Bab 2
Suasana library agak padat. Al-maklumlah dah masuk minggu study week. Semua orang baru reti nak pulang ke pangkal jalan. Termasuklah seorang Deeba Dalila. Earphone disumbat ke telinga. Mata menelaah satu demi satu aksara untuk membuat nota ringkas sambil ditemani lagu Numb daripada Linkin Park.
Every step that I take is another mistake to you,
And every second I waste is more than I can take...
Kepala terangguk-angguk sendiri. Memang kena sangat lagu ni dengan mamat Si Raif tu, kan? Okey, dah kenapa otak aku teringat kat mamat tu pula?
Hari ni, genap dua minggu dia lost contact dengan Raif. Entah apalah cerita mamat tu. Hubungan mereka pula, masih digantung tanpa kata putus. Biarlah, tak bagi kesan apa pun pada dia.
Perhatiannya teralih apabila seseorang mengetuk meja. Pantas Dalila angkat muka. Raif! Haish... Pantang fikir terus muncul? Telepati ke ter-nak-mati ni?
Hanya kening diangkat sebagai pengantar bicara.
Tanpa mempedulikan reaksi pasif Dalila, Raif tarik kerusi. Tindak-tanduk Dalila yang langsung tak mengendahkannya, membuatkan darahnya mendidih tak semena. Raif mula nak marah. Tapi ditahan. Perlahan tangan menarik buku yang lebih mencuri tumpuan Dalila.
Earphone ditarik kasar. Mata terus memanah wajah Raif.
"Nak apa?"
"I'm sorry."
Kening kanan terjongket sedikit. "What for?"
Raif lepas nafas.
"Ya. Saya mengaku saya melampau. I'm sorry ya D," pujuk Raif.
Dia akui, memang Dalila bukan wanita yang terlalu cantik pun untuk dipadankan dengannya. Tapi dia senang dengan Dalila dan yang paling penting, Dalila payah didekati. Jadi Raif rasa tercabar. Kerana kebiasaannya, perempuan jarang untuk tak menoleh ke arahnya untuk kali kedua. Ketampanannya memang selalu memikat hati wanita di luar sana.
"We are over, Raif."
"Siapa cakap? Saya tak pernah cakap macam tu, kan?"
"Aku tak setaraf dengan kau." Buku yang ditarik oleh Raif tadi, dicapai semula. Earphone kembali disumbat ke telinga.
"Come on D, kan saya dah minta maaf. Saya stres... Jadi itu yang mengarut melalut ke tempat lain tu." Tak boleh. Raif tak boleh terima sebarang penolakan. Egonya tercalar!
Tak pernah hayat ada perempuan mintak clash dengan dia. Jadi, Raif tak akan benarkan Dalila memecahkan rekodnya itu. Kebiasannya, kerja minta putus itu adalah skop kerjanya. Malulah dia nanti kalau satu kampus tahu Dalila yang minta putus!
"Apa-apalah..." Malas betul Dalila nak layan. Baik dia sambung study.
"So, are we okay?"
"Hmmm..."
"That's my girl. Nah, upah..." Satu beg kertas diletakkan di atas meja.
"Apa ni? Saya tak makan rasuah." Tak berkenan kalau Raif taburkan dia dengan pelbagai barangan mahal. Kalau duit Raif lainlah. Ini duit bapak dia!
"I know. Tapi awak kena ambil juga. By the way minggu ni kita keluar, ya? Awak pakai tau."
Dalila dah naik letih dengan perangai pemurah Raif yang tak bertempat ini. Ini tak lain tak bukan, Raif belikan baju baru sebab Raif ajak keluar. Tak lain tak bukan sebab Raif tak mahu jika Dalila pakai baju yang selekeh jika mereka keluar bersama. Apa punya mind set yang Raif ada ni?
Haihlah, mana aku kutip boyfriend tagune macam ni?
Dahi dah berkerut-kerut. Susuk tubuh yang merapati keretanya itu dipandang dari atas ke bawah.
"Kenapa awak pakai sneakers? Baju ni kan ayu. Kenalah pakai heels. Takkan benda simple macam ni pun saya nak ajar?" Itulah respons pertama yang keluar dari mulut Raif.
Mata turun memandang ke kaki sendiri. Risiko besar kalau pakai kasut tinggi bila keluar dengan Raif. Buatnya dia nak tawaf satu mall nanti, tak ke kalau pakai kasut tinggi, mesti melecet habis kakinya.
"Saya keluar ni pun dah cukup baik, kan?" Dipekakkan telinga menghadap bebelan Raif. Kalau first date dulu lainlah. Ini bila perasaan di hujung tanduk ni, dia lagi suka nak buat Raif marah. Dah jadi sebahagian daripada hobinya.
"Awak kena belajar untuk taat, D. Sebab nanti-nanti bila awak kahwin dengan saya, awak kenalah belajar untuk puaskan hati saya dari setiap sudut."
"Hmmm..." Respons malas diberi. Macamlah dia ingin sangat nak jadi isteri Raif. Macam tempah tiket ke neraka dunia aje gayanya.
Orang selalu cakap malang tak berbau, kan? Tapi kalau sejenis malang yang boleh kita elak, baiklah kita elak.
"D... Awak ni kan..." Raif mula nak marah bila melihat Dalila melayannya endah tak endah.
"Apa lagi? Awak nak saya turun dari kereta ke?" Kesiannyalah Si Raif ni. Muka aje boleh pakai tapi sejenis manusia psiko. Semua benda kena ikut telunjuknya dengan menggunakan kuasa diktator.
"Tolong lepaskan rambut awak."
"Why?" Dalila pegang rambut sendiri. Apa pula salah rambut dia?
"Tak cantik bila awak ikat macam tu?"
Dalila garu tengkuk. Itu pun dia nak kawal ke? Lafaz dilepaskan. Walaupun jiwa dihempuk rasa geram, namun diturutkan juga permintaan Raif itu. Biarlah, tak akan menangnya apabila berlawan dengan orang bodoh ni. Untuk hari-hari terakhir ni, kita layankan ajelah.
"That's my girl." Barulah panjang senyuman Raif. Gaya macam baru lepas menang award.
Masuk ke dalam Paradigm Mall, Raif sudah memilih restoran untuk mereka makan tengah hari.
"Saya rasa nak makan nasilah hari ni." Perut seorang Dalila ni sensitif. Dia nak juga menghadap nasi dalam sehari. Kalau tak makan nasi, boleh kena gastrik. Ini nak makan pula western tengah hari macam ni.
Raif tanggalkan Rayban yang tersangkut di hujung hidungnya. Tubuh Dalila dipandang lagi.
"You are getting fat, D. You kena kurangkan nasi. Kalau tak awak akan nampak macam mak cik beranak tiga!"
Huwaaa... Kurang didikan betul mulut Si Raif ni.
"Excused me? Berat saya tak sampai lima puluh pun lagi. Apa yang gemuknya?" Dan kalau sungguh dia gemuk pun, ada dia kesah ke?
"Untuk ketinggian awak ni, berat awak supposedly tak lebih empat puluh lima. Come..."
What?! Wajah tak percaya ditayang. Dia ingat aku kerengga?
Ditarik tangan Dalila untuk menurutinya. Tapi badan Dalila sengaja dikeraskan.
"Come on, jangan jadi perempuan yang complicated sangat boleh tak?"
Ya Tuhan... Aci tak bagi beberapa das tendangan di wajah Raif ni sebagai ganjaran akibat bermulut puaka. Tapi untuk kesekian kalinya, Dalila beralah. Lepas ni, memang dia akan bagi kata putus untuk hubungan mereka.
Kepala dipanggung di atas meja selepas membuat pesanan. Bosan.
"D..." Dalila cam nada suara itu. Nada yang menunjukkan bahawa ada perlakuannya yang tak kena di mata Raif.
"What?"
"Jangan letak tangan atas meja macam tu. Tak sopan. Awak ni macam kena pergi kursus etika ketika di meja makan."
Tu dia! Kena pergi kursus derrr. Malas bertekak, tangan diturunkan. Penumbuk dikepal. Erat.
"D..."
"Apa lagi?"
"Smile. Kita bukan tengah melawat neraka sekarang ni." Sempat lagi Raif berjenaka. Jenaka yang membuatkan Dalila ketawa palsu. Kalau suis telinga Raif normal, pasti akan menangkap bunyi sumbang.
Memang betul kita bukan sedang melawat neraka tapi bila duduk dengan lelaki mulut puaka macam kau ni, rasa nak senyum pun muka terenjat dengan sendiri.
"D."
Kali ini tiada sahutan. Wajah Raif dipandang geram. Kaki ni rasa macam nak naik atas meja aje. Jangan sampai Raif ni pula kena hantar kursus cara-cara nak hidup dalam wad!
"What now? Can I breathe?" Takkan bernafas pun nak kena mintak izin? Semua benda tak kena.
"Keep calm, babe. I'm just kidding." Tawa kecil Raif kedengaran sangat hambar di pendengaran Dalila.
Kidding cicak kobing dia! rengus hati Dalila.
"Lepas ni kita shopping, ya?" usul Raif apabila Dalila diam tak berkutik.
Dalila sekadar mengangkat bahu. Kalau dia membantah pun, dia ada pilihan ke? Apabila makanan sampai, Dalila terus capai sudu dan garpu tapi cepat ditegah oleh Raif.
Kening terangkat. Apa lagi masalah lelaki ni?
"Bagi I snap dulu."
Mata dipejam. Dunia dan kegilaan yang makin gila!
"Oh... Ingatkan sebab saya tak baca doa tadi," perli Dalila sarkastik.
Raif ketawa. Jarinya terus ligat bermain di dada telefon pintarnya. Done upload Instagram.
Seperti biasa, Dalila keluarkan cili yang tersimpan kemas di dalam beg tangannya. Dia memang tak boleh makan kalau tak pedas.
"I nak you buang perangai you yang satu ni. I. Tak. Suka." Walaupun sudah acap kali dipesan, namun perangai Dalila masih sama. Dia suka membawa lada kecilnya bersama. Dia gigit lada tu macam makan gula-gula. Macam sekarang, makan western pun nak gigit cili.
"Tengah makan, tak elok bercakap. You ni kena hantar pergi kursus etika di meja makan." Kali ini Dalila memulangkan paku buah keras. Jangan sampai dia perdajal letak lada kecil di dalam makanan Raif. Nak buat macam mana, sedari dahulu lagi dia tak boleh makan jika makanan itu tak pedas. Dan setakat hari ini, tak ada pula dia diserang sebarang penyakit. Dan sakit nanti, pandailah dia insaf.
Teman Raif shopping adalah perkara yang paling di-sas-ter yang berlaku dalam hidup Dalila. Mentang-mentang anak orang berada. Suka hati dia aje nak swipe dan membazir.
"Yang ni cantik tak?" Soalan Raif itu mematikan lamunan Dalila. Mata terus merayap pada susuk tubuh Raif yang sedang mencuba beberapa helai baju.
"Cantik," puji ajelah walau tak ikhlas langsung.
"Ya ke? Tapi I rasa yang tadi lagi cantik, kan?"
Anak mata Dalila menjuling ke atas. Kalau dah ada jawapan, kenapa kau tanya aku? Tangan naik memicit kepala sendiri. Kenapa aku tersepit di celah takdir hidup Raif ni?
Telefon yang berdering mengalihkan perhatian Dalila. Cepat-cepat dibawa diri ke hujung butik.
"Hai, mummy..."
"Waalaikumussalam." Ceit, percuma aje kena perli.
Dalila tersengih. "Assalamualaikum, mummy... Mummy sihat?"
"Sihat. Yalah, nak harapkan anak yang telefon, mati dululah mummy ni gamaknya."
"Isy... apa cakap macam tu? D tak ada kredit nak telefon mummy. Mummy kenalah bagi elaun lebih sikit."
"Amboi, mummy juga yang salah? Tu kat mana tu?"
"Paradigm Mall..."
"Shopping la tu?"
"Bukan D yang shopping. D teman Raif aje." Dari dahulu lagi, keluarganya memang sedia tahu akan hubungannya dengan Raif. Dan Dalila memang gemar berkongsi apa sahaja perkara dengan mummynya. Yalah, dia seorang sahaja anak perempuan mummy.
"Minggu study week pun boleh pergi shopping?" Puan Diana menggeleng di hujung talian.
"Biasalah Raif tu... Bukannya betul sangat otak dia tu."
Puan Diana lepaskan tawa. "Amboi mengutuk bakal suami sendiri ke?"
"Euuuwww... Mummy, dia tu langsung tak ada ciri-ciri stok seorang suami buat Deeba Dalila. Tak kuasa." Aduh, mintak simpanglah ada suami macam tu.
"Kalau tak mahu, jangan mainkan perasaan orang D. Mummy tak suka." Tegas Puan Diana memberi pesanan. Bimbang jika si anak diapa-apakan kemudian hari.
"Mummy, makin D kenal dia, makin boleh tercabut skru otak D. Semua benda dia nak kawal. King control. Sampaikan rambut D ikat ke tak dia nak kawal. Ergh, cannot brain betul!"
"Eh, sesuailah tu kau dengan mamat tu dik!" sampuk satu suara lain.
"Hei... Makhluk mana yang menyampuk tak bagi salam ni? Mummy... Mummy buat loud speaker ke?" Tak pasal aje satu rumah dengar bebelan mengarut dia.
"Orang macam Raif tu sesuailah dengan kau dik. Sama-sama tak betul."
"Ah... Diamlah!" Si abang yang sorang ni memang suka sangat cari pasal dengannya.
"Dik, baliklah cepat. Abang rindulah."
Tanpa sedar, bibir Dalila mengutumkan senyum. Dariuslah satu-satunya abang yang dia ada. Dialah racun. Dialah penawar. Ada menyampah, tak ada rindu.
"Tapi aku tak rindu pun kau..."
"Eleh, acah aje tak rindu. Minggu depan balik, ya? Abang nak kenalkan bakal tunang merangkap bakal kakak ipar kau."
"For serious? Wehhh... Siapa? Send gambar dia ke aku bang." Dalila dah teruja. Seronoknya bakal dapat kakak ipar.
"Kalau nak tahu, sila balik ya? Okeylah, kredit nak habis dah ni. Jumpa nanti!" Cepat sahaja Darius putuskan panggilan.
"Bang..." Belum sempat Dalila bersuara, suara Darius sudah hilang. Tak penyabar langsunglah si abang ni.
"Are you done?" soal Raif mendekati Dalila yang ralit berbual di telefon.
Kepala diangguk. Dari tadi Raif yang sibuk membeli belah. Lagak gaya seperti hari esok tempat ni dah tak buka.
"Dah bayar ke?"
"Dah. Jom kita tengok wayang."
Dalila dah tarik muka apabila menyambut ayat Raif. Dia nak balik kampus dan study. Namun baru sahaja mereka berada di pintu butik, ada seorang lelaki menahan laluan mereka.
Dalila dan Raif saling berpandangan.
"Sorry, kenapa ni?" tanya Dalila pelik.
"Maaf Cik. Tapi boleh tak saya nak periksa beg cik?" pinta lelaki itu sopan.
"Nak tengok beg saya? Untuk apa?" Dalila dah mula berang. Apa masalah sampai nak tengok beg dia pula?
"Dari pemerhatian saya, cik ada ambil barang dari butik."
"What?" Kali ini suara Raif dua kali ganda lebih panik dari Dalila. Pandangan mata melebar ke arah sekeliling. Beberapa orang sudah mula memandang ke arah mereka.
"Jangan buat lawak boleh tak, bro? Kau nampak kan aku bayar tadi?" Raif membela Dalila.
"Maaf, encik. Saya tak maksudnya, encik. Saya maksudkan cik ni. Dari pemerhatian saya, cik ni ada mengambil barang dari butik. Jadi, saya minta kerjasama cik untuk beri kami periksa beg cik," tutur kata lelaki itu masih sopan.
Dalila baca nama di kemeja lelaki itu. Fayyad Syakir. Karbon dioksida dilepas lembut. Apalah malang nasib dia hari ni? Tak apalah. Berani kerana benar. Takut kerana salah. Kalau dia tak buat salah, kenapa dia nak takut, kan?
Baru sahaja beg tangan itu dihulurkan pada lelaki itu, Raif terlebih dahulu menghalang.
"Kalau beg ni tak ada barang yang kau cakap tu, aku akan pastikan kau dibuang kerja!" ugut Raif berang.
Adoi, lagak hero pula mamat ni.
"Relaks Raif. Ini normal procedure, kan? Dia hanya buat kerja dia," tutur Dalila tenang.
Lelaki itu senyum simpul sahaja. Beg dibawa ke bahagian kaunter. Dan sewaktu semakan dibuat, sehelai T-shirt Adidas dikeluarkan dari beg tangan Dalila.
Rahang Dalila sudah jatuh.
Raif ikut turut terkejut.
"What... Macam mana barang ni... Boleh ada..." Dalila hilang kosa kata. Terkaku bagai sedang dipanah petir.
"D, apa ni?" Raif melempar pandang ke arah Dalila. Langsung tak menduga. Dalila mencuri? Kalau betul nak baju tu, kenapa tak suruh dia bayar je?
"Raif... Saya sendiri tak tahu macam mana barang tu boleh ada dalam beg saya."
Fayyad pandang kedua-duanya silih berganti. Entahlah, tak ada pula dia tengok kedua-duanya gaya seorang pencuri. Namun kes sebegini selalu berlaku. Dan mereka berdua mungkin saling bersubahat.
"Maaf cik, saya terpaksa bawa cik ke bahagian pengurusan kami."
Dalila menggeleng. "No! Saya tak curi pun barang tu."
"Tapi barang ni ada dalam beg cik. Bukti sudah berada di depan mata," tegas Fayyad.
Tapak tangan mendarat di dahi. Masih lagi dijamah rasa tidak percaya. Bagaimana semua ini berlaku? Pelbagai andaian sudah bersarang di fikiran. Bagaimana jika pihak kampus tahu? Matilah dia... Dia pasti akan dikenakan tindakan tatatertib.
"Biar saya tengok beg ni..." Sumpah, tangannya terketar saat ini. Otaknya tunggang-langgang. Langsung tak boleh berfikir apa pun.
Fayyad menghulur beg gadis itu semula.
Apabila beg itu bertukar tangan, tanpa berfikir panjang terus Dalila berlari laju meninggalkan butik.
"D! Awak nak pergi mana?!" laung Raif kuat. Tak percaya bahawa Dalila akan meninggalkan dia sendiri.
Tanpa berlengah, Fayyad terus mengejar si pencuri itu. Dalila pula terus berlari tanpa sedikit pun menoleh ke belakang. Tak boleh! Dia kena larikan diri juga.
Buru-buru dia keluar dari pintu Paradigm Mall. Dan tanpa sedar, lariannya terlalu laju sehingga tidak sedar akan kehadiran sebuah kereta dari arah kanan. Dan akhirnya...
Dum!
Fayyad terkesima melihat gadis itu melambung jauh sebelum terdampar di bahu jalan. Ya Allah!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co