Truyen3h.Co

Suami Edisi Terhad

Bab 12

karyaseni2u

SEMINGGU berlalu selepas kedatangan pasangan Mikael dan Naila. Tiada khabar berita daripada mereka. Encik Hazrul juga tidak bertanya. Katanya malas nak masuk campur. Aku harap semua baik-baik sahaja. Semoga masih ada kebahagiaan buat mereka berdua.

Aku melihat mereka pasangan yang sangat bahagia dan romantis. Apatah lagi dengan sejarah cinta mereka yang agak hitam. Itulah yang mereka pilih, jadi apa pun masalahnya biarlah mereka yang putuskan.

"Senyum saja ni kenapa?" soal Encik Hazrul sambil memandu keluar dari halaman rumah Syed Imran dan Nad. Kami baru saja melawat pasangan romantis itu kerana mereka baru sahaja dikurniakan anak ketiga. Diam tak diam sudah tiga orang anak mereka. Cepatnya masa berlalu. Rasa baru lagi pasangan itu menimang cahaya mata. Sekarang dikurniakan lagi. Rezeki.

"Tengok baby, rasa teringin pula nak ada baby lagi," kata aku sambil usap rambut Humairah. Humairah sudah melekat di badan. Kepenatan. Di rumah Syed Imran tadi bukan main lagi seronok. Maklum, jumpa kawan-kawan. Mulalah main tak ingat mama dan papa.

Sebenarnya, aku cuba bangkitkan soal hendak menambah anak. Akan aku desak setiap hari. Aku mahu beri Encik Hazrul zuriat yang ramai. Hanya itu saja yang aku mampu lakukan demi membuktikan kasih sayangku.

"Hmmm, tunggulah Humairah besar sikit," balas Encik Hazrul. Rambut Humairah diusap sama.

Aku diam. Pandang Humairah di dalam pangkuan. Wajah saling tak tumpah Encik Hazrul. Penyejuk hati kami berdua.

"Ke tak sabar nak tambah ahli keluarga? Abang okey aje..."

Aku toleh pandang Encik Hazrul yang tersenyum manis. Kumis tipis menambahkan lagi wajah segaknya. Ke hanya mata aku yang nampak dia segak? Serupa tidak percaya sahaja dengan apa yang aku dengar. Atau dia sudah terbaca apa yang sedang bermain dalam fikiran aku?

"Kenapa? Tak percaya?" soalnya lagi. Bibir seksi itu masih tersenyum.

Diam juga. Cara Encik Hazrul senyum itu semacam saja. Apakah aku bakal kena goreng lagi? Aduhai...

"Hmmm, tunggu Humairah umur tiga tahun, ya? Masa tu dia dah mendapat cukup perhatian. Ini Humairah setahun pun belum. Tengah manja. Lagipun abang tak nak Azian terlalu penat. Nak menguruskan Humairah sorang pun tak menang tangan, inikan pula nak menguruskan adik Humairah lagi. Relaks. Kita masih muda lagi."

Ke dia yang minta perhatian lebih, tapi jual nama Humairah? Encik Hazrul ni pun bukan boleh percaya sangat. Dari dulu kata-katanya sentiasa mengelirukan.

"Abang pun perlukan perhatian sama," tokok Encik Hazrul.

Dah agak. Sudahnya aku senyum. Tak tahu untuk berkata apa. Bermakna ada sebab kenapa dia tak mahu kami menambah anak. Bimbang kurang mendapat perhatian rupa-rupanya. Tapi yang aku rasa, akulah yang kurang mendapat perhatian. Separuh perhatian sudah tertumpah kepada Humairah.

"Kenapa senyum? Apa tak betul apa yang abang cakap ni?"

"Saya tahu saya sudah kurang beri perhatian terhadap abang..."

"Eh, bukan macam tu. Terasa pula dia. Abang cuma cakap, abang pun perlukan perhatian sama rata."

"Habis, saya tak perlukan perhatian abang?" Aku menyoal dan waktu itu kami sudah masuk ke halaman rumah kami. Sebaik sahaja kereta berhenti, aku terus bawa Humairah keluar. Hujan sudah turun rintik-rintik. Mujur sempat sampai di serambi. Kalau tidak, basah kuyup anak mama.

Aku berdiri seketika menantikan Encik Hazrul buka pintu. Hujan sudah mencurah. Masa kami mahu ke rumah Syed Imran tadi, cuaca agak cerah. Tiba-tiba saja hujan turun. Maka benarlah langit yang cerah bukan bermakna tidak akan hujan. Segalanya berkemungkinan berlaku dengan izin Tuhan.

"Maknanya Azian nak beritahu abang, Azian sudah kurang mendapat perhatian?" soal Encik Hazrul. Aku ingatkan dia sudah lupa akan perbualan kami sebentar tadi.

"Mana ada..." Aku jawab.

"Mana ada tu, maknanya adalah. Tak payahlah nak tipu abang."

Aku tak jawab. Dah tahu baguslah.

"Apa pasal Si Humairah ni suka benar dengan hujan?" soal aku. Seperti ceria benar Humairah apabila melihat hujan. Kalih topik perbualan sebenarnya.

"Eh, mama dia kan suka hujan. Kalau hujan mulalah..."

"Mulalah apa?" soal aku. Cucuk pinggang dia sama. Memandai aje.

"Kan kalau hujan mama Humairah tu semacam aje. Minta dipeluk selalu."

"Eh, bukan ke papa Humairah yang suka dipeluk bila hujan?"

Encik Hazrul ketawa dengan kuat sambil tolak daun pintu. Dia melangkah masuk terlebih dahulu. Letak kunci kereta dan telefon bimbit di atas meja sofa. Kemudian dia ambil Humairah dari pangkuan aku.

Aku duduk di sofa melepaskan lelah. Encik Hazrul juga duduk sambil pangku Humairah. Bukankah aku sudah kata, separuh perhatian itu sudah terkalih kepada Humairah?

Telefon bimbit Encik Hazrul berbunyi. Cepat dia ambil. "Huh! Apa lagi dia ni nak?" Encik Hazrul seperti merungut sendiri. Aku pandang saja.

"Waalaikumussalam," jawab Encik Hazrul. Humairah aku ambil bagi memberi keselesaan kepada Encik Hazrul untuk berbual.

"Bila?" soal Encik Hazrul.

"Hmmm, habis Naila macam mana?" Dahi Encik Hazrul berkerut. Dahi berkerut itu dia garu selepas itu.

"Insya-Allah, nanti kami datang. Resepsi bila?"

"Okey, okey. Waalaikumussalam." Encik Hazrul letak semula telefon bimbitnya di atas meja. Aku bawa Humairah ke dalam bilik tanpa mahu bertanya siapa yang menghubunginya. Memang aku jarang mahu ambil tahu.

"Masa untuk mandi..." kata aku kepada Humairah. Kalau hari minggu begini giliran Encik Hazrul yang memandikan Humairah.

"Mikael jemput kita hujung minggu depan," kata Encik Hazrul sambil perhatikan aku buka baju Humairah.

"Jadi juga dia nikah?" soal aku.

"Emmm..."

"Kenapa pengecut sangat Mikael tu?" Geram pula aku dibuatnya.

"Abang pun rasa Mikael itu pengecut sekarang ini. Tidak seperti Mikael yang abang kenal dulu. Entah kenapa abang melihat Mikael sekarang ini seperti lemah betul." Encik Hazrul juga meluah rasa. Nampaknya dalam hal ini kami berdua bersependapat.

"Orang lelaki memang macam tu. Masa belum dapat bukan main lagi. Bila sudah dapat, lepaskan macam tu saja. Geramlah saya!" Aku serahkan Humairah kepada Encik Hazrul. Tugas dia mandikan Humairah. Tuala Humairah yang berwarna merah jambu aku letak di bahu kanan Encik Hazrul.

"Tak semua lelaki begitu, sayang."

Hmmm, dia nak cakap, dia salah satu di antaranya la tu.

"Papa Humairah tak begitu, kan? Papa Humairah ni seorang yang setia dan penyayang. Mama Humairah tak perlu susah hati..." Encik Hazrul kenyit mata kepada anaknya, kemudian jeling aku sekali sambil tersenyum. Hati mana yang tidak cair melihat caranya begitu? Sentiasa membuat perasaan aku bergetar.

Dia bawa Humairah ke bilik air. Sementara itu aku siapkan pakaian Humairah. Di dalam bilik air aku dengar Encik Hazrul sedang bergurau senda dengan anak daranya. Suka betul Humairah dengan air. Lebih-lebih lagi kalau papanya yang mandikan.

Selepas pakaian Humairah aku letak di atas katil, aku ke pintu bilik air untuk melihat kedua-dua beranak itu. Karang, berjam-jam pula si papa mandikan si anak. Mahu biru bibir Humairah.

"Humairah bertuah sangat sebab dapat papa yang mahu mandikan Humairah. Susah nak jumpa papa macam papa Humairah ni..." Tak salahkan memuji kalau itu mampu menaikkan semangatnya lagi?

"Tugas papa juga, kan? Mana tau bila papa tua nanti, bila papa sudah tidak berdaya, Humairah pula yang mandikan papa? Hidup kita kan begitu."

Sayu perasaan mendengar kata-kata Encik Hazrul. Tinggi harapannya buat Humairah. Aku berdoa juga mudah-mudahan Humairah akan menjadi anak yang baik. Menjaga kami sebagaimana kami menjaganya. Menyayangi kami sepertimana kami menyayangi dia. Tiada harta yang lebih berharga daripada seorang anak.

"Insya-Allah, Humairah akan jadi anak yang baik," ujar aku.

"Insya-Allah..." balasnya.

"Sudah tu bang, jangan lama sangat mandikan dia," pesan aku. Mana boleh dilayan sangat kehendak Humairah itu.

"Okey sayang, mama tak benarkan mandi lama-lama." Dia angkat Humairah dari bekas mandian Humairah. Dia kemudian lap badan Humairah lantas membawa Humairah ke katil.

Terasa lapar pula hujan-hujan begini. Akhirnya aku pilih untuk ke dapur. Petang-petang begini sedap juga kalau makan jemput-jemput bilis. Lawan pula dengan kopi panas. Memang menjadi.

Selesai mengadun tepung, Encik Hazrul datang bawa telefon bimbit milik aku yang sedang berbunyi. Terus saja dia serahkan kepada aku. Sudah terpampang nama Naila. Sebelum dia pulang hari tu, kami saling bertukar nombor telefon.

"Jangan nak bergosip sangat," pesan Encik Hazrul. Mungkin dia sudah nampak nama pemanggil.

"Tidaklah namanya perempuan kalau tidak bergosip," balas aku.

"Elok sangatlah tu..." Dia berlalu.

Aku tutup api dapur, kuali sudah mahu panas. Mahu beri perhatian terhadap Naila. Pasti ada perkara yang ingin dia kongsikan dengan aku.

"Maaf, akak sudah tak tahu nak hubungi sesiapa lagi." Naila menyambung perbualan selepas kami saling bertanya khabar.

"Hesy, janganlah cakap macam tu. Kita kan kawan."

"Terima kasih, Azian. Entahlah, kenapa akak pilih Azian untuk meluah rasa. Sedangkan kita baru saja kenal. Mungkin sebab Azian sangat memahami keadaan akak. Azian sangat baik. Lemah lembut orangnya. Sangat penyayang."

Lemah lutut bila orang puji begitu.

"Saya biasa saja, kak..."

"Bukan biasa dik, sangat luar biasa. Hari tu masa kat rumah Azian, akak seperti berkunjung ke rumah adik akak saja. Rumah yang penuh dengan kasih sayang. Hati akak sangat tenang ketika berada di rumah Azian."

Syukur. Alhamdulillah. Setidak-tidaknya rumah kami yang kecil ini sudah dapat memberi kegembiraan buat jiwa yang sedang berduka lara.

"Kalau macam tu, akak datanglah selalu..."

"Rasanya tak mungkin dah. Hubungan akak dan Mikael sudah berakhir."

"Maksud akak?"

"Lepas Mikael kahwin nanti, akak nak minta cerai."

"Akak, takkanlah..." Aku tidak terkejut, kerana aku juga akan mengambil tindakan yang sama. Dalam soal kasih sayang Encik Hazrul, aku memang tamak. Aku hendak kesemua sekali. Tak sanggup untuk berbahagi kasih.

"Akak dah fikir masak-masak. Betul kata Azian, tak guna kita berkongsi suami kalau dalam hati hanya ada dendam. Kita sendiri yang menderita. Jadi, akak pilih untuk beralah saja. Mungkin itu cara yang terbaik buat kami bertiga."

"Akak..." Kenapa mata aku pula yang pedih?

"Akak sudah tak nampak penyudah yang baik buat rumah tangga kami. Setakat ini sajalah rumah tangga kami."

"Akak masih sayangkan dia?" soal aku. Air mata tumpang mengalir.

"Sayang sangat. Dialah lelaki pertama buat akak."

"Kalau masih sayang, takkan tak ada jalan penyelesaian yang lain selain bercerai? Akak betul-betul dah nekad ke?" soal aku.

Naila diam. Hanya bunyi esakan yang kedengaran. Encik Hazrul pula muncul dan tercegat tanpa Humairah bersama. Kurang pasti Humairah sudah tidur atau sedang tergolek bersendirian.

"Akak betul-betul sanggup lepaskan lelaki yang akak sayang?" Aku desak Naila lagi dengan soalan begitu.

"Akak sayang, tapi apa yang boleh akak buat lagi?" Tangisan Naila jadi lagi kuat.

Aku menangis sama. Hanya perempuan yang mengerti hati perempuan dan musuh perempuan itu sebenarnya perempuan juga.

"Mungkin jodoh akak dengan dia sampai di sini saja. Akak reda."

"Betul, kak. Jodoh pertemuan, ajal maut, semua tu di tangan Tuhan. Saya harap akak tabah menghadapi ujian ni. Semoga akak akan bertemu seseorang yang benar-benar akan menyayangi akak dengan sepenuh hati." Aku hanya mampu kirimkan doa yang tulus ikhlas. Semoga dia akan bertemu dengan kebahagiaannya nanti. Mungkin ada hikmah di sebalik semua ini nanti.

"Mudah-mudahan. Okeylah, Azian. Rasa lega sikit sebab dah luahkan kat Azian. Maaf sebab akak kacau Azian. Doakan akak temui kebahagiaan akak nanti."

"Insya-Allah, saya sentiasa doakan akak."

"Terima kasih, Azian. Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam..."

Aku sambung menangis. Terasa sangat kasihan dengan nasib Naila. Aku cuba bayangkan diri aku berada di tempatnya. Entah bagaimanalah keadaan aku nanti.

"Sayang..." Encik Hazrul datang dekat dan peluk aku dengan erat selepas itu. Aku hanya mampu menangis.

"Kenapa mesti ada cerita sedih macam ni?" soal aku bersama esakan.

"Nasib kita tak pernah sama, sayang. Berbeza-beza. Kadang terpaksa sedih, adakalanya gembira. Hidup ni ada pasang surutnya."

"Saya tak takut sangat kalau saya ditimpa nasib yang serupa dengan Kak Naila."

"Insya-Allah, kita doa yang baik-baik saja. Dah, jangan menangis lagi. Abang tengok tadi macam nak masak sesuatu saja. Azian nak masak apa?"

"Ingat nak masak jemput-jemput bilis. Hujan macam ni lapar pula. Tapi dah tak ada mood pula."

"Okeylah, kalau macam tu biar abang saja masak." Encik Hazrul bergerak ke kabinet di mana mangkuk bancuhan tepung aku letak sebelum menjawab panggilan telefon sebentar tadi.

"Tak apalah, biar saya saja yang masak. Abang pergi main dengan Humairah." Aku tolak badan Encik Hazrul.

"Dah, dah. Azian tengah emosi tu. Karang rentung pula. Pergi layan anak dara tu. Sorang-sorang kat ruang tamu." Encik Hazrul tolak badan aku hingga ke rumah tamu.

"Layan Humairah," katanya selepas itu.

Aku dengar arahan, aku pilih duduk di sofa. Memang tak ada mood langsung nak masak. Biarlah Encik Hazrul yang uruskan semuanya. Sementara itu, aku mahu tenangkan hati.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co