Truyen3h.Co

POLAROID CINTA ZENIA

Bab 6

karyaseni2u

PAP!

Hampir tercampak handphone di tangan Fahad bila tiba-tiba bahunya ditepuk kuat dari belakang. Melantun istighfarnya di bibir. Kus semangat!

Baru saja dia nak bersantai-santai depan swimming pool. Ingatkan semua orang dah masuk bilik, rupanya ada juga yang masih tersesat.

"Along... Ingatkan siapa tadi." IPhone diselit masuk ke dalam poket seluar.

Faizul duduk di kerusi sebelah adiknya. Kedua tangan diletak santai ke belakang kepala. Berbaring di situ. Senyap kejap menikmati bunyi air yang mengalir dari pancuran tepi dinding laman.

"Apa pasal tak tidur lagi? Dah pukul sebelas."

Fahad turut berbaring.

"Tak boleh tidur la," jawabnya pendek. Puas dia berguling-guling atas katil tadi mencari lena, tapi tak mahu tertidur juga. Akhirnya dia menapak ke bawah, bergayut dengan Nadia yang kebetulan belum tertidur juga.

"Macam mana study?"

"Macam biasa la, busy dengan thesis. Projek lagi." Kepalanya digaru serabut. Masanya sekarang banyak dihabiskan dalam studio saja, kadang-kadang stayback sampai ke pagi pun ada. Nak menapak ke kelas pun dah serupa zombie. Cepatlah habis semua ni.

Faizul tarik nafas pendek. Menoleh pada si adik. "Kau serius ke dengan Nadia tu?"

Fahad terbangun dari sandarnya bila tiba-tiba soalan itu terpacul. Alongnya dipandang pelik.

"Serius la! Nampak muka aku macam tak serius ke?"

Jeda. Tiada balasan dari si abang.

"Aku ingat lepas habis belajar ni nanti, aku nak terus bertunang. Mama dengan papa pun nampak macam okey aje," ceritanya lagi tentang perancangan masa depannya.

Faizul hanya terangguk. Mendengar tanpa suara.

"Apa pendapat kau, long?" Nak juga dia dengar pendapat abangnya itu. Yalah, abangnya dah lima tahun mendirikan rumah tangga, mesti lebih faham pasal benda ni.

"Ikut kau la, kau yang nak kahwin. Asal kau bahagia. Tapi... Kau tak rasa ke Nadia tu macam biasa-biasa aje?" Aci redah saja dia mengomen tanpa bertapis.

"Biasa macam mana maksud kau?" Sila ditarik menghadap abangnya.

"Yalah... Biasa. Macam tak ada apa yang istimewa," jawab si abang penuh selamba dengan mimik muka. Tersembur ketawa Fahad.

"Tak rare maksud kau?" tebaknya.

Lambat-lambat Faizul mengia. Teman wanita adiknya tu nampak macam biasa saja di matanya. Nampak common senang cerita, tiada apa yang menarik selain muka yang boleh tahan cantik. Tidak berapa berkenan, kerana gadis itu nampak try hard sangat hendak mengambil hati mama papa semasa majlis semalam.

"Habis tu kau nak yang rare macam siapa?" tanya Fahad.

"Zenia," jawab Faizul tanpa teragak. Terkedu Fahad buat beberapa saat sebelum gelaknya meletus kuat.

"Kau gila ke, long?! Zenia tu memang la lain dari yang lain, dah nama pun tomboi," selanya.

"Tomboi pun perempuan juga." Faizul menyangkal sampai terdiam Fahad sesaat.

"Memang la perempuan. Tapi perangai tak serupa perempuan langsung!" perbetul Fahad. Rambut disebak ke belakang. Kembali bersandar.

"Kau pernah tengok Zenia tu betul-betul tak?" tanyanya ingin tahu.

Fahad angguk. Tak tengok apanya kalau dah hampir setiap hari muka itu yang tercongok depannya.

"Biasa aje." Dia jawab tanpa perasaan. Tak ada apa pun yang dirasakan istimewa pada gadis itu melainkan perangai dan penampilan yang lain daripada lain.

"Betul?" soal Faizul lagi dengan mata sedikit mencerun. Si adik melepas pandangan curiga.

"Ya!" Fahad mengia lagi. Tiada apa yang lain rasanya, ada hidung, ada mata, ada mulut. Complete!

Giliran Faizul pula tergelak melihat adiknya. Muka polos itu mengundang geli hatinya.

"Fahad... Fahad..." Bahu adiknya ditepuk dengan gelengan kecil. Nafas dihembus kuat. "Zenia tu cantik, Ad. Tak percaya? Cuba kau tengok nanti. Tengok elok-elok budak Zenia tu!" cadangnya.

"Mengarut la kau, long. Aku dah tiga tahun kawan dengan dia kot, nak tengok apa lagi? Zenia tu sampai bila-bila pun akan tetap macam tu di mata aku, takkan berubah sampai bila-bila." Cukup yakin dengan pandangan matanya. Belum rabun lagi rasanya.

"Itu sekarang dik, oi... Kau pernah dengar tak masa mematangkan usia?" Faizul berseloroh lagi.

"Pernah la. Macam kau, makin tua!" Tiba-tiba si abang menghulurkan jari kelengkeng padanya. Berkerut dahinya.

"Kau nak bet dengan aku?" soal Faizul dalam sengih. Melihat muka adiknya yang masih bingung, dia menyambung. "Dalam masa tiga empat tahun dari sekarang, Zenia akan berubah. Mungkin... Jadi wanita idaman kau." Kening dijongket mencabar.

Makin dalam Fahad berkerut. Kepala mula menggeleng.

"Mustahil," ucapnya penuh yakin. Penuh berani jari si abang dikait memeterai janji. Berubah? Dia cukup yakin Zenia takkan berubah, dia cukup kenal dengan gadis itu.

"Okey, kalau bet aku mengena..." Senyum hujung bibir dikoyak. "Aku sumpah kau kahwin dengan Zenia!"

Terus Fahad menarik tangan laju. Berderau rasa darahnya.

"Bongok la kau, long! Tak ada benda lain kau nak sumpah?" Bahu itu ditolak kasar. Ada ke sumpah aku kahwin dengan Zenia?!

"Dah, pergi naik tidur." Bahu itu ditepuknya seraya bangkit dari kerusi malas itu.

"Kau pergi la dulu."

"Okey. Ingat kata aku!"

Langkah abangnya itu dihantar dengan hujung mata sebelum dia kembali berbaring semula ke kerusi kayu itu.

"Zenia?" Dia ketawa kecil seraya menggeleng. Tak masuk akal langsung!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co