat.
"Malam esok jemput Zenia makan malam dekat sini. Atuk nak Fahad sendiri jemput Zenia dekat rumah," kata Tan Sri Samad. Mata masih melekat di dada akhbar.
Malas nak berbalah, dia hanya mendengus dan terus menghilang ke atas. Tubuh direbah ke katil.
Dipejam matanya rapat, tapi yang datang menjelma adalah raut Zenia dan Nadia silih berganti. Menambah serabut di kepala. Tiba-tiba iPhone dalam kocek seluar tracknya bergetar.
"Helo," sambutnya malas.
"Yo... Kau apa pasal? Bunyi macam ada problem aje." Hairi menegur di hujung talian. Dah hampir sebulan dilihat Fahad dan Zenia berperangai pelik. Sorang ke utara, sorang ke selatan. Dah tak rapat macam biasa. Ada juga dia tanya pada si adik, tapi adiknya pun tak tahu-menahu apa yang jadi. Tapi apa yang lagi mengejutkan mereka adalah gosip yang mula bertiup.
"Tak ada apa, baru balik joging. Penat," tipunya.
"Aku nak tanya something ni, Fahad. Betul ke apa yang aku dengar, kau dengan Zenia..."
"Aku dengan Zenia apa?" potongnya terlebih dulu. Dada mula bergendang laju.
"Dah bertunang?"
Dengus kasarnya terlepas. Berbulu rasa telinganya mendengar perkataan 'tunang' tu. Maknanya berita pertunangan mereka sudah pun tersebar di seluruh kampus.
"Yan tak cakap apa ke?" soalnya. Yalah, Haryani dan Zenia kan berkawan baik, manalah tahu kalau-kalau Zenia dah menceritakan semua yang jadi.
"Tak ada. Yan pun terkejut kot. Angin tak ada, ribut tak ada, tiba-tiba dalam grup WhatsApp timbul pula gosip yang kau orang dah bertunang. Apa kes kawan baik sendiri tak tau ni?!"
"Entah... Benda jadi macam tu aje," jawabnya acuh tak acuh, cukup malas hendak berbahas soal ini.
"Jadi betul la ni?"
Rambutnya disebak ke belakang. "Hurm. Nanti la aku cerita."
Hairi akhirnya mengalah. "Yalah, bila-bila kau nak jumpa, roger aje aku. Eh... Hari tu aku dah hantar resume dekat email kau, ada dapat tak?" Sekadar cuba nasib, mana tahu dapat cari makan dekat firma keluarga Fahad. Tak salah juga, kan?
"Dah, nanti aku forward dekat papa aku."
"Okay, thanks. Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co