Bab 4
ENJIN motor dimatikan sebaik tiba di hadapan banglo dua tingkat yang tersergam indah itu. Zenia melangkah turun seraya membuka helmet di kepala. Dikirai rambutnya yang kusut-masai. Leher dipanjangkan ke dalam. Kereta-kereta mewah yang sudah beratur di bahu jalan dipandang sekilas. Terasa segan nak masuk rumah orang kaya begini. Pakaiannya dilihat sekali imbas.
"Cool okay, Zenia... Cool." Dicapai cap merahnya dan diletak ke kepala dengan kemas.
Handphone dalam kocek seluar jeans ditarik keluar. Baru nak didial nombor Fahad, suara garau itu sudah menerjah telinga. Dia menoleh pada Fahad yang segak mengenakan baju Melayu hijau dan seluar jeans hitam.
"Sini!" Fahad naik melambai ke arah Zenia di hadapan pagar. Segera si kawan mendekat.
"Sorry la weh... Aku basuh kain dulu tadi. Tu yang lambat tu. Dah start ke?" Tangan diseluk masuk ke dalam poket.
"Belum lagi. Lepas maghrib nanti baru start. Jom la masuk, atuk aku dah tunggu kau dari tadi lagi. Entah apa yang nak dirindukan sangat pun aku tak tau, cucu dia ni tak ada pula dia nak rindu!" Sempat lagi dia membebel perihal atuknya.
"Aku segan la."
"Tak payah segan la, aku ada." Pergelangan itu ditariknya masuk.
Baju yang melekat di badannya itu dipandang sekali lagi sebelum memandang beberapa tetamu perempuan yang rata-ratanya mengenakan baju kurung. Dah kata pun doa selamat, kan.
"Weh... Tak apa ke aku pakai baju macam ni?" soalnya gelisah.
Bola mata Fahad naik melihat Zenia atas bawah, sebelum ketawanya meletus kecil.
"Taram ajelah weh... Kau tu bukannya tau pakai baju kurung pun. Silap-silap koyak kain tu kalau kau pakai!" Selamba saja dia mengusik. Sepanjang hampir empat tahun mereka berkawan ini, tak pernah sekali pun dia melihat gadis itu mengenakan baju kurung. Teringin juga dia nak tengok, sekali pun jadi la!
Zenia ketap bibir, rasa nak seligi aje mulut mamat ni. Tak ada insurans betul!
"Kau tak ajak Nadia ke?" Mata ditebar mencari kelibat si gadis.
"Mesti la ajak. Kejap lagi aku pergi ambil dia. Aku nak kenalkan dekat parents aku." Bahu itu disenggolnya dengan riak ceria.
Zenia senyap tak membalas, hanya senyum kecil saja yang dilempar. Pandangannya dilempar ke arah lain. Kelat dadanya.
"Atuk kau mana?" tanyanya sebaik mereka masuk ke ruang tamu mewah itu. Tengok sofa mewah di situ saja sudah buat dia takut nak duduk.
"Ada dekat bilik bacaan sana dengan kawan dia. Kau pergi la masuk, aku pun nak gerak dah ni ambil Nadia." Bahu kecil itu ditolak supaya bergerak ke arah bilik bacaan yang terletak di bawah tanah sana.
"Fahad..."
Muncul kelibat Datin Syamila yang baru turun dari tingkat atas. Zenia melempar senyum segaris. Sebaik wanita berusia awal 50-an itu datang mendekat, cepat-cepat dia menyalam tangan itu tanda hormat.
"Assalamualaikum, auntie."
"Hurm... Waalaikumussalam. Sorang aje?" Dingin kedengaran suara itu menyambut dengan muka penuh lagak. Segaris senyum pun tak terlorek di wajah yang siap bermekap itu.
"Sorang aje auntie, Hairi dengan Yan dah balik JB semalam," jawab Zenia sekadar berbasa-basi. Bukannya dia tak tahu kalau kehadirannya tak disenangi wanita itu.
Naik turun mata Datin Syamila seperti yoyo melihat gadis yang tak ubah seperti budak lelaki itu. Sakit rasa biji matanya. Entah kenapalah suka sangat anak bongsunya itu berkawan dengan budak tomboi macam ni!
"Tak apa la kalau macam tu. Masuk la, buat macam rumah sendiri," kata Datin Syamila. Kemudian lengan anaknya ditarik sedikit menjauh. Zenia mencuri pandang dari hujung mata.
"Kenapa Fahad nak juga bawa budak tu datang sini? Fahad tahu kan mama tak suka dengan budak Zenia tu!" Bebelan Datin Syamila mula menerjah bingit telinga si anak.
"Ma... Zenia tu kawan baik Fahad. Suka atau tak, mama tetap kena terima. Lagipun along sendiri yang suruh Fahad ajak Zen datang sini." Tak faham kenapa benci sangat mamanya dengan Zenia, padahal bukannya Zenia tu ada buat salah pun. Berjumpa pun boleh kira pakai jari saja berapa kali.
Mendengus Datin Syamila mendengar alasan anak kesayangannya itu. Cakaplah macam mana pun, ada saja anaknya itu hendak mempertahankan gadis serupa jantan tu!
"Ni buat apa lagi kat sini? Bukan tadi kata nak pergi ambil kawan ke?" Kawan mana satu pun dia tak tahu.
"Nak pergi ambil la ni. Fahad pergi dulu." Tangan itu disalam dan dikucupnya ala kadar. Sempat lagi dia mengenyit mata pada Zenia di sana sebelum bergerak keluar.
Tajam saja mata Datin Syamila memerhati gelagat kedua-duanya. Nafas dihembus kuat sebelum berlalu keluar mencari si suami yang hilang entah ke mana.
Zenia berjalan mendekati bilik bacaan yang terletak berdekatan tangga. Perlahan tangannya naik mengetuk pintu kayu berukir itu.
"Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam. Masuk..."
Mendengar suara garau itu, terus tombol pintu itu dipulasnya dan kepalanya dijengah ke dalam. Sebaik matanya menyapa wajah tua itu, automatik senyumnya terukir.
"Atuk..." tegurnya berbunyi ceria.
"Nia. Masuk... Masuk," ajak Tan Sri Samad ramah. Buah catur di tangan diletak ke bawah.
Zenia tersengih lebar. Hanya datuk Fahad yang berumur 78 tahun itu saja yang memanggilnya dengan panggilan Nia selama ini. Feminin aje dengar.
"Kan Zen dah kata panggil Zen aje." Dia memuncung seraya menapak masuk. Tak sesuai sungguh dia nak dipanggil dengan nama berbunyi feminin macam tu! Dilihat ada seorang lagi kawan Tan Sri Samad turut berada di situ.
"Eh... Suka hati atuk la nak panggil Nia. Kan sedap tu, macam nama perempuan sikit." Tan Sri Samad berseloroh. "Ni... Kenalkan kawan atuk. Panggil Tok Ibrahim aje."
"Assalamualaikum, Tok Ibrahim," sapanya. Kemudian kedua-dua tangan orang tua itu disalamnya hormat.
"Waalaikumussalam," sambut Datuk Ibrahim sebelum beralih semula pada sahabat baiknya di depan.
"Anak siapa ni, Mad?"
"Kawan baik si Fahad. Belajar satu universiti sana," jawab Tan Sri Samad.
"Oh... Aku ingatkan cucu kau. Kasi pula Si Mila tu Fahad berkawan dengan..."
"Zenia." Sempat lagi Zenia mencelah dalam sengih. Tahu apa yang dimaksudkan Tok Ibrahim itu.
"Ha... Zenia."
Ketawa Tan Sri Samad dibuatnya.
"Kau tau la cucu aku tu, bukannya dia kesah apa pun. Lagipun dia yang nak berkawan, biarlah." Tenang saja Tan Sri Samad menjawab.
"Ni... Nia dah lama sampai ke? Makan dah?"
"Baru aje, tuk. Duduk pun tak sempat lagi."
Tan Sri Samad tepuk dahi. "Allah... Ya ke. Duduk... Duduk." Satu kerusi ditarik dan digamit gadis itu supaya duduk.
"Biah..." panggilnya pula. Seminit kemudian muncul pembantu rumahnya.
"Ya, Tan Sri."
"Tolong bawakan air untuk Nia ni." Zenia dipandang. "Nia nak air panas ke sejuk?"
"Tak kesah, tuk," sambut Zenia laju.
"Bawakan air panas la macam tu. Bawa sekali kuih ke sini." Tan Sri Samad mengarah.
"Baik, Tan Sri," jawab Mak Biah dan berlalu keluar.
Zenia melepas pandang ke depan. "Buat apa ni, tuk?"
Tan Sri Samad memuncung pada papan kayu hitam putih di hadapan mereka itu. "Ni... Main chess."
"Nia tau main chess?" soal Datuk Ibrahim pada gadis muda itu.
"Mesti la tau. Zen champion tau masa dekat sekolah dulu!" sahutnya nada bangga. Dia pernah jadi wakil negeri Selangor dalam pertandingan catur dulu, malas nak cerita aje.
"Hah... Elok sangat la tu, tuk pun dah nak kalah ni. Nia tolong la selamatkan tuk." Suara Datuk Ibrahim dalam tawanya.
"Beres! Tuk duduk aje situ elok-elok. Biar Zen yang uruskan semuanya." Jari-jemari runcingnya diletup-letupkan sebelum beralih tempat dengan Datuk Ibrahim. Dia duduk menghadap Tan Sri Samad yang sudah melihatnya dengan kening ternaik sebelah.
"Siap sedia, tuk?" Zenia beri amaran dengan kening yang turut dijongket kecil.
"Okay... No problem," sambut Tan Sri Samad menyahut cabaran. Kemudian perlawanan bermula...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co