Truyen3h.Co

SEMUA UNTUKMU

Bab 1

karyaseni2u

"Dah makin ramai pula budak-budak yang mak kutip bawa balik ke rumah ni! Ni rumah pusaka, mak. Bila mak dah tak ada nanti, rumah ni tetap jadi milik saya tau," jeling Hashim sambil dia sengaja menguatkan suaranya. Terlihat seorang budak perempuan belasan tahun yang juga berada di bawah jagaan Hajah Halimah sedang memegang dulang minuman berserta kuih.

"Najihah, bawa semua adik naik ke atas. Suruh dia orang buat kerja sekolah dahulu. Sekejap lagi mak naik," pesan Hajah Halimah. Perbualan dengan anak kandungnya ini mula menuju ke arah isu yang terlalu sensitif. Hajah Halimah enggan membiarkan anak-anak yang dijaganya umpama anak sendiri mendengar butir bicara yang tidak sepatutnya.

Najihah sekadar mengangguk. Keterujaannya untuk menemui 'abang'nya terbantut ketika telinganya menangkap satu demi satu patah perkataan yang ditutur oleh anak tunggal Hajah Halimah itu.

"Mulut kau tu, jaga-jaga sikit, Hashim! Kau nak doakan mak mati cepat ke?" Hati tua Hajah Halimah tercalar dengan setiap perkataan yang dipilih oleh anak tunggalnya itu.

"Saya ni bukannya apa, mak. Dah tua-tua macam mak ni, mak rehat sahajalah. Yang mak nak susahkan diri bela anak entah siapa-siapa tu kenapa?" Air kopi yang dihidangkan tadi dihirup Hashim tanpa segan. Tegurannya yang dilihat tidak kena tempat juga disuarakan tanpa belas.

"Budak-budak tu anak-anak mak! Mereka tu anak yatim, anak orang susah. Mak bela mereka sebab anak mak sendiri tak nak tinggal dengan mak. Mak bela budak-budak tu untuk ganti anak tunggal mak yang sanggup ikut isteri tinggal di bandar semata-mata sebab tak nak tinggal di kawasan kampung. Tempat kolot macam ni." Tegas sekali suara Hajah Halimah. Dia tidak suka apabila anak-anaknya dihina sebegitu rupa.

"Bukan tak nak balik, tapi belum sampai masanya lagi. Lagipun, saya nak balik tinggal dengan mak macam mana kalau rumah kita dah penuh dengan budak-budak ni?" Hashim memberikan alasan yang dirasakan kukuh untuk melepaskan diri.

"Tak payah nak putar belit cerita. Kamu bukannya baru berkahwin setahun dua. Mak dah jaga budak-budak ni selama sepuluh tahun. Kamu tu yang banyak alasan. Mak dah tak ada sesiapa kecuali kau lepas ayah kau meninggal tapi kau nak balik jenguk mak sebulan sekali pun payah. Mak tak suka bila kau asyik ungkit asal usul budak-budak ni. Kalau kau balik sekadar nak persoalkan apa yang mak buat, lain kali tak payah balik!" Hajah Halimah menghembuskan nafas dalam-dalam. Anaknya itu sudah melampau dalam tutur katanya.

"Ikut suka maklah kalau macam tu. Saya tak nak cakap banyak. Selagi mak kuat, mak buatlah apa mak nak buat. Tapi lepas ni, kalau apa-apa jadi pada mak, saya tak nak tanggung budak-budak ni. Saya buang aje mereka dari mana mereka datang." Hashim menutup perbualan yang langsung tidak membuahkan hasil itu.

"Alah, bukannya tak biasa dengar pun sebelum-sebelum ni. Abaikan sahaja."

Najihah memujuk dirinya sendiri. Dia yang mengingkari arahan Hajah Halimah tadi akhirnya menyesal sendiri usai mendengar semuanya. Dia akhirnya menyusun langkah laju-laju. Kini, dia sedar diri. Harapan untuk dia dan adik-adik yang lain menumpang kasih dan menumpang teduh hanya boleh disandarkan kepada Hajah Halimah sahaja. Selebihnya, mereka perlu berdoa dan berserah kepada Yang Maha Esa.

"Adam mana? Jihah tak ajak dia datang ke sini ke?" soal Hajah Halimah pada Najihah yang sedang memerhatikannya usai dia meninggalkan Hashim sendirian di ruang tamu. Kesemua anak jagaannya yang berjumlah sepuluh orang ada di sini kecuali Adam.

"Jihah dah ajak tapi dia buat tak endah sahaja. Dia diam aje. Langsung tak nak bercakap sepatah pun. Dah tu, makan pun dia tak nak." Najihah bersuara sambil memanggungkan kepala sebaik sahaja dia mendengar soalan Hajah Halimah.

"Habis tu, dia tak makan lagilah?" soal Hajah Halimah. Raut kerisauan jelas terpancar di wajah tua itu.

"Dia tak nak. Nasi yang kita sediakan tadi pun dia tak sentuh." Najihah berjalan mendekati Hajah Halimah. Tugasnya selaku anak yang paling tua sedikit terencat gara-gara sikap penghuni baru bernama Adam yang enggan bekerjasama dalam mematuhi undang-undang rumah ini.

Hajah Halimah mengetap bibirnya. Sudah seminggu Adam dihantar ke sini, namun anak itu masih lagi berdegil mahu pulang. Hajah Halimah sendiri sudah mati akal mahu memujuk Adam yang ternyata agak keras hati.

"Habis tu, nasi tu macam mana?" Hajah Halimah mengecilkan matanya sambil menunggu jawapan dari mulut Najihah.

"Jihah yang habiskan semua," jawab Najihah sebelum dia menekup mulutnya sendiri.

"Opsss." Najihah baru tersedar yang dia sudah terlepas cakap.

"Jihah mana boleh makan. Jihah dah janji kan, no more food after six pm. Tak baik tau, Jihah mana boleh mungkir janji dengan emak." Hajah Halimah terkejut dibuatnya.

Program diet yang disusun buat Najihah terbabas juga akhirnya setelah seminggu lamanya mereka berusaha. Berat Najihah yang sudah melepasi angka enam puluh lima kilogram itu mula membuatkan Hajah Halimah susah hati.

"Tapi Jihah lapar," jawabnya polos. Dia terseksa sebenarnya melihat pinggan yang berisi nasi minyak dan daging masak hitam itu dibiarkan tidak bersentuh oleh Adam.

"Jihah dah mungkir janji dengan mak tau, apa yang Jihah nak buat untuk tebus kesalahan tu?" soal Hajah Halimah. Dia mahu Najihah bertanggungjawab atas kesalahannya itu.

"Hmmm, Jihah pergi pujuk Adam sekali lagi sampai mood dia okey semula. Boleh?" Najihah tahu bahawa dia perlu melakukan sesuatu bagi memulihkan imejnya yang baru sahaja tercalar dek gelojoh apabila menghadap makanan.

"Okey, mak setuju. Jihah bawa sekali nasi untuk Adam. Pastikan dia makan semua makanan yang Jihah bawa tu." Hajah Halimah sempat menitipkan pesan.

Setelah usahanya untuk memujuk Adam gagal, kali ini dia hanya mahu melihat dari jauh sahaja bagaimana Najihah mahu memujuk Adam kerana selama dia membesarkan Najihah, gadis yang berusia enam belas tahun ini memang pandai memujuk.

"Tapi ingat! Jangan makan nasi tu sendiri. Jihah faham tak?" ujar Hajah Halimah sambil dia merenung mata Najihah dalam-dalam.

"Yalah, Jihah faham." Najihah tersengih sambil terus berjalan menuju ke ruang dapur di bawah. Dia seakan-akan dapat menghidu dengan jelas gurauan tajam yang dilontar emak buatnya. Matanya yang dulu bulat sudah hampir sepet dek pipi tembamnya yang tak kunjung kempis itu.

"Jihah tengah diet, kan? Jangan lupa tu!" jegil Hajah Halimah sambil dia mengingatkan Najihah untuk mengawal diri. Najihah sering kali meluahkan hasrat mahu berdiet, namun sering sahaja hasratnya itu terbabas.

"Hmmm, Jihah faham." Najihah mulai akur dengan projek dietnya. Saat ini, dia sedang sibuk mencedok nasi buat Adam. Jika Adam enggan mengambil sendiri makanannya, biar kali ini dia membawa pinggan berkenaan kepada Adam sahaja.

"Nah! Makanlah."

Setelah beberapa lama hanya memerhati dari jauh, Najihah akhirnya mendekati Adam yang duduk di sebuah kerusi kayu di tepi pintu rumah. Dia datang dengan harapan yang cukup besar agar sepinggan nasi yang dicedoknya sendiri ini sudi dijamah oleh penghuni paling baharu yang dibawa ke sini beberapa hari lepas.

"Makanlah. Sampai bila Adam nak berlapar macam ni?" Najihah cuba memujuk tatkala Adam kelihatan langsung tidak terkutik.

Menurut Hajah Halimah, ketika memperkenalkan Adam beberapa hari lalu, Adam ialah remaja berusia tiga belas tahun yang dibawa ke sini setelah ibunya meninggal dunia. Bapanya pula telah dimasukkan ke Hospital Bahagia kerana masalah mental sebulan lalu. Dia dibawa ke sini sebagai jalan akhir setelah tiada sesiapa hatta saudara-maranya sendiri yang sudi menjaganya.

"Adam nak balik!" Hanya tiga perkataan itu yang keluar dari bibir Adam yang terlihat cukup murung itu.

Jawapan pendek yang diluahkan Adam itu sudah cukup untuk membuatkan Najihah tersenyum hingga ke telinga. Setidak-tidaknya, Adam sudah mula memberikan respons walaupun dingin.

"Nak balik ke mana? Semua yang dihantar ke sini, tak ada mak ayah. Tak ada saudara-mara yang sudi menjaga. Adam nak ke mana?" pujuk Najihah.

Dia faham dengan tingkah janggal Adam kerana dia juga bersikap sedemikian ketika pertama kali menjejakkan kaki di situ lima tahun lepas.

"Adam nak balik rumah Adamlah. Mak, ayah Adam tak mati pun. Nanti mereka baliklah."

Wajah murung yang cuba ditilik Najihah sejak beberapa hari lepas akhirnya terlihat jelas apabila Adam memanggungkan kepala. Lirikan mata serta nada suara budak ini terdengar sedikit beremosi. Dia mungkin marah dengan apa yang Najihah katakan sebentar tadi.

"Akak tak cakap dia orang mati, tapi akak cakap yang mereka tak ada nak jaga Adam." Suara Najihah cuba dilunakkan bagi memujuk Adam.

"Sama sahaja kan maksudnya? Mak, ayah Adam ada lagi!" Adam menjeling Najihah. Tiada satu pun yang wujud di sekelilingnya sekarang ini menyedapkan hati. Rumah ini, Hajah Halimah, penghuni rumah ini, semuanya menyesakkan dada. Adam tidak mahu tinggal di sini walau hanya untuk satu hari lagi.

"Dah berapa hari Adam di sini?" Najihah menyoal perlahan namun tegas. Nada yang digunakan oleh Adam tadi sedikit sebanyak memancing emosi Najihah.

"Lima!" jawab budak itu dengan kasar.

"Ada sesiapa datang jenguk Adam? Ada sesiapa datang jemput Adam? Ada sesiapa yang Adam kenal pernah muncul di depan pagar tu?" soal Najihah bertalu-talu.

Mungkin kerana tersentak dengan soalan kejam yang diluahkan Najihah, Adam memanggungkan kepala dan terus memandang tepat ke dalam mata Najihah. Dia terlihat begitu agresif mahu menyangkal dakwaan Najihah bahawa ibu bapanya sudah tiada untuk menjaganya, namun tiada satu pun soalan yang dilontarkan buatnya mampu dijawab. Adam terdiam seribu bahasa.

"Tak ada, kan? Tak ada sesiapa akan datang lagi cari kita, Adam. Semua budak-budak yang ada di sini memang dah tak ada sesiapa di luar untuk jaga kita. Kakak pun macam Adam juga. Tak ada sesiapa pun pernah datang." Itulah hakikat sebenar yang menimpa kebanyakan penghuni di sini. Rumah ini adalah pilihan terakhir yang mereka ada setelah tiada tempat lain yang boleh dituju.

"Kakak pun macam Adam juga. Tak ada mak ayah, tak ada saudara-mara," keluh Najihah yang turut berdepan masalah sama. Bezanya antara dia dan Adam adalah Adam tahu siapa orang tuanya tapi tidak bagi Najihah. Dia langsung tidak tahu asal usulnya.

Mahu tidak mahu, Adam tiada pilihan lain. Rumah Nur ini adalah tempat terakhir yang mereka ada bagi menjaga kebajikan mereka. Rumah persendirian yang dimiliki oleh Hajah Halimah ini adalah tempat tinggal mereka sehinggalah mereka cukup lapan belas tahun nanti.

"Adam nak balik." Kelopak mata itu terlihat bergenang. Adam jelas takut dengan persekitaran baru yang jauh berbeza dari apa yang pernah dialaminya. Dia tidak kenal sesiapa, malah anak-anak lain juga seakan-akan jelak memerhatikannya.

"Adam tinggallah dekat sini dengan akak. Akak dengan Hajah Halimah boleh jaga Adam. Adik-beradik yang lain pun ada juga." Najihah masih tidak berputus asa.

"Mereka tak suka Adam," geleng Adam demi menolak semua saranan Najihah.

"Macam inilah, Adam tak payah nak fikir pasal mereka semua. Sekarang ni, Adam cuma perlu makan sahaja nasi yang akak dah bawa ni. Adam tak perlu habiskan semua kalau Adam tak ada selera. Adam makan sikit pun jadilah. Lepas makan, Adam boleh terus tunggu kalau ada sesiapa datang jemput Adam. Nanti Kak Jihah cakap dengan hajah supaya izinkan Adam tunggu keluarga Adam datang. Kalau sampai pukul sebelas malam ni, mereka tetap tak datang, lepas ni Adam kena dengar cakap Hajah Halimah. Boleh?" Najihah memberikan tawaran.

Selaku penghuni yang lebih tua, Najihah mahu Adam segera menyesuaikan diri dengan tempat itu dan mula fokus dengan persekolahan yang telah beberapa minggu dia tinggalkan. Saranan Najihah hanya tinggal saranan. Adam langsung tidak menunjukkan tanda-tanda mahu makan.

"Kita tak ada sesiapa, Adam. Kita kena jaga diri sendiri di sini. Hajah ada ramai lagi anak yatim lain untuk dijaga. Kita tak boleh nak harapkan dia buat semua untuk kita. Adam dah tingkatan satu, dah besar dah pun. Akak nak Adam makan, lepas tu ikut akak lepas ni. Nanti akak bagi Adam beg sekolah dengan buku. Esok, akak teman Adam ke sekolah. Boleh, kan?"

Walaupun pahit, Najihah mahu pelajar itu menelan hakikat bahawa semua penghuni yang dibawa ke sini sememangnya sebatang kara.

"Adam nak tunggu nenek dekat sini." Adam masih lagi berharap.

"Boleh! Nanti Kak Jihah cakap pada hajah. Tapi Adam kena makan dululah. Kalau Adam tak makan, Kak Jihah tak boleh bagi Adam duduk sini." Najihah mengukir janji sambil menolak pinggan berisi makanan yang belum disentuh itu lebih dekat dengan Adam.

Najihah memandang wajah polos Adam yang mula menyuap makanannya sambil melepaskan satu keluhan berat.

Permintaan Adam bukanlah sukar sangat mahu ditunaikan walaupun dalam hati, Najihah cukup yakin yang tiada sesiapa pun akan muncul untuk Adam. Kali ini, biarpun pahit, dia mahu Adam telan sendiri hakikat bahawa dia tiada sesiapa lagi.

Menjelang malam, apabila tiada sesiapa yang mencarinya nanti, Najihah berharap yang Adam akan faham dengan situasinya sekarang.

"Tak ada sesiapa pun yang datang, kan?"

Jam sudah berganjak ke angka sebelas malam. Kesemua penghuni lain sudah beransur ke bilik atas untuk tidur. Najihah yang merasa bertanggungjawab atas Adam meminta izin dari Hajah Halimah untuk memujuk Adam sekali lagi.

"Mak dah mati. Ayah pun Adam tak tahu ada di mana sekarang. Adam dah kena tinggal ke, Kak Jihah?"

Adam merasa dikhianati. Dia memendam marahnya sendiri saat ini apabila semua saudara seakan-akan membuangnya jauh.

"Hajah ada untuk jaga kita. Jangan risau, Kak Jihah pun ada untuk jaga Adam. Dah lewat dah ni, jomlah kita balik ke bilik. Kak Jihah hantar Adam. Jom." Najihah terus memujuk.

Sejak tengah hari, Adam langsung tidak berganjak. Dia terus menanti kehadiran insan yang sudi menjemputnya keluar dari situ namun hatinya hampa. Tiada sesiapa pun yang muncul menjemput kecuali Kak Jihah.

Adam akhirnya mengalah. Dia bangun meninggalkan kerusi yang didudukinya sejak tengah hari tadi dan berjalan menuju ke dalam rumah meninggalkan Najihah sendiri.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co