Bab 6
Jannah memohon diri untuk pulang ke rumahnya. Dalila masih dipayungi rasa tak pasti. Entah di dunia manalah yang dia sedang berada ini.
"Aku balik dulu, Lila." Tubuh Dalila ingin dipeluk. Tapi melihat reaksi wanita itu yang pasif, Jannah batalkan niat.
Sebagai memberi respons, Dalila sekadar mengangguk.
"Lila..."
"Could you please just leave me alone, please?" Fikiran dan emosi yang saling bercakaran waktu ini perlu ditenteramkan.
"Asar dah masuk."
"So?"
"Jom kita solat sama-sama?" ajak Fayyad.
"Awak solatlah dulu."
Tidak mahu untuk memaksa, Fayyad mengangguk.
"Sementara saya solat, boleh tengokkan Faqih kejap?" Tadi ditinggalkan Faqih yang sedang tidur di atas sofa di ruang tamu.
Hanya anggukan kecil sebagai jawapan. Masuk sahaja Fayyad ke dalam bilik, langkah kaki terus mendapatkan Faqih.
Direnung wajah itu. Comel. Putih dan rambutnya juga lebat. Jika dia tidak cacat, pasti dia membesar sebagai seorang budak yang aktif seperti kanak-kanak lain.
Mata dipejam. Mengimbau perbualan ringkas bersama Fayyad tadi.
"Dia sakit dari kecik ke?" Itulah soalan pertama sewaktu melepaskan pelukan Faqih tadi. Mata yang berkaca dikawal. Tak membenarkan permata itu jatuh di hadapan Fayyad.
"Doktor sahkan Faqih menghidap penyakit tu dari dalam kandungan Lila lagi. Kecacatan yang tiub neural tulang belakang yang tidak ditutup sempurna ketika bulan pertama mengandung atau digelar sumbing tulang belakang."
"Macam mana boleh jadi macam tu?"
"Tak ada punca yang spesifik. Mungkin juga dari faktor genetik atau persekitaran. Atau mungkin juga berpunca daripada kekurangan acid folic sebelum mengandung atau pada awal kandungan."
Penjelasan demi penjelasan buat Dalila rasa terhukum. Adakah kecacatan anaknya berpunca daripada kecuaian dia sebagai seorang ibu? Argh... Satu demi satu soalan mengasak fikiran. Rasa bodoh!
Sedang Dalila berperang dengan perasaan sendiri, pintu rumah mereka ditolak kasar dari arah luar. Muncul dua orang wanita dengan riak wajah yang tak mampu Dalila baca.
"Dengar cerita isteri kamu dah balik dari hospital?" Tanpa menyedari kelibat Dalila, Hajah Mariani lontar soalan ke arah Fayyad yang baru keluar dari biliknya.
Tanpa menjawab, Fayyad melempar pandang ke arah Dalila. Wajah isterinya jelas terpinga-pinga.
"Lila... Sini."
Patuh dengan arahan, Dalila buka langkah. Melihat si suami menyalami wanita separuh abad itu, Dalila sudah ada firasat sendiri. Adakah ini ibu mentuanya? Tapi siapa pula wanita tinggi lampai berambut hitam ikal mayang ini?
"Ini ibu abang. Sebelah dia pula Kak Fifa. Kakak ipar abang."
Spontan tangan dihulur. Baru sahaja dia ingin mencium tangan, cepat sahaja wanita itu sudah menarik tangannya. Dalila dah dijentik aura tak best. Apa lagi kejutan dalam kehidupan barunya ini?
Wanita yang digelar Afifah itu pula memandangnya dari atas ke bawah sehingga membuatkan Dalila musykil sendiri. Aku tak pakai baju ke apa?
"Jadi betullah isteri Yad ni hilang ingatan?"
Nada suara wanita itu, langsung tak mampu Dalila tebak. Itu tanda prihatin atau sebaliknya. Lagi satu, semasa dia di hospital tak ada pula mentuanya datang melawat.
"Ya, bu. Lila masih tak ingat apa-apa."
Seketika, mereka saling terdiam.
"Eh, ibu dengan Kak Fifa duduklah dulu. Yad buatkan air. Lila, ajak ibu duduk dulu," suruh Fayyad sebelum berlalu masuk ke dapur.
"Jemput duduk, bu. Boleh tengok Faqih sekali..." Dalila ceriakan suara. Buat-buat ramah. Dia sendiri masih kabur dalam mengenal pasti perangai ibu mentuanya ini. Ini ibu mentua versi dalam filem Kasim Selamat ke? Macam selamat aje aku kejap lagi.
"Tak ingin aku nak tengok anak terencat kau tu!"
Menyambut ayat kasar itu, Dalila matikan langkah. Mata menjeling ke pintu dapur. Berharap agar Fayyad cepat menyiapkan hidangan untuk tetamu. Tak sanggup rasanya nak menghadap maharani sorang ni. Walaupun baru pertama kali berjumpa, Dalila dapat rasa yang dia bukan menantu pilihan.
"Ibu, dia mana ingat yang kita ni tak sukakan dia," ejek Afifah.
"Tengoklah apa nasib anak aku kahwin dengan perempuan ni, mentua datang rumah, suami dia pula yang buat air! Dia duduk goyang kaki macam tuan besar. Eee... banyak cantik muka kau kan?" Tanpa teragak-agak, kepala Dalila ditonyoh geram.
Berubah air muka Dalila. Apa dia ingat kepala aku ni bola ping pong ke? Jangan sampai kepala orang tua ni pula yang jadi bola golf. Tadi depan Fayyad sikit pun tak berkutik, kan?
Dalila lepas nafas. Okey, dia cuba sedaya upaya bersabar apatah lagi ibu mentuanya ini sudah hampir sebaya dengan ibunya. Rasa hormatnya masih ada sebagai seorang manusia. Jadi, Dalila yang dahulu memang kerap dibuli oleh mentua dan kakak ipar? Aduh, ironinya hidup!
"Hei, dengar sini ya perempuan yang hilang ingatan. Aku nak ingatkan kau, dari dulu lagi aku tak pernah restu kau kahwin dengan Fayyad dan tak pernah anggap kau jadi menantu aku. Jadi, kau jangan berangan nak aku layan kau baik-baik!"
"Ibu rasa betul ke dia ni hilang ingatan?" Sedari tadi, Afifah masih lagi membelek perilaku birasnya itu.
"Entahlah, Fifah. Perempuan ni saje nak perhatian daripada Yad. Eh, daripada kau hilang ingatan kan, kenapalah kau tak hilang terus aje dari mata aku ni?! Menyemak tahu tak!" Jari telunjuk menari di hadapan wajah Dalila.
Okey, enough. Pembulian ini tak boleh didiamkan.
"Saya menyemak mata mak cik ke? Alah kesian mata mak cik. Mungkin mak cik kena samak sikit mata tu. Entah-entah ada najis lain yang melekat." Entah dari mana keberanian ini datang. Mulutnya lancar menghulurkan ayat perang.
"Oh My God! Ibu! Dia dah pandai menjawablah." Afifah tayang muka terkejut.
"Oh, sekarang kau dah berani menjawab? Nak jadi menantu derhaka?" Terkejut juga dengan reaksi Dalila kali ini. Tidak mendiamkan diri seperti biasa.
"Kalau mak cik tak anggap saya menantu, macam mana boleh wujudnya menantu derhaka tu?" Sinis Dalila membidas.
Tangisan dari Faqih buat Dalila cepat-cepat mendapatkan anaknya. Pasti tidurnya terganggu mendengar suara dua makhluk asing ni. Tiba-tiba datang satu idea.
"Shhh... Kesian anak umi. Tidur tak lena, ya? Hah, dengar suara makhluk asing. Isy isy, kesian anak ibu. Ibu tutupkan telinga Faqih, ya?" Didodoi si anak yang merengek. Muka tanpa perasaan dihidangkan.
"Ibu, perempuan ni kutuk kita!" Afifah dah berang. Kakinya dihentak ke lantai.
Hajah Mariani tayang muka tak percaya. Ini bukan Dalila yang dia kenal lewat empat tahun ini. Dalila yang berada di hadapannya ini sangat berbeza. Dia sendiri kelu untuk menyakitkan hati Dalila.
"Amboi, kau cakap kita orang ni makhluk asing? Hei, cuba kau tengok anak kau tu. Itulah makhluk asing tahu tak!" marah Hajah Mariani.
Dalila tarik nafas. Mak mentua aku ni memanglah cari gaduh, kan?
"Mak cik, ini... Namanya anak syurga. Tapi tak pelik kalau mak cik tak tahu. Orang yang dah tempah tiket ke neraka, mana tahu pasal kewujudan anak syurga. Kan sayang kan?" bela Dalila lagi. Lantaklah kalau macam kurang ajar pun! Kesah pula aku.
Fayyad pun satu. Buat air apa lama sangat kat dapur tu? Tak dengar ke perang dunia ketiga yang bakal meletus ni?
"Amboi, rancaknya berborak tu..." Ceria suara Fayyad mencelah.
Dalila tarik nafas lega. Borak pebendanya, oi? Ini perang kut!
"Dahlah. Ibu nak balik." Hajah Mariani rasa terganggu. Dia kena siapkan diri untuk menghadapi Dalila versi baharu ini. Dia datang ke sini untuk menyakitkan hati Dalila. Tapi alih-alih, hatinya sendiri yang sakit.
"Aik, baru sampai, bu. Takkan dah nak balik? Marilah kita minum sama-sama." Fayyad yang masih belum mengesan sebarang ketegangan, terus menyusun cawan minuman di atas meja kopi.
"Kalau Yad nak minum, boleh balik rumah ibu. Ibu tak ada selera nak minum kat sini. Yad pun, kalau pun Yad dah ada isteri, isteri tu bukan tiket untuk Yad masuk syurga. Apa pun, kunci syurga Yad bawah tapak kaki ibu tau! Jadi jangan nak layan bini aje." Sinis Hajah Mariani memberi peringatan. Sempat lagi anak mata menjeling ke arah Dalila yang tayang muka tak bersalah. Malas nak berlakon baik dengan Fayyad lagi.
Riak muka Fayyad terus berubah.
"Apa ibu cakap macam ni pula? Yad tak pernah sisihkan ibu..." Ya. Sejak ada Faqih, dia akui jadual hidupnya agak berubah. Masa mereka banyak dihabiskan menjaga Faqih. Tapi itu tidak bermakna dia lupakan ibunya.
"Tapi Yad sedar tak yang Yad selalu lebihkan isteri Yad?"
Afifah merapati ibu mentuanya.
"Jom, buuu... Panaslah kat sini. Lagipun kedatangan kita macam tak dialukan aje." Afifah mencelah perbualan dua beranak itu.
"Kita orang balik dululah Yad, ya? Jaga isteri baik-baik sikit. Jangan sampai kurang ajar dengan mak mentua. Dia ni bukan aje sekadar hilang ingatan tapi dah hilang hormat pada mentua pun ada." Jadi batu api, memang kepakaran seorang Afifah. Dari dahulu, dia tak pernah sukakan Dalila!
Air muka Fayyad masih dibanjiri tanda tanya. Dia ikut keluar menghantar ibunya ke kereta.
Dalila angkat bahu. Aku tak tahu Dalila yang dahulu tu macam mana. Tapi... Aku tak akan benarkan orang macam mak cik dan perempuan tak guna ni ranapkan keluarga aku. Dalila tekad sewaktu menghantar pemergian kedua-duanya dengan senang hati.
Walaupun semua ini masih hijau dalam hidupnya, tapi tak akan dia benarkan sesiapa pun mengutuk anaknya. Apatah lagi anak syurga seperti Faqih.
Masuk sahaja ke dalam rumah, mata Fayyad mula menyasarkan wajah si isteri.
"Apa yang tak kena ni?" Lembut pertanyaan Fayyad. Sekadar untuk mengisi rasa ingin tahu yang menebal.
"Tak kena apa?" tanya Dalila tidak mengerti.
"Lila ada cakap sesuatu yang menggores hati ibu ke?" Lembut suara Fayyad melontar soalan. Intonasinya dikawal supaya tidak kedengaran seperti menuduh.
"Tak ada."
Satu keluhan berat dilepaskan. "Ibu tak pernah balik macam tu aje. Dan selama ni ibu tak pernah ada masalah dengan Lila."
Faqih yang sudah kembali lena itu, diletakkan kembali di atas sofa. Tubuh si suami dirapati.
"Saya tanya sikit boleh?"
Kening Fayyad terangkat. Menanti.
"Macam mana hubungan Dalila dengan mak awak? Maksud saya... Dalila yang dulu?" Masa di hadapan Fayyad tadi, tak adalah keluar semua ayat tak 'bersirim' daripada ibu mentuanya itu. Nampak elok aje.
"Setahu abang okey aje."
"Oh, setahu awak okey ajelah?" Nampak sangat Fayyad ni kena tipu buta-buta.
"Yalah. Okey. Kenapa Lila tanya macam ni?" Lain semacam sahaja suara Dalila kali ni. Apa yang si isteri cuba sampaikan?
"Sebab saya tak rasa okey," luah Dalila jujur.
"Maksud Lila?"
"Mak awak tak sukakan saya a.k.a Deeba Dalila. Tak kiralah Lila versi dahulu atau versi sekarang, mak awak tak pernah sukakan dia," rumus Dalila penuh yakin.
"Mustahillah."
"Mustahil itu adalah satu fakta yang awak kena terima Fayyad. Mak awak bencikan Dalila dan yang paling teruk, dia turut bencikan anak awak, Faqih Damian." Ini adalah fakta yang tak boleh disembunyikan. Bagi Dalila, Fayyad perlu tahu.
"Lila, mungkin awak penat... Dan abang rasa awak perlukan rehat. Semua tu sekadar perasaan awak aje."
"No, I'm not! Mungkin Lila yang lama tak pernah beritahu awak kenyataan yang satu tu."
"Serasa awak, kenapa pula Lila yang dulu nak berahsia daripada abang?"
"Mungkin selama ni Lila tu berlakon sebab Lila sayangkan awak dan dia tak nak awak terluka dengan semua kebenaran yang terhidang."
Diam. Mata menerjah wajah polos si isteri yang lantang bersuara. Ya, Dalila yang dahulu cukup bijak memendam perasaan untuk sesetengah perkara kerana dia cukup pandai menjaga dan mengambil hati. Bagaimana pula dengan Dalila versi baharu ini?
"Jadi, Lila yang di hadapan abang ni... Tak sayangkan abang ke?" Berat untuk Fayyad menduga. Tapi, isi hati isterinya perlu diselongkar.
Liur ditelan. Membalas redup pandangan Fayyad.
"Tak. Saya. Tak. Ada. Perasaan. Pun. Pada. Awak." Sepatah-sepatah jawapan itu keluar dengan penuh yakin.
Jawapan yang langsung tak mengejutkan seorang Fayyad Syakir. Tapi yang membuatkan dia terkejut ialah... Benarkah ibunya tidak menyukai Dalila? Ya. Pada awal perkahwinan mereka dahulu, memang si ibu ada menentang. Tapi semuanya berubah tenang usai Dalila sah menjadi isterinya.
Ya Allah, apa yang terlepas dari pandanganku yang terbatas ini? Adakah ini hikmah Dalila hilang ingatan? Ada rahsia yang bakal terbongkar?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co