Bab 2
HARI baru, permulaan baru. Harap seperti semalam atau kalau ada sebarang perubahan, biarlah lebih indah daripada semalam. Tidak mahu diduga dengan dugaan yang hebat-hebat. Tapi bukankah Allah menduga hamba-Nya sebatas kemampuan hamba-Nya juga? Mudah-mudahan baik-baik sahaja. Aku mahu hidup gembira. Aku mahu hidup bahagia.
"Selamat pagi, sayang..." ucap Encik Hazrul waktu aku kalut siapkan sarapan pagi. Satu ciuman singgah di pipi kanan dan aku membalasnya.
"Selamat pagi..." balas aku. Tersenyum cantik. Bahagia melihat wajah suami yang ceria.
"Masak apa?"
Ini yang malas nak jawab. Bukan tak nampak aku masak apa. Masih nak tanya. Bukan lagi kura-kura dalam perahu. Boleh jadi harimau dalam perahu.
"Nasi ayam!" jawab aku selamba. Dahulu masa baru kenal dengan Encik Hazrul, kalau soalannya jenis soalan bodoh, maka jawapannya harus bodoh juga.
"Eh, marah ke?"
"Dah tahu saya masak apa, masih nak tanya."
"Apa salahnya bergurau pagi-pagi?"
"Tapi agak-agaklah!"
"Apa pasal angin aje ni? Pembawakan budak ke? Janganlah. Humairah baru enam bulan." Pipi kanan terima habuan lagi. Pandai dia buat aku naik angin, pandai pula dia hilangkan angin. Ciuman istimewa itu merupakan penawar untuk segala gundah.
"Abanglah. Dah tahu tanya lagi..." balas aku dalam nada merajuk.
"Ke sekarang ni dah mula penat? Nak minta abang ambil pembantu rumah?" soalnya.
"Taklah sampai macam tu sekali. Sekarang ni saya boleh lakukan semuanya sendiri. Lagipun rumah kita ni bukan besar macam rumah kita kat KL tu," jawab aku.
"Abang kesian juga tengok Azian. Macam penat saja."
"Betul abang nampak muka saya macam orang penat?" soal aku. Itu tandanya Encik Hazrul mahu beritahu bahawa wajah aku sudah tidak bermaya. Mungkin tidak berseri lagi seperti dulu-dulu. Dan mungkin dia mahu beritahu aku bahawa dia sudah bosan melihat wajah aku.
Kenapa tiba-tiba hati rasa tidak sedap?
"Yup!"
"Ya ke?" soal aku lagi. Soalan mahu sedapkan hati sendiri.
"Nampak macam Azian keletihan saja." Encik Hazrul tumpang dagu di atas bahu waktu tangan sedang kalut kacau nasi di dalam kuali.
"Mungkin dua tiga hari ni Humairah kerap meragam kut..." Aku guna nama Humairah untuk lepaskan diri, namun tidak bermakna gundahku akan hilang walau nama Humairah menjadi mangsa.
"Hmmm..." Encik Hazrul lepaskan pelukan dan dia ke meja makan. Sudah bersedia untuk sarapan pagi.
Aku senduk nasi goreng ke dalam mangkuk nasi tambah dan bawa ke meja makan. Kemudian ambil dua buah pinggan dan sudu. Sebuah pinggan aku letak betul-betul di hadapan Encik Hazrul. Kemudian aku duduk berhadapan dengannya. Tuang teh madu buat dia. Sementara itu Encik Hazrul letak sendiri nasi goreng ke atas pinggan. Juga ke atas pinggan aku. Dia hulur kepada aku selepas itu.
"Serius muka Azian pucat. Bukan maksudnya abang dah bosan dengan isteri abang. Abang cakap dengan jujur muka Azian memang pucat."
Tergamam aku jadinya. Tangan yang pada mulanya hendak menyudu nasi goreng, jadi terhenti seketika. Aku memilih untuk melihat wajah Encik Hazrul yang nampak bersahaja suap nasi ke mulut.
Ah! Kenapa aku terlupa suami aku ini memang pandai benar membaca isi hati aku? Kenapa aku terlupa akan kelebihannya itu? Aku tak perlu suarakan apa yang ada dalam hati aku kerana pasti saja dia dapat membacanya. Aku benar-benar terlupa tentang itu.
Aku terus-terusan diam.
"Abang tak pernah rasa bosan. Sedikit pun tidak pernah. Bahkan seperti hari-hari penuh dengan rasa teruja. Perasaan setiap hari mahu saja pulang ke rumah cepat. Mahu peluk Azian, mahu peluk Humairah."
Aku senyum nipis. Bukan aku tidak tahu bahasa memujuk. Aku juga faham.
"Hmmm, abang makanlah cepat." Aku kata begitu sekadar berbasa-basi. Tidak mahu Encik Hazrul sambung acara memujuk. Nanti sampai tengah hari dia akan begitu.
"Nampaknya abang kena lebih beri masa untuk bantu Azian di rumah selepas ni."
"Eh, janganlah. Kita punya tanggungjawab masing-masing. Mana boleh kita ambil alih tugas orang lain."
Encik Hazrul tak balas. Sebaliknya dia terus makan.
KE PASAR adalah rutin harian aku. Memandu kereta Encik Hazrul yang dia guna sewaktu menjadi CEO dulu, aku dan Humairah ke pasar Bukit Cendana yang terletak di kawasan pekan. Membeli keperluan dapur. Harga barangan di sini agak mahal kalau mahu dibandingkan dengan harga barang di Kuala Lumpur. Namun apa pilihan yang aku ada? Mahal atau tidak, terpaksa beli juga.
Selesai di pasar, kami singgah ke Golden Bread Momzie's, satu-satunya kedai roti dan kek yang terdapat di Bukit Cendana. Aku sukakan roti buatan empunya kedai. Rotinya sangat lembut. Encik Hazrul juga sukakannya.
"Assalamualaikum, Mama Zie..." Aku menyapa tuan punya kedai yang mahu dipanggil sebagai Mama Zie sahaja. Orangnya sangat peramah. Sangat terkenal di Bukit Cendana.
"Waalaikumussalam..." Seperti selalu, Mama Zie akan mengambil Humairah dari pangkuan aku bagi memudahkan aku memilih roti yang hendak dibeli. Humairah pula sudah terbiasa dengan Mama Zie.
"Nad ada call mama tadi. Minta hantarkan roti. Dia dah sarat benar. Tak larat nak datang beli. Boleh Azian tolong hantar pesanan Nad? Mama tak cukup kakitangan ni," kata Mama Zie.
"Apa salahnya? Boleh aje..." balas aku sambil pilih roti yang hendak dibeli. Selesai membuat pembayaran, aku bawa semula Humairah ke kereta bersama roti yang aku beli dan roti kiriman Nad.
"Sayang, kita tengok papa nak?" soal aku kepada Humairah sebaik saja aku baringkan dia di atas baby car seat. Kemudian aku terus memandu ke ladang penternakan milik Encik Hazrul.
Sebenarnya aku kurang suka ke sini. Bau kawasan ternakan ini kurang menyenangkan. Macam manalah bekas CEO itu boleh tahan. Ah! Kalau dah minat, seribu daya dilakukan.
Ketika kami sampai, kelihatan Encik Hazrul sedang memberi arahan kepada dua orang pekerja Bangladesh. Sekali pandang, Encik Hazrul itu kelihatan seperti seorang cowboys dalam filem-filem barat. Serius, walaupun kerjanya nampak bergelumang dengan kotor, tidak segah ketika berada di Menara Holding, Encik Hazrul tetap sangat menawan.
"Hai, papa..." Aku lambai tangan Humairah ketika Encik Hazrul memandang ke arah kami. Dia juga membalas lambaian Humairah. Aku jarang mengunjungi kawasan penternakan lembu ini. Hanya sekali-sekala.
Setelah Encik Hazrul memberi arahan kepada pekerja hingga selesai, barulah dia menghampiri kami.
"Hai sayang..." Pipi kanan Humairah dia cium terlebih dahulu. Kemudian baru dia cium pipi kanan aku.
"Humairah ajak datang tengok papanya..." Aku memberi alasan.
"Ya? Sayang nak tengok papa? Ke mama yang rindu nak tengok papa?" soal Encik Hazrul. Seperti tahu-tahu saja aku rindukan dia. Serius, rindukan dia. Perasaan itu mungkin seperti pasangan yang baru bercinta. Sentiasa rindu.
Aku tidak mahu menjawab kerana Encik Hazrul sudah terlebih dahulu menjawabnya. Aku kalih pandang kepada pekerja-pekerja yang sedang menolak kereta sorong. Kereta sorong itu bakal diisi dengan rumput-rumput untuk diberikan kepada haiwan ternakan.
"Papa pun rindu mama Humairah. Rasa nak balik rumah aje..." Encik Hazrul mula bergurau.
"Melampaulah tu..." Aku balas. Jeling dia sekali.
"Seriuslah. Tak ada melampaunya..." Ada senyuman di bibir Encik Hazrul.
Aku kembali melihat pekerja yang sedang membuat kerja. "Itu pekerja baru yang abang cakap tu?" soal aku. Encik Hazrul toleh ke belakang.
"Haah..."
"Nampak macam boleh buat kerja."
"Abang harap macam itulah."
"Hmmm..." Aku toleh pula melihat kehijauan padang ragut yang terletak di kaki bukit. Saujana mata memandang.
"Okeylah, kami dah nak balik..." Aku minta diri. Masih banyak kerja rumah yang sedang menanti aku.
"Tengah hari masak apa?" soal Encik Hazrul.
"Tak pasti lagi. Belum dapat idea."
"Amboi..."
"Abang ingat senang nak masak? Karang kalau lauk yang sama, bising pula abang."
"Belum pernah lagi abang bising, jangan buat fitnah."
"Tu pasal, sebelum abang bising baik berjaga-jaga."
Encik Hazrul senyum saja. Maknanya betullah tu. Silap hari bulan, sikit hari lagi sah berbunyi. Peninglah kepala aku nak fikir menu baru setiap hari.
"Balik dulu." Aku cium pipi kiri Encik Hazrul.
"Emmm, hati-hati memandu." Encik Hazrul cium pipi Humairah terlebih dahulu sebelum aku bergerak menuju ke kereta semula.
"Bye papa..." Sekali lagi aku angkat tangan kanan Humairah. Buat gaya lambai ke arah Encik Hazrul. Encik Hazrul juga membalas lambaian.
Aku memandu semula tinggalkan kawasan penternakan. Hari-hari biasa keadaan Bukit Cendana agak lengang berbanding hujung minggu dan juga hari pelepasan am. Sebab itu aku jarang keluar memandu ketika hujung minggu atau musim cuti sekolah. Jalan di Bukit Cendana akan jadi sesak.
Sepanjang memandu menuju ke kawasan kediaman kami, hati aku rasa sangat tenang apabila melalui jalan kecil yang di kiri kanannya ditumbuhi dengan pokok-pokok jacaranda yang sedang berbunga lebat. Sangat cantik pemandangannya.
Aku ke rumah Nad terlebih dahulu bagi menyampaikan pesanan Mama Zie. Ketika aku sampai, Nad sedang sidai kain. Dia kelihatan sudah sarat benar. Pasangan bahagia ini bakal menerima cahaya mata ketiga tidak lama lagi.
Bungkusan plastik berisi roti milik Nad aku bawa keluar. Humairah aku tinggalkan sekejap di dalam kereta.
"Lah, susah-susah aje. Syed Imran pun boleh belikan nanti..." kata Nad sebaik sahaja melihat bungkusan roti di tangan aku.
"Tak ada susahnya. Kebetulan singgah tadi..." balas aku.
"Terima kasih ajelah..." kata Nad.
"Sama-sama." Bungkusan berpindah tangan.
"Saya minta dirilah. Nak masak lagi ni..."
"Yalah. Terima kasih sekali lagi."
Aku sekadar angguk lantas kembali ke kereta. Aku terus memandu hingga tiba di halaman rumah.
MENGHAMPIRI satu tengah hari, Encik Hazrul muncul. Kebiasaannya, dia akan mandi terlebih dahulu sebelum makan tengah hari. Pekerjaannya sekarang meminta perhatian yang lebih terhadap kebersihan, berbanding dengan pekerjaannya dulu yang memang sentiasa bersih dan kemas.
"Hmmm, Humairah tengah tidur tu..." Encik Hazrul angkat kedua-dua belah kening dan isyarat mata seperti ajak aku mandi bersama. Aku balas dengan angkat kedua-dua belah kening juga sambil tersenyum. Acara bergurau bermula.
"Okey?" Encik Hazrul tanya.
"Banyaklah abang punya okey. Karang elok-elok sepuluh minit aje mandi, berlarutan sampai satu jam. Makan ke mana, solat zuhur ke mana." Aku balas kemudian terus saja ke ruang makan. Sementara menunggu Encik Hazrul selesai mandi, aku hidangkan makanan tengah hari.
Gurauan Encik Hazrul mana boleh dilayan lebih-lebih. Bimbang nanti gurauan itu bakal menjadi kenyataan.
Tengah hari ini hidangan agak ringkas. Ikan kembung tiga rasa, gulai lemak pucuk labu bersama ubi keledek dan sambal udang. Air pula aku buat sirap selasih tanpa mencampurkan ais ketul.
"Hmmm, sedapnya lauk..." Datang-datang terus Encik Hazrul puji. Tuala yang sebentar tadi digunakan untuk lap rambut, dia letak di atas bahu aku lalu dia tarik kerusi. Terus saja dia duduk. Matanya tak lepas pandang lauk yang terhidang. Kuah gulai lemak pucuk labu dia hirup terlebih dahulu.
"Emmm... Sedap."
Mungkin gulai lemak tu kena dengan seleranya.
Kalau melihatkan gaya Encik Hazrul sekarang, siapa sangka dia pernah menjadi orang penting di Menara Holding. Ketika ini dia kelihatan seperti lelaki kampung yang biasa-biasa saja. Lagak seperti ayah Nora yang selalu berkain pelekat dan juga pakai baju cap Pagoda. Begitulah gaya Encik Hazrul apabila berada di rumah. Sangat berbeza dengan Encik Hazrul yang dulu. Dulu pasti saja seluar berjenama mahal menjadi pilihan sekalipun hanya bersantai di rumah. Sungguhlah kata orang, keadaan dan masa mampu mengubah gaya hidup seseorang. Sekali lagi, sekiranya diberi pilihan, aku tetap pilih Encik Hazrul sekarang ini. Encik Hazrul yang kelihatannya sangat bahagia.
Ya, aku tahu dia sangat bahagia dengan kehidupan yang dia pilih.
"Apa pasal pula ni? Jeling abang serupa nak buat permintaan. Abang okey aje..." Encik Hazrul senyum sambil senduk nasi ke atas pinggan.
"Hesy, abang ni. Asal saya pandang aje, tak ingat benda lain."
"Aummm..." Encik Hazrul buat suara gatal. Kuah gulai lemak dia letak ke dalam mangkuk. Dia baca doa makan selepas itu.
Malas nak layan, karang macam-macam. Encik Hazrul ni pun boleh tahan juga orangnya. Menyakat nombor satu. Suka buat suasana ceria, tapi kadang-kadang buat badan aku hangat saja.
"Emmm, sedapnyaaa..." Dia mula memuji. Aku tidak mahu tahu pujiannya itu jujur atau sebaliknya. Sebagai seorang isteri, pujian begitu ibarat penyuntik semangat untuk aku menyediakan makanan lebih enak lagi.
"Terima kasih," jawab aku dengan bangga. Bagaimana perasaan kalau penat lelah memasak, dihadiahkan dengan kata-kata kesat? Lebih malang lagi hidangan menjadi habuan muka atau kepala. Semoga aku tidak diberi peluang langsung untuk berhadapan dengan situasi begitu.
"Isteri abang ni memang pandai masaklah!" pujinya lagi. Bangga itu sudah jadi dua kali ganda.
"Janganlah puji lebih-lebih. Malu saya..." Aku buat suara manja.
Menjadi pilihan sebagai teman hidup Encik Hazrul adalah peluang yang tidak ternilai dan menemani hidupnya pula seperti satu anugerah yang tidak boleh aku ungkapkan dengan kata-kata, betapa bertuahnya aku.
"Selepas ni saya akan masak untuk abang dengan masakan yang lebih sedap lagi."
"Emmm, tak payahlah bersusah payah. Abang akan makan apa yang Azian masak. Tak jadi masalah buat abang. Sebab abang tau tukang masak yang abang pilih ni memang menepati cita rasa abang. Kalau tidak, takkan Nasi Goreng Bodo jadi begitu famous."
"Haah... Nasi Goreng Bodo lagi!"
"Tapi masakan pertama yang abang jamah ialah Maggi goreng dan sandwic. Sedap gila," kata Encik Hazrul dengan mulut yang penuh.
"Merepek abang ni. Itupun sedap." Teringat semula kali pertama bekalan makanan yang aku bawa ke ofis dihabiskan oleh Encik Hazrul. Masa tu memang aku bengang. Yalah, sarapan pagi dan makanan tengah hari dilahapnya semua masa tu juga. Sudahlah aku kekeringan duit. Nak makan pun duit tak cukup.
Tidak sangka, rupa-rupanya dengan cara itulah dia bawa aku ke restoran kegemarannya. Dan episod cinta kami pun bermula. Hanya si bendul ini yang tidak mengerti apa-apa.
"Eleh, masa tu abang habiskan bekalan saya sebab nak ajak saya keluar makan tengah hari bersama, kan? Maggi goreng tu sedap sekadar alasan aje."
"Eh, kenapa dulu tak fikir macam ni? Kalau tidak senanglah kerja abang."
Aku senyum. "Manalah saya tahu bahasa orang lelaki, sedang abanglah lelaki pertama buat saya."
"Sebab abang lelaki pertama, abang terima alasan Azian tu. Pastikan abang lelaki terakhir juga."
"Ya, abang yang terakhir."
Aku sambung makan. Antara saat-saat yang paling aku suka, menemani dia makan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co