Bab 14
Fahad memegang erat tangan Nadia sambil sama-sama memasuki banglo mewah milik keluarganya itu. Tiba-tiba langkahnya terhenti bila Nadia naik memegang lengannya.
"Kenapa?"
"I takut la, sayang."
"La... Apa nak takutnya? You dah pernah jumpa kan mama papa I sebelum ni? Tak ada apa la, just makan-makan dengan family I aje. Beritahu sekali yang kita dah sedia nak bertunang." Tangan Nadia ditepuk lembut. Juntaian rambut di dahi licin itu dibetulkan.
"I takut dengan atuk you. Dia nampak macam tak berapa suka aje dengan I," adu Nadia.
"Atuk tu pandai-pandai la I pujuk. Lagipun yang nak kahwin tu kita. You jangan risau, okey? Dah, jom."
Kedatangan mereka disambut mama yang sudah menunggu di ambang pintu masuk.
"Assalamualaikum, auntie." Tangan Datin Syamila disalam dan kedua-dua pipi itu dikucupnya mesra. Tak apalah kalau atuk Fahad tak suka pun, sekurang-kurangnya dia ada yang backup di belakang. Senyumnya terukir kecil.
"Waalaikumussalam. Jom masuk, banyak dah makanan Mak Biah masak."
Mata Fahad melilau ke ruang tamu, hanya kelibat abang, kakak ipar serta dua orang anak buahnya saja yang kelihatan.
"Pak su..." Syamir yang baru berusia empat tahun berlari ke arahnya. Tubuh itu didukung Fahad.
"Atuk mana?"
"Solat isyak. Nanti turun la tu," kata Datin Syamila. Nadia ditarik masuk ke dalam. Fahad pula bergerak ke ruang televisyen dan terus merebahkan tubuh ke sofa sebelah abangnya.
"Yo..." tegur Faizul.
"Yo... Bila balik sini?"
"Semalam. Mama yang beria-ia sangat suruh kita orang balik. Rupanya ada event penting," ujar Faizul penuh makna seraya menarik anak lelakinya itu ke atas riba.
Fahad hanya tersenyum.
"Serius la ni?"
Si abang dipandang. "Dah bawa sampai sini, serius la, long."
Faizul hanya terangguk bersama cebikan kecil. Fahad hanya tergeleng memandang abangnya. Selang sepuluh minit kemudian mereka semua duduk berkumpul di meja makan. Nadia membetulkan posisi duduk sebaik terlihat kelibat Tan Sri Samad yang menuruni tangga bersama tongkatnya.
Tan Sri Samad berdehem sebelum duduk di tempatnya di tengah-tengah meja makan besar itu.
"Assalamualaikum, atuk." Nadia cuba beramah.
"Waalaikumussalam. Sihat?"
"Alhamdulillah." Diukir senyum manisnya semanis mungkin.
Kemudian masing-masing senyap terdiam. Hanya Mak Biah yang masih ulang-alik di antara dapur dan meja makan.
"Urm... Papa, mama, atuk. Fahad ada benda nak cakap." Kemudian Nadia di sebelah dipandang sekilas.
"Fahad ingat nak bertunang dengan Nadia dan kalau boleh kita orang nak terus kahwin lepas habis belajar nanti." Lancar dia meluah hasratnya.
Dato Sulaiman terangguk kecil. "Papa okey aje kalau Fahad dah sedia."
Fahad tersenyum lega mendengar kata papa. Satu halangan sudah berjaya ditempuh. Naik pula ke wajah mama.
"Mama ikut papa aje," jawab si mama pula senang hati.
"Atuk tak setuju." Tiba-tiba Tan Sri Samad bersuara, sekaligus mengunci bibir kesemuanya.
"Tapi tu..." Kata-katanya terbantut bila tiba-tiba suara yang cukup familiar di telinganya kedengaran memberi salam.
Kesemua menoleh ke arah pintu. Hampir tersembul mata Fahad melihat kehadiran Zenia di situ. Elok berbaju kurung.
"Zen... Kau buat apa dekat sini?" Fahad sudah terbangun dari kerusi. Terpinga-pinga dengan apa yang terjadi.
"Atuk yang jemput Zenia."
Semua di situ tergamam. Kenapa tiba-tiba jemput Zenia?
Tan Sri Samad bangkit mendapatkan gadis itu. Bahu Zenia dipeluk dan dibawa duduk di salah satu kerusi. Semua mata hanya memandang gelagat kedua-duanya.
"Apa semua ni?" Fahad bertanya bingung.
"Atuk dah buat keputusan." Wajah cucu lelakinya disorot.
"Atuk akan jodohkan Fahad dengan Zenia. That means, both of you are getting married. Dan hari ni juga, atuk akan tunangkan kamu berdua."
Fahad melopong besar. Nadia terpempan.
"You gotta be kidding me?" Prank ke apa ni?
"No. Atuk nak Fahad kahwin dengan Zenia dan Zenia akan jadi menantu dalam rumah ni."
"You can't do that!" Meja ditepuknya kuat seraya bangkit membangkang. Mukanya naik memerah. Naik turun dada itu meruap lahar amarah dengan keputusan yang dibuat tanpa persetujuannya itu.
"Of course I can and I will. Fahad akan dengar cakap atuk," jelas Tan Sri Samad lagi seraya duduk ke kerusi. Tenang.
"But I don't love her!" bentaknya.
"You will... One day," balas Tan Sri Samad lagi, masih tetap tenang membidas kata si cucu.
Fahad menggeleng bersama tawa sinis. Mencerun tajam pada Zenia di depan. Tertunduk tanpa sedikit pun memandangnya. Rasa benci perlahan-lahan mula meracun diri.
"Itu semua takkan terjadi. Bertunang?" Dia menggeleng lagi.
"I won't," balasnya dengan muka bersahaja. Tangan Nadia di atas meja digenggam dan ditarik untuk keluar dari situ.
"Selangkah kaki Fahad keluar dari rumah ni. Jangan harap Fahad akan melangkah masuk lagi ke sini." Tan Sri mula melancarkan ugutan.
Langkah Fahad kaku. Tak percaya hingga begitu sekali atuk nak mengahwinkannya dengan Zenia. Berderau darahnya bila atuknya tiba-tiba mengeluarkan sesuatu dari kocek baju Melayunya. Kotak cincin dibuka dan diletak ke atas meja.
"Sarungkan, Mila," arah Tan Sri Samad pada menantunya.
"Pa..."
"Now!" Kata itu berubah tegas.
Anak lelakinya disorot. Akhirnya Datin Syamila terpaksa. Sebentuk cincin bertatah belian itu ditarik keluar.
"Mama, no!" tegah Fahad kuat.
Datin Syamila pekakkan telinga. Demi kebaikan masa depan anaknya, dia harus akur pada permintaan bapa mentuanya. Tapi untuk kali ini saja. Lepas bapa mentuanya itu pergi, tahulah dia nak buat apa.
"Kau jangan ingat kau layak jadi menantu aku, Zenia. Aku setuju dengan semua ni semata-mata untuk masa depan anak aku. Ingat tu!" bisik Datin Syamila sinis sebelum sebentuk cincin itu disarung masuk ke jari runcing itu.
Fahad lepas nafas tak percaya.
Ditahan air matanya dari jatuh. Demi nenek... Aku buat semua ni semata-mata demi nenek! ucapnya dalam hati. Liur ditelan payah. Tak berani mengangkat muka untuk bertentang mata dengan Fahad. Pasti dia akan makin dibenci selepas ni.
Tak mampu menyaksikan lebih lama semua itu, Nadia terus berlari keluar.
"Nadia..." Fahad ikut mengejar. Namun lengannya laju disambar mama. Kukuh.
"Jangan, Fahad. Mama merayu sangat. Buat masa ni tolong jangan melawan kata-kata atuk." Datin Syamila mula memujuk. Bapa mentuanya ibarat bara api tika ini, tersilap sikit pasti menjulang api kemarahan. Dan hasratnya untuk jadikan Fahad sebagai pewaris syarikat akan punah sama sekali!
"Mama sedar tak apa yang mama cakap ni?!"
"Atuk akan ugut untuk tarik keluar nama Fahad dari wasiat dan syarikat kalau Fahad membangkang. Dan mama takkan biarkan benda tu berlaku. Mama hanya nakkan yang terbaik untuk Fahad!" Kedua-dua lengan itu dicengkamnya.
Fahad tergelak.
"Ini drama ke apa? Harta tak boleh beli hati Fahad, mama. Tanpa bantuan atuk sekalipun, Fahad boleh hidup sendiri la dekat luar sana!" tempiknya lagi.
"Tapi itu bukan jalannya bila Fahad dilahirkan sebagai anak Dato Sulaiman dan Datin Syamila. Mama nak Fahad jadi seseorang yang ada kuasa, ada duit! Cuma itu yang boleh bawa kebahagiaan untuk anak-anak mama!"
Fahad terlopong. Kedengaran cukup bongkak kata-kata yang menerjah lubang telinganya. Bola matanya sudah memerah.
Kemudian Datin Syamila mendekat lagi. Lengan itu diusap lembut. "Setahun aje, Fahad. Setahun aje mama minta Fahad bertahan dengan perkahwinan ni. Lepas bercerai, Fahad kahwin la dengan sesiapa pun, mama tak kesah!"
Sakit. Dada Fahad terasa seakan-akan ditoreh dengan belati.
"Maksudnya duit lebih penting daripada kebahagiaan anak mama sendiri? Macam tu? You're so cruel, ma!" Tangan itu ditepis kasar dan terus menghilang di sebalik pagar tinggi. Jatuh juga air matanya.
JAM sebelas malam baru Fahad pulang semula ke rumah. Puas dia mengetuk pintu rumah sewa Nadia tadi, namun gadis itu tetap enggan mendengar kata-katanya. Tangga didaki dan daun pintu bilik dihempasnya kasar hingga berdentum kedengaran.
Kedua-dua tangan ditongkat pada para singki. Bergejolak rasa dadanya. Marah, benci, kecewa, sedih, semua berpusar menjadi satu. Dilihat biasan wajahnya pada cermin. Tiba-tiba bayang raut Zenia turut muncul di situ, tersenyum memandangnya. Manis sekali. Sesaat kemudian, sekelip mata saja senyuman itu bertukar sinis seolah-olah mengejeknya.
"Arghhh!!!" Cermin kaca itu ditumbuknya kuat di luar kawalan. Perlahan-lahan darah pekat mula mengalir di permukaan cermin. Berombak dada mengatur nafas naik turun. Kemudian langkah besar diorak dan tangga banglo dituruninya laju.
Dato Sulaiman dan Datin Syamila yang masih berada di ruang tamu terkejut melihat kehadiran si anak yang tiba-tiba itu. Terjegil mata Datin Syamila melihat titisan darah merah yang mengalir dari tangan si anak, jatuh mengotori lantai rumah.
"Fahad nak pergi mana ni?" Lengan itu cuba dicapai namun dielak laju si anak.
Fahad tetap menerus langkahnya ke arah pintu.
"Fahad!" panggil Dato Sulaiman lagi. Bimbang.
Telinga dipekakkan. Kunci keretanya disambar dan terus membolos masuk ke dalam kereta. Seminit kemudian, menderum Honda Jazz miliknya meninggalkan pekarangan banglo.
PINTU bilik diketuk Puan Hajar berulang-ulang kali. Separuh mamai Zenia kembali membuka mata. Perlahan dia menapak dan daun pintu dibuka. Sungguh dia letih, semalam seharian dia menjaga nenek di wad.
"Ada apa, mak su?" soalnya. Melihat raut gelisah yang terlukis, tangannya naik ke kedua-dua lengan itu. Erat. "Ada apa-apa jadi pada nenek ke?!"
"Tak. Tak ada apa yang jadi pada nenek. Tapi Fahad... Dia datang. Ada dekat luar sana," kata Puan Hajar berbunyi gusar. Apalah agaknya nak diperkatakan tengah-tengah malam begini?
"Fahad?" Dia jadi gelisah. Cincin di jarinya dipusing-pusing.
"Pergi la jumpa dia," pujuk Puan Hajar. Dia pasti ada benda yang perlu diselesaikan antara kedua-duanya.
Angguk. Kardigan hitam di dalam almarinya dicapai dan disarung ke atas baju t-shirt yang dipakai. Lambat-lambat anak tangga dituruni, resah nak berdepan dengan lelaki itu. Pintu utama yang sedia renggang ditolak. Fahad sudah menunggunya di luar pagar sana.
Tak tahu bagaimana hendak memulakan perbualan dalam situasi mereka sekarang. Pagar dibuka. Fahad yang sejak tadi tunduk, memanggung kepala. Raut yang kelihatan penat itu ditatap.
"Kau nak cakap ap..." Tiba-tiba bola mata Zenia jatuh ke tangan Fahad di atas bumper kereta. Terbeliak matanya melihat darah pekat yang membasahi kain putih yang berbalut. Tangan itu disambarnya laju. "Tangan kau kenapa?!"
Fahad tepis kasar hingga tertolak tubuh itu ke belakang. Jijik melihat keprihatinan yang diberi.
"Aku nak kau putuskan pertunangan ni." Terus terpacul kata itu tanpa bengkang-bengkok. Serius riak yang terpeta.
Perkara itu sudah dijangka Zenia. Tahulah kini, tangan itu terluka kerananya. Menjalar rasa bersalahnya.
"Aku tak nak," tegasnya, walaupun tika itu bola matanya sudah memanas membendung air hangat.
"Kau sukakan aku?" Zenia dipandang bagai nak tembus.
Tersentak dengan soalan sinis itu, mata Zenia naik menentang. Tapi sekejap cuma, hatinya tak kuat. Tiba-tiba lengannya ditarik kasar supaya menghadap tepat ke tubuh sasa itu. Dagunya ditarik ke atas supaya tepat menikam mata hitam Fahad. Tembusannya terasa hingga ke dasar.
"Kenapa tak jawab? Takut? Malu? Malu sebab aku dah tahu yang selama ni kau cintakan aku?!" Kedua-dua lengan itu dicengkamnya kuat sehingga terbit kerut halus di dahi si gadis.
Tiba-tiba kekuatan Zenia datang. Mata itu ditentangnya berani.
"Tak ada benda yang aku nak malukan, Fahad. Kau dah tahu aku cintakan kau selama ni? So what? Sekurang-kurangnya aku berjuang untuk dapatkan cinta aku!"
"Tapi cara kau salah, sebab kau pergunakan atuk aku! Kau tahu aku cintakan Nadia!" Bumper kereta itu dihentaknya penuh kemarahan. Menambah lagi kecederaan.
"Then, fight for your love! Tak ada gunanya kau paksa aku untuk putuskan pertunangan ni kalau kau sendiri tak bersungguh-sungguh untuk buktikan cinta kau pada Nadia!" hambur Zenia bersama air mata yang tak mampu lagi ditahan.
Fahad menggenggam rambutnya kuat dengan gumpalan rasa yang terkepung di dalam dada.
"Kau tahu aku tak boleh, Zen..." Suaranya mula mengendur dan berubah hiba.
"Jadi terima kenyataan yang kau dan aku dah bertunang, dan akan berkahwin tak lama lagi!"
Terpejam Fahad mendengar kata itu. Dada rasa ditujah-tujah. Digenggam kuat kedua-dua tangannya, cuba tahan diri daripada melakukan sesuatu pada gadis itu. Buat beberapa minit dia berdiam, kembali menyusun nafas.
"Kau boleh terima walaupun perkahwinan ni tanpa cinta?"
Bersabung mata kedua-duanya. Sepi.
"Kau boleh terima kalau aku tetap teruskan hubungan dengan Nadia walaupun lepas kita kahwin nanti?" Mata itu direnung dalam. Berharap dapat membaca apa yang tersembunyi di sebalik mata berkaca itu.
Air mata Zenia menitis jatuh. "Aku reda."
Akhirnya Fahad mengangguk bersama ketapan.
"We're done! Kau jangan menyesal dengan keputusan kau sendiri, Zenia." Dia menapak semula ke pintu kereta.
"Tapi kau jangan risau. Aku masih hormatkan kau sebagai 'bekas' sahabat aku. Aku takkan sentuh kau dan kau pun jangan mengharap hubungan kita akan pergi lebih jauh daripada tu. Sebab aku tak cintakan kau!"
Kejamnya kata yang dilontar. Dia membolos masuk ke ruang pemandu. Seminit kemudian, menderum laju keretanya pergi meninggalkan Zenia sendirian di situ.
Zenia tertunduk. Air matanya dikesat dengan hujung baju. Bahunya dipeluk dari belakang. Dia menoleh dan raut mak su dipandang sayu.
"Betul ke apa yang Zen buat ni, mak su?"
Lengan itu digosok. "Besar pengorbanan Zen untuk selamatkan nyawa nenek, sayang," ucap Puan Hajar. Turut simpati dengan anak saudaranya itu.
"Nenek nyawa Zen, mak su. Kalau tak ada nenek, tak tahu apa yang jadi pada hidup Zen sekarang."
Kalau dibandingkan pengorbanannya ini dengan apa yang sudah nenek lakukan untuknya, pengorbanannya ini masih kecil. Kalau bukan sebab neneknya, pasti dia sudah lama hanyut dengan traumanya sendiri akibat kejadian hitam dulu yang hampir meragut kesuciannya.
"Dah, jom masuk tidur. Esok kita nak tunggu nenek dekat hospital." Tangan itu ditarik dan mereka masuk ke dalam. Pembedahan maknya akan dijalankan esok pagi. Berharap semuanya akan berjalan lancar dan dipermudahkan.
Zenia menjatuhkan semula kepalanya ke bantal. Air mata meleleh lagi di hujung mata. Maafkan aku, Fahad...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co