Bab 7
TENGAH HARI Khamis, Fuzah datang ke butik bersama mak ngah. Aku sambut kehadiran mereka dengan perasaan berdebar-debar namun aku sudah bersedia dengan segala kemungkinan. Sekarang aku rasa aku semakin berani. Memang betul kata Hairiz dan Ekin, tak guna menagih kasih pada orang yang tak sudi. Buang masa dan buat sakit hati sahaja.
Selepas aku dan Hairiz tinggalkan majlis hari tu, keadaan memang senyap sunyi. Tiada siapa yang telefon aku. Tak ada seorang mak saudara pun yang kacau aku. Tak tahulah kenapa. Tak pasti sama ada Hairiz ada keluarkan amaran atau tidak. Tapi serius, mak long pun langsung tak telefon aku. Seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Sepatutnya aku sudah dimarahi oleh mereka. Bukan setakat dimarahi bahkan sudah dihambur dengan segala macam kata-kata keji. Sesungguhnya aku memang sudah lali dengan semua itu.
Hari ini selepas hampir tiga minggu majlis berlangsung, Fuzah dan mak ngah munculkan diri. Anehnya, mak ngah tak pula menyerang. Kedatangannya kali ini nampak seperti baik-baik saja namun wajah sombong dan angkuh tetap ada. Itu memang tidak boleh dipisahkan daripada mak ngah. Aku faham benar tentang perangai mak ngah. Sama seperti emak-emak saudara yang lain. Memang sombong dan angkuh dengan aku.
"Betul ke, kau dengan Firash dah putus?" Dulu-dulu Fuzah bertanya. Itukah tujuannya mereka jumpa aku? Dan sebab itukah mak ngah nampak okey? Suka agaknya aku tak ada apa-apa hubungan dengan anak tunggalnya.
Tolonglah, aku sedikit pun tiada perasaan terhadap Firash. Sebesar hati kuman pun tak ada langsung perasaan suka terhadap Firash melainkan sebagai seorang sepupu. Balik-balik, aku yang kena tuduh bukan-bukan.
"Sebenarnya aku dengan Firash memang tak ada apa-apa hubungan pun, kau orang saja yang salah sangka pada aku selama ini," balasku selamba. Nak saja cakap Firash yang melebih, tapi takut pula bakal mengubah situasi perasaan mak ngah. Biarlah aku tak cakap apa-apa demi menjaga hati mak ngah. Biar aku merendah diri beralah pada keadaan, agar semua nampak baik-baik. Memang aku nekad hendak membela diri sendiri, tapi kalau boleh elak dari mengeruhkan keadaan dan memburukkan lagi hubungan antara aku dengan mak ngah, aku rela mengalah. Mungkin dengan bertindak demikian aku bakal rugi, tetapi tidak pula menguntungkan mak ngah.
"Bagus, itu yang aku nak dengar. Memang elok pun kau buat perangai hari tu. Kalau tidak, Firash tak nampak kau tu jenis perempuan yang bagaimana. Dasar perempuan tak kenal diuntung. Tak mengenang budi. Perempuan tak tahu malu. Huh! Ada hati nak anak aku. Kau cermin dulu muka kau tu macam mana." Mak ngah yang bertubuh agak gempal dan sedikit rendah mengipas mukanya dengan majalah yang dia ambil dari atas meja sofa. Alat pendingin hawa tak mampu menyejukkan badannya mungkin.
"Memang tak sangka perangai kau sangat teruk. Sanggup ajak Hairiz lari. Eh, lain kali kalau kau nak tinggalkan majlis macam tu kau lari sendirilah. Yang kau ajak Hairiz sekali kenapa? Kau tahu tak, sebab perangai bodoh kau tu, mak lang dah dapat malu. Kau ni memang bodoh betullah!" Fuzah tolak kepalaku.
Ini memang melampau. Sudah main tolak kepala. Aku berusaha bertahan. Belum masanya untuk membalas. Lagipun ini butik, ada pelanggan lain sedang berurusan. Aku tidak mahu mendapat gambaran buruk pula. Yang kena tempiasnya pasti saja Ekin. Sabar Maisarah. Kau diam bukan bermakna kau kalah. Geram memang geram. Lebih-lebih lagi bila teringat gambar Fuzah dalam keadaan yang tidak senonoh. Ikutkan hati memang pecah rahsia Fuzah tengah hari ni juga.
"Tapi Fuzah kena berterima kasih juga dengan perempuan ni. Kalau dia tak buat perangai malam tu, sah-sah Firash masih lagi dengan dia. Fuzah juga yang putih mata nanti." Mak ngah serupa menghasut saja. Mungkin mahu Fuzah maki hamun aku. Dan cara mak ngah bercakap pun seperti aku ini tiada pertalian darah dengannya. Seolah-olah, aku ini orang luar yang mahu memikat anak tunggalnya. Nampak sangat rasa kebencian terhadap diriku sudah tertanam dalam diri mak ngah dan emak saudara lain. Alasannya, arwah ibu aku meninggal ketika melahirkan aku dan arwah ibu diceraikan sebaik sahaja ibu mengandungkan aku selepas beberapa tahun berkahwin. Alasan untuk orang yang tidak percaya qadak dan qadar. Cakap bukan main lagi. Semuanya bagus belaka. Dan sehingga hari ini, gelaran pembawa sial itu kekal sebagai bahan cacian buat diriku.
Tapi seronok juga aku tengok mereka ni. Memang elok pun kalau Fuzah jadi menantu mak ngah. Bahagia mak ngah dunia akhirat. Yalah, Fuzah kan cantik, baik, rajin, berpelajaran tinggi. Rasa nak gelak pun ada. Terbayang-bayang gambar lelaki yang memeluk Fuzah.
"Eh, tak ingin Fuzah nak cakap terima kasih. Mak ngah, kalau dah bangkai, lama-lama orang tercium juga baunya. Tak payah nak selindung-selindung. Lambat laun, Firash tahu juga perangai buruk perempuan ni." Dengan angkuhnya Fuzah berkata-kata. Sungguh tak sedar diri perempuan seorang ini.
Ya, lambat-laun nanti, kami akan tahu juga siapa bangkai yang sebenarnya. Kita tunggu sajalah. Aku malas nak cakap, kalau betul jadi dengan Firash, Firash tu entah lelaki keberapa yang tidur dengan Fuzah. Macamlah aku tak tahu.
"Ya, betul juga bangkai gajah mana boleh tutup dengan daun pisang, kan? Lambat-laun orang tahu juga. Bak kata oranglah, sepandai-pandai tupai melompat, pandai lagi monyet bergayut. Eh, apa pula aku merepek ni." Aku menyindir Fuzah kemudian aku senyum sinis.
"Eh, perempuan, kau cakap apa hah? Kami sekarang ni sedang bercakap pasal kau. Kau faham bahasa ke tidak?" soal Fuzah kasar. Dia fikir aku tak faham bahasa, tak sedar aku sekarang sedang menyindir dia.
"Aku cakap, bangkai gajah yang sebenarnya memang tak boleh ditutup. Tak faham ke?" Aku buat gaya gedik seperti yang selalu dia buat depan aku.
"Kau menyindir siapa sebenarnya, hah?" Fuzah nampak marah.
Uiks, terasa ke? Tapi takkan Fuzah nak terasa kalau dia sendiri tak faham bahasa. Mesti ingat rahsia dia masih selamat. Silap banyaklah dia kali ini.
"Terasa ke? Kau juga yang cakap tadi, bangkai tak perlu nak selindung-selindung. Nanti orang tahu juga. Kau tahu kan bangkai?" Semakin sinis aku menyindir. Habuan dia tolak kepala aku tadi.
"Kau cakap apa? Bangkai tu kaulah. Dasar tak faham bahasa!" Fuzah nampaknya semakin tidak keruan rasa.
"Tak, kawan aku baru ni ada berbulan madu ke Krabi. Berbulan madu, Krabi. Romantis gila, langsung tak ingat dunia." Aku terus perli sebab tidak mahu memperbesarkan soal bangkai. Ada bangkai lebih besar yang sedang tersorok. Kalau Fuzah nak hidup, pandai-pandailah dia tutup bangkai tu.
Wajah Fuzah memang betul-betul berubah. Dia nampak sedang berusaha untuk mengawal perasaan. Orang kata, kalau tak makan cili, takkan rasa pedas. Itu mesti terasa, kalau tidak takkan muka jadi begitu. Bermakna memang sahlah gambar yang kami tengok tu adalah dia.
Maaflah Fuzah, aku pun bukan nak sakitkan hati kau, tapi kau dah melampau sangat. Jadi, kau dapatlah dengan aku. Sekarang aku mahu belajar jadi jahat pula. Sudah penat jadi baik sampai kepala kena pijak selalu. Bila aku jadi jahat, aku akan jahat betul-betul. Bukan jahat separuh-separuh.
"Yang sibuk pasal orang berbulan madu tu kenapa? Kalau kau tak mampu nak pergi sana, tak payah nak sebut-sebut!" Mak ngah bangun dan dia berjalan melihat baju-baju yang terpamer. Inilah peluang untuk aku kenakan Fuzah. Kesian mak ngah sebab tak faham apa-apa.
"Saya memang tak mampu, mak ngah. Tapi adalah sorang tu, memang terlebih mampu. Berbulan madu di Krabi. Bahagia betul kan kalau dapat berbulan madu di sana. Berpegang tangan dan memadu asmara tanpa ada yang kacau." Aku ketawa mengejek. Entah, tiba-tiba saja mendapat keberanian untuk jadi jahat. Kalau sebelum ni memang aku tak berani nak berlawan cakap. Mungkin sebab aku ada bahan bukti.
"Tiba-tiba sebut Krabi ni apa hal?" Fuzah bukan lagi nampak cuak, tapi aku rasa lebih dari tu.
"Takkan aku nak sebut Krabi pun tak boleh. Habis nak sebut apa? Labi-labi?"
Betullah, bila kita ada sesuatu, kita rasa seperti ada kuasa. Bila kita rasa kuasa itu mampu menguasai orang lain, aura jahat menumpang sama. Tapi dalam hal ini jangan salahkan aku seorang. Aku sudah cuba untuk bertolak ansur sebelum ini, tapi melampau pula aku diperlakukan, jadi tolak ansur sudah tidak lagi sesuai. Aku akan dedahkan semuanya sebentar nanti. Tengoklah.
"Dahlah Fuzah, perempuan tak tahu malu memang macam tu. Dia mana faham apa-apa. Lain yang kita cakap, lain pula yang dia faham."
Memanglah mak ngah tak faham, sebab yang aku cakap ni memang tak ada kena-mengena dengan mak ngah. Kalau mak ngah faham, aku rasa mak ngah dah terduduk. Yalah, anak buah kesayangan mak ngah tu, bersih lagi suci.
"Oh, ya ke saya tak faham apa-apa?" Aku senyum lagi dan tentulah aku menyindir Fuzah. Fuzah yang tadinya bukan main tunjuk taring terus kunci mulut.
"Jomlah kita balik Fuzah, lagi lama kita di sini, lagi mendidih darah mak ngah." Mak ngah dulu-dulu bangun dan melangkah.
"Apa maksud kau, Mai?" Fuzah tanya aku dengan kasar.
"Kau nak aku WhatsApp gambar kau masa kat Krabi ke grup WhatsApp family atau nak aku hantar kat kau saja?" Kau yang paksa aku, Fuzah. Sekarang kau dapat apa yang kau nak.
"Aku tak faham."
Aku ambil telefon bimbit dan tunjukkan gambar Fuzah dengan lelaki berkenaan. Muka Fuzah memang merah.
"Mana kau dapat gambar ni?" soal Fuzah. Bibirnya terketar.
"Hairiz yang bagi."
Fuzah nampak tidak keruan rasa.
"Kau tidur dengan lelaki tu masa kat sana, kan?"
Fuzah jeling aku dengan jelingan tajam.
"Takkan semata-mata tidur aje kut, mesti ada acara sampingan sebab teman lelaki kau tu dah kecoh dia dah dapat kau. Best tak? Mestilah best sebab benda percuma." Kan aku dah cakap, kalau aku jadi jahat, aku akan jahat betul-betul.
"Apa?" Bulat mata Fuzah.
"Aku nak tanya kau la, antara aku dengan kau sebenarnya siapa yang tak tahu malu? Malam tu, Hairiz yang ajak aku tinggalkan rumah mak long sebab dia kesiankan aku. Kau orang buat aku macam hamba abdi. Hanya alasan tu saja kau orang tuduh aku macam-macam. Kau pula, senang-senang serah diri pada lelaki yang..." Aku tak habiskan ayat sebab aku nampak Fuzah sedang genggam tangannya.
"Tapi kau jangan risau. Sejahat-jahat aku, aku takkan buat jahat dengan orang. Bukan jenis aku nak tunjuk aib orang. Aku takkan beritahu sesiapa pasal ni sebab aku memang betul-betul nak tengok kau jadi menantu mak ngah." Puasnya hati aku.
"Kau jangan nak ugut aku, Mai."
"Aku tak ugut, hanya mahu kau berhati-hati sebelum tembelang kau pecah. Kau masih layan lelaki tu bukan? Apa yang aku tahu, kau memang nakkan lelaki tu tapi dia tak layan kau. Aku pun sebenarnya tak faham. Kau nak Firash atau kau nak lelaki yang dah dapat badan kau? Ke kau nak pasang dua-dua? Firash kau buat standby saja? Bukan, bukan standby, tapi perkataan yang sesuai ialah pak sanggup. Ya, kau nak Firash jadi pak sanggup, bukan?" Ambil kau Fuzah. Siapa suruh cari pasal.
"Boleh tak kau jangan masuk campur urusan aku!" Fuzah tengking aku. Dia bercekak pinggang selepas itu. Renungan matanya juga tajam.
"Boleh, tapi boleh tak kau jangan kacau aku juga? Aku mungkin boleh bersabar, tapi Hairiz? Dia ringan aje nak tunjuk gambar tu, aku aje tak nak bagi. Sebab aku tak nak aibkan kau, walaupun kau selalu aibkan aku." Selama ini hanya Fuzah saja kenakan aku, hari ini aku berjaya kenakan dia balik.
Fuzah terus berlalu. Langsung tidak toleh-toleh lagi. Selain rasa marah, aku rasa Fuzah bawa sama rasa takut. Aku benar-benar tidak sangka Fuzah akan lakukan perkara sebegitu. Selama ini tengok Fuzah tu jenis pijak semut pun tak mati.
Perlukah aku bersimpati pada mak ngah dan Firash? Rasanya tak payah kut. Mereka pun tak pernah mahu bersimpati terhadap aku. Jadi, jangan harap aku nak bersimpati pada mereka. Tengok ajelah nanti. Kalau ada jodoh mereka berdua, aku doakan yang baik-baik sahaja.
PETANG, Hairiz datang ke butik seperti biasa. Dia bawa pisang goreng sebagai minum petang. Sebenarnya dalam seminggu mesti dua atau tiga kali dia datang menjenguk aku. Perkataan yang selalu dia sebut sebaik sahaja jumpa aku ialah, rindulah. Sudah terbiasa begitu agaknya. Asal nampak muka aku, rindu dia menjadi.
"Rindulah," kata Hairiz sambil senyum senget. Kening dia angkat dua tiga kali. Aku dah agak. Dia akan sebut perkataan itu. Aku pun tak pasti, adakah sepupu-sepupu orang lain akan sebut perkataan yang sama bila berjumpa sepupu mereka? Atau mungkinkah hanya Hairiz seorang saja yang suka sebut begitu?
Hairiz, jangan buat hatiku berkata-kata.
"Rindulah sangat..." Aku mencebik.
"Serius, saya rindu awak. Kalau boleh saya nak singgah setiap hari tapi itulah, kekangan masa. Nasib baik ofis saya dekat."
"Yalah, yalah..." Aku mengalah. Tak nak Hairiz bagi alasan macam-macam. Kalau betul dia rindukan aku, hendak diapakan lagi. Manalah aku ada kuasa untuk menghalang orang dari terus merindui aku.
"Tak percaya, sudah! Tak minta pun awak percaya." Hairiz pandang aku. Lain saja cara dia pandang. Memang betul rindu ke? Namun dia kelihatan lemah dan lesu. Penat bekerja mungkin.
"Yalah, nak rindu pun, rindulah. Tak ada salahnya..." Aku cuba tersenyum. Tadi sudah kedengaran bunga-bunga merajuk pada suara Hairiz. Tak naklah sebab perkara remeh dia hendak merajuk bagai. Aku sudahlah tak ada bakat hendak memujuk.
Hairiz hulur bungkusan pisang goreng kepadaku.
"Macam tau-tau saja saya nak makan pisang goreng." Aku tersenyum menyambut huluran plastik warna oren.
"Memang dah tahu..." Hairiz kembali pamer senyuman sengetnya.
"Boleh tak kalau saya nak sayang awak sebab awak baik sangat?"
"Kalau nak sayang, tak payah minta izin. Sayang ajelah..."
"Saya gurau pun tak boleh, mengamuk Hanis nanti." Saja mahu bergurau dengan Hairiz. Terus dia tarik bajuku.
"Sebut lagi nama perempuan tu, saya cium awak kat sini juga!" Hairiz rapatkan badannya kepadaku.
"Ngeee..." Aku tolak badannya dan terus berjalan ke ruang rehat di hujung butik. Buatkan Hairiz kopi seperti selalu.
"Tak sedar ke saya sayang awak?" soal Hairiz pula.
Aku buat tak dengar. Hairiz ni boleh tahan juga kalau merepek.
"Awak dengar ke tidak ni?"
"Dengar, awak sayang saya dan saya sangat menghargainya." Aku balas sambil kacau kopi. Aromanya sudah semerbak.
"Mak ngah dengan Fuzah ada cari awak ke?" soalnya sebaik sahaja aku bawakan muk menghampirinya.
"Haah. Mana awak tahu?"
"Fuzah ada call saya."
"Hurm, mesti pasal gambar tu, kan?" Aku agak saja.
"Awak bagi tahu ke?"
"Saya geram sangat. Bukan main lagi dia kutuk saya, saya apa lagi. Tunjuklah gambar dia itu. Puas hati."
Hairiz ketawa. "Padan muka dia. Lepas ni sah dia tak boleh nak lebih-lebih dengan awak. Hmmm, sebenarnya dia datang jumpa awak sebab apa?"
"Ucap tahniah sebab dah putus dengan Firash."
"Betul ke dah putus dengan Firash?"
"Lah, nak putus apanya kalau selama ini pun mana ada apa-apa hubungan. Kan, Firash yang melebih. Berapa kali saya nak terangkan?" Naik angin aku kalau begini selalu. Ramai betul manusia yang tidak faham bahasa. Sudah cakap banyak kali pun masih ada yang tak faham-faham.
"Okey, okey. Saya tak sebut dah pasal Firash." Hairiz ketawa perlahan.
"Mungkin takdir saya harus begini. Tak ada orang nak sayang, tak ada orang nak ambil berat." Tak adalah sedih sangat, hanya nak main drama depan Hairiz.
"Mai, awak pernah dengar tak orang cakap, kuman seberang laut nampak, tapi gajah depan mata tak nampak?"
"Gajah mana?" Aku tanya.
"Huh! Tak faham rupanya. Gajah dalam zoo la!"
Aku ketawa.
"Orang serius, dia main-main. Tak payahlah nak blur sangat!"
Bukan apa, aku berusaha untuk tiada sebarang mainan perasaan antara aku dengan Hairiz walaupun susah untuk aku menipu diri sendiri. Terkadang, rasa aneh itu menguasai diri membuatkan aku rasa lemah. Aku sangat selesa dengan hubungan kami seperti sekarang ini, jadi aku sangat menghargainya. Aku tak mahu ada cinta antara kami kerana ia sesuatu yang mustahil.
"Awak, tolong suapkan pisang goreng tu. Saya tak nak pegang minyak."
Aku ambil seketul pisang goreng. Suap ke mulut Hairiz. Dia gigit separuh dan separuh lagi aku sumbat ke dalam mulutku. Sudah terbiasa berkongsi apa saja dengan Hairiz. Mungkin kerana itu kami menjadi sangat akrab.
Dia hirup kopi perlahan.
Aku ambil lagi seketul pisang goreng. Gigit separuh dan kunyah. Tiba-tiba Hairiz pegang pergelangan tanganku. Selamba saja dia gigit separuh baki pisang goreng di tanganku.
"Ahad ni kita pergi makan angin nak? Sempena awak putus cinta." Dia bercakap sambil kunyah namun pergelangan tangan masih dia pegang.
Hairiz ni memang. Suka sangat menyakat. Benda tak ada lagi dia suka usik-usik. Kenalah aku layankan juga agar suasana jadi tambah ceria.
"Sampai hati..." Aku saja buat muka.
"Nak hiburkan hati awak." Pergelangan tangan aku dia lepaskan.
"Boleh juga. Saya ikut saja. Tapi kalau mak lang tahu macam mana?"
"Biarlah kalau mak tahu pun. Saya yang keluar dengan awak. Bukannya mak saya. Nak susah hati apa."
"Awak ni saya tengok memang anak yang baik dan taat, tapi suka ikut kepala awak, kan? Suka hati awak aje."
"Saya taat pada mak saya, tapi urusan hidup saya, saya tak suka mak saya masuk campur. Dengan siapa saya nak berkawan, dengan siapa saya nak bercinta, itu urusan saya. Selagi mak saya tak campur hal-hal yang saya sebut tadi, saya okey aje."
"Awak dah bercinta? Awak dah ada kekasih?" Kenapa aku rasa tidak sedap hati ni?
"Hesy, faham sikit cakap orang. Saya cakap tak kesahlah kalau saya nak bercinta dengan siapa pun. Yang nampak susah hati ni kenapa?" Hairiz tersenyum sambil jeling aku. Senyumannya nampak lain. Seperti senyuman mahu kenakan aku.
"Mana tahu, kut dah ada buah hati. Cemburu pula nanti tengok awak datang lepak sini."
"Kalau saya ada buah hati, tak pasal saya nak belikan awak pisang goreng. Minum-minum dengan awak. Baiklah saya hadap muka buah hati saya."
Terasa seperti ada rasa lega di dalam hati. Kenapa ya?
"Okeylah awak. Saya balik dulu. Apa-apa nanti saya telefon awak." Hairiz minta diri selepas habis minum kopi.
"Hurm." Aku pandang dia.
"Jangan fikir nak bunuh diri pula." Dia tersenyum lagi. Tak habis-habis nak menyakat aku. Suka betul dia bila tahu aku tak ada sebarang hubungan dengan Firash melainkan sepupu.
Aku tarik tali leher dia yang sudah sedia longgar sejak tadi.
"Okey, okey." Dia angkat kedua tangan paras dada. Perlahan aku lepaskan tali leher dia.
"Sukalah?" Aku jeling dia sekali. Dia sambut dengan ketawa. Gembira semacam saja aku tengok dia ni.
"Saya balik dulu..." Dia melangkah perlahan. Kemudian berpatah semula seperti mahu cium aku.
"Kurang ajar!" Aku tolak badannya.
"Tahu takut!" Dia ketawa dengan kuat.
"Hati-hati..." Aku pesan.
"Erm..."
Aku perhatikan langkah Hairiz yang tersusun cantik. Rasanya dialah sepupu aku paling segak. Orangnya tinggi lampai. Kulit pun kuning langsat. Senyuman dia cantik. Dan mata dia. Aku suka tengok mata dia. Mata dia redup ke dalam. Mata orang gemar simpan rahsia.
"Wei, kau perasan tak?" Ekin duduk di tempat Hairiz duduk tadi.
"Perasan apa?" Mulalah tu.
"Sepupu kau tu."
"Kenapa dengan dia?" Aku pandang lagi Hairiz yang sudah sampai di keretanya melalui dinding kaca.
"Dia sukakan kau."
"Memanglah. Kami kan sepupu. Dari kecik kami rapat."
"Bengangnya aku dengan kau ni. Tak faham-faham lagi. Sepupu kau tu bukan main lagi bagi hint, kau buat blur semacam. Dia sayang kau bukan sebagai sepupu. Dia sayang kau macam seorang lelaki sayangkan seorang perempuan. Karang aku kata bodoh, dua tiga hari pula masam muka!"
Aku hela nafas perlahan sambil perhatikan kereta Hairiz yang mula bergerak.
"Aku takut, Ekin. Aku takut jadi macam Firash. Situasi kami tak banyak bezanya. Dengan Firash aku tak kesah sangat, tapi kalau dengan Hairiz aku tak sanggup. Aku tak sanggup kehilangan dia. Biarlah keadaan kami terus begini. Sekurang-kurangnya aku masih ada dia."
Sakit dada aku setiap kali ingat semua ini.
"Tapi Hairiz ni lain. Dia tak macam Firash. Aku nampak Hairiz seorang lelaki yang sangat melindungi kau. Sayang kalau kau sia-siakan peluang ni. Nak cari lelaki macam Hairiz, memang susah. Sorang dalam sejuta."
Kata-kata Ekin buat aku tambah sedih.
"Masa dia belum ada isteri, bolehlah dia rapat dengan kau. Nanti kalau dia sudah ada isteri, aku rasa dia terpaksa abaikan kau sebab nak jaga hati isteri dia."
Aku pandang muka Ekin. Kenapa bila Ekin sebut pasal isteri, aku rasa seperti ada sesuatu yang sedang menyesak di dadaku? Kenapa aku rasa seperti terlalu sakit?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co