Truyen3h.Co

POLAROID CINTA ZENIA

Bab 7

karyaseni2u

AIR jambu di atas meja disambar dan disedut hingga habis. Sudah hampir setengah jam mereka bertapa di kafeteria ini menyiapkan tugasan berkumpulan Prof. Kamariah.

"Aku pergi tandas kejap." Bahu Fahad ditepuk dan Hairi terus bangkit. Nak pecah rasa pundi kencingnya.

Fahad angguk kecil seraya menutup mulutnya yang menguap besar. Stay up punya pasal maraton drama. Kemudian Zenia yang duduk di depan dicuri pandang di balik skrin laptop. Kata-kata abangnya tempoh hari terngiang di telinga.

Zenia tu cantik, Ad. Tak percaya? Cuba kau tengok nanti. Tengok elok-elok budak Zenia tu.

Betul ke cantik? detik hatinya walaupun rasa tak percayanya masih menebal. Bertahun mereka berkawan, tak pernah pula dia nampak apa yang istimewa di mata lelakinya.

Terpengaruh dengan kata si abang. Rambut yang terjuntai di dahi dibetul sebelum perlahan tangannya ditongkat ke bawah dagu. Berdehem kecil mencari sudut yang sesuai. Sesaat kemudian, bola matanya dilepas tepat ke wajah itu. Sepasang mata yang agak terlindung di bawah cap merah itu disorotnya dalam diam.

Zappp...

Buat sesaat jantungnya terasa berhenti berdegup. Terpaku. Tak pernah pula dia perasan kalau mata gadis itu lain dari yang lain. Hitam tidak, coklat cair pun tidak, tengah-tengah. Alis mata itu juga cantik melentik.

Kulit itu putih mulus tanpa sebarang bintik jerawat. Matanya turun pula ke hidung yang comel. Tak berapa mancung tapi cukup sesuai dengan bentuk wajah. Beralih ke seulas bibir merah itu. Ada tahi lalat kecil di bawah bibir kanan itu, manis terletak. Lama pandangannya terhenti di situ. Tak semena dadanya rasa dihentak degupan kuat sebaik terlihat ulas bibir itu mengukir senyum pada Haryani di sebelah. Dia terpaku. Cantiknya...

Haryani angkat mata dari kertas depannya. Automatik pelipis berkerut kecil

"Kau pandang apa?" Fahad yang seakan-akan mengelamun ditegur. Zenia turut angkat muka.

Tersentak dek teguran Haryani, terus Fahad mengalih pandangannya dari wajah itu. Tangan naik semula ke papan kekunci laptopnya di depan. Kalut!

"Mana ada apa. Aku tengok... Aku tengok mamat belakang tu ha. Macam nak mencuri aje," ujarnya seraya memuncung pada lelaki berbaju hitam di meja belakang sana. Tak pasal-pasal mamat tu pula jadi mangsa.

Serentak Zenia dan Haryani menoleh ke belakang melihat lelaki yang dimaksudkan.

"Elok aje mamat tu duduk situ. Kau ni memandai ajelah, jadi fitnah tau tak!" marah Haryani sedas.

Zenia hanya menggeleng, malas nak masuk berbalah.

"Manalah aku tau. Aku tengok dia duk terintai-intai aje bag kat meja sebelah tu." Fahad berdehem seraya menggaru kecil keningnya.

"Dah siap ke?" soalnya.

"Dah. Jom la gerak, kelas nak start dah ni," jawab Zenia melihat jam tangannya dan bangun dari kerusi. Skrin laptop ditutup dan disumbat semula masuk ke dalam beg.

Melihat Zenia yang nampak payah menggalas beg berisi laptop itu dengan buku di tangan, panjang saja tangan Fahad mengambil beg itu dan disangkut ke bahunya. Zenia memandangnya pelik.

"Jom la." Dia membuka langkah terlebih dahulu. Tak dipedulikan pandangan itu. Mesti Zenia ingat dia buang tebiat!

Hairi yang sudah kembali ke meja memandang Fahad yang sudah jauh ke hadapan sana, sebelum beralih pada Zenia.

"Apa pasal Fahad tu? Baik semacam pula hari ni." Bahu Zenia ditolak Haryani.

Zenia turut pelik, tak pernah-pernah nak tolong angkatkan begnya selama ini, siap tambah beban lagi di bahunya ada la.

"Entah... Sawan agaknya."

Berdekah ketawa Haryani mendengar kata itu. "Teruk betullah jawapan kau!"

Haryani pandang Fahad yang sudah jauh ke depan. Entah sama ada dia tersilap tengok, ataupun matanya yang ada masalah. Dia perasan kalau Fahad merenung Zenia tadi. Kalau sekejap tak apa juga, ini lama. Betullah agaknya kata Zenia, lelaki tu sawan agaknya hari ni. Terlebih air ketum!

"RI... Kau tengok Zen tu macam mana?"

Hairi menoleh pada Fahad yang berada di tempat pemandu. Hilang terus konsentrasinya pada games di handphone.

"Macam mana apa maksud kau?" soalnya semula tak faham.

Ligat tangan Fahad mengetuk-ngetuk stereng. Dipulas masuk ke kawasan deretan kedai makan tak jauh dari rumah sewa mereka. Liur ditelannya untuk melancarkan kerongkong.

"Ya la, maksud aku... Pandangan kau pada Zen," ulangnya lagi.

"Pandangan... Dari sudut mata lelaki," sambungnya sedikit teragak. Hairi dipandang sekilas. Berkerut dilihat muka si kawan. Rasa nak hantuk aje kepala ke stereng bila tengok muka Hairi yang makin semacam memandangnya. Mesti pelik sebab tiba-tiba terkeluar soalan luar alam begitu dari mulutnya.

Hairi garu kepala. "Kau ni dah kenapa tetiba aje tanya soalan luar alam macam tu?"

"Jawab ajelah," tekan Fahad lagi.

Senyap. Hairi memuncung kecil memikir jawapan. "Urm... Entah. Not bad rasanya." Pendek jawapan yang meluncur dari mulut itu.

"Maksud kau? Dia cantik?" Dia cuba menebak lagi dengan perkataan yang lebih tepat.

"Urm... Hurm..." Hairi angguk mengia dengan riak polos.

"Serius la?" soalnya lagi, masih tak percaya.

"Aku serius la ni, ngok!" tempelak Hairi geram. Orang dah bagi jawapan tak percaya pula!

"Memang la Zenia tu tomboi. Penampilan tak sama macam perempuan yang lain. Tapi... Dia cantik kot," jawabnya jujur. Terangguk dia setuju dengan jawapannya sendiri. Bukan dia aje yang perasan rasanya, beberapa orang classmate lelaki mereka pun pernah cakap benda yang sama.

"Kau baru perasan ke?" soal Hairi.

Tersekat air liur Fahad di kerongkong mendengar soalan itu. Dia berdehem kecil.

"Entah. Aku tengok biasa aje," bohongnya. Malulah nak mengaku dia baru perasan. Walhal dah bertahun mereka berkawan.

"Sebab mata kau tu asyik pandang Nadia aje dari dulu! Mana kau nak pandang perempuan lain. Zenia yang hari-hari menghadap muka kau tu pun, kau boleh tak perasan!" tembak Hairi tepat ke dada Fahad.

"Aku... Sebab aku anggap dia macam kawan aje kot. Tak ada la aku nak pandang dia pelik-pelik pula. Macam aku pandang kau, haaa... Macam tu la!" jawabnya bunyi selamba.

"Apa-apa ajelah, Fahad. Laju sikit weh, aku dah lapar dah ni," rungut Hairi sekaligus mematikan perbualan mereka.

Kereta Honda Jazz Fahad berhenti di hadapan restoran Melayu yang selalu menjadi tempat mereka mengisi tembolok yang kelaparan. Kalau nak harap masak dekat rumah, memang mati kering la jawabnya. Pagi, petang, malam melantak Maggi!

"Kau dengan Nadia macam mana?" soal Hairi sebaik meletak pinggan berisi nasi dan lauk atas meja.

"Okey."

"Serius la ni?" tanya Hairi lagi.

Fahad diam buat beberapa saat sebelum angguk.

"Family aku pun nampak macam tak ada halangan. Aku ingat cuti sem nanti aku nak pergi jumpa family Nadia dekat Kuantan." Segala perancangan sudah dia buat, Nadia pun nampak bersetuju kalau mereka diikat dengan tali pertunangan sebaik mereka habis belajar nanti.

"Bagus la tu, kalau dah jumpa yang sesuai cepat-cepat la halalkan. Bukannya elok pun bercouple lama-lama. Yan tu pun, aku hangin aje. Asyik-asyik nak keluar dating. Mentang-mentang pakwe dekat!" luahnya bengang. Kalau dia duduk serumah dengan adiknya, memang dah lama dah adiknya tu kena ikat dekat batang pokok!

Tergelak Fahad dengar. "Sayang betul kau dengan Yan, ek."

"Gila tak sayang. Adik aku kot. Sembilan bulan duduk sama-sama dalam perut umi aku!" Kemudian masing-masing terburai tawa.

"Kau dah terfikir ke nak mintak kerja dekat mana nanti?" Fahad mula bertanya soal perjalanan karier mereka selepas habis belajar nanti.

"Ada la juga beberapa company yang aku dah usyar dan hantar resume," jawabnya. Sebolehnya sebaik saja mereka habis hari terakhir mereka, dia nak mula bekerja. Walaupun mereka tidaklah miskin dan tak juga kaya macam keluarga Fahad. Tapi dia sebagai anak sulung merasa kalau tanggungjawabnya cukup besar untuk membantu keluarganya.

"Tak nak kerja dengan firma family aku?"

Hairi senyap sekejap sebelum menggeleng.

"Tak apa la bro, aku kalau boleh aku nak dapatkan kerja tu dengan kemampuan aku sendiri. Tak nak la pakai cable ni walaupun kau tu kawan baik aku sendiri!"

"Ikut kau la. Tapi kalau kau nak, aku boleh beritahu atuk dengan papa aku. At least aku ada la juga kawan nanti." Fahad angguk faham.

Hairi buat muka. "Takkanlah sepanjang hidup kau nak melekat dengan aku aje kot! Nanti masing-masing dah kahwin, ada anak, dah ada komitmen sendiri. Nak jumpa dua bulan sekali pun dah susah tau."

"Okey la tu daripada tak jumpa langsung," sengihnya.

Mengenangkan mereka hanya tinggal beberapa bulan saja lagi untuk bersama, terdetik rasa sedih di dadanya. Selama empat tahun mereka berempat bersama, itulah teman ketawa, teman bergaduh, teman stres. Selepas habis ni, semua akan membawa haluan masing-masing. Entah bila dapat berkumpul lagi pun tak tahu.

"Weh... Minggu lepas aku ada nampak sorang mamat ni bagi bunga dekat Zen masa dekat library tau," cerita Hairi sebaik duduk semula ke meja selepas mencuci tangan.

Laju saja Fahad mendongak. IPhone diletak ke meja. Bunga?

"Kau biar betul? Mustahil la!" Dia tak percaya. Ada ke lelaki yang minat dengan perempuan macam Zen tu?

"Apa yang mustahilnya? Zen tu perempuan juga, bukannya jantan. Kan aku dah kata Zen tu cantik sebenarnya. Lelaki tu nampak benda yang sama agaknya." Pendapat Fahad disangkal laju.

"Budak mana?" Tanpa sedar, soalan yang terlontar berbaur cemburu.

Hairi sedut air Milo aisnya sampai habis. Bahu dijongket kecil "Entah, budak civil kot. Sebab aku pernah nampak dia lepak sekali dengan Mirul dulu."

"Zen tak ada cerita apa pun," gumamnya.

"Fahad... Fahad. Takkan la kau expect semua benda Zen nak cerita dekat kita? Bukannya kau tak tahu orang perempuan ni pelik. Suka berahsia." Kemudian dia bangun. Beg galasnya disangkut ke bahu. "Jom la balik, aku mengantuk dah ni."

Lambat-lambat Fahad bangkit. Tak habis fikir tentang mamat yang bagi bunga pada Zenia itu. Siapa?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co