Truyen3h.Co

SEMUA UNTUKMU

Bab 2

karyaseni2u

Langkah Adi Fakhri diatur santai. Setelah beberapa bulan bergelut membahagikan masa untuk menyiapkan kerja kursus subjek Seni Visual, dia akhirnya berjaya menyiapkan semua. Dia kini senang hati apabila replika rumah Minang yang menjadi tugasan akhirnya telah berjaya disiapkan. Replika rumah kayu sebesar satu pemeluk berkenaan kini sedang dijemur di luar bengkel bagi mengeringkan lapisan akhir varnis yang baru sahaja diletakkan.

"Dah kenapa dengan tiang rumah aku ni, Zain? Kenapa ni?" Mata Adi Fakhri mencerlung sebaik sahaja melihat hasil kerjanya yang sudah hampir siap itu. Replika yang dibina tanpa cacat cela kini tempang mencium lantai. Malah lencun umpama baru ditimpa hujan batu.

"Kau rasa tiang tu dah ke mana?" Zain tergeleng melihat apa yang terjadi. Dalam terkilan, dia lega hasil kerjanya yang diletakkan bersebelahan dengan hasil kerja Adi Fakhri masih selamat tanpa sebarang masalah.

"Ada budak dekat tingkat atas baling botol air ni ke bawah tadi. Aku dah selidik dah setiap orang tapi tetap tak dapat tangkap siapa yang buat. Semua tak nak mengaku." Jari Zain ditudingkan ke arah kelas yang menempatkan pelajar tingkatan Empat Sains yang berada di tingkat atas.

"Tak ada siapa pun mengaku? Dia orang dah ke mana sekarang?" Adi Fakhri tidak berpuas hati. Kembang kempis sudah hidungnya menahan marah. Rasa macam mahu menangis pun ada juga apabila melihat apa yang terjadi pada hasil kerja kursusnya itu.

"Sekarang ni kan waktu rehat. Mereka keluar rehatlah." Zain turut menghulurkan bekas air pecah yang menghempap rumah Adi Fakhri tadi.

"Dah robohkan rumah aku sampai macam ni sekali, tapi tak nak mengaku. Bak sini botol tu." Botol berwarna biru berkenaan diragut kasar oleh Adi Fakhri. Rasanya dia tahu siapa pemilik botol ini.

"Kau nak ke mana?" Zain terkebil-kebil melihat tingkah Adi Fakhri yang merah padam mukanya.

"Cari budak itulah. Kau tak nak ikut aku ke?" Adi Fakhri sudah mengatur langkah. Dia sudah tidak peduli lagi. Sampai ke lubang cacing sekalipun dia akan memburu pemilik botol air ini.

Rasa marahnya nyata bercampur dengan rasa ingin menangis kini. Setiap detik waktu yang telah dia luangkan, setiap titis peluh yang telah dia kesat kini mula berselirat di dalam kepalanya. Sungguh dia langsung tidak berpuas hati apabila hasil titik peluhnya dirosakkan dan dibiarkan begitu sahaja tanpa ada yang datang untuk mengaku bersalah.

"Aku kutip benda-benda ni dulu. Sekejap lagi aku ikut. Woi, kau jangan buat bukan-bukan tau," pesan Zain yang sedikit terkejut dengan tingkah baran Adi Fakhri yang selama ini langsung tidak pernah dia lihat. Tanpa lengah, dia terus mengutip sisa-sisa runtuhan 'rumah' Adi Fakhri untuk dibawa masuk ke dalam bengkel semula.

"Hah! Tu dia. Kau tunggu." Langkah Adi Fakhri semakin laju apabila dia melihat susuk tubuh pelajar perempuan yang dicari olehnya sedari tadi baru selesai membeli makanan. Mungkin kerana waktu rehat sudah hampir berakhir, keadaan di kafeteria ini sudah pun lengang tanpa kehadiran pelajar lain.

"Dah lingkup kerja kursus saya awak lunyaikan, awak ada selera lagi nak makan, ya! Tak ada rasa bersalah langsung pula tu," bebel Adi Fakhri tanpa henti. Pinggan nasi yang dipegang gadis itu disambar Adi Fakhri. Tubuh tinggi lampainya digunakan sebaik mungkin untuk memastikan pinggan nasi itu diangkat tinggi.

Biar kau rasakan apa yang aku rasa sekarang, gumam Adi Fakhri dalam hati. Sungguh dia geram dengan apa yang terjadi.

"Tu pinggan nasi saya la. Bagi la balik pada saya!" Najihah terkebil-kebil memandang batang tubuh pelajar senior yang baru sahaja melarikan pinggan makanannya. Seingatnya, dia tidak ada sebarang urusan dengan sesiapa hari ini.

"Banyak cantik muka awak. Berselera lagi awak nak makan, ya?" perli Adi Fakhri. Tubuh gempal gadis di hadapannya ini kecil besar sahaja di matanya sekarang.

"Awak ni dah kenapa? Saya tak kenal pun awak. Kita tak ada apa-apa urusan pun, kan? Awak salah orang kut."

Najihah sememangnya tidak tahu apa-apa. Dia keluar awal dari kelas sebelum waktu rehat tadi bagi mendapatkan ubat di bilik rawatan sekolah.

"Pandai pula awak berdalih, kan? Kerja kursus saya yang awak rosakkan tadi kita nak selesaikan macam mana?" Adi Fakhri mengetap bibir. Pinggan nasi milik pelajar yang bernama Najihah ini masih ada di tangannya. Gadis ini langsung tidak menunjukkan rasa bersalah.

"Mana ada saya buat apa-apa. Saya tak ada rosakkan apa-apa pun," nafi Najihah sambil dia cuba menghadam semua yang keluar dari bibir pelajar bernama Adi Fakhri itu. Dia langsung tidak tahu hujung pangkal cerita. Kepalanya yang berdenyut sejak pagi bertambah sakit pula.

Di dalam situasi tegang begini, kedua-dua mereka hanya sempat mengenal nama masing-masing melalui tanda nama yang tersemat di baju seragam sekolah.

"Saya tak kira! Sekurang-kurangnya awak kenalah minta maaf kalau dah rosakkan barang orang. Dahlah tak nak mengaku, boleh pula awak datang makan dekat sini? Awak tahu tak, berbulan-bulan saya bersengkang mata siapkan kerja kursus tu?" bebel Adi Fakhri sambil dia memujuk diri untuk bertenang sedikit.

"Ni botol minuman awak, kan? Baik awak mengaku cepat!" Dia paling pantang dengan orang yang tak tahu bertanggungjawab atas perbuatan sendiri. Jelas dalam ingatannya bahawa gadis itu ada membawa botol air yang sama pada pagi tadi kerana dia berjalan beberapa tapak sahaja di belakang gadis itu ketika mereka berjalan masuk ke dalam kawasan sekolah.

"Saya pun tak tahu tu botol siapa sebenarnya. Ikut suka awaklah nak percaya atau tidak. Kalau lapar, awak makan sahajalah nasi tu." Najihah sudah malas mahu bertekak. Kepalanya yang sakit semakin laju berputar. Lebih baik rasanya jika dia beralah dan pergi sahaja.

"Awak nak ke mana pula tu? Kita tak selesai lagi ni. Saya tak selesai pun lagi bercakap." Adi Fakhri merasa seakan-akan tercabar tatkala gadis itu berjalan pergi tanpa meminta maaf. Sorotan mata Adi Fakhri seakan-akan mahu menelan sahaja tubuh gadis itu dari terus melarikan diri.

Buk! Tiba-tiba tubuh yang laju melangkah tadi, jatuh terjelepok beberapa meter sahaja dari tempat mereka bertekak. Langsung tidak bergerak, langsung tidak bersuara. Gadis itu pengsan tiba-tiba. Mata Fakhri terbuntang melihat apa yang terjadi. Manakala mata orang lain yang turut berada di situ termasuklah tukang masak kafeteria tepat terarah kepadanya. Mereka semua memandang seolah-olah mahu mengunyahnya hidup-hidup sebelum masing-masing mendapatkan gadis yang pengsan itu.

"Macam mana boleh jadi macam ni?" soal Cikgu Nazhari yang kebetulan baru selesai bermesyuarat dan melalui kawasan kafeteria berkenaan.

"Gaduh dengan budak tu!" juih mak cik kafeteria dengan kejamnya. Satu jelingan maut turut dilayang secara percuma kepada Adi Fakhri. Huhu, kejam!

"Awak, datang ke bilik saya lagi sepuluh minit." Garang benar nada suara yang digunakan oleh Cikgu Nazhari kepada Adi Fakhri ketika semua sibuk memapah gadis itu ke bilik rawatan.

"Semua ni salah aku ke?" Pesanan Cikgu Nazhari singgah di telinga namun Adi Fakhri langsung tidak terkutik. Rasa marah, rasa bersalah, rasa bengang dan rasa keliru bercampur baur. Dia sendiri gagal menghadam apa yang terjadi. Pinggan nasi yang masih ada di tangannya diletakkan sahaja di atas meja kafeteria berserta dengan dengusan perlahan.

"Kau buat apa, Adi? Kau pukul dia ke?" Zain yang tiba-tiba muncul entah dari mana melontarkan soalan cepumas kepada Adi Fakhri. Dia terkejut melihat keadaan gadis itu yang sudah pun dipapah ke bilik rawatan.

"Mana ada! Aku tak sentuh dia langsung!" nafi Adi Fakhri seakan-akan marah dituduh melulu begitu.

"Janganlah marah! Aku tanya aje. Budak tu ke yang rosakkan 'rumah' kau tu? Bukan budak-budak lelaki punya kerja ke?" Zain sendiri kaget tatkala Adi Fakhri begitu yakin melangkah ke kafeteria bagi mencari perosak 'rumah tangganya'.

"Budak tu owner botol ni. Aku nampak dengan mata kepala aku sendiri yang dia bawa botol ni pagi tadi!" Adi Fakhri yakin dengan telahannya. Dia tahu dan pasti dengan apa yang dilihatnya pagi tadi.

"Adi, semua budak dalam kelas Empat Sains tu ada botol inilah. Setiap orang dapat satu masa kelas mereka menang pertandingan Kelas Paling Bersih bulan lepas. Kau tak tahu ke?" Zain memandang Adi Fakhri dengan kerutan seribu di dahi.

Apalah agaknya yang Adi Fakhri lamunkan ketika perhimpunan sekolah bulan lepas. Masakan dia langsung tidak perasan akan kewujudan hamper sebesar Bukit Brinchang yang berisi botol ini diserahkan di pentas utama kepada pemenang tempoh hari? Hampir semua pelajar terlopong pada hari itu kerana selain baucar peralatan sekolah, mereka juga menerima botol air edisi terhad yang diidamkan ramai termasuklah Zain sendiri.

"Ya ke? Arghhh, sudah!" Adi Fakhri mengalihkan pandangannya pada Zain. Setiap perkataan yang keluar dari mulut Zain, menyakitkan telinga.

"Kau ni kan Adi..." Zain sekadar menggelengkan kepala tanpa dapat menghabiskan ayatnya. Nasi dah jadi bubur.

"Sekarang ni macam mana kita nak buat?" soal Zain yang kelihatan jauh lebih susah hati berbanding Adi Fakhri sendiri. Kasihan pula dia pada Adi Fakhri dek banyak pula masalah yang menimpa pada hari ini.

"Macam mana lagi? Kena la pergi menghadap Cikgu Nazhari. Tadi dia cakap yang dia nak jumpa aku." Pasrah! Itu sahajalah yang boleh dilakukan oleh Adi Fakhri sekarang. Satu keluhan berat dilepaskan oleh Adi Fakhri. Dia mula melangkah menuju ke bilik guru disiplin berkenaan.

"Tak apalah! Kita pergi sekali. Aku tolong jadi saksi kau." Zain cuba memberikan semangat. Dia merasa tidak sampai hati pula mahu membiarkan Adi Fakhri menemui Cikgu Nazhari yang garang serupa singa itu sendirian. Mereka berjalan beriringan tanpa sebarang kata. Kecut juga perut mereka saat ini.

Zain memasang telinga di ruang menunggu. Dia mahu tahu juga apa isi pertemuan Adi Fakhri dan Cikgu Nazhari, namun tiada apa-apa yang berjaya didengarinya.

Saat bertukar minit, Adi Fakhri sudah berada di dalam bilik Cikgu Nazhari hampir lima belas minit. Kelihatan Cikgu Rahimah yang juga pengelola bilik rawatan turut datang ke bilik itu. Guru kelas Empat Sains juga terlihat masuk ke dalam bilik berkenaan.

"Akhirnya, kau keluar juga! Kecut perut aku tunggu kau dekat sini tau." Zain menghela nafas panjang. Dia jelas lega dengan kemunculan Adi Fakhri di balik pintu.

"Apa cikgu cakap? Mereka nak jumpa mak, ayah kau ke? Budak tu macam mana? Dah sedar ke?" soal Zain bertalu-talu.

"Tanya satu-satu la, woi!" Perut Zain disiku oleh Adi Fakhri. Dia yang merasa cukup sesak ketika berada di dalam bilik disiplin tadi merasa cukup lega apabila dibenarkan untuk kembali ke kelas.

"Apa cikgu cakap?" Zain masih mahu tahu apa yang terjadi.

"Bukan budak tu yang rosakkan 'rumah' aku. Budak lain. Najihah pula dah sedar. Cuma bahu dia cedera sikit sebab terkena bucu meja masa jatuh. Dia dah cakap pada cikgu yang aku tak ada buat apa pun dengan dia. Kes selesai macam tu ajelah," ulas Adi Fakhri panjang lebar.

"Oh, nama cik gebu tu, Najihah? Kalut-kalut macam ni pun kau sempat lagi selidik nama dia, kan?" Zain mengangkat kedua-dua kening. Dia masih teringat akan gadis gempal yang putih melepak itu.

"Aku dah salah tuduh anak orang kut. Mahunya aku tak selidik?" Adi Fakhri masih merasa bersalah. Rasa itu semakin menebal pula apabila dia teringat akan nasi sepinggan yang dirampasnya tanpa usul periksa tadi.

"Kenapa dia boleh pengsan pula?"

"Cikgu Zahidah cakap yang memang dia ada datang ambil ubat sakit kepala sebelum rehat tadi. Mungkin sebab tu kut dia pengsan." Adi Fakhri tetap merasa kesal walaupun terbukti bukan dia yang menyebabkan Najihah jatuh tadi.

"Jadi, kau nak jumpa dia ke?"

"Dia dah dihantar ke kliniklah. Tengoklah esok macam mana." Adi Fakhri dan Zain meneruskan perjalanan mereka ke kelas di tingkat tiga. Rugi pula rasanya apabila hampir satu waktu pembelajaran sudah terlepas dek hal ini.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co