Bab 9
"Ni, anak siapa? Anak you, kan?" Danny menyoal salah seorang teman wanitanya yang ditinggalkan setahun yang lepas. Gambar Rara Dhiyani diletakkan di atas meja dan wanita yang pernah bekerja sebagai pramugari itu direnung tajam.
"Apa yang you merepek ni, Danny? Bila pula I beranak? Nonsense!" Si perempuan sudah ketawa besar. Pada mulanya dia ingin menghambur amarah, namun melihat raut wajah Danny yang keresahan, terus sahaja amarahnya berlalu. Datang pula rasa lucu yang tak bertepi.
"Tak payah berpura-puralah, Ain. Budak ni anak you, kan?" tuduh Danny dengan wajah serius.
Berang dituduh berulang kali, wanita yang disapa Ain itu segera memandang raut Danny dengan wajah menyinga.
"Kalau you panggil I hanya untuk menyakitkan hati... Lebih baik you blah! Jangan rosakkan mood I dengan tuduhan melulu you tu! You fikir, I hilang akal ke nak beranakkan anak luar nikah?! Sebelum I susah payah beranak, sakit sana, sakit sini... Lebih baik I gugurkan kandungan I. Tak perlu nak susahkan diri bawa perut dan tahan sakit beranak!" hambur Ain mendengus geram dengan tuduhan tiba-tiba Danny.
Sangkanya, lelaki ini mahu menyambung ikatan cinta yang terputus. Tetapi firasatnya meleset, bahkan dirinya pula dituduh yang bukan-bukan. Ah, memang wajar pun mereka berpisah!
"Jadi, budak dalam gambar ni bukanlah anak you?"
"Of courselah! Kalau I beranak, mesti bapak I bunuh I!" bentak Ain masih geramkan Danny. Teman skandalnya suatu ketika dahulu.
"Fine! Kalau I tahu budak tu anak you... Nahas you, Ain."
"Buatlah apa yang you nak buat, Danny. Yang I tahu, itu bukan anak I. Full stop!" tegas Ain mematikan bicara Danny. Daripada riak wajah itu, dia dapat menyimpulkan bahawasanya Ain bukanlah orang yang dicari-cari. Tambahan pula Ain tidak lagi seseksi dulu bahkan kini semakin manis dengan selendang nipis di kepalanya. Oleh itu, dia harus menjejak beberapa lagi wanita yang berpotensi untuk dikaitkan dengan permasalah ini. Tapi siapa? Kyra? Raisa? Adra? Atau siapa? Ah, buntu!
"You ajak I jumpa untuk apa? Untuk tanya soalan bodoh ni? You memang buang masa I la, Danny!" dengus Ain merasa kecewa dengan tindakan lelaki itu.
Dahulu, bukan main manisnya mulut Danny. Sekarang, yang manis telah hilang lalu diganti dengan rasa pahit. Bahasa lelaki ini bukan sahaja kasar bahkan tindak-tanduknya juga sudah berubah seratus peratus. Garang tak tentu hala tetapi nur di raut itu semakin terserlah. Sudah insaf agaknya!
"Memang itu tujuan I. Yalah, you kan memang sakit hati dengan I."
Ain menghambur tawa yang dibuat-buat.
"Apa pasal you gelak-gelak ni?"
"I rasa lucu! Memanglah I sakit hati pada you. Tapi, belum tergamak lagi untuk I balas dendam dengan cara membodohkan diri sendiri. Oh, ya... Apa kata you tanya pada skandal-skandal you yang bersepah-sepah tu. Mana tahu, itu anak you dengan salah seorang daripada mereka? At least you mencuba dan mana tahu you dapat jawapannya? Ya, tak?" cadang Ain sempat lagi memerli.
"Tak payahlah you nak mengajar I."
"I takkan ajar you. You dah cukup bijak. Lelaki mata keranjang pujaan jiwa raga gadis Malaya, siapa yang berani mengajar. Siapa yang berani menegur dan siapa pula yang berani menyekat. I pun tak berani, gerun kena ngap!" Sekali lagi Ain menghambur tawa sinisnya.
"Tak perlu you nak ungkit masa silam I, Ain."
Ain tergelak lagi.
"Okey you tak suka. So, I takkan ungkit. Now, I nak tanya, budak ni anak you, ya?" soal bibir itu kedengaran berhati-hati dilontar.
Danny senyap. Oh tidak, eh pun tidak. Keras seperti batu!
"Akhirnya you dah dapat balasan setimpal, Danny. Dulu, bukan main lagi you junjung ego dan permainkan perasaan perempuan. Sekarang, rasakan balasan Tuhan dan rasalah bagaimana sakitnya hati apabila dipermainkan. Harap you sempat bertaubat."
"Hei, Ain! Tak payah nak berceramah bagai. Hidup I, tahulah macam mana I nak uruskan."
"Fine. Okey, let me know. Ini anak you dengan skandal you yang mana satu?" Ain membelek-belek gambar Rara yang sedang tersenyum. Sejurus itu, wajah serabut Danny dikerling. Menanti jawapan.
"Entahlah... Kalau I tahu, tak payahlah I susah-susah ke hulu ke hilir cari mak budak ni."
"Kesian!"
"Tak perlulah nak kesiankan I. Ni, you tahu tak, budak ni anak siapa?"
"You yang buat projek, you yang usung perempuan sana sini, I pula yang you soal?" cemuh Ain dalam sindiran tajam. Pedas! Ah, manalah dia tahu dengan siapa Danny berkawan dan berskandal.
"I tanya, kalau you tahu, just answering my question. Kalau tak tahu, baik you diam. Tak perlu tambah sakit dalam hati I ni," tutur Danny memperingatkan wanita yang pernah dipuja suatu ketika dahulu.
Ain, tubuhnya menawan dan cukup sempurna.Namun, apabila dia bertemu dengan wanita yang lebih seksi dan menggoda, cepat benar hatinya berubah arah. Maklumlah, seleranya cukup besar. Dan rasa keterujaannya mudah datang dan pergi tanpa sebab yang munasabah. Tetapi itu dahulu, ketika dia masih lagi hanyut.
Kini, segalanya sudah ditinggalkan dan apabila dia keluar dari ruang lingkup yang menyesatkan itu, barulah matanya terbuka luas.
Banyak benar kerosakan yang telah dilakukan! Terutama sekali ke atas maruah-maruah perempuan yang didampingi. Memang benar, mereka memberi dan jarang sekali dia menerimanya. Namun, dia hanya insan biasa yang nyata lemah dengan bisikan hawa nafsu. Dalam seribu godaan yang diterima, pasti ada satu atau dua hasutan yang gagal ditepis.
"Whateverlah, Megat Danish. I malas nak layan you. Kerja I banyak." Ain bangkit dari duduknya. Beg tangan di atas meja kopi digapai lalu disangkut ke bahu. Dia yang sudah berpusing untuk memulakan langkah, segera menghentikan tingkah dan kembali memandang bekas kekasihnya itu. Lelaki yang diakui kacak, punya persona dan maskulin. Pendek cerita, lelaki gred A+. Kualiti terbaik!
"Kesian pada you... I tak boleh tolong! Apa pun, good luck dan semoga menjadi ayah yang baik. Jaga anak you dan beri didikan agama supaya dia tak lalai dan hanyut seperti apa yang you pernah lakukan dulu," pesan Ain disambut dengan reaksi menjengkelkan. Namun, sudah dinamakan nasihat, Danny akui dia harus menerimanya dengan lapang dada.
"Okeylah, I nak balik. See you later." Ain lambai tangan kepada Danny lalu langkah yang terhenti terus sahaja disambung. Sekurang-kurangnya, hati yang pernah sakit ketika ditinggalkan oleh lelaki ini sedikit terubat apabila melihat Danny sudah berubah. Bukan lagi kasanova dan bukan juga kaki perempuan.
Danny yang melihat kepergian Ain, terus sahaja menghela nafas. Pencariannya harus diteruskan! Ibu kepada si kecil itu harus dijejak dengan kadar segera. Dia harus menyerahkan Rara sekali gus berdepan dengan wanita yang sengaja memporak-perandakan majlis pernikahannya tempoh hari.
"Macam mana? Dah jumpa perempuan tu?" tanya Kasyah sewaktu menghantar fail laporan kepada Danny. Wajah ketuanya itu direnung dengan penuh simpati. Rasa kasihannya tumpah namun dia tidak dapat berbuat apa-apa.
"Dah, tapi bukan dia!"
"Kalau bukan dia, siapa pula?"
"Entah!" Danny jongket bahu. Dia tidak punya jawapan untuk pertanyaan Kasyah.
Kasyah tersenyum sebelum menarik kerusi lalu melabuhkan punggungnya.
"Kau tetap nak cari mak Rara tu ke?"
Danny mengangguk.
"Mestilah. Sampai bila aku nak suruh Tiara jaga si Rara tu? Kalau Rara wujud, mesti mak dia pun wujud! Aku nak jumpa perempuan tu, dan aku nak tanya pada dia!"
"Kau nak tanya apa ni, bro?"
"Aku nak tanya, apa hal dia buat kacau dalam majlis aku? Apa yang dia tak puas hati sangat dengan aku ni?"
Kasyah senyap mendengar luahan Danny.
"Sekarang Nadine bencikan aku. Bukan setakat benci, aku dapat malu dan umpat keji orang. Keluarga aku, keluarga Nadine bahkan satu ofis ni tahu pasal majlis aku yang tak jadi tu. Malu, bro!" tukas Danny panjang lebar.
"Apa yang boleh aku cakap, kau kena sabar."
"Macam mana aku nak sabar dengan semua ni, Kasyah? Semua usaha aku sia-sia," rungut Danny lagi.
"Apa kata kau buat ujian DNA? Mana tahu kau boleh pastikan sama ada Rara tu betul-betul anak kau, atau pun tidak?" usul Kasyah buat dahi Danny berkerut.
"Isy, tak mahulah aku! Kalau keadaan betul-betul mendesak, baru aku buat ujian DNA tu. Buat masa ni, biarlah aku cari mak budak tu dulu! Aku nak tahu cerita sebenar dari mulut dia sendiri dan kalau apa yang dia ceritakan tu ialah perkara yang tak masuk akal. Pada masa itulah aku akan buat ujian DNA."
"Hai, entahlah... Kadang-kadang aku pun tak faham dengan cara kau berfikir. Apa pun yang berlaku, kau kena sentiasa sabar dan tabah. Aku yakin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku pada kau Danny."
"Aku harap macam itulah! Apa yang aku tahu, aku betul-betul sayangkan Nadine dan aku nak selesaikan masalah ni secepat mungkin supaya aku boleh bersama dengan dia lagi."
"Dengan Nadine? Really?" Wajah menjengkelkan Kasyah sudah terpamer.
"Apa pasal kau tayang muka cencorot tu, hah? Danny pura-pura marah. Bukan dia tak tahu, sahabatnya itu tidak berapa menyenangi Nadine. Katanya Nadine stok gadis perasan bagus. Ah, dia peduli apa! Dia yang bercinta dan dia juga yang mahu berkahwin dengan gadis itu.
Jadi, dia memang betul-betul tak kesah tentang pandangan orang lain terhadap gadis idamannya itu.
"Malaslah nak sebut pasal Nadine lagi. Sekarang aku dah lapar, macam biasa... Sila belanja aku makan," gumam Akasyah menukar topik. Bahkan sempat lagi menyakat rakan baiknya itu.
"Kau tak payah ulang pun, aku dah faham sangat fiil kau tu. Aku kan badan kebajikan untuk orang macam kau," balas Danny, selamba.
Kasyah yang mendengar, terus sahaja menghambur tawa besar. Seronok berkawan dengan anak orang kaya seperti Danny yang memang pemurah orangnya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co