Bab 1
FATIN gigit bibir, menahan rasa sebak di dada sebaik sahaja matanya menangkap kelibat seseorang di ruang keluar lapangan terbang. Air mata sudah bergenang di birai mata, menunggu masa untuk gugur sahaja. Pandangan matanya juga sudah kabur.
"Abang..."
"Atin..."
Tanpa sedar dia sudah berada dalam pelukan abang tercinta. Satu-satunya abang yang dia ada sekarang ini. Satu-satunya darah daging yang tinggal selepas kematian ibu bapanya. Satu-satunya insan tempat untuk dia bergantung harap.
"Abang jangan tinggalkan Atin lagi. Please, stay by my side." Air mata yang tadinya bergenang sudah luruh membasahi pipinya. Adam hanya tersenyum pahit. Kepala adiknya yang berbalut tudung diusap perlahan. Dia faham perasaan adiknya.
"No, I won't do that, my dear. Abang akan sentiasa ada di sisi Atin. Abang janji." Semakin kuat esakan adiknya, semakin kuat pelukannya. Dia tahu adiknya perlukan dia. Dia perlu kuat meskipun air mata sudah mahu mengalir tapi cuba ditahan sebaik mungkin. Kekuatan dia adalah kekuatan adiknya. Kepala adiknya dicium perlahan.
"Adam..."
Kepala diangkat sebaik mendengar namanya diseru. Raut wajah sedih bapa saudaranya menyapa kornea mata. Lelaki itu turut berdukacita dengan kehilangan adik kandungnya dan juga adik iparnya. Siapa sangka yang mereka akan pergi dulu darinya?
"Pak long..."
SUASANA pada malam itu sunyi sepi. Hanya kedengaran bunyi cengkerik berlawan suara dengan katak yang ingin memanggil hujan. Majlis tahlil untuk arwah ibu dan bapanya sudah lama selesai. Dia duduk di atas tangga bertemankan bintang dan bulan. Masih lagi terbayang-bayang suara adiknya yang menelefonnya semalam untuk memberitahu berita duka itu, tanpa berlengah, dia terus mengambil tiket untuk pulang.
"Abang..."
"Kenapa ni, Atin? Atin tak sihat ke?" tanyanya risau sebaik sahaja panggilan dari adiknya bersahut.
"Ibu... Abah... Dah tak ada. Ma... Atin..." Suara adiknya terus hilang diganti dengn esakan yang kuat. Terasa dadanya bagaikan dipanah petir tatkala berita itu sampai di pendengarannya. Dia bagaikan tidak berpijak di bumi nyata, dia bagaikan tidak percaya dengan berita itu tetapi mendengarkan esakan adiknya di talian membuatkan hatinya bertambah remuk.
Biarpun badannya masih lagi letih disebabkan sibuk berkejar untuk majlis tahlil tadi tetapi matanya masih lagi tak mengantuk. Adiknya sudah lama tidur. Dia dan adiknya sangat terkesan dengan kejadian yang berlaku hari ini. Dia sendiri bagaikan tidak percaya dengan semua itu. Dia bagaikan bermimpi tetapi sebaik sahaja melihat jasad ibu dan abah yang terbaring kaku di ruang tamu, perlahan-lahan hakikat tu cuba ditelan meskipun terlalu pahit. Sekarang ni, yang tinggal hanyalah mereka dua beradik sahaja.
"Adam..."
Tepukan di bahunya menyedarkan Adam dari lamunan. Air mata yang bergenang di birai mata segera dilapnya. Tidak mahu pak longnya menyedari dia menangis tetapi mata orang tua cepat aje menangkap perilakunya.
"Pak long faham perasaan Adam. Memang sukar untuk kita terima hakikat semua ini. Adam kena kuat, Fatin perlukan Adam." Suara pak long menerjah gegendang telinganya.
"Adam tahu, pak long. Tapi benda ni mendadak sangat. Adam tak sangka semua ini berlaku. Adam rasa tak adil. Kenapa mesti ibu dan abah? Kenapa Adam yang..." Kata-katanya mati. Sebak.
"Adam... Jangan pertikaikan takdir Allah. Semua ini sudah ditetapkan. Kita kena terima semua itu dengan reda. Ya, memang kadang-kadang kita rasa tak adil tapi percayalah setiap yang berlaku tu ada hikmahnya. Mungkin sekarang ni kita tak nampak lagi tapi bila Adam dah nampak hikmahnya, percayalah Adam akan berterima kasih kepada Allah. Dialah sebaik-baik perancang. Adam kena kuat. Adik Adam perlukan Adam. Dia tak sekuat Adam." Adam menundukkan kepalanya. Dia silap. Tidak sepatutnya dia mempersoalkan takdir Allah. Mungkin masa ini masa dia susah, siapa tahu untuk masa akan datang, dia akan jumpa kegembiraannya kelak.
"Adam cuba." Serentak itu, bahunya terasa ditepuk perlahan. Dia pandang langit malam. Kelihatan dua butir bintang bersinar di dada langit. Bibirnya menarik senyuman tipis.
"MAKAN..."
Fatin diam. Dia langsung tiada selera mahu makan. Walaupun sudah sebulan ibu bapanya meninggalkannya, kesedihan itu masih lagi jelas terasa. Bukan senang untuk melupakan orang yang sentiasa di sisi, tak kiralah masa senang atau masa susah. Semua ini bukan keinginannya. Kehilangan ibu bapa dalam umur yang muda, kehilangan tempat untuk bergantung, tempat untuk bermanja, tempat untuk bergurau senda. Walaupun dia sudah besar tapi cukup sukar untuk dia mengukirkan senyuman kala hatinya masih lagi bersedih dengan kehilangan orang yang tersayang.
"Atin, makanlah. Dah sebulan dah Atin macam ni, Atin tak kesiankan abang ke? Tak kesiankan ibu dan abah?"
Mendengarkan nama ibu dan abah disebut, air matanya laju mengalir membasahi pipi. Automatik. Dia tidak mampu mengawal air matanya dari jatuh. Dia tak suka bila abangnya menggunakan nama ibu dan abah untuk memujuknya.
"Atin..."
"Atin penat. Atin nak rehat." Dia terus bangun meninggalkan abangnya sendirian di ruang dapur. Dia mahu bersendiri.
Adam mengeluh. Dia menyandar di kerusi. Dia faham perasaan adiknya. Memang sukar untuk adiknya menerima kehilangan yang mendadak itu. Dalam sekelip mata sahaja, mereka kehilangan dua insan yang tersayang. Sukar untuk dipercayai. Walaupun adiknya sudah berumur dua puluh tahun tapi dia tahu adiknya masih lagi belum dapat mengawal perasaannya. Sementelah hanya dia satu-satunya insan yang agak rapat dengan ibu bapanya.
"Sabarlah, Adam. Atin masih trauma lagi." Suara mak long yang cuba memujuknya dibalas dengan senyuman.
"Adam faham."
"Bagi dia masa. Sukar untuk dia lupakan semua ini, mungkin ini satu kejutan kepada dia. Kehilangan ibu dan abah secara serentak. Dia masih budak lagi, dia tak boleh nak kawal emosi dia." Mak long duduk berhadapan dengan Adam. Wajah Adam dipandang. Dia tahu anak saudaranya masih lagi sedih dengan peristiwa yang berlaku tapi itulah hakikatnya, kita kena sentiasa bersedia dengan apa-apa dugaan dalam hidup kita. Mungkin untuk menyelesaikannya susah dan mengambil masa yang lama, tapi sekurang-kurangnya kita cukup kuat untuk menghadapinya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co