Truyen3h.Co

SEPARUH TAKDIRKU ADA KAMU

Bab 1

karyaseni2u

Bergegas Dalila bergerak ke kafe kampus. Faham benar perangai Raif yang tidak suka menunggu itu. Kali ini dia lewat sebab sibuk nak touch up jerawat yang suka hati muncul di lapangan pipinya. Haih, masa nak dating inilah dia nak keluar jerawat, kan? Macam dah tak boleh tunggu hari lain.

"Lambat. Sepuluh minit dah saya tunggu," bebel Raif. Tepat seperti dalam sangkaan Dalila.

"Sorrylah... Ada hal sikit tadi." Senyuman yang paling manis Dalila hulur. Biar sejuk sikit hati Raif. Nak buat macam mana, memang kelemahan Raif, tak boleh menunggu. Bila tunggu sikit aje, angin dia naik terus ke otak. Terus menggelegak.

Lama Raif pandang Dalila.

"Tunggu apa lagi. Jomlah..." ajak Dalila.

"Tak payah keluarlah."

Mata Dalila dah terbeliak. Rahang jatuh. Tak-payah-keluar? Like seriously? Penat bersiap pun tak hilang lagi kut!

"Dah kenapa pula? Takkan sebab lambat sikit pun nak merajuk?" Eee... Tak kuasa betullah nak memujuk rajuk Si Raif ni.

Makin kenal, makin mengada-ada. Masa awal pengenalan mereka dahulu, elok sahaja perangainya. Ini dah macam malaun. Sikit lagi nak naik taraf jadi firaun.

"Muka awak tu..."

"Kenapa dengan muka saya?" Tapak tangan meraba muka sendiri. Apa yang tak kena?

"Ada J."

Lorh, itu aje? Anak mata dah naik ke atas. Tunggu kaki aje yang belum naik atas kepala Raif.

"Dah tu... Apa yang peliknya. Normallah sesekali keluar jerawat." Jerawat yang sebiji ni juga yang nak dia kecohkan?

"Tapi saya tak suka! Perempuan yang ada jerawat ni perempuan pengotor tau tak? Langsung tak jaga kebersihan."

What?! Heiii... Dah lebih mamat ni!

"Muka saya ni kulit, ya. Bukan plastik! Jadi memang jerawat akan keluar tak kiralah sepuluh juta kali pun saya cuci muka." Sawan apa yang merasuk Raif ni? Sejak akhir-akhir ni memang rajin condemn pasal paras rupa.

"Perempuan lain tu cantik aje... Flawless! Tapi awak ni makin hari makin selekeh saya tengok. Tengoklah, rambut pun tak ikat kemas."

Oh, sekarang dah pandai komen pasal penampilan aku pula?

Dalila tarik nafas. Hembus. Cuba tenangkan diri. Satu senyuman dia hulur pada Raif yang sudah membeku.

"Okey, jadi sekarang nak keluar ke tak nak?" Suara masih dengan nada lembut.

"Selagi ada jerawat kat muka awak tu, selagi tu kita tak payah keluar." Lagak seperti penuh kuasa veto, Raif memberi kata putus.

"Fine!" Bahu diangkat. Menerima tanpa bantahan.

Wajah Raif pula yang berubah. Itu aje respons Dalila? Tak nak merayu? Tak nak memujuk? Dasar perempuan keras kepala!

Tak menunggu lagi, terus Dalila angkat kaki. Bagus juga tak keluar. Boleh dia siapkan assignment yang melambak tu. Tak pun layan cerita Korea. Kesukaannya yang baru. Berjangkit dengan Si Jojo.

Pasal Raif? Lantaklah... Kesah pula Dalila pasal dia. Makin lama, dia sedar... Yang elok pada Raif hanya air wajahnya yang kacak. Selain itu memang... $€¥£\? Adakah ini bayaran bila bercinta dengan lelaki kacak? Bila perempuan tak cantik... Terus dilabel macam berdosa besar jeh!

Erggghhh!

Tengkuk yang lenguh dipicit lembut. Mujurlah tak keluar tadi, kalau tak naya aje tak siap assignment ni.

Telefon pintar yang berada di dalam laci meja dikeluarkan. Take five! Trafik otaknya jem teruk!

Laman Facebook dibuka. Beberapa notification naik menyeru namanya.

Raif Ismail mentioned you in a comment.

Klik!

Terbuntang biji mata Dalila? Mamat ni dah apa hal?

Lawanya! Awak, make up macam dia ni please. - Raif Ismail

Video tutorial make up berdurasi lima minit itu dimainkan. Mak ai, segala menatang mak nenek dia letak kat muka tu. Memanglah cantik tapi manalah dia ada kepakaran seperti itu? Lagipun yakin ke akan jadi cantik macam model ni? Entah-entah serupa bapuk jadinya.

Belum reda lagi perasaan yang membara, namanya diseru lagi.

Dalila lepas nafas. Apa lagi dia ni? Dia ni dah tak sabar nak guna kain kafan gamaknya. Buang tabiat nak mati!

Ramai orang beli produk ni, so awak belilah.

Boleh cantik dan flawless juga. - Raif Ismail

Telefon dihempas ke tilam. Apa masalah mamat ni? Psiko betullah!

Dalila menggeleng. Tak boleh jadi ni. Sebelum hatinya hangus terbakar dek segala testimoni kecantikan tu, baik dia block aje si Raif ni.

Okey, done blocked! Selesai masalah. Fuh, leganya Tuhan aje tau.

Baru sahaja Dalila berkira-kira untuk menyambung kerjanya yang tergendala, telefon Samsung Galaxy Note 2 bergetar. Tanda ada WhatsApp yang baru masuk.

+ Awak block saya kat FB ke?

Kening Dalila bercantum dua. Aik cepat pula dia ni sedar aku block dia? Ni mesti kes nak mention aku lagilah tu!

Kakaka.

Kejap, nak balas apa ni eh?

-Ya.

+ Kenapa?

- Sebab awak kurang ajar.

+ Awak cakap apa ni?

- Allah bagi otak, fikir sendirilah...

+ Huh, belum jadi isteri pun awak dah kurang ajar macam ni. Bodoh tak boleh diajar. Takkan sebab saya mentioned, terus nak block?

+ Inilah perempuan. Suka emosi tak bertempat.

Darah dah naik ke kepala. Yang aku susah-susah nak bertekak dengan Si Raif ni kenapa, ya? Banyak lagi kerja aku boleh buat.

Sedang Dalila berkira-kira untuk menyambung kerjanya, sekali lagi tangannya tergendala apabila beberapa orang rakannya masuk ke dalam bilik.

Jojo menghempas tubuh di atas tilamnya. Nampak air mukanya bagai sedang menahan marah.

Nana mengelap rambut yang masih basah.

"Kenapa ni?" Pelik pula bila dia tengok Jojo emosi semacam. Takkan boyfriend dia pun mentioned tutorial make up kut?

"Makin melampaulah!" Nada suaranya naik satu oktaf. Cadar ditilam diramas kasar.

"Apa yang melampau? Jangan cerita separuh-separuh boleh tak?" Buat Dalila saspens sahaja. Kerja-kerja di meja ditinggalkan dan mendapatkan tempat bersebelahan Jojo.

"Pencuci muka Jojo hilang," cerita Nana.

"Again?" Kening sedikit terangkat. Tidak percaya.

"Makin melampaulah kecurian kat hostel kita ni. Kali ni dah tiga kali tau pencuci muka aku kena curi. Kalau sepuluh ringgit tak apalah. Ini beratus kut! Eee... Geramnya aku." Bantal dicapai. Ditumbuk beberapa kali melepas amarah.

Dalila turut simpati. Pencuci muka SK-II kut! Beratus harganya. Kalau dia pun turut kecewa. Simpanlah kat mana pun, pasti akan hilang. Seolah-olah pencuri itu bagai sudah mengetahui tempat simpanan mereka.

"Dalam masa sebulan, sampai tiga kali dia curi pencuci muka kau. Aku syak dia cemburu kat kaulah, Jo." Dalila mula muncul dengan teori-teorinya.

"Kenapa nak cemburu kat aku pula?"

"Yalah... Sebab kau cun sangat. So, dia nak cantik macam kau." Kali ini giliran Nana menambah idealogi.

"Eee... Aku sumpah muka dia naik jerawat! Biar jahanam." Sumpahan Jojo itu buat riak wajah Dalila berubah serta-merta.

"Weh, jerawat tu slow sikit ya. Aku tengah sensitif ni." Terus jerawat yang tumbuh tadi dipegang.

"Apa hal pula?"

"Yalah, sebab jerawat yang sebutir ni, Raif gigih tagged aku kat Facebook. Macam mana nak cantikkan wajahlah. Tutorial make up lagi. Eee, annoying weh!" Tak boleh ke bila cinta tu, terima sekadarnya. Jadi, jerawat di muka juga harus diterima sama.

"Aku sampai sekarang tak boleh fikir kenapa kau couple dengan Raif tu. Muka aje boleh pakai tapi otak lingkup!" komen Jojo. Punyalah ramai calon yang lebih baik daripada Raif walaupun mungkin mereka tak sehandsome Raif.

"Mungkin aku taasub nak ada teman lelaki yang muka boleh pakai kut. Sebab pakwe lama aku tu, kaki study sampai nak dating pun tak boleh. Tak apalah, kita pastikan Raif tu kekal sebagai teman lelaki aje bukan teman hidup. Tak ingin aku nak menghadap muka dia seumur hidup. Sedap mata memandang tapi menyakitkan hati tak guna juga, kan?"

Mudah sahaja ayat Dalila. Dia couple pun sebab ikut trend. Rasa macam kuno pula kalau tak ada boyfriend bila umur sudah mencecah dua puluh dua tahun ini. Lagipun kalau nak clash, bukannya complicated sampai kena pergi pejabat kadi.

Diam.

"Jojo, kau dah kenapa diam?" Lengan si teman disiku. Mengelamun pula minah ni.

"Entah-entah..."

"Entah-entah apa?" Saspens pula suara minah ni.

"Entah-entah kau yang curi tak?" usik Jojo sengaja memprovokasi. Cuba melegakan kemarahan sendiri dan menenteramkan hati Dalila dengan perangai Raif.

Serentak tangan Dalila menarik rambut panjang Jojo.

"Kalau ya pun aku mencuri, aku hanya akan mencuri hati orang. Baru kelas. Setakat nak curi pencuci muka kau tu, tak kuasalah aku." Punggung sudah diangkat. Dia perlu kembali menyiapkan kerja yang masih terngadah di atas meja.

"Tapi kan... Bukan pencuci muka aje yang hilang tau. Aku dengar barang kat koperasi pun hilang. Blok sebelah pun ada hilang baju. Eh, banyak lagilah kalau nak list. Kalau kau orang perasan, kisah kecurian ni berlaku dari kita semester satu lagi. Tapi sekarang ni dia makin kerap buat kerja." Nana dah mula bentang kronologi. Lagak seperti seorang detektif.

"Tak sangka kan, perempuan pun nak mencuri." Jojo menggeleng kesal. Kalaulah dia jumpa pencuri tu, siaplah dia kena ganyang!

"Kena extra careful la lepas ni. Jojo, lepas ni kau jangan nak pandai-pandai tinggalkan toiletries dalam toilet. Bawak masuk aje dalam bilik ni. Atau mungkin kita kena pasang perangkap untuk tangkap pencuri tu," cadang Dalila sekali gus membuatkan kedua-dua temannya terdiam sebelum saling berpandangan sesama sendiri.

Hostel mereka sedang diselebungi misteri. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co