Bab 14
Pulang dari pejabat, kereta terus dipandu menuju ke Pasar Raya Giant di Seksyen 7, Shah Alam. Beberapa keperluan Rara harus didapatkan dengan kadar segera. Kata Tiara, stok si kecil itu semakin berkurangan.
Lampin pakai buang, susu formula yang sudah tinggal sedikit serta puting botol susu yang perlu ditukar, harus segera didapatkan. Sebagai penjaga si kecil itu, kemahuannya hanya satu. Memenuhi keperluan asas buat Rara yang semakin membesar.
Usai membuat bayaran di kaunter pembayaran, troli ditolak menyusuri laluan keluar hingga tidak sedar bahunya dilanggar seseorang. Untuk sejenak, dia menoleh ke arah insan yang melanggar bahunya.
Susuk tubuh lelaki berseluar jean bersama dengan baju T berkolar itu direnung lama. Jika tidak salah, lelaki ini bernama Pali. Rakan Tiara di universiti.
"Sorry!" tutur Danny, pendek. Namun ucapan maafnya disambut dengan senyuman senget anak muda yang memakai tanda nama Fazli itu.
"Beli barang anak ke, bro?" soal Pali buat-buat tersenyum sambil mengerling beberapa orang rakan lelakinya.
Malas mahu melayan, Danny sekadar menjongket bahu lalu berpaling menolak troli yang tadinya terhenti.
"Jangan kacau Tiara! Aku tak suka." Dalam pada kaki sedang melangkah, amaran keras itu menyusur masuk ke saluran pendengarannya. Kaki yang diayun, terhenti lagi. Tapi dia tetap statik, tidak menoleh.
"Jangan guna kekayaan yang kau ada untuk beli jiwa dia!" Sekali lagi kata-kata dari ulas bibir itu terhambur.
Danny hela nafas. Perlahan-lahan tubuh dipusingkan dan wajah Pali dan rakan-rakannya itu direnung silih berganti.
"Cukuplah kau umpan dia dengan duit... Sekarang kau nak umpan dia dengan apa pula? Tu..." Muncung Pali terhala ke arah troli.
"Semua tu untuk apa? Untuk anak kau orang berdua? Setahu aku, Tiara belum lagi berkahwin! Hairan, belum berkahwin... Belum bernikah tapi dah ada anak. Hairan... Hairan..." Gelak sinis Pali sekali lagi menampar gegedang telinga.
Danny pula sudah rasa bengang, namun sebagai lelaki yang lebih matang dan lebih berusia daripada pemuda awal 20-an ini, hatinya disabarkan sahaja. Buang masa melayan kerenah manusia yang berfikiran singkat.
"Eh, kau nak ke mana?" tanya Pali sewaktu melihat Danny berpusing mahu meneruskan langkah yang terhenti.
"Nak balik! Nak jumpa anak bini," getus Danny membuatkan Pali terdiam seribu bahasa. Dan kerana kebisuan itu, bibir terus menghambur kata.
"Kalau tak tahu apa-apa, jangan menyibuk hal orang! Jaga tepi kain lu, jangan jaga tepi kain gua!" sambung Danny seraya menolak troli yang penuh meninggalkan Pali terkulat-kulat sendirian. Puas hatinya dapat mengajar budak baru nak kenal dunia itu dengan beberapa baris ayat berbisa.
Sejurus mendekati keretanya, Danny memindahkan barang-barang yang dibeli ke dalam bonet kereta. Selesai sahaja kerjanya, dia memboloskan diri ke dalam BMW merah.
Untuk beberapa saat, dia memandang cermin pandang belakang sambil merungkaikan tali leher yang masih kemas lalu ditanggalkan dan diletakkan di atas kerusi bersebelahan. Dari cermin pandang belakang, dia melihat Pali bersama rakan-rakannya sedang berdiri di pintu keluar pasar raya itu. Barangkali sedang memerhatikan dirinya.
Tidak mahu menyesakkan fikiran dengan persoalan berkaitan pemuda itu, enjin kereta terus dihidupkan dan dia harus bertemu Tiara untuk menyerahkan kesemua barang-barang yang telah dipesan oleh gadis itu.
"Abang, kenapa tak call sebelum datang?" Wajah terkejut Tiara menerpa ruang mata Danny.
"Abang nak cepat, tak sempat nak call," terang Danny seraya memandang Tiara yang menutupi kepalanya dengan sehelai tuala. Comel!
"Mujur Tiara tak ke mana-mana."
"Kalau Tiara tak ada, abang sangkut barang-barang ni dekat pintu. Ha, ni dah mandi ke belum?" Tanpa diduga, soalan itu terpacul dari ulas bibirnya. Tiara terkejut dan dirinya pula sudah tersenyum sumbing. Apa punya soalan yang kau soal ni, Danny? desis hati yang kehairanan.
"Errr... Errr... Dah!" sahut bibir merah jambu itu sedikit gugup.
"Sorry, abang tak patut soal soalan yang macam tu," gumam Danny seraya tergeleng dalam senyuman simpul.
Dia pun satu, menyoal tu tak teragak-agak. Apa yang terlintas dalam fikiran, itulah yang dihambur. Dengan perempuan lain, mungkin ia perkara biasa dan tidak mendatangkan apa-apa maksud. Dengan gadis sepolos Tiara, rasa hormat itu datang dengan sendirinya. Dan kerana rasa hormat itulah, dia lebih menjaga perilaku dan adab.
"Tak mengapalah, bang. Abang tak sengaja, kan?" Tiara cuba menenteramkan dan membuatkan suasana kembali santai.
"Oh, ya... Ini barang-barang yang Tiara pesan semalam." Bungkusan beg plastik diserahkan kepada Tiara lalu disambut oleh jari-jemari runcing itu. Danny masih sempat memerhati. Kulit tangan Tiara putih kemerah-merahan. Segar!
"Tiara pesan susu, lampin dengan puting susu aje, bang. Ini berat semacam aje. Abang beli stok untuk berapa bulan?" komen Tiara tentang isi kandungan plastik yang dijinjing.
"Untuk stok bulan ni aje. Yang berat tu bukan barang-barang Rara. Tapi barang-barang untuk Tiara. Abang belikan ayam mentah, sayur, roti, Milo, biskut dengan spageti."
"Untuk apa?" Belum sempat bicara Danny berakhir, Tiara memintas. Hairan, tidak dipesan dan mengapa pula Danny membelikan untuk dirinya?
"Tiara kan nak exam! Abang tak mahu Tiara jatuh sakit, kalau boleh jaga makan minum dan kesihatan. Exam ni penentu segalanya dan abang yakin Tiara akan buat yang terbaik untuk final semester ni. Dan sebab itu, abang mahu Tiara sihat, menduduki exam dengan tenang."
Dengan pengakuan ikhlas itu, hati kecil Tiara bagaikan disentuh sesuatu. Dia rasa terharu yang bukan sedikit. Danny begitu mengambil berat tentang dirinya.
"Tiara... Tiara tak tahu nak cakap apa." Dengan rasa sebak, dia tidak mampu membalas pandangan bening Danny. Mata bundar itu seolah-olah membuatkan hatinya mudah tersentuh.
"Tak perlu cakap apa-apa. Tiara rehatlah, studi dan jangan lupa makan. Soal Rara abang minta maaf, tak boleh nak jaga dia waktu Tiara tengah sibuk nak ulangkaji," beritahu Danny pada Tiara tentang keadaan dan situasinya yang sentiasa sibuk.
"Tentang Rara, abang jangan risau! Tiara dan Reena dah sepakat nak jaga Rara secara bergilir-gilir. Lagipun, paper Tiara memang banyak gap. Jadual untuk studi pun boleh disusun. So, don't worry. Rara takkan terabai." Senyuman Tiara tersungging lagi.
Dengan pandangan bercahaya, Danny membalas renungan anak mata itu. Cepat-cepat Tiara menundukkan wajah. Rasa malu itu masih menebal dalam jiwa lantaran anak mata bundar milik Danny seringkali mengocak tenang di dasar hatinya.
"Thanks, Tiara. Oh, ya... Elaun bulanan dah boleh dikeluarkan. Abang dah transfer ke dalam akaun. Kad kredit yang abang kasi hari tu dah kena blok. So, mulai bulan ni abang debitkan payment ke dalam akaun Tiara. Nanti, tolong pesan pada Reena yang abang nak nombor akaun bank dia."
"Okey, insya-Allah nanti Tiara beritahu pada Reena. Pasal elaun tu."
"Kenapa dengan elaun tu? Tak cukup?"
"Eh, bukan! Sebenarnya Tiara rasa terlalu awal! Belum cukup bulan lagi, abang dah masukkan siap-siap. Kenapa tergesa-gesa?" soal Tiara sedikit segan. Belum cukup bulan, namun bayaran yang bakal diterima sudah pun dimasukkan ke dalam akaun bank. Pantas!
"Dah tanggungjawab abang, kan? Memang itu hak Tiara. Bila 80 persen kerja selesai, payment mesti disegerakan," tutur Danny, tergelak-gelak. Namun gelak tawa yang menceriakan itu terhenti dengan tiba-tiba.
"Untunglah, ada orang bela!" sampuk satu suara dari arah tangga. Serentak itu juga Danny berpaling ke arah tangga dan Tiara juga menjengul kepala melihat ke bahagian yang sama.
"Well... Tak sangka betul sejauh ni awak tersasar ya, Tiara?" Pali muncul bersama senyuman sinis. Lelaki itu sedang mendaki anak tangga satu per satu bersama kedua-dua belah tangan yang dimasukkan ke dalam poket seluar jean.
"Jangan menuduh yang bukan-bukan, saya tak suka!" balas Tiara membuatkan Pali yang semakin menghampiri anak tangga teratas tergelak kecil.
"Saya dah dengar segala-galanya, Tiara. Apa lagi yang awak nak nafikan?" tanya Pali yang sedari tadi mengekori Danny hinggalah tiba ke rumah flat PKNS ini. Dia sudah mendengar segala-galanya. Dari awal perbualan hinggalah ke saat ini. Tentang Rara, giliran menjaga si kecil itu dan juga keperluan dapur untuk gadis yang diidam-idamkan selama ini kesemuanya ditaja oleh lelaki yang sedikit tinggi daripada dirinya itu.
"Apa yang awak dengar tak sama dengan apa yang sangkakan! Sudah, jangan nak tuduh yang bukan-bukan. Saya tak suka," getus Tiara bersama riak wajah tegang. Danny pula sekadar menjadi pemerhati.
"Apa lagi yang awak nak nafikan?! Kalau saya beritahu pada famili awak, saya yakin mereka akan kecewa dengan tindakan awak Tiara."
"Cukuplah, Pali. Jangan masuk campur urusan saya!"
"Saya tak sangka, demi kemewahan awak tergamak buat semua ni! Mana harga diri awak, Tiara?"
"Cukup, Pali! Jangan menuduh lagi! Awak tak berada di tempat saya... Awak tak tahu apa-apa!" Tiara geram kerana Pali sudah memulakan bunga-bunga pertelingkahan.
"Apa lagi yang saya tak tahu? Tolong jelaskan!"
"Tak ada apa yang perlu saya jelaskan! Lagipun, untuk apa saya beri penerangan pada awak? Untuk apa?" soal Tiara ingin tahu kewajaran di sebalik permintaan lelaki itu.
"Saya hanya jalankan amanah saya! Saya perlu jaga awak!"
"Tak perlu! Saya boleh jaga diri saya sendiri!"
"No! Awak ialah tanggungjawab dan amanah saya! Keluarga awak dah berjanji untuk satukan kita sebaik sahaja kita tamat belajar."
"Merepek! Saya tak pernah fikir hingga ke tahap tu, Pali. Please, jangan percaya pada kata-kata keluarga saya!"
"Saya lebih percaya kata-kata mereka daripada kata-kata awak! Awak dah pandai berbohong demi kemewahan. Awak sanggup berkomplot untuk sesuatu yang tak elok!"
"Apa yang tak eloknya? Cuba awak jelaskan?" Tiara sudah naik berang apabila dituduh hingga ke tahap itu. Pali benar-benar melampau.
"Siapa budak tu? Apa hubungan awak dengan lelaki ni? Kenapa dia bayar duit kepada awak? Dan kenapa awak sanggup berurusan dengan lelaki ni? Untuk apa semua ni? Untuk apa?" soal Pali, bertali arus.
"Hoi, Pali..."
Kesemuanya menoleh serentak. Reena sedang mendaki anak-anak tangga sudah termengah-mengah.Namun digagahkan juga kaki untuk terus mendaki.
"Kau nak apa? Jangan masuk campur!" sergah Pali buat Reena mengetap bibir.
"Aku rasa lebih baik kau balik sebelum kau malukan diri sendiri!"
"Apa maksud kau, hah?"
"Kau nak tahu siapa si kecil yang kami jaga tu?"
Pali terdiam. Menanti jawapan daripada mulut Reena.
"Baby tu anak kepada kawan bro kita ni! Mak budak tu koma, bapak budak tu pula belum balik dari berlayar. Mereka sebatang kara. So, bro kita ni minta tolong pada aku dan Tiara untuk jaga baby tu. Secara automatik, kami dibayar untuk khidmat sebagai baby-sitter. Ada faham?" terang Reena secara ringkas dan padat.
Namun, Pali sukar menerima penjelasan tersebut. Dia masih belum puas hati!
"Masalahnya, apa hal mamat ni beli barang dapur segala?"
"Suka hati dialah. Takkan nak buat amal kena minta izin daripada kau?" balas Reena buat Danny tersenyum dalam hati.
"Ah! Kau tak payah masuk campurlah, Reena. Ni urusan aku dengan Tiara. Kau diam!" herdik Pali buat Reena mengetap bibir. Jika dia bukan penduduk flat ini, sudah tentu dia tidak mahu ambil kesah.
Namun, sebagai salah seorang penghuni dan demi keharmonian suasana serta nama baik anak dara yang menghuni salah satu rumah di tingkat lima ini, dia tidak mahu tindakan Pali mengganggu ketenteraman awak dan memberi persepsi negatif. Tambah-tambah, reka bentuk bangunan ini pula boleh dikategorikan mesra jiran tetangga. Mudah untuk penghuni lain mengintip perbuatan atau perilaku mereka.
"Aku tahu, hal ni antara kau dan Tiara. Tapi agak-agaklah, bro. Kau dah ganggu ketenteraman awam! Kau nampak bayang-bayang kepala jiran yang terhendap-hendap dekat cermin tingkap tu?" soal Reena disambut dengan respons Pali. Lelaki itu terus memerhati. Ya, benar. Ada bayang di balik tingkap yang tertutup rapat.
"Dia orang pasang telinga. Tak lama lagi bergosiplah tu," ujar Reena sedikit kuat. Sengaja mahu pengintip tidak bertauliah itu mendengar apa yang mahu disampaikan.
"Kau balik! Aku tak nak tengok muka kau kat sini lagi!" arah Reena kepada Pali. Lelaki itu menghela nafas sedikit kasar sebelum memerhatikan Danny. Takkan dia seorang sahaja yang perlu beredar? Danny bagaimana pula?
Faham dengan pandangan itu, Reena turut memandang Danny yang sedang bersandar di dinding.
"Bro... Balik dululah! Kalau boleh jangan selalu lepak-lepak macam ni! Nanti timbul fitnah," tegur Reena bersahaja.
"Never mind, saya faham!"
"Thanks. Susah nak memahamkan orang." Sempat lagi Reena memerli Pali.
"Tolong jaga Rara. Oh, sebelum tu... Tolong WhatsApp nombor akaun bank awak. Saya nak transfer duit gaji."
"Wah, cepat gila! Okey, kejap lagi saya kasi."
"Okey, saya balik dulu! Tiara, abang balik dulu. Take care," ucap Danny seraya memberi isyarat tangan sebelum mengatur langkah menuruni anak-anak tangga. Pali pula masih termangu.
"Oi... Kau tak reti nak balik?" sergah Reena buat Pali tersentak.
"Nak blah la ni!"
"Good bye!" Belum pun sempat Pali mengorak langkah, Reena terus sahaja mendekati daun pintu dan memboloskan diri ke dalam rumah. Tiara pula masih di tepi pintu utama menjadi pemerhati.
"Jangan buat kecoh begini, Pali. Saya tak suka. Tolonglah hormatkan saya," pinta Tiara, perlahan.
"Saya nak jaga awak, Tiara. Saya tak mahu maruah awak dipermain-mainkan," beritahu Pali masih dengan tekadnya.
"Saya tahu jaga maruah saya. Tak perlu awak susahkan diri awak."
"Saya dah janji dan saya wajib berpegang pada janji. Saya balik dulu. Jumpa awak lagi."
Belum sempat Tiara membalas, Pali terus sahaja mengorak langkah pergi meninggalkan kawasan koridor di tingkat lima itu. Dia tidak mahu mendengar penolakan dari gadis yang begitu didambakan.
Melihat susuk tubuh itu berlalu ke arah tangga, serentak itu juga keluhan kecil terbias di bibir Tiara. Serabut minda dan fikirannya mengenangkan tindakan Pali yang terlalu berpegang pada amanah. Amanah atau kepentingan, itu yang selalu dicurigakan di sebalik kata-kata Pali yang selalu diulang sebut.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co