Bab 14
TIBA di penginapan kami yang merupakan hotel empat tingkat, kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Rombongan kali ini disertai seramai 22 orang. Ada pasangan suami isteri dan selebihnya bujang. Aku berkongsi bilik dengan tiga orang gadis lain.
Di dalam bilik, kami saling berkenalan. Dua daripadanya adalah kawan baik, seorang lagi kenalan salah seorang dari mereka. Dan hanya aku sahaja orang lain. Namun penerimaan mereka sangat baik. Kesemua mereka tua daripada aku, jadi aku hanya memanggil mereka sebagai Kak Rodi, Kak Husna dan Kak Fiza.
"Yang tadi tu siapa? Boyfriend ke?" soal Kak Rodi. Orang agak gempal. Berkulit sawo matang. Tadi dia beritahu aku dia kerja sebagai jururawat.
Sebenarnya serba salah untuk menjawab status kami. Ada yang aku gundahkan. Masa di lapangan terbang Incheon tadi, aku ada melihat mereka berbual-bual dengan Hairiz. Bimbang juga kalau ada yang tersangkut dengan Hairiz. Ah! Tak pasal-pasal nak cemburu pula.
"Haah," balasku sepatah. Biarlah mereka tahu hubungan antara aku dan Hairiz adalah kekasih. Jadi, jangan ada yang nak cuba-cuba pikat Hairiz.
"Segak orangnya." Kak Husna yang lebih kurus menyampuk. Inilah sebab kenapa aku serba salah untuk beritahu status hubungan aku dengan Hairiz. Sebab Hairiz tu termasuk dalam kategori segak. Tiba-tiba saja aku runsing tak tentu pasal.
"Dah lama bercinta?" Kak Rodi kembali menyoal. Aku rasakan Kak Rodi dan Kak Husna lebih ramah berbanding Kak Fiza. Dari tadi aku lihat Kak Fiza buat hal dia sahaja. Dia bertubuh kecil molek seperti aku.
"Baru lagi." Aku menjawab. Buka tudung dan selepas itu aku duduk di atas katil. Perut mula terasa lapar. Sedang semua makanan kering di dalam bagasi Hairiz. Aduhai...
Masing-masing sibuk dengan hal sendiri selepas itu dan saling bergilir menggunakan bilik air. Mengikut jadual, selepas maghrib kami akan menjelajah bandar Itaewon. Menurut Uzair tadi, dia memilih Itaewon sebagai tempat penginapan kerana bandar ini banyak pilihan makanan halal dan ramai penduduk dari negara asing yang beragama Islam. Jadi, kami tiada masalah untuk mencari makanan halal.
Kami berkumpul semula di lobi dalam pukul 8.00 malam waktu Korea. Dan kira-kira pukul 7.00 malam waktu Malaysia. Hairiz sudah sedia menunggu. Untuk menunggu rakan lain, aku duduk bersebelahan Hairiz.
"Laparlah..." bisikku perlahan.
"La, biskut semua ada dalam bilik saya." Hairiz pandang aku.
"Tak apalah, kita pun nak pergi makan." Memang rasa lapar tapi boleh bertahan.
Sebaik sahaja semua ahli sudah berkumpul, kami mula bergerak. Kali ni kami hanya berjalan kaki sahaja menikmati suasana malam di Bandar Itaewon.
"Awak, sejuklah," bisikku kepada Hairiz. Mujur aku pakai baju sejuk.
"Memanglah. Sekarang ni di sini dah peralihan musim. Tu malam mereka sejuk sikit."
Aku angguk. Memang tak tahan sejuk.
"Awak, member satu bilik saya tu tanya tadi. Mereka tanya awak boyfriend saya ke?" Aku pandang rakan sebilik yang agak jauh mendahului kami.
"Habis, awak jawab apa?"
"Saya mengaku ajelah. Takkan nak cakap awak sepupu. Kalau orang lain tanya, awak jawablah macam tu juga."
"Memang pun. Saya beritahu Uzair awak teman wanita saya."
Amboi, dia dulu-dulu lagi dah kata macam tu rupanya. Tapi pelik juga, kenapa Hairiz beritahu begitu, kenapa tak mengaku sepupu saja?
Aku dan Hairiz sama-sama melangkah. Sebelum makan, kami melawat satu-satunya masjid yang terdapat di sini. Serius, aku rasa termengah untuk sampai ke tempat tersebut sebab terpaksa berjalan kaki melalui jalan yang berbukit.
Selesai melawat masjid, kami sudah bersedia untuk menikmati makan malam kami. Uzair memilih Makan Restaurant. Rupanya dia sudah membuat tempahan terlebih dahulu.
Suasana restoran sangat bersih tetapi sangat kecil. Cukup-cukup untuk rombongan kami sahaja.
Aku dan Hairiz pilih meja yang hanya untuk kami berdua.
"Setakat ni macam mana? Okey?" soal Hairiz.
Aku angguk dan sekilas melihat tiga rakan sebilikku.
"Awak, nak cakap ni." Aku berbisik.
"Ya, apa dia?" Hairiz juga berbisik.
"Rakan sebilik saya tu syok kat awak kut. Tadi ada yang puji cakap awak segak."
"Kenapa? Awak cemburu ke? Dah memang saya segak, nak diapakan lagi." Hairiz jeling manja. Kemudian dia senyum senget. Sekilas dia melihat ke arah rakan-rakan sebilikku.
"Perasannya, ini yang saya malas nak cerita apa-apa kat awak."
"Perasan apa pula. Memang kenyataannya saya segak. Tapi tak cantiklah mereka tu. Awak lagi cantik. Seratus kali ganda."
"Puji ke kutuk?" soalku.
"Saya mencarut!" balas Hairiz.
"Ngeee..." Aku tolak bahu Hairiz.
"Teruk betul, puji dengan kutuk pun tak boleh nak beza." Hairiz menjeling manja. Kemudian dia pandang semula ke arah teman-teman sebilikku. Hati mula tak sedap. Aku tengok Kak Fiza tu boleh tahan juga cantiknya. Manalah tahu Hairiz berkenan. Orang kata bermula di mata barulah berpindah ke hati. Bila sudah berpindah di hati tu memang tak boleh buat apa. Berputih mata sajalah.
Dah kenapa pula ni? Tiba-tiba saja rasa susah hati.
"Yalah, seratus kali ganda tu. Manalah saya nak percaya. Agak-agaklah kalau nak puji pun." Aku sambung bercakap bersama hati yang tak sedap.
"Dah memang betul. Awak tu memang cantik. Cuma tak sedar." Hairiz kembali pandang wajahku.
"Yalah, yalah..." Aku mengalah. Alihkan pandangan kepada pelayan yang aku kira berbangsa Indonesia kerana sangat fasih berbahasa Melayu. Kalut dia menghidangkan makanan untuk kami.
Sambil tersenyum Hairiz keluarkan bekas Tupperware. Aku dah agak. Memang dia bawa ke mana saja.
"Tak habis-habis dengan sambal bilis dia. Cuba tinggal sikit tekak Melayu tu." Aku menyindir.
"Mana boleh. Saya cabar awak. Cubalah rasa masakan mereka. Kalau awak merungut, siap awak."
Aku senyum. Tak berani menyahut cabaran Hairiz. Selalunya apa yang dia sebut memang betul.
Seketika aku hanya pandang makanan yang dihidang. Nampak seperti menyelerakan. Hairiz langsung baca doa makan dan aku aminkan. Disebabkan perut memang terlalu lapar, aku terus letak kuah yang nampak seperti tomyam atas nasi. Sumbat ke mulut lalu kunyah. Dua tiga kali kunyah rasa semacam.
"Awak, nasi tak sedap." Aku buat muka tak selera. Hairiz sambut dengan senyuman senget.
"Tadi siapa yang suruh tinggalkan selera Melayu?" sindir Hairiz selepas itu.
"Serius, nasi tak sedap. Macam pulut. Lauk pun macam tak boleh nak telan ni." Mati terus selera makanku. Kali pertama menikmati makanan asing, aku rasa memang susah hendak aku telan.
"Makan aje. Awak tak ada pilihan. Takkan disebabkan tak kena dengan tekak, awak sanggup biarkan perut awak menderita. Kesian perut awak nanti. Lagipun awak kena ada tenaga untuk percutian ni."
"Hairiz, saya betul-betul ni. Saya tak boleh nak makan."
"Okey, makan dengan sambal bilis." Hairiz tolak bekas Tupperware yang berisi sambal bilis. Dengan sambal bilis, barulah aku boleh telan sedikit.
"Bagi saya masih okey lagi makanan ni."
"Tu yang saya pelik. Yang saya tahu awak tu boleh tahan juga cerewetnya."
"Macamlah tahu selera saya."
"Hairiz, saya kenal awak bukan sehari dua. Dah lama. Saya yang selalu masak untuk awak. Saya tahulah selera awak." Aku pandang muka Hairiz.
"Kalau macam tu, senanglah awak nak jaga selera makan saya nanti." Hairiz senyum-senyum.
"Apa pasal pula nanti? Sekarang pun saya dah jaga."
"Hah! Tahu pun..."
Hairiz sambung tersenyum. Nampak dia seperti bahagia benar. Kalau dia bahagia, aku juga tumpang bahagia. Aku harap Hairiz akan bahagia selalu.
Selesai makan, kami dibawa bersiar-siar menikmati Bandar Itaewon. Menikmati malam mereka. Angin malam bertiup membawa dingin. Tapi sangat menyegarkan.
Aku paut lengan Hairiz ketika kami berjalan di lorong yang membariskan kedai-kedai kebanyakannya yang menjual alat solek dan barang-barang keperluan kecantikan.
"Padanlah orang Korea ni cantik-cantik. Mereka memang banyak kedai kosmetik rupanya," kataku sebaik sahaja kami berdiri di hadapan kedai ketiga yang menjual barang kecantikan.
"Sebenarnya mereka banyak melakukan pembedahan plastik. Awak jangan nak percaya sangat dengan kecantikan mereka. Kebanyakannya tipu saja tu," terang Hairiz.
Aku pun tahu pasal tu. Korea Selatan antara negara yang banyak melakukan pembedahan plastik yang bertujuan untuk kecantikan.
"Sebab itulah ramai di antara mereka yang sanggup bunuh diri semata-mata untuk kelihatan cantik. Mereka gagal melihat kecantikan yang memang sudah ada di dalam diri. "
Aku memang tak pernah mementingkan kecantikan. Baik aku dan Ekin, kami jenis tak kesah semua tu. Paling-paling pun pakai pencuci muka. Tak ada masa nak pakai alat solek dan kalau pakai pun rasanya lebih menghodohkan wajah.
"Awak, jomlah balik. Rasa macam tak ada apa-apa pun..." Hairiz ajak. Tadi Uzair sendiri sudah balik ke hotel dan dia membiarkan kami bebas membuat aktiviti sendiri.
Aku juga berpendapat yang sama. Tiada apa yang menarik walau pun suasana riuh-rendah dengan pengunjung yang mahu menikmati suasana malam. Mungkin suasana begini tidak begitu sesuai buat kami.
Dalam perjalanan pulang, Hairiz ajak aku singgah di mini market yang terletak di tepi jalan laluan kami ke hotel.
"Awak nak beli apa?" soalku. Yalah, dia nak beli apa pula kalau dia sendiri tahu bahan makanan di sini sangat meragukan status halalnya.
Hairiz tidak menjawab soalanku sebaliknya dia ke tempat kawasan makanan sejuk. Dia ambil sekotak minuman.
"Inilah susu pisang yang sangat terkenal tu. Dijamin halal," beritahu Hairiz.
Tak tahu pula ada susu pisang. Bentuk botolnya seperti botol minuman Vitagen tetapi sedikit besar dan berwarna kuning pisang.
"Tak boleh beli satu aje ke? Kena beli satu pek?"
"Awak, saya jamin awak mesti suka susu pisang ni. Satu pek ni tak cukup. Sah nanti awak suruh saya beli lagi."
"Awak pernah minum ke?"
"Sebab pernahlah saya cakap."
"Eh, setahu saya awak tak pernah sampai Korea sebelum ni."
"Kawan saya belikan untuk saya. Memang sedap."
"Sedap pada awak, tak semestinya saya pun kena cakap sedap juga. Selera kan tak sama. Awak suka, mana tau saya tak suka."
"Kalau awak tak suka saya tak kesah. Saya boleh habiskan."
Padanlah dia berani beli satu pek. Sanggup habiskan rupanya.
Kami berjalan menuju hotel bersama-sama. Ahli rombongan lain tak nampak walau seorang pun. Mungkin dengan acara masing-masing.
Hairiz suruh aku tunggu di lobi terlebih dahulu sementara dia mengambil makanan kering. Aku keluarkan satu pek susu pisang. Nak cuba. Mana tahu sedap. Hurm, boleh tahan. Memang sedap.
Waktu Hairiz tiba semula di lobi, hampir separuh susu pisang sudah masuk ke dalam perut.
"La, dah nak habis sebotol? Itulah, tadi jual mahal sangat." Hairiz perli aku. Aku balas dengan senyuman.
"Lain kali cuba dulu. Jangan nak banyak bunyi..." Hairiz duduk bersebelahan denganku dan letak bungkusan yang mengandungi makanan kering atas meja. Ada mi segera dan kebanyakannya adalah biskut.
"Awak, nak makan Maggi..." Aku pegang perut. Perut terasa masih lapar. Tadi aku makan nak tak nak saja. Mungkin kali pertama, tekak tak berapa nak terima.
"Kejap..." Hairiz ambil mi segera. Untuk memudahkan, aku beli mi segera jenis cawan. Tuang air panas saja. Hairiz bawa mi segera ke tempat air panas. Baiknya dia. Untuk aku dia sanggup buat apa saja.
"Kenapa?" soal Hairiz dan letak mi segera di hadapanku.
"Sayang awak..." ucapku. Memang aku sayang dia. Hanya dia sahaja yang aku ada. Dalam susah dan senang Hairiz sentiasa ada bersama.
"Tak dengarlah..." Hairiz senyum.
"Saya sayang awak..."
"Ya? Sayang macam mana tu?" Senyuman Hairiz makin lebar.
"Sayang sebagai seorang sepupu."
Serta-merta senyuman Hairiz berubah. Lebihan susu pisang dia ambil dan teguk.
"Kenapa tak boleh sayang lain? Kenapa harus sayang sebagai sepupu sahaja?" soal Hairiz selepas itu. Dia tak pandang aku dan hanya pandang botol susu pisang.
Aku tak balas sebab tak sempat nak fikir apa-apa. Untuk tidak terikat dengan soalan Hairiz, aku tiup mi segera. Aromanya sudah membangkitkan selera.
"Kenapa mesti sayang sebagai sepupu sahaja?" soal Hairiz lagi. Seakan terdesak untuk mendapatkan jawapan.
"Sebab awak sepupu sayalah. Kalau sepupu orang lain buat apa nak sayang." Aku tiup mi segera kemudian sumbat ke mulut. Buat-buat tak layan soalan Hairiz. Entah kenapa selalu saja Hairiz bersikap serius setiap kali berbicara tentang sayang.
"Mai seriuslah, kenapa tak boleh sayang saya selain sebagai seorang sepupu?"
"Saya tak nak kehilangan awak, Hairiz. Selagi saya sayang awak sebagai sepupu, saya rasa hubungan kita akan selamat. Jadi, tolong jangan simpan sebarang perasaan terhadap saya selain perasaan sebagai seorang sepupu. Saya terlalu sayangkan awak. Hanya awak yang saya ada, saya tak tak mahu kehilangan awak hanya semata-mata menaruh harapan yang bukan-bukan." Aku sumbat lagi mi segera.
Tiba-tiba Hairiz bangun. Dia pergi membawa wajah masam bersama. Aku tiup mi segera dan perhatikan langkah Hairiz.
Awak takkan faham, Hairiz. Awak takkan faham apa-apa.
"Wah, makan mi segera tak mengajak," sapa Kak Rodi. Dia muncul di ruang lobi bersama Kak Husna dan Kak Fiza.
"Laparlah kak..." balasku.
"Tadi masa kita orang nak turun, selisih dengan boyfriend Mai, masam aje. Bergaduh ke?" soal Kak Fiza. Dia juga buka penutup mi segera yang dia bawa bersama. Aku perasankan Kak Fiza ni memang terlebih memberi perhatian terhadap Hairiz.
"Biasalah dia kak. Kuat merajuk. Tak boleh salah sikit, mulalah muncung." Aku cuba habiskan mi segera.
"Susahlah macam tu..." Kak Rodi turut beri pendapat. Masing-masing dengan cawan mi segera.
"Eh, kenapa pakat makan mi segera pula ni?" soalku.
Kak Rodi dan Kak Fiza ketawa serentak, jadi faham-fahamlah. Tak boleh nak cakap lebih-lebih sebab tempat orang. Itulah orang cakap hujan emas negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Baiklah hujan batu.
Aku tunggu sehingga semua selesai makan mi segera sambil berbual sebelum kami berempat naik semula ke bilik yang terletak di tingkat 3.
Masa hendak ke bilik, aku selisih dengan Hairiz yang hendak turun. Tak tahu pula kut dia ada rancangan dengan ahli rombongan lelaki. Aku hentikan langkah dan pandang dia tanpa tanya apa-apa.
"Esok kumpul baju kotor. Dobi sekali," kata Hairiz.
Aku angguk. Dobi baju tu sekadar alasan untuk bercakap saja. Aku kenal sepupu aku. Dia mana boleh marah aku lama-lama. Sah tak tidur malam.
"Selamat malam..." Dia cakap perlahan.
"Selamat malam..." balasku. Aku hadiahkan dia dengan senyuman, walaupun aku yakin Hairiz tak akan balas senyumanku.
Tak apa, esok pagi mesti dia pulih seperti sediakala.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co