Truyen3h.Co

SEPARUH TAKDIRKU ADA KAMU

Bab 5

karyaseni2u

Malang betul hidup aku ni. Sudahlah ada suami yang bukan pilihan. Siap ada anak. Malah dia ada madu? Namun, sedang Dalila berperang sendiri, terdengar tawa daripada orang sebelah.

"Tipu ajelah."

"Tak kelakar."

"Sorry. Percubaan membuat kelakar abang tak menjadi."

Fuh. Lega. Tak dapat bayangkan kalau betul-betul ada madu. Dia perlu susun kembali satu per satu yang berada di benaknya. Semuanya seperti kepingan jigsaw puzzle. Berselerakan. Kalau betul dia perlu susun, dari mana dia perlu mula?

"Awak..." Dia perlukan bantuan Fayyad.

"Panggillah abang. Kan manis," tegur Fayyad.

"Panggilan tu mungkin manis tapi sayang awak tak cukup manis lagi. Jadi... Jangan harap saya nak panggil macam gitu."

"Kalau tak nak panggil abang sebagai tanda hormatkan suami pun, panggilan abang sebagai tanda hormat sebab saya ni tua enam tahun dari awak."

Enam tahun? Beza juga umur mereka.

"Macam mana kita boleh kahwin?" Sungguhlah yang semua ini bagai tak tercapai dek pemikiran Dalila.

"Sebab dah jodoh."

Anak mata menjeling ke atas. Apa ke polos sangat jawapan tu?

"Maksudnya, macam mana kita boleh jumpa dan bagaimana awak yakinkan saya untuk kahwin dengan awak?" Bertubi-tubi soalan dipasak. Menantikan keterangan si suami.

"Statement Lila silap."

"Apa yang silap?"

"Bukan abang yang yakinkan Lila tapi Lila yang yakinkan abang untuk teruskan perkahwinan ni," cerita Fayyad serius.

"Are you kidding? Maksud awak, saya yang... Mengurat awak?" Tolonglah cakap yang ni sekadar lawak hambar Fayyad sahaja. Takkanlah. Dia bukan jenis perigi cari timba. Sebegitu handsome Raif pun, tak pernah dia yang mulakan dahulu. Raif juga yang cari dia.

"Yup. Mengurat dan melamar."

"How and why? You are not even my cup of my tea!"

Fayyad ketawa.

"Itulah yang digelar jodoh. Datang tanpa diundang. Pergi tanpa ditendang." Sempat lagi Fayyad menghulur metafora.

"Saya ingat lagi, 12 April 2013 seorang Deeba Dalila binti Danial melamar saya untuk mengisi hari depannya bersama. Masa itu, kita jumpa di pantai Boracay."

"Boracay? Tempat apa tu? Tak pernah dengar pun."

"Philippines."

Dalila lepas tawa. Sungguh apa yang diceritakan oleh Fayyad itu langsung tak mampu dicerna dek akal fikirannya. Macam banyak sangat tipu daya muslihat. Boracay pun dia tak tahu kat mana, jadi bagaimana mungkin dia boleh melamar Fayyad di situ? Lagipun dia bukannya orang yang suka melancong. Jadi, semua yang diceritakan oleh Fayyad itu adalah sangat sangat sangat mustahil! Tak masuk dek akalnya.

"Abang tak ada kuasa untuk menilik masa depan. Jadi cerita hari depan, memang di luar kemampuan abang. Tapi tadi Lila tanya pasal masa silam. Dan itulah hakikatnya. Apa yang abang beritahu tadi adalah kenyataan."

Kepala yang rasa berdenyut dipegang. Terasa treler sedang menghempap kepalanya. Otaknya pula dicincang halus.

"Hei, Lila okey ke tak ni?" tanya Fayyad panik.

Pandangan dilepaskan ke luar tingkap. Tiada daya untuk menjawab sepatah apa pun. Semua yang berlaku terlalu mengejut.

"Okey, so many questions. Kita sambung nanti pula, ya? Don't push yourself Lila. Apa pun yang jadi, abang tak akan berganjak dari sisi Lila. Ingat tu."

Dibiarkan tangan Fayyad yang sedang menggenggam tangan kanannya. Kali ini dia benar-benar perlukan kekuatan sampingan. Kan best kalau ada sikat yang mampu menyikat segala kekusutan di benaknya tika ini.

Akhirnya pemanduan Fayyad sampai di sebuah rumah. Lambat-lambat Dalila keluar dari perut kereta. Memandang rupa setingkat Semi D.

"Home sweet home. This is our house. Besar untuk keluarga kecil kita dan kecil untuk menampung kasih sayang antara kita. Jom..." Ditarik tangan Dalila walaupun jelas terpancar ketidakpuasan hati dari wajah isterinya.

"Assalamualaikum..."

"Waalaikumussalam..." Muncul seorang wanita lebih kurang bayanya. Dia ni siapa pula?

"Ya Allah, leganya tengok Lila tak apa-apa. Sorrylah, aku tak sempat nak tengok kau kat hospital. Sebab kalau aku pergi hospital tak ada orang pula boleh jaga Faqih." Jannah terus memeluk tubuh Dalila. Erat.

Pelukan yang membuatkan Dalila terpinga-pinga. Sempat dibuang pandang ke arah suaminya.

"Erk... Kau ni siapa, ya?"

Terhenti senyum di bibir Jannah. Fayyad ada memberitahu apa yang berlaku pada Dalila. Dan hatinya selalu berharap agar Dalila tidak melupakan persahabatan mereka.

"Ini Jannah. Kawan baik awak, Lila."

Kawan baik? Kawan baik aku hanyalah Jojo dan Nana sahaja. Bercakap pasal Jojo dan Nana, mana mereka? Kenapa mereka langsung tak melawat aku di hospital?

"Mana Jojo? Mana Nana?"

Soalan itu buat Jannah dan Fayyad berpandangan sesama sendiri.

"Lila, awak dah lama lost contact dengan dia orang," jelas Fayyad.

"Huh?! Takkanlah... Kita orang kawan baik. Kalau kat kampus dulu, kita orang tak pernah berenggang." Jojo dan Nana tak pernah ketepikan dia dalam segala hal. Walaupun mungkin dia sudah berpindah, mustahil mereka langsung tidak berhubung.

"Saya pergi buat air dululah, ya?" Jannah berlalu memohon diri. Terasa janggal apabila berhadapan dengan Lila versi baharu ini.

"Boleh tak pinjam telefon awak?" Tangan ditadah pada Fayyad.

"Awak nak buat apa?"

"Saya nak telefon Nana dan Jojo?"

"Tapi..."

"Boleh ke tak? Nanti saya bayar balik kredit awak. Tapi kalau tak boleh, saya guna public phone aje nanti." Melihat air muka Fayyad itu, Dalila jadi terfikir sendiri. Dia kahwin dengan lelaki kedekut ke? Nak pinjam telefon pun sikit punya payah.

"Nah..." IPhone 7 dihulur pada Dalila.

"Erk... Ada passcode."

"Our anniversary."

"Manalah saya ingat."

"Your birthday," jawab Fayyad ringkas.

"Erk... Kita kahwin masa birthday saya ke?" Polos soalan daripada Dalila.

Fayyad senyum nipis. Mengangguk.

"Erk... Macam mana nak guna ni?" Macam canggih semacam aje telefon ni. Dulu pun dia pakai Samsung aje.

Fayyad memberi penjelasan ringkas. Apabila skrin disentuh, terpancar wajah mereka berdua yang tersenyum bahagia di skrin telefon.

Lama Dalila termenung sendiri sebelum mendail nombor Jojo. The number that you have dial is not in service. Ditaip pula nombor Nana. Ada suara yang menjawab di hujung corong telefon.

"Nana..." panggil Dalila dengan debaran yang memalu dada.

"Sorry, ni siapa ya? Wrong number. Saya bukan Nana."

Apa yang dah jadi ni? Ke mana kedua-dua sahabatnya ini menghilang? Telefon itu kemudiannya diserahkan semula kepada suaminya. Secara logiknya, sudah lima tahun berlalu. Pasti nombor kedua-dua rakannya itu juga sudah berubah.

"Simpanlah. It's yours." Telefon yang diberikan tadi memang milik isterinya.

"Lila, abang tahu semua ni mengejutkan Lila. Tapi Lila tak boleh paksa diri Lila untuk ingat semua yang berlaku. Lila boleh cuba tapi jangan paksa. Selebihnya, biarlah takdir Tuhan yang menjawabnya," pujuk Fayyad apabila dia melihat air muka isterinya berubah.

Diam.

"Kenapa semua ni jadi kat saya? Awak rasa sebab Tuhan benci kat saya ke?" Dalila sedar. Dia bukannya hamba yang baik. Solat pun lompong sana sini. Aurat pun tak tutup sepenuhnya. Tapi macam tak adil jika dia dihukum sebegini rupa. Dia tak kuat untuk semua ini.

"Tak baik persoalkan kerja Tuhan, Lila."

"Saya tak mampu nak terima semua ni Fayyad. Saya tak sekuat tu." Lemah suara Dalila.

Fayyad senyum.

"Dia ada jawapannya. Setiap detik yang berlalu dan ditinggalkan selalunya ada akibat dan alasannya sendiri." Tanpa sedar, tangannya memaut tubuh Dalila. Memujuk lembut.

"Kalau cakap aje tangan tak bergerak tak boleh ke?" Garang Dalila muncul semula. Mata menjeling lengan Fayyad yang masih berada di bahunya.

"Eh, tak boleh ya? Tadi Lila cakap tak kuat jadi abang pinjamkanlah kekuatan abang." Sempat lagi Fayyad mengusik.

Dalila acah-acah layang penumbuk. Namun penumbuk kecil itu terus menjadi sambaran ciuman Fayyad. Terbuntang biji mata Dalila. Tapi tak sempat dia membebel, suara tangisan si kecil menarik perhatian mereka.

"Ya Allah, lupa nak bawa awak jumpa Faqih." Pergelangan tangan Dalila terus dicapai.

Entah kenapa, debaran memalu dada. Kenapa Dalila rasa semacam aje untuk bertemu anaknya. Dan sewaktu pintu bilik ditolak, mata terus menangkap sekujur tubuh yang terbaring di atas katil itu.

"Umi..." panggil Faqih sambil melambaikan tangannya. Namun dia masih terbaring dan tidak bangun mendapatkan Dalila.

"Lila, inilah anak kita. Faqih Damian. F mewakili Fayyad dan D mewakili Dalila." Si kecil itu terus didukung oleh Fayyad.

"Kenapa dia macam..." Matanya bagai mengesan sesuatu yang tidak kena pada si kecil.

Lama Fayyad diam. Bimbang juga apabila melihat reaksi Dalila itu. Tapi ini adalah hakikat yang tak mampu diubah.

"Faqih tak macam kanak-kanak yang lain."

Diam. Dalila terus menanti penjelasan dari suaminya.

"Sejak lahir lagi Faqih disahkan mempunyai penyakit spina bifida jenis myelomeningocele yang menyebabkan sebahagian dari saraf tunjang dan meninges terjulur keluar dari tulang belakang yang terpisah. Ia mengganggu urat saraf dan menyebabkan kaki Faqih lemah. Buat masa ni, Faqih masih belum boleh berjalan walaupun dah berusia tiga tahun lebih."

Dalila telan liur.

"Maksud awak, Faqih ni orang kurang upaya? OKU?"

Lambat-lambat Fayyad mengangguk.

Sekali lagi, Dalila rasa ada lori muatan berat menghempap bahunya. Kenapa hidupnya sangat tragis dan sadis? Tak ada satu pun yang berjalan dengan lancar. Tak ada satu pun seperti mimpi yang dianyam selama ini.

"Apa dosa saya Fayyad sampai hidup saya jadi macam ni? This is not fair." Air matanya menitis. Untuk kesekian kalinya, dia mempersoalkan tulisan takdir.

Dia hilang keluarga.

Dia hilang kawan-kawannya.

Yang ada hanya seorang suami yang langsung tak dia kenali. Dan seorang anak yang dilahirkan kurang upaya?

"Umi..." Panggilan Faqih ceria berserta dengan pergerakkan tangan. Mata si kecil seakan-akan berharap agar dia diraih ke dalam pelukan.

Perlahan-lahan tangan Dalila terangkat sama. Tubuh si kecil dipeluk. Ruang mata mula berkaca sendiri. Apa yang sedang ditangiskan ini? Nasib Faqih atau nasib dirinya? 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co