Bab 2
WAJAHNYA yang kusam jelas terpamer di dalam pantulan cermin biliknya. Seharian dia duduk berkurung di dalam bilik. Biarpun berkali-kali dipujuk abang, mak long dan pak longnya untuk makan, dia tetap berdegil menolak. Dia langsung tiada selera untuk makan. Semuanya bagaikan sudah hilang sebaik sahaja dia menerima berita kematian ibu bapanya.
Semangatnya bagaikan turut sama dibawa pergi mengikuti arwah ibu bapanya. Hanya jasadnya sahaja berada di sini membuktikan dirinya masih lagi bernafas. Sekali lagi air matanya mengalir membasahi pipinya. Untuk yang ke sekian kalinya dia menangis, meratapi kematian ibu bapanya. Dia bagaikan tidak berpijak di bumi nyata. Semuanya bagaikan mimpi.
"Atin... Keluarlah. Berapa lama lagi Atin nak duduk dalam tu, dik? Atin tak lapar ke?" Suara abangnya di sebalik pintu tidak dipedulikannya. Semua orang tak faham ke, dia nak bersendirian? Tak perlulah nak pujuk dia bagai! jeritnya dalam hati.
"Atin..."
"Abang nak apa? Pergilah. Atin tak lapar," jawabnya lemah. Selagi dia tidak bersuara, selagi itulah abangnya akan datang mendesak.
"Atin jangan seksa diri Atin macam tu. Buka pintu ni, dik," pintanya memujuk. Sememangnya dia agak penat mahu melayan kerenah adiknya itu. Dia tahu adiknya sukar untuk menerima kejutan ini tapi bukan dengan cara ni, menyeksa diri sendiri.
Fatin diam. Dia masih lagi duduk berteleku di meja solek. Air matanya sudah kering. Fikirannya kosong. Perlahan-lahan dia bangkit dari duduk dan tombol pintu dipulasnya. Dia kembali duduk tetapi kali ini di atas katil sambil memeluk kakinya.
Adam melangkah masuk sebaik sahaja pintu dibuka. Dia menghela nafas melihat keadaan adiknya itu. Rambut yang tidak terurus, mata sembap dan bengkak. Hmmm... Macam manalah adiknya boleh bertahan dalam keadaan sebegini? Pintu dibiarkan terbuka lantas dia mengambil tempat bersebelahan adiknya di atas katil. Ruang bilik dipandangnya sekilas. Bersepah.
"Atin..."
Fatin senyap. Adam memandang wajah adiknya yang sedang jauh termenung. Mengingatkan arwah ibu dan abah pastinya.
"Atin ingat tak apa yang ibu dan abah pesan?" Soalan abangnya tidak dipedulikan. Pandangannya ditala ke dinding bilik. Tika ini, saat ini, detik ini, fikirannya kosong. Hatinya kosong. Satu per satu kenangannya dengan arwah ibu dan abah terbayang di minda. Gelak mereka, senyuman mereka, rajuk mereka, wajah mereka...
"Hidup ni memang tak lepas dari masalah, setiap orang ada masalah bahkan kucing pun ada masalah. Sayang, ibu tahu susah untuk Atin lalui semua ini tapi percayalah Allah tak akan menguji hamba-Nya melebihi kemampuan mereka. Allah tahu yang anak ibu ni mampu hadapi semua ini. Atin kena tabah, Atin kena kuat. Kuat hadapi semua benda ni. Percayalah di setiap penghujung masalah, ada hikmah yang tersembunyi. Tak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Bila ibu dan abah dah tak ada, jangan jadi lemah macam ni. Ingatlah ada lagi orang yang menderita, bukan sayang sahaja." Air matanya mengalir laju membasahi pipi tapi pantas diseka Puan Zarina. Fatin ditarik dalam pelukan. Belakang anaknya diusap. Dia tahu anaknya sedih dengan kehilangan nenek tercinta tetapi ajal, maut semua di tangan Tuhan.
"Jangan jadi perempuan yang lemah. Ibu tak halang kalau sayang nak menangis tapi jangan sampai seksa arwah nenek dekat sana. Mesti dia sedih kalau tengok cucu dia menangis macam ni. Atin tak kesian dekat nenek ke? Atin sayang nenek tak?" Puan Zarina menarik nafas sebelum menyambung kata... "Setiap insan akan merasai detik kehilangan orang tersayang... Nanti bila ibu dah tak..."
"Ibu jangan cakap macam tu, Atin tak suka." Fatin memeluk erat badan ibunya. Dia tidak sanggup mendengar ibunya bercakap mengenai kematian. Dia masih lagi belum bersedia melepaskan ibunya pergi jauh dari sisinya.
Puan Zarina senyum.
"Itu hakikatnya, sayang. Lumrah hidup. Yang hidup pasti akan mati, tak terkecuali ibu dan abah, sayang. Nanti bila ibu dan abah dah tak ada, jangan jadi macam ni. Atin kena kuat. Bangun, jangan nangis lagi, air mata tak akan mengubah semuanya. Yang berlaku tetap akan berlaku. Atin kena ingat, ibu dan abah sayang Atin dan abang. Jangan susahkan abang."
"Atin..."
Dia bagaikan baru tersedar dari lena apabila namanya diseru perlahan. Mata yang sudah sembap dan bengkak dibawa ke wajah abangnya yang memandangnya dengan wajah yang sedih dan kecewa. Tanpa sedar, dia sudah berada di dalam pelukan abangnya.
Bodohnya dia selama ni, kenapalah dia tak sedar yang ada insan yang lain turut menderita dengan kehilangan ini, bukannya dia seorang. Abangnya pun sama...
"Abang... Atin minta maaf," ucapnya dalam esak tangisan. Adam memeluk erat adiknya. Rambut adiknya diusap perlahan.
"Bukan salah Atin. Ini ketentuan-Nya, kita kena terima dengan reda."
"Atin silap. Atin pentingkan diri sendiri. Atin langsung tak fikirkan pasal abang. Atin minta maaf." Dia tahu sudah sebulan dia memberikan layanan dingin kepada abangnya. Bukan kerana dia bencikan abangnya cuma dia masih lagi tidak mampu menerima hakikat yang dia sudah kehilangan tempat bermanja. Kehilangan orang yang dia cinta dan sayang.
"Abang faham. Sekarang ni, Atin kena move on. Yang lepas biarkan lepas. Atin kena ingat yang Atin masih ada abang, pak long, mak long dan ramai lagi. Kita orang semua sayangkan Atin. Abang janji, abang akan jaga Atin sampai bila-bila. Abang sayangkan adik abang." Atin menangis lagi. Semakin kuat pelukannya. Ya, dia masih lagi ada abang, ada orang yang menyayanginya. Dia tidak bersendirian.
Kelihatan dua susuk tubuh sedang memerhatikan tingkah dua beradik itu. Senyuman terukir di bibir mereka apabila melihat kedua-dua anak saudaranya sudah berbaik. Lega apabila Fatin mulai sedar dengan keadaannya sekarang. Dalam hidup ni, kita perlu reda dan yakin dengan aturan Allah. Biar sesulit mana pun masalah yang timbul, sesukar mana pun jalan yang kita lalui, insya-Allah ada jalan penyelesaiannya.
SUDAH seminggu berlalu, hubungan Adam dan adiknya juga sudah semakin baik. Emosi Fatin pun sudah semakin stabil, walaupun kadang-kadang senyuman terukir di wajahnya tetapi hakikatnya kesedihan itu masih lagi terasa.
"Atin, minggu depan result STPM keluar, kan? Dah ada plan nak sambung mana-mana?" tanya Adam sebaik sahaja mengambil tempat di sebelah adiknya yang sedang menonton televisyen.
Fatin terkaku seketika, dia langsung lupa mengenai tarikh keputusan peperiksaannya sementelah kepalanya hanya dipenuhi dengan kejadian yang tidak terjangka. Dia mengeluh sedikit apabila tersedar yang dia terlalu leka dengan dunianya sehinggakan lupa mengenai keadaan sekeliling.
"Atin tak tahu lagilah, bang. Atin rasa tak nak sambung belajar. Atin nak duduk rumah sahaja, boleh tak?" tanyanya tanpa nada. Sememangnya dia tiada mood mahu memikirkan mengenai rancangannya untuk sambung belajar sedangkan dulu dia pernah berangan-angan untuk menjadi fashion designer yang berjaya tetapi harapannya seakan-akan hancur apabila ibu bapanya pergi meninggalkannya.
"Atin... Tak bolehlah macam tu. Buat apa Atin sekolah sampai tingkatan enam kalau Atin tak nak sambung study. Sia-sia ajelah." Adam tidak bersetuju dengan rancangan adiknya yang tidak mahu sambung belajar. Bukannya dia tidak tahu yang adiknya merupakan salah seorang pelajar cemerlang di sekolah. Dia tidak mahu adiknya mempersia-siakan masa belajarnya hanya untuk duduk di rumah. Tak berbaloi segala usaha dan wang yang dilkeluarkan untuk belajar kalau pengakhirannya hanya mahu duduk di rumah.
"Atin tak ada moodlah nak cakap pasal benda ni, abang. Atin naik dululah." Fatin terus menghilangkan diri ke biliknya. Buat masa sekarang, dia tidak mahu membebankan otaknya memikirkan mengenai masa depannya lagi. Dia perlukan ketenangan buat masa sekarang.
Adam hanya memandang kelibat adiknya yang sudah menghilang di sebalik pintu biliknya. Rumah banglo ini sunyi sementelah hanya mereka berdua sahaja penghuninya. Dia tidak akan sesekali bersetuju dengan cadangan adiknya kerana dia ada rancangannya sendiri. Fatin akan tetap meneruskan pelajarannya tapi bukan di sini.
FATIN duduk termenung di balkoni biliknya sambil menghadap ke arah taman buatan ibunya. Dia bagaikan ternampak-nampak bayangan ibunya di setiap sudut. Birai matanya mula panas tapi cuba ditahannya. Dia berpaling pula menghadap kolam yang dibina abahnya tiga tahun lepas atas permintaannya. Bayangan abahnya yang sedang berehat sambil membaca surat khabar terbayang di matanya. Air matanya hampir gugur ke pipi tapi Fatin menarik nafas panjang, cuba meredakan rasa sebak dalam dada. That's it!
Dia bergerak masuk ke dalam bilik. IPhone 6, hadiah daripada ibunya di atas keputusan cemerlangnya dalam penggal tiga seminggu sebelum kematian ibu dan abahnya dicapai. Nombor seseorang didail. Dia menunggu beberapa detik sebelum talian bersambung.
"Helo..."
"Ara, esok aku balik kampung kau."
"Okey. Aku faham."
"Okey. Bye."
Telefon dicampakkan ke atas katil. Mujurlah Farah, sahabatnya tidak banyak tanya. Dia duduk di birai katil. Ya, esok dia akan pulang ke Kelantan. Dia perlukan masa bersendirian, dia perlukan ketenangan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co