Truyen3h.Co

Pujaan Hati Kanda

Bab 13

karyaseni2u

"Dah dapat info?" Kasyah datang mendekat bersama satu muk kopi susu. Danny yang sedang tekun membalas mesej seseorang, memanggung wajah lalu menginjak ke kiri memberi ruang kepada rakan baiknya itu duduk.

"Belum!" sahutnya, pendek.

"Susah juga nak jejak skandal kau yang satu ni, ya? Misteri sungguh!" luah Kasyah persis bercakap seorang diri. Sesekali kopi susu yang berasap tipis itu ditiup perlahan.

"Buntu kepala otak aku ni! Jam rasanya!"

Tanpa menoleh, bibir Kasyah terus membalas.

"Yalah tu! Masa kau buat, kau tak kira jam ke apa ke... Dah jadi gini, baru kau tahu erti jam!"

"Diamlah! Nak ceramah aku pula."

"Haha... Terover pula aku ni!" Kasyah mengomel sikapnya sendiri. Mujur juga Danny tak ambil hati dengan kata-katanya. Kelak, susahlah hidup dia nanti.

"Aku nak ke hospital ni, kau nak ikut?" Danny menyoal pendek.

"Nak buat apa?" Berkerut-kerut dahi Kasyah. Yalah, untuk apa pula mereka ke hospital. Siapa pula yang sakit?

"Adalah!"

"Tengok tu... Nak berahsia dengan aku! Malaslah aku nak ikut kau."

Danny mengeluh. Kasyah memang begitu. Payah untuk diajak ke mana-mana jika dia tidak tahu asbab di sebalik perbuatannya itu. Payah memang payah! Mulalah tu nak main ugut-mengugut. Apa pun terjadi, Kasyah harus menemaninya ke sana.

"Kau wajib ikut! Aku ada urusan hidup dan mati. Ini berkenaan maruah dan harga diri!"

Kasyah menoleh sejenak. Mimik muka yang aneh itu sudah menjelma.

Melihat 'kelainan' itu, Danny terus menjongket kening.

"Apa hal kau pandang aku macam tu?"

"Ha..." Jari telunjuk digerak-gerakkan. Mula meneka yang bukan-bukan.

"Apa?" Terdongak-dongak Danny menyoal rakan baiknya itu.

"Jangan-jangan kau nak buat pemeriksaan kesuburan tak?" teka Kasyah bersama senyuman jahat. Wajah Danny direnung dengan pandangan penuh syak wasangka.

"Nak buat apa dengan benda alah tu, bro?"

"Yalah, bila kau buat pemeriksaan kesuburan, barulah kau tahu sama ada kau boleh mengandungkan seseorang ataupun tidak!"

"Oi, bingai! Kalau dah orang kata Rara tu anak aku, sah-sahlah aku ni subur!" sahut Danny, pura-pura marah. Kasyah pula sudah tergelak besar mendengar jawapan yang keluar dari mulut Danny.

"Habis, kalau bukan buat pemeriksaan kesuburan, untuk apa pula kau ke sana?" tanya Kasyah sesudah tawanya reda.

"Aku nak mandulkan kau!" balas Danny, geram.

"Weh... Jangan, weh! Nanti aku tak ada keturunan! Siapa nak doakan aku di alam kubur nanti?! Nak harapkan kau doa kan aku? Sembahyang pun tak cukup lima waktu, macam mana nak kirim doa pada aku?" gumam Kasyah masih sempat mengenakan rakannya itu.

"Yalah, imam muda! Kau sorang aje solat penuh lima waktu sehari semalam! Aku tak pernah penuh!"

Suara Danny seperti orang berjauh hati. Sensitif tiba-tiba. Masakan tidak, Kasyah masih ingat dia jahil macam dulu. Come on la, dia dah berubah! Dah dua tahun berubah! Dia orang aje yang tak tahu! Lagipun, dia memang tak pernah menunjuk-nunjuk.

"Alololo... Merajuk pula! Coollah, bro! Aku gurau aje." Kasyah tergelak lagi.

"Banyaklah gurau kau! So, kau nak ikut ke tidak?" Danny pandang wajah Kasyah.

"Boleh juga. Tapi kerja aku belum siap lagi. Bertimbun-timbun atas meja. Karang, kalau aku lambat siap, mulalah kau nak marah-marahkan aku," giat Kasyah tak habis-habis menyakat Danny.

"Tinggalkan aje. Balik dari hospital nanti, kau sambunglah semula kerja kau!"

"Okey, beres! Bos dah bagi green light, kan? Ni yang aku suka kerja dengan kau ni, bro! Boleh curi tulang!" Kasyah tersengih buat Danny mencebik.

"Whateverlah, Kasyah! Apa pun, kau kena ingat... Pukul dua belas kita mesti bertolak ke sana! Ada misi yang perlu kita bereskan!"

"Isy, misi apa pula ni? Seram pula aku dengar!"

"Misi menjejak ibu Raralah! Kau ingat misi apa?"

"Oh, misi tu! Baru aku faham." Seperti biasa Kasyah mengakhiri bicaranya dengan senyuman lebar. Tersengih macam kerang busuk!

Tepat jam satu petang, kedua-dua pemuda berkemeja itu sudah sampai ke pekarangan parkir Hospital Putrajaya.

"Weh, kita nak buat apa dekat sini?" Mulut becok Kasyah masih beroperasi seperti biasa. Danny menjeling sekilas, pantas bibirnya bersuara.

"Adalah! Kau ikut aje."

Kasyah mengangguk dan hanya mengekori Danny dari arah belakang. Dengan langkah yang sedikit laju, Danny menuju ke salah satu wad yang menempatkan pesakit wanita.

"Kau nak lawat siapa ni, bro?"

"Mama Rara! Kan aku dah beritahu tadi," beritahu Danny setelah diasak dengan pertanyaan demi pertanyaan rakannya itu.

"Siapa? Fatimah?!" Suara Kasyah bagaikan terjerit kecil. Separuh tidak percaya.

Danny menoleh bersama pandangan tajam.

"Weh, slowkan sikit suara kau tu! Hospital kut, mana boleh buat bising!"

"Aku terkejutlah, bro." Suara kendur Kasyah terlepas jua.

"Kau terkejut ke, tak terkejut ke, suara kau memang macam tu. Susah nak kontrol!"

Kasyah tersengih.

"Macam kau tak kenal aku. Hah, tiba-tiba aku rasa musykil."

"Apa lagi yang kau musykilkan ni, Kasyah?"

"Sebenarnya macam mana kau tahu mama Rara dekat sini?" soalnya dalam nada berbisik. Sesekali rambut yang jatuh ke dahi diselak ke belakang sambil menanti Danny menjawab soalannya.

"Aku yakin dia dekat hospital ni. Dalam rekod, Rara dilahirkan di hospital ni, bro!"

"Lepas tu?"

"Aku dah cek nama Fatimah binti Asmaan. Memang perempuan tu masih di sini."

"Kau cek macam mana, bro?"

"Aku guna nombor kad pengenalan dialah! Apa nak susah, kau masukkan aje nombor IC orang yang kau cari, semua data yang kau nak boleh dapat semudah ABC," balas Danny sambil memetik jarinya.

"Menarik! Tapi macam mana kau boleh access maklumat Fatimah ni, bro? Kau jangan main-main, karang polis tangkap kita, apa pun tak boleh!"

"Heh... Cubalah bertenang sikit! Gelabah betullah mamat ni!" dengus Danny, rimas.

"Aku cuma nak ingatkan kau aje!"

"Aku tahu... Tapi aku tak ada pilihan! Demi maruah dan reputasi aku, Kasyah. Aku terpaksa ambil risiko!" terang Danny dengan riak wajah gelisah.

"Kalau polis tahu nahas kau, bro! Siapa nak tolong kau? Aku tak mampu nak backup! Kabel aku tak kuat."

Danny ketap bibir seraya menggeleng perlahan. Tidak menyangka Kasyah yang terkenal dengan kenakalannya, menyimpan sisi pengecut yang tidak diketahui selama 11 tahun mereka bersahabat.

"Itulah kau... Kalau berkawan biar beribu. Bermusuh biar satu! Kalau kau bijak, tak adalah kau masuk penjara. Orang dungu aje yang kena tangkap sebab tak boleh handle perkara simple macam ni." Langkah diteruskan dan Kasyah mengekori dari arah belakang.

"Ceh... Berlagak lagi! Kalau terjadi apa-apa, aku tak nak jamin okey," komen Kasyah seraya mencebir bibir. Pastinya Danny menggunakan khidmat orang tertentu untuk mengakses data daripada nombor kad pengenalan wanita itu. Isy, ini sudah melanggar etika!

"Kita ke kaunter... Tanya nurse tu!" potong Danny, pendek.

Kasyah mengangguk dan terus mengorak langkah mengikut jejak Danny mendekati kaunter jururawat di bahagian lobi hospital.

"Nurse... Boleh tolong periksa pesakit bernama Fatimah? Masih dirawat atau sudah dibenarkan balik?" pinta Danny sewaktu tiba di kaunter pertanyaan.

"Maaf, ya... Sebelum saya carikan maklumat pesakit, boleh saya tahu encik ni siapa?"

"Kami kawan satu pejabat dengan dia," bohong Danny dalam senyuman manis.

"Oh, kalau begitu sekejap, ya? Saya periksa data."

"Okey!" Danny mengangguk memberi ruang untuk jururawat bertugas menjalankan tugasnya. Sementara menanti maklum balas jururawat berkaca mata itu, anak mata liar memerhatikan kawasan hospital yang kelihatan tenang dan tidak menyeramkan sepertimana hospital yang pernah dilawati sebelum-sebelum ini.

"Errr... Siapa nama encik?" Setelah menyedari dirinya diseru, Danny segera menoleh.

"Megat Danish. Panggil saya Danny," terang Danny disambut senyuman Kasyah di sebelahnya.

"Baiklah, Encik Danny... Untuk makluman encik, pesakit bernama Fatimah Binti Asmaan berada di wad KD 20."

"Boleh saya tahu wad tu berada di mana? Ni first time saya datang melawat Puan Fatimah," beritahu Danny penuh tertib. Kasyah yang berada di sisi kanannya sekadar mendiamkan diri. Jauh di sudut hati, terbit rasa kagum melihat lakonan berkesan ketuanya itu.

"Encik ke sebelah kanan sana, ada laluan lurus. Encik jalan terus dan di bahagian kiri laluan yang lurus tadi ada papan arah menunjukkan wad KD 20. Puan Fatimah Asmaan berada di katil bernombor 13. Tapi jangan lama-lama ya, encik. Waktu melawat hingga pukul dua petang! Lepas pukul dua petang, encik kena tinggalkan pesakit!" terang jururawat itu dengan wajah yang manis. Sejuk mata sesiapa yang memandang.

"Baiklah, nurse. Saya pergi sekarang! Terima kasih." Senyuman Danny sudah terlukis. Faham dengan polisi hospital tersebut, Danny cepat-cepat melangkah. Harapannya hanya satu, mungkin selepas melihat wajah Fatimah, mindanya dapat mengimbas semula memori yang telah lama padam daripada kotak ingatannya.

Badan Kasyah sudah bergegar menahan tawa. Jika diturutkan kata hati, hendak dihambur tawa sekuat-kuatnya. Namun, mengenangkan wajah kelat Danny, niat jahatnya itu hanya dipendam begitu saja.

"Seronok sangat, kan?" komen Danny saat melihat reaksi Kasyah yang sedang berusaha menahan tawa. Merah padam mukanya.

"Eh, mana ada!" Kasyah membalas sebelum kembali menekup mulut dan berusaha menahan gelak menggila.

"Macamlah aku tak nampak badan kau yang tengah vibrate tu!" tukas Danny tersinggung dengan gaya yang dipertontonkan oleh Kasyah. Macamlah dia tak nampak apa-apa.

"Aku dah tak tahan sangat ni, bro! Boleh tak aku nak gelak sekejap?" Kasyah minta kebenaran dengan wajah bersungguh.

"Huh, suka hati kaulah Kasyah, oi!" Setelah bosan melayan kerenah Kasyah yang sedari tadi bergegar-gegar menahan seksa tawa, maka dengan hati yang berat kebenaran itu terpaksa direlakan.

"Betul ni?" tanya Kasyah mahukan kepastian.

"Eh, suka hati kaulah!" balas Danny acuh tak acuh.

Dengan kebenaran tidak ikhlas itu, Kasyah terus menghambur tawa menggilanya. Siap menghentak kaki dan tergeleng-geleng kepala. Manakala sebelah tangannya pula sudah menekan perut dan sebelah tangannya yang lagi satu sedang mengesat air mata kerana terlalu banyak ketawa.

"Dah kenapa dengan kau ni, hah?" Dengan hati yang membengkak, Danny menghambur pertanyaan. Sakit hati melihat Kasyah bagaikan tersampuk jembalang gelak.

"Huh, menyesal betul aku kasi dia gelak!" getus hati saat melihat Kasyah masih dengan tawanya. Melampau!

"Aku... Aku rasa kelakar, bro!" Dengan tawa yang masih bersisa, Kasyah menjawab dalam payah.

"Apa pasal?" Belakang tubuh disandarkan ke bonet kereta sambil menanti Kasyah meneruskan kata-kata. Manakala tangan kanannya pula pantas menyeluk poket seluar lalu mengeluarkan telefon pintar. Skrin yang gelap disentuh lalu jari-jemari dilarikan di atas permukaan itu. Ikon Gallery dijelajahi dan imej Fatimah yang diambil seketika tadi, kembali ditatap.

"Apa pasal Fatimah jadi macam tu, bro? Dahsyat betul! Berbalut macam mumia," ulas Kasyah diakui oleh Danny. Dia juga tidak mengerti mengapa Fatimah yang ditemui, berbalut seperti mayat pada zaman pentadbiran Firaun.

"Dia sakit apa?"

Danny jongket bahu.

"Nurse tadi kata, dia kemalangan!"

"Kemalangan ke beranak?"

"Aku pun tak tahu!" sahut Danny kembali memandang skrin telefon. Bosan!

"Mungkin dia terlibat dengan kemalangan lalu terberanak!" duga Kasyah mengaitkan dua teori itu secara berturutan.

"Aku tak tahu nak komen apa. Tapi aku memang tak boleh nak cam muka dia!"

"Jangankan kau, aku sendiri pun tak boleh nak agak rupa sebenar dia! Hendak atau tidak, kau kena tunggu hingga dia sembuh dan terjaga daripada koma!"

"Isy, kalau dia sedar daripada koma, senanglah kerja aku! Aku serahkan semula Rara kat dia. Selesai masalah aku."

"Kau serabut sangat ni, kenapa? Ada apa-apa yang aku tak tahu ke?"

"Tiara... Lepas habis exam dia nak balik kampung! Tu yang buat aku runsing!"

"Habis tu, apa kaitannya?"

"Siapa nak jaga Rara? Kalau Fatimah ni sedar... Aku serahkan aje Rara pada dia. Habis cerita!"

"La... Sebab tu ke yang buat kau serabut sangat ni, bro?"

"Yalah, Kasyah! Nak harap pada siapa lagi? Aku hanya ada Tiara. Kalau Tiara tak ada, siapa nak jaga Rara? Tak mungkin famili Tiara benarkan anak dara mereka jaga anak orang!"

"Kau dah tanya pada famili dia?"

Danny menggeleng.

"Cubalah dulu. Mana tahu dia orang boleh pertimbangkan?" pujuk Kasyah, ringkas.

"Tiara sendiri pun tak yakin dengan famili dia. Inikan aku, orang luar yang dia orang langsung tak kenal!" balas Danny tentang tahap keyakinannya yang satu itu.

"Berat juga masalah kau ni." Nada Kasyah mula berubah serius.

"Tahu pun! Otak aku ni makin tepu dengan macam-macam masalah. Masalah pejabat, masalah Rara, masalah Si Fatimah ni. Lama-lama botak kepala aku ni, beb!" luah Danny disambut gelengan kecil Kasyah.

"Kalau kau botak, kau tetap handsome, bro!" sakat Kasyah dibalas dengan jelingan tajam Danny. Kasyah memang selalu begitu, kerap bergurau saat dia tengah serabut.

"Relakslah, Danny... Chill! Kita balik dulu, esok kita fikirkan cara lain." Tidak lama selepas itu, Kasyah memberi cadangan bernas. Danny mengangguk perlahan. Untuk hari ini misinya gagal lagi. Tidak mengapalah, esok dan lusa masih ada ruang untuk dia memperbaiki keadaan yang menyesakkan ini. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co