Truyen3h.Co

Saya Kan Ada

Bab 15

karyaseni2u

PAGI-PAGI lagi pintu bilik sudah diketuk. Kak Fiza yang tolong buka.

"Nak jumpa Mai."

Aku dengar suara Hairiz. Alamak, aku lupa nak kumpul pakaian kotor! Bukan main lagi Hairiz ingatkan aku malam tadi. Lepas solat subuh berbual dengan rakan sebilik langsung tak ingat.

"Kejap!" Kelam-kabut aku kumpul baju kotor dan sumbat dalam plastik. Capai tuala selepas itu dan tutup kepala.

"Maaf, lupa..." kataku sebaik sahaja pintu bilik aku tarik dan pandang wajah Hairiz. Masih begitu. Tunjuk muka masam dia. Tapi serius, tetap segak.

"Senyumlah sikit..." Aku usik dia.

"Beri dua sebab kenapa saya perlu senyum?" soal Hairiz, menyambut plastik yang aku hulurkan kepadanya.

"Pertama, awak segak kalau senyum. Kedua, awak seksi kalau senyum."

"Banyaklah seksi awak..." Hairiz senyum senget sambil atur langkah.

"Serius seksi!" Aku usik lagi. Hairiz buat isyarat tak dengar. Aku balas dengan ketawa perlahan. Suka tengok dia kembali senyum.

"Dah okey ke tu?" soal Kak Fiza sebaik sahaja aku tutup pintu. Rajin pula Kak Fiza bertanya. Ada apa-apa ke? Ini yang buat aku tak sedap hati.

"Dia tu sekejap aje, kak. Mana boleh merajuk lama-lama."

"Mai tak pujuk ke?" soalnya lagi.

"Saya memang tak pandai pujuk. Selalunya dia kalau merajuk, baik sendiri. Saya tak payah pujuk."

"Senangnya." Kak Husna pula menyampuk.

"Siapa suruh merajuk?" Aku ketawa. Bawa tuala ke bilik mandi. Giliran aku pula guna bilik air.

Selesai semua bersiap, kami turun ke lobi. Uzair sudah membuat pesanan untuk makanan kami. Aku ingatkan sarapan, rupanya makanan untuk tengah hari.

Hairiz sudah sedia menunggu. Duduk di salah sebuah kerusi paling hujung. Di atas mejanya sudah menanti dua kotak hidangan.

"Makan dulu..." kata Hairiz ketika aku menghampirinya.

Aku duduk bersebelahan dengan Hairiz. Buka penutup makanan. Di dalamnya sudah tersedia hidangan yang nampak menyelerakan.

Aku tak nak ungkit pasal semalam. Tak akan sebut sama sekali. Seperti selalunya, kalau Hairiz merajuk atau buat perangai memang aku takkan tanya apa-apa. Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

"Sedap tak?" soalku kepada Hairiz. Dia sudah pun mula mengunyah.

"Boleh tahan."

Lauk ada lima jenis. Ada ikan bilis paling halus digoreng bersama kacang tanah yang agak besar. Di Malaysia belum pernah lagi aku terjumpa orang menjual nasi lemak menggunakan kacang tanah jenis ini. Ada tauge kasar yang ditumis. Ada potongan ikan yang aku nampak seperti digoreng dengan menggunakan minyak yang sedikit.

"Awak, ni apa?" soalku kepada Hairiz tentang lauk keempat. Tak ubah seperti tembakau.

"Tu daging goreng..." jawab Hairiz.

"Sedap," katanya lagi. Tak tahulah antara mahu percaya atau tidak pada kata-kata Hairiz itu. Bagi Hairiz semuanya sedap.

Dan lauk terakhir adalah kimchi. Malam tadi pun kimchi dihidangkan juga. Agaknya kimchi merupakan hidangan wajib.

"Makanlah cepat. Karang kena tinggal pula." Hairiz tolak bahuku dengan bahunya. Terus aku baca doa makan. Perhatikan juga ahli rombongan lain yang sedang menikmati makanan.

Aku mula menjamu selera menggunakan chopstick. Memang agak sukar namun ini satu pengalaman yang agak menyeronokkan. Hidangan juga kena dengan seleraku cuma nasi yang masih lagi susah untuk diterima. Demi mengalas perut, aku telan juga.

Hairiz dulu-dulu sudah selesai makan. Dia tunggu aku. Rakan-rakan lain juga ramai yang sudah selesai.

Alhamdulillah, perut pun sudah penuh. Masa untuk menjelajah bumi Winter Sonata yang sering menjadi tumpuan rakyat Malaysia terutama golongan muda untuk melancong.

Sekarang sudah pun pukul 10.00 pagi waktu Korea Selatan dan 9.00 pagi waktu Malaysia. Rasanya rumah mak ndak sedang riuh-rendah dengan saudara-mara yang mula berkumpul sejak semalam. Pasti saja ada yang tertanya-tanya kenapa aku dan Hairiz tidak datang.

"Hari ni kita akan melawat beberapa tempat yang menarik. Pertama kita akan melawat Gyeongbokgung Palace." Uzair selaku ketua rombongan dan orang yang bertanggungjawab menguruskan percutian kami mula mengeluarkan arahan.

Hairiz masih dengan telefon bimbitnya. Mungkin sedang mengikuti perkembangan terkini majlis pertunangan Anne melalui aplikasi WhatsApp. Malam tadi sempat juga aku melihat persiapan terakhir yang Anne lakukan. Beberapa keping gambar pelamin untuk majlis bertunang berserta gambar-gambar hantaran dimuatkan sama. Nampak meriah dan gah. Yalah, mak ndak mana mahu kalah dengan orang lain.

"Awak, jom..." Aku tolak badan Hairiz yang masih leka sedangkan ahli rombongan lain sudah mula bergerak. Kami akan menggunakan subway sebagai pengangkutan utama ke tempat yang dituju.

Hairiz bergerak namun dia masih lagi dengan telefon bimbitnya.

"Dahlah tu..." Aku ingatkan Hairiz.

"Kejap, tengah ada Internet ni..."

Di sini penggunaan Internet tiada masalah kerana kebanyakan kawasan dibekalkan dengan Internet secara percuma.

"Semua tanya kenapa kita tak ada." Hairiz letak telefon bimbit dalam poket seluar dan terus bergerak. Hanya kami berdua yang tertinggal di belakang.

"Awak nak beritahu ke kita bercuti?" soalku. Risau juga. Hairiz ni memang suka cari pasal.

"Mestilah."

"Janganlah. Nanti kecoh."

"Biarlah kecoh. Peduli apa saya. Saya pergi tak guna duit mereka satu sen pun. Jadi, tak perlu kut nak bising-bising."

Senangnya dia bercakap. Seperti tidak faham perangai kaum keluarga lain.

"Masalahnya nanti, saya yang kena. Bukan awak." Cuak juga. Mahu tak bising nanti. Setakat bising masih boleh tahan lagi, buatnya kena sumpah seranah. Hairiz memanglah tak kena tempelak. Aku sajalah yang bakal jadi bahan caci maki. Sah-sah aku bakal dituduh mempergunakan Hairiz dan mahu menumpang senang Hairiz.

"Pasal tu awak jangan bimbang. Tahulah saya nak buat macam mana."

"Berlagaknya..."

"Yalah, sampai bila saya nak rahsiakan perkara ni dari semua orang. Awak dengan saya bukannya kekasih gelap pun." Hairiz senyum-senyum. Serupa tak bersalah lamgsung.

"Habis tu?"

"Kekasih awal dan akhir." Hairiz ketawa pula.

"Banyaklah kekasih awal dan akhir."

"Serius okey, kekasih awal dan akhir. Tinggal lagi nak jadi kekasih halal sahaja."

"Hurm, layan awak merepek, mahu tertinggal nanti." Aku lajukan langkah mengejar ahli kumpulan lain yang jauh mendahului kami.

Destinasi pertama kami ialah, Gyeongbokgung Palace. Di sinilah penggambaran untuk beberapa drama Korea yang pernah aku tonton. Kawasannya agak luas. Beberapa buah bangunan lama yang merupakan istana lama terdapat di sini.

Menurut Uzair, semua bangunan bukanlah bangunan asal, kebanyakannya dibina semula selepas berlakunya peperangan antara Korea Selatan dengan Jepun. Istana ini juga menjadi lambang yang Korea Selatan juga pernah memiliki raja. Namun sistem beraja mereka hanya tinggal sejarah bila pergolakan politik melanda.

Dari riak muka Hairiz, aku tahu dia bosan. Hairiz memang tidak berminat dengan sejarah agaknya. Hairiz lebih menggemari alam semula jadi walaupun dia tidak begitu berminat dengan aktiviti lasak. Di sini kami dibiarkan bebas. Uzair memperuntukkan masa selama 2 jam untuk kami berlegar-legar di kawasan istana.

"Awak, selfie satu..." Hairiz ambil gambar kami bersama berlatarkan istana utama.

"Jangan gatal nak hantar kat WhatsApp." Sekali lagi aku ingatkan Hairiz.

"Ada saya kesah?" Hairiz senyum-senyum. Melihatkan cara dia tersenyum, aku tahu ada sesuatu yang sedang Hairiz cuba lakukan.

"Saya akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang saya buat. Awak jangan bimbanglah."

"Ngeee... Asyik jangan bimbang, jangan bimbang." Aku buat gaya nak cekik Hairiz. Memang selamba saja dia. Langsung tak takut apa-apa.

"Yalah, awak tu yang kalut sangat. Awak, dalam hidup kita ni, kita kena berani dengan apa yang kita buat. Lagipun salah ke saya bawa awak bercuti? Tak salah, kan?"

Sebenarnya aku sendiri tak tahu bagaimana lagi caranya hendak jelaskan kepada Hairiz agar dia lebih memahami. Keadaan tidak seperti yang dia fikirkan.

"Saya faham situasi awak. Dari dulu lagi saya faham. Awak tu yang lembut sangat. Cuba keraskan hati sikit. Tak salah kalau nak melawan sesekali. Ini asyik jadi pak turut selalu, manalah kepala tu orang tak pijak."

Sambil melangkah, aku perhatikan wajah Hairiz.

"Awak nak takut apa? Saya kan ada."

"Betul juga, saya nak takut apa. Awak kan ada..." Aku perli. Cakap memang senang. Yang tanggung aku, bukannya dia. Tapi kalau difikirkan memang betul kata Hairiz. Aku terlalu berlembut. Tu pasal kepala kena pijak selalu. Tak boleh ke aku bertegas sikit? Selama mana aku mahu hidup begitu sedangkan selama ini aku bukan bergantung kepada mereka.

"Tahu pun, yang nak susah hati sangat tu kenapa?"

Aku hirup udara segar. Rasa sangat selesa. Selepas ini apa pun yang bakal terjadi kelak, aku akan hadapi.

Selepas melawat istana, kami melawat sekitar kota Seoul. Bangunan tinggi. Sebuah kota yang sangat bersih. Memang menarik untuk dikunjungi.

Dalam jadual lawatan, selepas ini kami bakal ke tempat menjual cenderahati. Aku sempat melihat WhatsApp. Ada lebih kurang 55 mesej yang aku tak lihat. Rupanya Hairiz sudah letak gambar-gambar kami sebentar tadi.

Ramai sepupu-sepupuku yang lain terkejut. Namun, Hanis, Fuzah, Firash langsung tidak komen apa-apa. Bila aku melihat info, ketiga-tiga nama mereka tersenarai dalam ahli grup yang melihat gambar-gambar kami tadi.

Ketika ini sedang berlangsung pertunangan Anne. Ada gambar-gambar dikirimkan oleh sepupu lain.

"Cantiklah gambar Anne." Aku puji ketika kami berada di pusat membeli-belah Doota. Salah sebuah kedai yang terdapat di situ ada menjual cenderahati dengan harga yang agak berpatutan. Pekerjanya juga fasih berbahasa Melayu.

"Tapi kenapa saya rasa awak lebih cantik?" Hairiz pandang aku bersilih dengan pandang skrin telefon bimbitnya.

"Awak tu memang. Suka sangat buat saya perasan." Aku jeling Hairiz sekali.

"Serius ni. Awak lebih cantik berbanding sepupu lain."

Suka hati awaklah Hairiz.

"Kenal tak dengan tunang Anne?" Aku perhatikan gambar Anne bersama tunangnya. Nampak seperti sudah berusia.

"Manalah saya kenal. Tapi nampak gaya macam suami orang saja." Hairiz kerut dahinya.

"Hesy, awak ni. Tak baik buruk sangka." Tapi memang betul pun. Aku nampak memang macam suami orang. Nampak berusia, tapi berusianya berbeza dengan lelaki bujang.

"Biar dialah. Dia nak kahwin dengan suami orang ke, dengan duda orang ke, biar dialah. Bukan masalah kita. Kita tengokkan saja. Orang jemput kahwin nanti, kita pergi. Kalau tidak, kita buat bodoh saja."

Betul juga kata Hairiz. Tak kesahlah Anne nak kahwin dengan siapa. Bukan masalah kami pun.

"Awak nak beli apa sebenarnya ni?" soal Hairiz selepas itu.

"Saya tak ramai kawan. Ingat nak belikan Ekin sudu Korea saja. Awaklah gatal upload gambar kat WhatsApp. Dah masing-masing suruh beli cenderahati." Geram betul tengok Hairiz. Selepas dia letak gambar kami di grup WhatsApp, masing-masing pesan suruh beli cenderahati.

"Ah! Tak senang nak beli," balas Hairiz.

"Yang letak gambar kat WhatsApp siapa suruh. Saja cari penyakit."

"Bukan cari penyakit, tapi sengaja nak tunjuk yang kita sedang bercuti."

"Menunjuklah tu..."

Hairiz sekadar tersenyum selepas itu. Memang sah dia mahu menunjuk. Bukan aku tak tahu.

Nasiblah dapat sepupu macam ni. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co