Truyen3h.Co

POLAROID CINTA ZENIA

Bab 3

karyaseni2u

"WEH... Sabtu ni family aku ada buat doa selamat untuk abang aku pergi umrah. Kau orang datang, eh." Fahad memecah sunyi di meja library yang penuh dengan timbunan buku itu.

"Sorry la bro, aku dengan Yan nak balik JB hujung minggu ni. Adik kesayangan aku ni dah rindu sangat dengan umi kita orang. Lagipun cuti sampai Isnin, kan," celah Hairi. Terpaksa menolak mengenangkan adiknya yang tak habis-habis merengek mengajaknya balik. Padahal kerja projek FYP mereka pun masih bertimbun mengalahkan KLCC.

"Sorry la Fahad , aku rindu gila dekat umi aku kot. Zen ada, dia boleh wakilkan kita orang." Sesuka hati Haryani bagi cadangan.

Zenia depan laptop berdesit mendengar. Haryani dijeling.

"Kalau aku sorang aje pergi, memang tak nak la aku kan. Jadi patung keras aje dekat sana nanti buat apa!" Boleh mati kebosanan dibuatnya. Terkulat-kulat di situ sorang-sorang, tak ada kawan nak diajak borak. Mama Fahad pun nampak tak berapa senang dengan dirinya. Mungkin tak suka dia berkawan baik dengan lelaki itu agaknya.

"La... Apa yang sorangnya, aku kan ada. Lagipun atuk aku rindukan kau. Tiap kali aku balik mesti tanya pasal kau." Dia sendiri pelik kenapa atuknya suka sangat dengan Zenia. Padahal boleh kira dengan jari berapa kali saja mereka berjumpa. Tapi sayang mengalahkan cucu sendiri. Jangan atuknya nak ambil jadikan bini pula dah, simpang malaikat empat puluh empat!

Zenia tersenyum bila teringatkan atuk Fahad. Orangnya baik dan suka mendengar celotehnya. Padahal dia cakap benda merapu, tapi orang tua itu mudah terhibur dengan lawak jenakanya.

"Ada bau-bau nasi minyak ke ni?" Tiba-tiba Haryani mengusik dengan muka sengih mintak penampar.

"Gila!"

"Gila!"

Serentak kedua-duanya membidas laju usikan itu.

Berdekah ketawa Haryani melihat reaksi sahabatnya. Tak boleh blah! Tiba-tiba pembantu perpustakaan di kaunter sana menegur, terus ditekup mulutnya. Zenia dan Fahad memandang sesama sendiri sebelum kembali semula pada kerja masing-masing.

Ekspresi muka cuba dikawal Zenia walau dada sudah berdetak kuat. Disumpahnya Haryani dalam hati!

Fahad menyorot kejap raut di depannya. Kahwin dengan Zenia? Memang gilalah dia kalau ada fikiran macam tu. Dia anggap Zenia tak ubah macam kawan-kawan lelakinya yang lain. Walaupun Zenia perempuan, tapi semua ciri wanita idamannya langsung tak ada pada gadis itu. Dia sukakan gadis yang cantik, lemah lembut, manja dan rambut panjang mengurai. Dan pastinya Zenia tak ada ciri-ciri tu, lainlah Nadia.

"Kau orang... Aku ada something nak beritahu ni." Fahad buka mulut bila semua menyepi dengan kerja masing-masing.

"Apa dia?" soal Haryani laju. Galak mata itu dengan rasa ingin tahu. Zenia diam membatu, namun tetap memasang telinga hendak mendengar apa yang penting sangat ingin diperkata lelaki itu.

Fahad menunduk sedikit badannya ke depan. "Aku dah couple dengan Nadia."

"What?!" Haryani terlopong.

Raut Zenia tak berkocak, masih tenang menghadap buku di depannya walaupun dalam hatinya hanya Allah saja yang tahu betapa kecewanya dia dengan perkhabaran itu.

"Baru tiga minggu kot kau bagi surat tu. Dah couple dah? Cepat gila," komen Haryani.

"Berapa lama dah?"

"Dua minggu."

Spontan tangan Haryani naik memukul lengan Zenia kuat sampai mengaduh gadis itu dibuatnya. Hishhh... Dia yang terkejut, aku pula yang kena tampar, gerutu Zenia.

"Bapak la Fahad, seminggu aje kenal, dia dah terima kau?! Dia tak buat solat istikharah dulu ke?" Haryani menyakat dalam gelak.

"Dia student fakulti mana, eh? Sebaya kita ek?"

Hairi di sebelah hanya tersengih segaris memandangkan dia sudah tahu dari hari pertama lagi. Sengaja tak nak bocor rahsia. Kemudian matanya mencuri pandang Zenia yang senyap saja dari tadi.

"Sebaya kita juga, tahun akhir business admin."

"Oh... Budak business. Patutlah vogue kemain. Tahniah la, bro. Cinta kau tak bertepuk sebelah tangan la nampaknya," giat Haryani lagi.

Kalau nak dibanding mereka dengan budak-budak business, macam langit dengan bumi. Budak-budak business biasanya dressing bagai nak rak, belum masuk bab makeup macam nak pergi Anugerah Juara Lagu lagi.

Maklumlah, nak masuk dunia korporat la katakan. Mereka pula sempoi saja dengan jeans dan t-shirt buruk. Nak berlawa pun nak pergi mana, alih-alih berkubang dalam studio juga!

Lagi pula, perempuan mana yang nak tolak Fahad? Lengkap segala yang diimpikan. Ibarat bulan jatuh ke riba. Tak hairanlah kalau seminggu kenal, dah couple.

"Semua ni jadi sebab Zen tau," tingkah Fahad tiba-tiba.

Terus Zenia terdongak. "Apa pasal aku pula?" Bersuara setelah lama senyap.

"Ya la... Kalau bukan sebab kau, agaknya sampai bila-bila pun aku takkan berani luah perasaan aku dekat dia. Thanks bro... Eh... Thanks, Zen," ucapnya.

Zenia naik kening sebelum senyum kecil dilorek hujung bibirnya.

"Hai sayang."

Tiba-tiba ada suara manja yang datang mencelah di meja mereka. Spontan semua mata naik ke sekujur tubuh yang datang mendekat. Nadia.

"Eh... Hai sayang." Tangan Fahad naik teragak melambai teman wanitanya yang baru berusia dua minggu itu.

Nadia lempar senyum pada Zenia yang turut kelihatan di situ. "Hai... Awak yang bagi surat hari tu, kan?" tegurnya.

"Oh... Hai," balas Zenia janggal. Melambai bersama senyum segaris.

"You buat apa dekat sini?" Fahad memandang sekeliling mencari rakan-rakan gadis itu.

"I ada discussion untuk presentation petang ni. Ermmm... Sayang, petang ni I habis kelas lambat sikit, you boleh tolong hantar I balik tak nanti?" Soalan itu diluah perlahan.

"Pukul berapa?" tanyanya memandangkan kelas mereka pun habis agak lambat hari ni.

"Dalam pukul lima."

"Boleh."

Hairi, Haryani dan Zenia naik memandang si kawan.

Nadia tersenyum lebar. "Okey, jumpa nanti. Bye..." Dia melambai sebelum bergerak mendapatkan kawan-kawannya yang sudah menunggu di luar pintu library sana.

"Bye..." balas Fahad lagak orang angau dilamun cinta.

"Aduhai... Cantiknya la dia ni." Kata-kata pujian itu meniti di bibirnya dalam sengih.

Haryani buat muka dengan gaya nak termuntah. Cantik sebab makeup aje kot!

"Kelas kita hari ni habis pukul 2.30 tau. Kau sanggup ke nak tunggu sampai dua jam setengah semata-mata nak hantar si Nadia tu balik?" persoal Hairi. Kalau sejam boleh tahan lagi, ni sampai dua jam lebih.

"La... Dua jam setengah aje kot, relaks la. Aku boleh layan games dulu, tak pun siapkan assignment Dr. Marina ni dulu." Fahad menjawab seolah tak jadi masalah buatnya. Walhal semua di situ cukup masak dengan perangainya yang cukup pantang nak menunggu orang lama-lama ni. Tapi demi teman wanitanya, diturutkan saja.

Hairi garu kepala. "Suka hati kau la, Fahad. Orang bercinta memang macam ni, lautan api pun sanggup direnangi kononnya!"

Fahad hanya memekakkan telinganya mendengar perlian Hairi itu.

BERLARI-LARI kecil Nadia mendapatkan Fahad yang sedang menunggu di salah satu meja di kafe sana.

"Sayang..."

Fahad angkat muka dari skrin iPhone sebaik suara gemeresik itu menampar telinga. Tersengih dia melihat Nadia yang nampak mengah mengatur nafas.

"Habis dah?" Dia bangun.

Laju Nadia angguk. "Dah... Sorry buat you tunggu lama. Lecturer I nak extend kelas pula tadi." Rambutnya yang berserabut ditiup angin petang diselit ke belakang telinga.

"It's okay. Sempat juga I siapkan satu assignment tadi. Jom... Kita makan dulu, lepas tu I hantar you balik," usulnya. Buku dalam kendongan itu diambil. Beg galas hitamnya ditarik dan disangkut ke bahu kanan.

Mereka beriringan turun ke tempat parkir. Beberapa minit kemudian, menderum kereta Honda Jazz hitam itu membelah jalan. Selang lima belas minit kemudian, Fahad memberhentikan kereta di kawasan restoran berdekatan Masjid Al- Falah.

"Sayang, I nak tanya sikit boleh?" Nadia buka mulut selepas mereka memesan makanan.

"Apa dia?" Buku menu ditolak ke tepi.

"You dengan Zenia tu memang... rapat ke?" Teragak dia menyusun kata. Takut-takut kalau teman lelakinya itu tak suka dengan soalan yang diaju. Usai melontarkan soalan, minuman yang dipesan, siap dihantar oleh pelayan.

"Zenia? Kenapa tiba-tiba aje tanya?"

Nadia geleng. "Tak ada apa, cuma curious. Sebab you dengan dia nampak rapat semacam. Lagipun surat dulu tu pun, you mintak dia bagi pada I, kan." Air carrot susunya disedut kecil.

"I dengan Zenia memang rapat, dah macam adik-beradik dah rasa. Tapi kalau you nak tahu, sebenarnya masa sem satu dulu kita orang bermusuh. Tapi lepas tu, entah macam mana boleh jadi best friend pula." Dia ketawa sendiri bila teringat perangai mereka yang macam anjing dan kucing awal-awal dulu. Pantang jumpa mesti ada saja nak sakitkan hati masing-masing.

"Tapi sekarang you okey pula dengan dia eh? Ya la maksud I, you lelaki, dia pula perempuan."

Tiba-tiba ketawa Fahad pecah, kuat menampar telinganya. Sampai memerah dilihat kulit lelaki itu yang agak cerah.

"Salah ke apa yang I cakap?" Keras kedengaran lantunan suaranya. Kepala teman lelakinya itu tergeleng laju dengan sisa tawa.

"Tak. Sorry... Sorry. Cuma kelakar." Nafasnya ditarik dalam menenangkan kembali dirinya. Setelah nafas kembali normal, raut moody itu dipandangnya penuh minat.

"You cemburu ke?" tebaknya. Dapat dirasakan kalau serkap jarangnya mengena bila melihat air muka kelat yang terlukis. Si gadis cemburu.

"Mana ada!" Nadia memeluk tubuh seraya melempar pandangan ke tepi.

Fahad garu kepala. Dia faham dengan kegusaran gadis itu. Kalau dirinya diletakkan di tempat Nadia pun, dia takkan dapat bersangka baik kalau gadis itu berkawan rapat dengan lelaki lain walaupun cuma bersahabat baik. Teman lelaki mana yang tak cemburu.

"You tak payah risau la, sayang. I tak pernah anggap Zenia tu macam perempuan pun. I mean... You sendiri boleh tengok kan Zenia tu macam mana? Mustahillah I ada apa-apa perasaan pada dia," nafinya. Tangan itu digenggamnya lembut memujuk.

"Tapi..."

"I anggap dia sama aje macam semua kawan lelaki I," tegasnya lagi. Perkara itu sememangnya mustahil. Tak terjangkau dek akalnya untuk bercinta dengan kawan baik sendiri, apatah lagi Zenia!

"Tapi dia tetap perempuan, sayang." Nadia menekan lagi. Masih rasa insecure. Lelaki... Sedangkan kalau dah kahwin, ada anak pun boleh skandal dengan perempuan lain, apatah lagi tanpa apa-apa ikatan sebegini. Zenia tu tetap nampak cantik di matanya walaupun berpenampilan sebegitu, takkanlah teman lelakinya itu tak perasan?

"Habis tu you nak I buat apa, putus kawan? Dia tu kawan baik I tau." Fahad garu kepala tak gatal. Takkanlah sebab benda kecil begini mereka kena putus kawan pula? Nonsense.

"Tak ada la sampai macam tu. I cuma... Tak selesa aje tengok you rapat sangat dengan dia. I cemburu." Dia berterus terang. Awal-awal memang la kawan, takut lama-lama nanti tersangkut pula.

Nafas dihembus Fahad berat. "Zenia tu cuma kawan baik aje, takkan jadi lebih dari tu. Dalam hati I cuma ada you sorang aje, you jangan risau okey?"

Akhirnya lambat-lambat senyum Nadia dikoyak. Termakan dengan kata pujukan itu.

"Macam tu la, kan cantik you senyum macam ni." Dagu runcing itu dicuit.

"Eh... Hujung minggu ni family I ada buat kenduri doa selamat. You datang, okey. I nak kenalkan you dengan parents I," sambungnya, menambah lagi kepercayaan si gadis. Dia serius hendak membawa hubungan mereka ini lebih jauh. Lagi pula mereka tinggal beberapa bulan saja lagi sebelum semester berakhir.

"You serius ke?" Gilalah dia kalau menolak lelaki seperti Fahad. Bak kata Tira, sudahlah baik, tampan, anak orang kaya lagi. Melihat anggukan itu, makin lebar senyuman di bibirnya.

"Insya-Allah boleh. Kawan-kawan you ada yang datang tak?" tanyanya.

"Zenia aje kot. Hairi dengan Yan balik JB Jumaat ni," beritahu Fahad.

"Zenia?" Nama itu meniti rendah di bibir Nadia. Sudahnya dia hanya mampu menarik senyumnya segaris. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co