Truyen3h.Co

Suami Edisi Terhad

Bab 1

karyaseni2u

Prolog

"ENCIK..." Aku panggil dia.

"Ya..."

"Encik ada bulu dada tak?" Ah! Sudah, Azian.

"Kenapa tiba-tiba tanya pasal bulu dada ni?" Senyuman Encik Hazrul jadi selebar-lebarnya.

Aku sudah malu gila. Macam mana boleh terlepas soalan ni sedangkan aku dah tak ingat langsung pasal bulu dada. Adoi, mulut ni memang kurang ajar betul. Tak tahu malu langsung!

"Nak cari calon suami yang ada bulu dada?" soal Encik Hazrul lagi. Kali ni dia memang senyum tak sudah.

"Bukan, tadi Kak Ha dan Kak Huda cerita pasal lelaki ada bulu dada."

"Kenapa?"

Aku geleng.

"Takkan tak tahu."

"Mereka tak sebut pula!"

"Tak sebut atau awak tak berani nak sebut kat saya?"

Orang kata, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

"Hmmm, setahu saya lelaki ada bulu dada ni punya anak ramai. Lebih daripada lima orang."

"Encik ada ke?" Cepat-cepat aku tanya.

"Sebab ada la saya cerita!"

Bab 1

HARI-HARI yang aku lalui adalah hari-hari yang sangat indah. Sukar untuk aku huraikan dengan kata-kata betapa bahagianya aku. Melewati hari-hari bersama suami tercinta dan buah hati kami terasa seperti tercampak ke dunia paling indah. Dunia yang hanya ada aku, Encik Hazrul dan Humairah. Besar benarkah permintaanku andai aku hanya mahukan kami bertiga saja di dalam dunia ini? Aku tidak perlukan sesiapa lagi. Sungguh, aku memang tidak perlu sesiapa pun juga.

Tapi, mana mungkin kerana kehidupan ini ibarat rantaian biologi yang memerlukan antara satu sama lain. Hendak atau tidak, kehadiran pihak lain sama penting. Hidup seharusnya begitu. Saling memerlukan. Ibarat aur dengan tebing. Tidak terlalu pentingkan diri sendiri dan tidak terlalu mengambil tahu hal orang lain.

Bagi aku, cukup kalau namanya kehidupan yang baik-baik saja, yang biasa-biasa saja tapi bersama limpahan kasih sayang yang tidak terhingga. Tiada lain yang aku minta. Bukan kemewahan yang aku dambakan. Hanya yang biasa-biasa saja.

Cinta. Selain hidup yang biasa-biasa, aku juga memerlukan cinta. Sangat memerlukannya kerana aku juga manusia biasa yang ingin dikasihi. Tak salahkan kalau manusia biasa seperti aku mahukan kebahagiaan? Siapa yang tidak mahu hidup bahagia? Kalau diberi pilihan antara wang ringgit, aku tetap pilih untuk hidup bahagia walau sekadar jadi isteri seorang penternak lembu.

Aku mengenal erti cinta melalui dia. Cinta yang aku kira mustahil untuk insan seperti aku miliki. Namun kata Encik Hazrul, cinta itu sifatnya sangat luar biasa. Tak pernah kenal sesiapa. Tak pernah dibezakan antara jelak dan yang memiliki kesempurnaan. Siapa saja di luar sana, pasti akan temui cinta agung masing-masing. Dan sesungguhnya aku ialah insan yang terpilih untuk memiliki cinta agung itu. Cinta daripada seorang lelaki yang sangat hebat.

Ah! Manisnya percintaan ini.

Humairah mengekek. Sekaligus mematikan semua lamunanku yang indah-indah belaka. Sejak pandai ketawa, senang saja dia mengekek. Pantang diacah sedikit. Kadang-kadang melihat wajah kami berdua saja dia boleh ketawa. Macamlah muka papa dan mama ni muka badut. Mungkin ada sebab yang membuatkan dia ketawa. Dia ada ibu bapa yang sangat menyayangi dirinya. Jadi, dia berusaha untuk menyenangkan hati kedua-dua ibu bapanya.

Sayang Humairah.

Humairah sudah enam bulan. Badannya berisi seperti kebanyakan bayi seusia dengannya. Kulitnya putih gebu. Wajahnya? Saling tak tumpah seperti wajah papanya. Sangat comel. Kata orang kalau anak perempuan mengikut wajah ayah, sejuk, penyabar, tak keras kepala dan tak pentingkan diri sendiri. Harap begitulah.

Humairah tidak banyak ragam. Senang dijaga, siang dia akan tidur dan malam akan berjaga. Itu saja masalahnya. Tapi elok juga dia berjaga malam. Boleh temankan papanya. Papanya bukankah suka tidur lewat malam?

"Sayang, kita tunggu papa..." bisik aku kepada Humairah sebaik saja siapkan Humairah. Pipi gebu itu aku cium. Wanginya anak mama. Masih ada bau bayi. Mungkin bau inilah yang Encik Hazrul rindukan saban hari. Maka tidak hairanlah kalau Humairah menjadi pilihan untuk dicium terlebih dahulu sebaik sahaja tiba di rumah.

Sambil dukung Humairah, aku pandang cermin. Rambut sudah aku tocang kemas. Bibir juga nampak seksi dengan gincu warna merah jambu. Bedak asas juga masih rata di muka. Cukup. Encik Hazrul memang tidak suka aku bersolek secara berlebihan. Baginya cukup menutup wajah kusam. Katanya lagi, tanpa sebarang solekan juga, aku tetap dipandang manis. Sebagai isteri, pasti saja aku mahu lakukan yang terbaik buat suami aku. Tidak mahu dipandang jemu.

Setahun dua, usia perkahwinan itu masih di alam manis. Apa juga yang dibuat serba cantik dan menarik, namun apabila masuk usia ketiga tahun, perasaan itu pasti saja berkurangan. Kasih sayang akan mula pudar kalau tidak diusahakan sesuatu. Semuanya bakal jadi hambar nanti. Hilang kasih maka hilanglah sayang.

Huh! Siapa kata alam perkahwinan itu manis belaka? Kahwin dulu baru tau cerita.

Saban petang, aku dan Humairah seperti penunggu yang sangat setia. Kami menantikan lelaki yang sama. Lelaki yang paling kami sayang dan lelaki yang telah membahagiakan hidup kami.

Petang ini sangat cantik. Cahaya matahari mula redup. Angin dingin Bukit Cendana sentiasa berpuput lembut. Sangat menyegarkan. Di halaman rumah, bunga-bunga ros berwarna merah hati dan merah jambu sedang kembang mengelilingi pagar kayu rumah kami. Bersulam dengan bunga matahari yang sentiasa menarik perhatian. Di hujung halaman, putik-putik anggur mula menampakkan hasil.

Pokok-pokok anggur itu aku tanam sebagai penyeri taman. Suka melihat buahnya yang bergayutan di halaman Syed Imran. Jadi aku cuba tanam di halaman rumah aku dan nampaknya serasi. Bukanlah harap sangat akan buahnya, tapi rasa gembira apabila mula menampakkan hasil.

Dari kejauhan aku melihat pacuan empat roda Encik Hazrul sudah mula menghampiri kawasan rumah. Melalui lorong kecil yang kiri kanannya ditumbuhi dengan pohon-pohon jacaranda. Bunga-bunga kuning sudah terdampar di sepanjang lorong. Sungguh cantik. Sungguh indah. Akan berterbangan apabila ditiup angin, juga setiap kali ada kenderaan yang melalui lorong tersebut.

Ah! Aku tahu kenapa Bukit Cendana menjadi pilihan Encik Hazrul. Bukan saja mendamaikan, bahkan menyajikan pemandangan yang sangat cantik.

"Papa dah balik..." bisik aku perlahan ke telinga Humairah. Humairah pasti saja tidak duduk diam apabila melihat kelibat kenderaan papanya. Seolah-olah tahu, si papa sudah pulang. Pulang membawa kasih sayang yang melimpah-ruah.

Perasaan aku tetap sama setiap kali menyambut kepulangan Encik Hazrul. Sama seperti mula-mula kami tinggal serumah dulu, ketika terpaksa menjadi suami isteri olok-olok. Perasaan itu juga masih sama seperti ketika kami sudah bergelar suami isteri yang sah. Sikit pun tidak berkurang. Mungkin itulah rasa kasih yang tidak terhingga buat dirinya. Tak pernah jemu walau sedikit. Tetap merindui dirinya walau berpisah untuk jangka masa beberapa jam sahaja.

Paginya seawal jam lapan pagi, Encik Hazrul sudah memulakan tugasnya. Tengah hari akan pulang makan tengah hari dan solat zuhur. Sambung semula bekerja sehingga jam lima petang. Tidaklah berjarak terlalu lama dia tinggalkan rumah. Entah kenapa rasa rindu itu tetap juga menggebu.

Mata tetap memberi tumpuan terhadap pacuan empat roda sehinggalah kenderaan itu berhenti betul-betul antara pintu masuk dengan deretan pokok bunga matahari. Berlalu beberapa saat, lelaki yang kami tunggu keluar dari kenderaan.

"Hai sayang..." Ucapan yang tidak lekang dari bibirnya setiap kali dia pulang. Sebenarnya sayang itu istimewa buat puterinya. Dan kadang-kadang ucapan itulah yang membuatkan aku berjauh hati. Mana tak cemburu? Kalau dulu, sayang itu memang khas untuk aku dan sekarang untuk Humairah pula.

Humairah di pangkuan aku berpindah pula ke pangkuan Encik Hazrul. Budak montel itu dicium beberapa kali. Buah cinta kami yang mendapat sepenuh perhatian sejak dilahirkan itu, nampak suka benar. Tak diam langsung.

"Papa rindu Humairah," bisik Encik Hazrul.

Yalah, rindukan Humairah saja. Aku ini seperti tunggul kayu. Tarik muka masam sekejap. Aku yang berhias cantik ini langsung tidak dipuji. Dipandang pun tidak.

"Eh, mama jealous la..." Encik Hazrul jeling aku sambil tersenyum.

"Tak ada maknanya," balas aku.

"Serius?" soalnya.

Aku duduk semula di bangku kayu tanpa menghiraukan Encik Hazrul. Setiap petang, sekembali dari bekerja, beginilah kami. Memerhatikan wajah petang dengan cara kami sendiri.

"Mama pun papa rindu juga. Mana boleh tak rindu teman tidur papa, karang tak pasal-pasal papa kena tidur luar," kata Encik Hazrul, cuba mengusik aku. Tanpa usikan, terasa hambar, kerana dari mula aku mengenali Encik Hazrul, begitulah dia. Ada saja bahan usikan yang membuatkan aku tersenyum.

Siapa sangka lelaki yang memegang status CEO ketika itu, pandai bergurau? Sedang raut wajahnya umum sedia tahu. Bukan saja nampak tegas, bahkan garang juga. Dia sangat digeruni oleh setiap kakitangan di Menara Holding. Dari pihak bawahan, sehinggalah ke pihak atasan. Malah, semua ahli jawatankuasa tertinggi Menara Holding juga takut dengan beliau.

Perwatakan itu bertukar sama sekali apabila beliau berada di rumah. Dengan erti kata yang lain, ketika dia berada di sisiku. Seolah-olah bertukar watak. Sangat penyayang dan sangat romantis. Kalau tidak romantis, masakan aku boleh jatuh cinta dengan mudah?

"Oh, sebab teman tidur papa aje ke?" Aku menyindir. Jeling dia sekali.

"Abang sebut tidur ke?" Encik Hazrul ketawa perlahan.

"Abang sebut teman tidur okey, saya belum pekak lagi," jawab aku sedikit kuat.

"Eh, marah ke?"

Aku tak balas. Sekadar perhatikan halaman dengan perasaan sedikit geram. Kemudian pandangan mata mencari wajahnya semula.

"Sebenarnya abang nak sebut teman hidup abang. Tersebut tidur pula. Awal lagi dah tersasul..." Senyuman manis Encik Hazrul ukir di bibirnya. Senyuman itulah yang membuatkan aku bernafas di dalam lega. Senyuman yang membuatkan aku menjadi seorang perindu saban hari.

Sekelip mata hilang semua rasa yang tidak enak.

"Yalah tu..." ucapku tenang.

Encik Hazrul lentokkan kepalanya ke atas bahu aku. Seperti mahu menyandarkan segala permasalahan ke bahu aku. Di manakah lagi hendak dia berkongsi rasa kalau bukan dengan aku? Sebagai seorang isteri, aku rasa sangat berbesar hati.

"Macam mana dengan pekerja baru tu?" soal aku perlahan. Aku diberitahu oleh Encik Hazrul, dia baru saja mengambil pekerja dari Bangladesh dua minggu lalu bagi menggantikan pekerja Indonesia yang sudah tamat perkhidmatan.

Kebiasaannya Encik Hazrul pasti saja bercerita tentang ladang ternakan. Bercerita tentang masalah pekerja asing yang susah untuk terima arahan kerana masalah komunikasi. Itulah sebahagian dunianya sekarang ini. Bukan lagi Encik Hazrul seperti dulu, seorang CEO yang sentiasa memerah tenaga untuk memajukan Menara Holding.

"Sorang cakap bahasa itik, sorang bercakap bahasa ayam. Abang bercakap bahasa orang putih. Masing-masing ternganga. Mahu kencing manis abang macam ni..."

Aku tergelak. Kelakar juga kata-kata Encik Hazrul itu. Tetapi aku jelas dapat melihat kepuasan pada raut wajahnya. Itulah kepuasan yang dia cari selama ini.

"Hmmm, mana lebih senang antara uruskan Menara Holding dengan uruskan ladang ternakan?" soal aku.

"Mestilah uruskan ladang ternakan lebih senang. Seribu kali lebih senang daripada uruskan Menara Holding."

"Tapi ladang ternakan tak seglamor uruskan Menara Holding."

"Abang tak pernah pun mimpi nak glamor. Bukan jenis abang."

Aku tahu tu. Aku kenal Encik Hazrul. Dia bukan jenis yang gila akan semua itu. Kalau tidak, takkan semudah itu dia melepaskan jawatannya sedangkan jawatan itulah yang menjadi rebutan.

"Abang rasa benar-benar bahagia sekarang ni. Kehidupan yang abang impikan sejak dulu lagi."

"Abang memang suka tempat yang sunyi?"

"Hmmm... Rasa tenang saja. Kenapa tanya? Azian dah mula bosan?"

Aku geleng. "Tak pernah bosan selagi abang ada di sisi."

"Habis tu kenapa tanya?"

"Kadang-kadang masih ada perkara yang saya tidak tahu tentang abang, dan saya tidak mahu ketinggalan walau satu pun." Aku senyum. Membayangkan rasa puas hatiku.

"Memang pun. Memang tak faham-faham lagi rupa-rupanya."

"Apanya?" soal aku.

"Mana air abang?"

Aku gigit hujung bibir. "Humairah, dulu masa mama kerja, bos mama suka cakap ayat tu. Tak sangka sekarang ni pun mama terpaksa dengar juga."

"Habis, bos mama Humairah tu dah jadi suami mama Humairah, kenalah dengar selalu."

"Azian, buatkan saya air. Azian, mana air saya!" Aku ajuk ayat-ayat Encik Hazrul sambil bangun. Manisnya kenangan itu.

Encik Hazrul ketawa.

"Mama tak sedar, rupa-rupanya dengan cara itulah, papa Humairah nak mengurat mama." Pipi Humairah aku cubit perlahan. Geram.

"Tau tak apa..."

"Tau dah..."

Aku senyum puas sambil atur langkah. Teh madu boleh, bermadu jangan!

SELESAI solat isyak, kami menonton TV bersama di ruang tamu. Humairah akan meniarap di atas tilamnya. Sambil menonton, Encik Hazrul tidak lepas dengan mesin kira dan juga beberapa helaian kertas. Tugasnya mengira pula.

"Nora kirim salam. Lupa nak cakap kat abang tadi. Dia call lepas abang balik makan tengah hari." Baru teringat tentang panggilan Nora.

"Waalaikumussalam... Apa cerita?" soal Encik Hazrul. Dia palingkan badan. Pasti saja mahu minta diurut. Tanpa sebarang arahan, aku lakukan tugas aku. Mahu jadi tukang urut yang terbaik di dunia buat Encik Hazrul.

"Dia nak kahwin." Tangan kiri dan kanan memainkan peranan. Makin mahir.

"Ya? Alhamdulillah..."

Cerita tentang Nora berakhir begitu saja. Encik Hazrul tidak akan bertanya lebih-lebih. Dia tidak gemar. Aku juga tidak akan bercerita lagi kalau Encik Hazrul tidak bertanya. Bermakna dia kurang berminat hendak tahu lebih lanjut. Kalau aku, pasti saja habis semua aku tanya.

"Bawah sikit..." arahnya. Kedua-dua tangan mengurut bahagian pinggangnya pula.

"Berapa umur abang tahun ni?" soal aku.

"Sampai hati, umur abang pun tak ingat."

"Taklah, saja tanya."

"Kenapa? Sejak jadi penternak lembu ni abang dah nampak tua sangat ke?" soalnya.

"Hesy, ke situ pula. Tak ada kena-mengena, okey..."

"Yalah, abang sedar diri!"

Cepat tangan aku mencucuk pinggang dia. "Eh, janganlah. Abang sensitif tau. Humairah tu bulat lagi matanya. Sejam dua lagi memang tak tidur tu..."

"Mengada-ada sangat. Sikit-sikit sentap!"

"Bukan sentap. Abang cuma sedar diri..."

Aku peluk dia dari belakang.

"Sayang abang..." bisik aku perlahan. Dia toleh pandang aku. Pipi kanan aku dia cium sekali.

"Pernah ke abang tak sayang Azian?" soalnya pula.

"Manalah saya tahu..." Aku tenung anak matanya.

"Tak pernah walau sedikit. Tetap sayang seperti pertama kali abang pandang Azian." Pipi aku dia pegang.

"Temani abang, walau apa pun keadaan abang nanti."

"Saya yang sepatutnya buat permintaan tu. Tolong jangan tinggalkan saya dan Humairah, walau apa keadaan sekalipun."

"Insya-Allah. Azian dan Humairah adalah keutamaan abang sekarang ni. Abang lakukan semuanya demi dua orang penting dalam hidup abang. Akan abang pertahankan walau dengan nyawa abang sekalipun. Abang nak Azian dan Humairah tahu, abang sangat sayangkan kau orang berdua."

Kata-kata Encik Hazrul benar-benar sampai ke dalam lubuk hati aku. Seringkali juga dia ungkapkan kata-kata begitu. Entah kenapa, walau seringkali mendengar kata-kata begitu, aku tetap teruja mendengarnya. Seperti memberi satu semangat yang tidak ternilai. Walau bukan kata-kata romantis yang penuh puitis, tetap juga indah untuk didengar. Ya, aku mahu dengar untuk sekian waktu yang ada. Tak jemu, langsung tak bosan.

"Terima kasih..." Aku tersenyum cantik. Ikhlas dari hati. Hanya itu saja yang mampu aku lakukan sebagai hadiah untuk Encik Hazrul.

"Humairah, manalah papa tak cair selalu kalau mama asyik tersenyum macam ni. Berdebar saja jantung papa. Sama saja macam dulu. Asal tengok senyuman mama macam tu, mulalah papa tak sedap hati."

Ada-ada saja Encik Hazrul ni.

"Hmmm, masa untuk Muhammad Adam?" soal aku. Memancing Encik Hazrul sebenarnya. Nak ajak tidur.

"Kalau Wardah macam mana?"

"Saya tak kesah."

"Hmmm, tak nampak mata kakak Wardah? Bulat lagi tu. Jangan haraplah nak tidur cepat."

Kami sama-sama pandang Humairah.

"Hah, turun keturunan papa dialah. Suka sangat berjaga malam. Kalau dulu CEO tu memang saya percayalah. Sekarang kan jaga lembu saja pun..."

"Habis, abang dah biasa tidur lewat."

"Hmmm, nasiblah!" Aku sambung semula peluk Encik Hazrul. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co