Truyen3h.Co

Saya Kan Ada

Bab 6

karyaseni2u

SEHARI, masih tak mengapa. Hari kedua memang tidur tak lena. Masuk hari ketiga, semua serba tak kena. Apa dah jadi dengan aku ni? Dua malam dah tak berapa nak tidur. Makan pun memang tak ada selera. Penyakit apa yang sudah melanda aku?

"Aduhai, termenung sana, termenung sini..."

Kelam-kabut aku sambung buat kerja menjahit. Tak sangka Ekin perhatikan aku rupanya. Memang teruk nanti kena sakat dengan Ekin. Mencari pasal betullah aku ni. Dah tahu mulut Ekin macam tu, buat lagi perangai yang bukan-bukan. Kan dah kena tangkap.

"Cik kak, takkan disebabkan encik sepupu tu boleh jadi angau. Kata tak ada apa-apa. Ini aku tengok dah serupa apa saja pun. Bak orang kata, mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang." Ekin menyindir. Menyesalnya beritahu Ekin Hairiz ke Pulau Pinang. Sah-sah dia tuduh aku rindukan Hairiz.

"Hesy, mana ada. Aku penat aje pun. Kerja melambak. Tengok ni..." Aku tunjuk timbunan kain yang sudah digunting. Menunggu masa untuk dijahit.

"Sepatutnya kau kena ambil dua tiga orang pekerja." Sudah lama aku bising suruh Ekin tambah pekerja memandangkan tempahan semakin meningkat.

"Alasan." Ekin senyum-senyum.

"Betullah. Kerja yang kau bagi ni memang melambak. Ada saja tempahan masuk." Tetap guna alasan tu walaupun aku tahu Ekin takkan percaya sama sekali.

"Jangan nak bagi alasan kerja melambak. Sebelum ni kerja kita lagi banyak dari ni, tapi tak ada pun merungut apa-apa. Cakap ajelah kau rindukan dia."

"Mana ada..."

"Kalau kau tanya kat orang gila, mereka pun cakap kau tu tengah rindu."

Rindukan dia? Aku rindukan Hairiz? Apa hal pula nak rindukan dia.

"Tak ada maknanya." Tetap juga menjawab.

"Aku tengok kau orang ni dah jadi macam pasangan yang bercinta. Pagi telefon. Tengah hari telefon. Malam lagi. WhatsApp aku tak ada peluang nak tengok. Entah-entah penuh. Sepupu apa namanya kalau macam tu. Senang cerita, baik kau nikah ajelah dengan dia. Terjawab semua persoalan." Ekin sambung membebel. Aku anggap membebellah kalau begitu. Tak pun busybody. Sibuk betul ambil tahu hal aku. Bukan faedah pun buat dia.

Aku diam. Tak perlu nak jawab lebih-lebih. Nanti lagi panjang cerita. Tapi telefon bimbit aku pula berbunyi. Aduhai. Ini mesti sah-sah Hairiz.

"Baru sekejap tadi aku cakap. Tengok, dah berbunyi. Hurm... Sepupulah sangat!" Ekin beredar untuk melayan pelanggan yang datang. Gamaknya tak nak dengar apa-apa. Sejak dulu lagi Ekin memang syak yang bukan-bukan. Sebab itulah mulut dia suka sangat cakap Hairiz ada hati pada aku. Sebab aku sangat rapat dengan Hairiz gamaknya.

"Assalamualaikum..." Dulu-dulu dia bagi salam. Aku dengar suara Hairiz begitu bersemangat. Tidak seperti semalam. Dah kenapa dia ni? Betul-betul jumpa anak dara Penang ke sampai suara pun lain macam?

"Waalaikumussalam." Aku jawab dengan suara yang agak bersemangat juga. Tak tahu kenapa, mendengar suaranya seperti memberikan satu kuasa. Aneh sungguh.

"Dah makan?" soalnya.

"Belum. Tapi Ekin ada beli nasi bungkus. Awak dah makan ke?" soalku pula. Memang sudah sampai masa makan tengah hari. Semalam Hairiz ada merungut bila kawan-kawan selalu ajak makan restoran mamak. Kesian dia. Aku memang faham benar selera Hairiz. Restoran mamak memang pilihan terakhir. Itu pun kalau dia teringin sangat nak makan roti canai. Aku pun sama. Selera kami berdua memang sama dalam bab makanan.

"Belum."

"Mamak lagi ke?" soalku.

"Nampaknya..."

"Tak apa, nanti awak balik saya masakkan untuk awak. Awak cakap aje nak makan apa."

"Betul ke?" soal Hairiz seolah tak biasa rasa masakan aku. Selama ini, akulah yang jadi mangsa kalau dia nak makan apa-apa. Jarang dia balik rumah mak lang. Hairiz cakap mak lang jarang masak. Selalu makan lauk beli saja. Memang aku sudah tahu. Mak lang susah nak masak. Kasihan Hairiz. Anak mana yang tak sukakan masakan ibu sendiri. Dalam hal ini aku rasa Hairiz memang kurang bernasib baik sebab mendapat seorang ibu yang malas memasak.

"Ingat saya tipu? Untuk awak, saya sanggup masak apa saja. Tak pandai pun saya akan cuba-cuba jadi pandai."

"Kalau macam tu, kejap lagi saya baliklah. Dah tak sabar nak makan masakan awak."

"Mengadalah..."

"Serius. Saya nak balik ni."

Pandainya dia buat lawak.

"Mai..." Ekin panggil aku. Aku toleh pandang Ekin dan muncung mulut Ekin tunjuk arah pintu. Masa itulah aku nampak Hairiz lambai tangan. Terkejut gila bila nampak dia. Hairiz ni memang. Saja nak mainkan aku.

Aku tutup telefon bimbit dan gigit hujung bibir. Geramnya.

"Assalamualaikum." Hairiz beri salam sambil senyum-senyum. Suka sangatlah dapat kenakan aku.

"Waalaikumussalam." Mata masih tak lepas pandang dia. Serupa tidak percaya saja lelaki yang membuatkan perasaanku tidak berapa tenteram dua tiga hari ini sedang berdiri di hadapan mata.

"Kau orang boleh keluar sekarang. Aku tak tahan tengok kau orang dalam butik aku ni. Sorang macam..." Terus aku tekup mulut Ekin. Tak nak Ekin cerita apa-apa. Nanti Hairiz akan tanya macam-macam. Dan lebih teruk kalau Hairiz syak yang bukan-bukan. Soal perasaan bukan perkara yang boleh buat main. Orang akan mudah memberi tafsiran yang berbeza.

"Aku keluar makan kejap." Aku lepaskan mulut Ekin.

"Habis, nasi yang aku beli siapa nak makan?"

"Kau makan ajelah..." Aku tolak badan Hairiz selepas itu. Suruh dia keluar cepat. Tak mahu dia mendengar Ekin merepek yang bukan-bukan.

"Yalah..." balas Ekin lemah.

Aku dan Hairiz terus keluar dari butik dan menuju ke kereta Hairiz yang letak tidak jauh dari butik.

"Ekin nak cakap apa tu?" soal Hairiz.

"Dia tu biasalah. Kuat sangat merepek."

"Tak apa kalau awak takut nak beritahu. Nanti saya tanya Ekin sendiri." Hairiz ugut pula. Macamlah penting sangat apa yang Ekin nak beritahu.

"Tanyalah, tak ada apa-apa pun. Nak takut apa pula. Yang awak ni tiba-tiba saja muncul kenapa? Kata seminggu kat Pulau Pinang."

"Rindu..." balas Hairiz sepatah. Sambil tarik pintu kereta dia tersenyum cantik.

"Rindulah sangat." Sebaik sahaja masuk ke dalam kereta, terus aku pandang Hairiz. Memang benar-benar mahu menatap wajahnya. Tak sampai tiga hari kut tak pandang muka dia tapi perasaan menggila semacam. Ah! Apa pula yang tak kena ni.

"Seriuslah rindu. Kalau tak rindu, tak pasallah nak balik. Mahu sebulan saya tinggal di Penang. Kan anak dara sana manis-manis belaka." Hairiz senyum senget.

"Eh, tinggallah lebih lama lagi. Manalah tahu boleh tersangkut dengan anak mami ke." Aku jeling tajam. Gelora saja perasaan.

"Tak payahlah kut. Asyik makan kari pula nanti."

"Mula-mula tak biasa. Lama-lama nanti biasalah."

"Tak naklah saya. Tak sanggup saya."

Hairiz pandu kereta. Rasanya seperti tahu saja restoran mana yang dia nak bawa. Mesti Restoran Mek yang terletak di Taman Dato Harun. Di situ memang banyak pilihan makanan kampung. Sedap-sedap belaka.

"Kerja dah siap ke?" Aku masih tidak berpuas hati selagi tidak mendengar jawapan Hairiz kenapa dia pulang awal.

"Saya tolong tengok saja. Yang lain semua mereka uruskan. Ingatkan seminggu, rupanya tak adalah teruk sangat. Jadi, bolehlah balik awal."

Aku angguk. Aku tak ambil tahu sangat tentang kerja Hairiz. Jarang tanya pasal kerja dia, jadi aku memang tak tahu apa-apa. Apa yang aku tahu, gaji Hairiz memang agak lumayan. Memang goyang kakilah siapa yang berjaya jadi isteri Hairiz.

"Hah, tadi janji nak masakkan untuk saya. Bila nak masaknya?"

"Bila-bila pun boleh."

"Saya gurau aje. Saja nak tengok sudi tak awak masak untuk saya."

"Eh, merajuk pula dia. Nanti saya masaklah untuk awak. Bukan susah pun."

"Yalah, bila-bila awak senang nanti. Selama saya tak ada ni, ada tak sesiapa yang kacau awak? Hanis ke, Fuzah ke, atau mak saudara lain?"

"Tak ada pun. Kenapa awak tanya macam tu?" Apakah Hairiz tergesa-gesa pulang disebabkan dia takut aku diserang oleh kaum keluarga lain? Dia fikir dengan ketiadaannya orang lain boleh membuli aku sesuka hati? Itukah yang sangat dia bimbangkan? Bukanlah kata betul-betul rindukan aku? Dia rasa dia dah jadi seperti abang aku ke?

"Manalah tahu ada yang serang awak. Tapi memang saya tak beritahu sesiapa pun saya pergi Pulau Pinang. Memang saya rahsiakan."

Kata-kata Hairiz memang menunjukkan dia hanya mahu melindungi aku. Tak lebih dari itu. Mujur aku cepat sedar dan tidak menaruh sebarang harapan.

"Insya-Allah, tak ada apa-apa," ujarku perlahan.

"Saya harap begitulah."

Jauh di sudut hatiku, aku rasa kecewa. Tak tahu kenapa.

"Saya ada belikan awak jeruk. Ingatkan saya nanti nak bagi awak. Karang terlupa pula."

"Terima kasih sebab ingat juga awak pada saya." Hati semakin tawar.

"Gila tak ingat, siang malam kut saya ingat awak."

"Nak goreng pun agak-agaklah. Takkan siang malam nak ingat saya."

"Sumpah, siang malam ingat awak. Kalau tidak, takkanlah cari awak terus sebaik saja sampai. Tu maknanya tak tahan nak jumpa awak."

Mestilah dia ingatkan aku siang dan malam sebab dia bimbangkan aku. Bukan sebab lain. Sabar hati, keadaan berkehendakkan yang lain. Bukan seperti yang kita inginkan.

Pelik juga dengan sikap Hairiz. Dia langsung tak menunjukkan rasa kasih sayangnya terhadap mak lang. Atau Hairiz menyimpan rasa kurang senang terhadap mak lang. Yalah selama ni mak lang hanya beri perhatian terhadap Kak Yati sahaja.

"Seronoknya bila ada orang ingat saya siang dan malam." Aku buat-buat suka hati untuk menutup rasa susah hati.

"Saya aje yang ingat orang, orang tu entah ingat saya ke tidak."

"Ingat juga siang malam."

"Apa dia? Tak dengarlah." Hairiz tanya sedikit kuat.

"Saya tanya, kita nak makan kat mana?" Aku tukar ayat.

"Kat mulut, sayang. Kat mana lagi?"

Aku senyap. Dalam hati bertanya sendiri, beginikah cara perbualan antara dua orang sepupu? Kalau bukan, kami ni mahu dimasukkan kategori mana?

Tiba-tiba aku resah sendiri. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co