Truyen3h.Co

Suami Edisi Terhad

Bab 13

karyaseni2u

KAMI pulang ke Kuala Lumpur sempena majlis nikah Mikael. Seronoknya dapat pulang ke sini sesekali. Kediaman yang memberikan aku seribu kenangan. Di sinilah aku mula-mula menjadi isteri olok-olok sehingga mendapat status isteri sebenar. Manisnya kenangan itu. Di sinilah aku mula mengenali diri Encik Hazrul sebenarnya. Lelaki dingin tanpa perasaan menjadi julukannya ketika aku baru mengenali dirinya. Tidak sangka dialah lelaki yang penuh dengan kasih sayang. Penuh perhatian sehingga aku sanggup serahkan jiwa dan raga. Entah kenapa sejak awal lagi aku seperti pak turut. Mengikut saja apa katanya. Walau sikapnya agak menjengkelkan, akhirnya aku tahu, dialah yang paling menyayangi aku.

"Ini rumah papa dan mama yang pertama. Rumah yang tinggalkan seribu kenangan buat mama dan papa. Humairah tak pernah datang sini lagi, kan? Malam ni Humairah tidur sini tau," kata Encik Hazrul sambil melangkah masuk sambil bawa Humairah. Aku baru selesai tarik kain yang menutup sofa.

"Abang, bawa Humairah masuk bilik dulu. Di sini berhabuk sangat. Kalau boleh abang tolong tidurkan dia," arah aku. Humairah nampak keletihan. Suka betul naik kereta. Merengek bila dia lapar sahaja.

Akur dengan arahan, Encik Hazrul bawa si comel ke bilik tidur. Sementara aku mengemas, biarlah dua beranak itu berehat seketika. Rumah kalau lama dibiarkan kosong, nampak cepat benar kusam.

Selesai buang semua habuk, aku tersandar di sofa. Satu-satu kenangan melintasi ruang mata. Betapa manisnya kenangan semalam yang tak mungkin aku lupakan sampai bila-bila. Sangat-sangat berharga.

Kata orang tempat jatuh lagikan kita kenang, inikan pula tempat memadu kasih asmara. Pasti saja akan menjadi tanda kenangan seumur hidup.

Encik Hazrul datang duduk bersebelahan dengan aku. "Apa pasal sengih aje ni?"

"Teringat kali pertama datang sini."

"Oh."

"Apa khabar agaknya Ibu Yanti dan Kak Lena." Encik Hazrul mengembalikan semula ingatan aku terhadap dua orang pembantu rumah.

"Yalah, apa khabar mereka agaknya." Lepas saja mereka pulang ke negara asal mereka, terus kami terputus hubungan.

"Harap kehidupan mereka akan lebih baik di sana."

Sebelum berhentikan mereka, Encik Hazrul ada memberi sedikit wang pampasan buat mereka berdua. Mudah-mudahan wang tersebut dapat digunakan sebaik mungkin.

"Nak cari pembantu rumah sebaik mereka memang agak susah sekarang ni." Aku terkenangkan mereka berdua ketika ini. Masakan Ibu Yanti memang kena dengan selera aku. Tapi Encik Hazrul tak boleh. Katanya dia tidak boleh makan masakan mereka berdua. Awalnya aku tidak tahu, akhirnya baru aku tahu. Rupa-rupanya Encik Hazrul mahu aku jadi tukang masaknya seumur hidup.

Encik Hazrul angguk.

"Hmmm, dah tidur anak dara abang?" soal aku. Baru teringatkan Humairah.

"Emmm..."

"Penat sangat tu. Karang malam tengoklah. Mahu berjaga. Abang layan dia kalau dia tak nak tidur."

"Selama ni siapa yang layan Humairah tidur?" Encik Hazrul paut bahu aku dan perlahan aku letak kepala di bahunya.

"Papa Humairah!" jawab aku.

"Hah, tahu pun..."

"Tahu dah..." jawab aku perlahan.

Suasana sepi seketika. Kami melayani perasaan masing-masing.

"Oh ya, abang ada beritahu kepada papa dan mama kita nak balik ni? Karang bising pula dia?" soal aku sekadar bermanis mulut. Semenjak kes mama memarahi aku tempoh hari, aku sebenarnya semakin tawar hati. Tapi demi hubungan Encik Hazrul dan papa yang semakin pulih, aku perlu pendam segalanya.

"Sudah. Papa minta kita tidur sana, tapi abang cakap nak tidur rumah kita. Rindu rumah kita."

"Habis, papa cakap apa?" Aku tegak badan dan pandang wajah Encik Hazrul. Bimbang juga kalau papa terasa.

"Papa cakap tak apalah. Cuma malam ni dia minta kita makan malam bersama. Rindu Humairah."

Aku angguk. Nampaknya nak tak nak terpaksalah aku berhadapan dengan mama. Harap mama dapat mengawal perasaan nanti. Aku tidak mahu mama mengeruhkan lagi keadaan. Kesian Encik Hazrul dan kesian juga Humairah. Aku tidak mahu kedua-duanya menjadi mangsa hanya kerana mama membenci aku.

"Kenapa? Tak nak balik sana?" soal Encik Hazrul. Seperti terbaca saja apa yang sedang bermain dalam fikiran aku. Ah! Aku terlupa lagi. Bukankah Encik Hazrul itu memang dapat membaca fikiran aku?

"Taklah..." Aku jawab sambil tersenyum.

"Abang tengok muka Azian tu lain aje. Macam tak gembira pun ada."

"Gembira aje."

"Sayang, kalau tak pandai menipu, jangan menipu." Encik Hazrul sepertinya mendesak untuk mendapatkan jawapan jujur.

"Serius, tak ada apa-apa..."

"Tengok tu. Masih lagi nak berahsia dengan abang. Sebenarnya apa yang berlaku? Sejak kebelakangan ini abang lihat Azian seperti tidak gembira saja. Abang tak nak Azian simpan sebarang rahsia daripada abang. Abang tak nak isteri abang tak gembira. Kalau ada apa-apa yang berlaku tolong beritahu abang. Jangan sampai abang dapat tahu daripada orang lain. Buruk padahnya nanti."

Takut juga mendengar kata-kata Encik Hazrul itu yang aku kira berbaur amaran. Kenapa aku masih tidak memahami sikapnya sedangkan dialah yang menemani hari-hari aku selama ini? Masih lagi mahu berahsia.

"Abang jangan risau. Setakat ni saya masih belum mahu rahsiakan apa-apa daripada abang. Abang jangan risau." Aku cuba menyedapkan hati Encik Hazrul dengan memberikan jawapan seperti itu.

"Okey, kalau tak mahu beritahu abang tak apa. Tapi abang percaya, perkara ni tak akan lama. Lambat-laun abang akan tahu juga."

"Abang, tolonglah percaya cakap saya. Memang tak ada apa-apa yang berlaku. Percayalah..."

"Hmmm..." Encik Hazrul seakan-akan mengeluh.

Kenapa aku tiba-tiba saja diagah bimbang?

KAMI mengunjungi kediaman mentua aku. Dulu inilah kediaman paling aku geruni. Mana tidaknya, inilah tempatnya Encik Hazrul buat pengumuman tentang pernikahan olok-olok kami. Kalau tak cukup kuat, memang boleh putus nyawa dibuatnya. Yalah, mana aku tidak terkejut apabila tiba-tiba saja aku diberi status sebagai isteri. Diumumkan pula di hadapan tetamu. Bukan aku saja yang terkejut, bahkan semua tetamu juga.

Kali ini perasaan gerun itu masih aku rasakan. Apabila menyedari diri masih tidak diterima oleh ibu mentua, hati menantu mana yang tidak akan resah? Pasti sedikit tidak, terasa sama. Bukan senang sebenarnya berada dalam situasi menantu yang tidak direstui. Kejap orang suka, kejap lagi orang tak suka. Keadaan itu akan bersilih ganti.

Hendaknya hatiku tabah dalam menghadapi kemelut ini.

Seperti selalu, Humairah pasti saja menjadi tumpuan. Saling direbut atuk dan nenek. Maklum, cucu baru seorang. Akan tetapi kali ini mama seperti menunjukkan satu sikap yang amat luar biasa. Tidak seperti sebelum ini. Mama begitu menunjukkan sikap terujanya terhadap Humairah. Seperti kasih benar akan Humairah. Apa sebenarnya yang mama cuba lakukan? Mama mahu merampas Humairah daripada aku kerana mama sudah tahu kelemahan Encik Hazrul sekarang ini?

Ya Tuhan, kenapa aku diuji dengan pertanyaan-pertanyaan begini?

Aku sedar juga mama seperti tidak endahkan aku langsung. Tidak bercakap dengan aku. Kalau sebelum ini mama mahu juga berbual, bertanya khabar dalam suasana yang agak harmonis. Kali ini memang berbeza sama sekali. Entah racun jenama apa yang sudah Puteri Zahra suap ke fikiran mama sehingga begitu ketara perubahan mama.

Pintaku, agar semuanya akan baik-baik sahaja. Tidak mengapa kalau mama membenci aku, tetapi biarlah hubungan mereka anak-beranak akan menjadi lebih baik.

"Dah lapar ni. Tunggu siapa lagi?" bebel Encik Hazrul tiba-tiba. Sebenarnya aku juga mahu bertanyakan perkara yang sama. Aku juga sudah lapar. Dari tadi tiada tanda-tanda mahu diajak makan. Katanya mahu makan malam bersama.

"Kejap, kita tunggu Puteri Zahra," kata mama. Waktu mama sebut nama Puteri Zahra, tersentap juga perasaan. Apakah mama sedang merancang sesuatu bersama Puteri Zahra? Kalau tidak, kenapa harus jemput Puteri Zahra untuk makan malam bersama sedangkan Puteri Zahra itu tiada sebarang kepentingan lagi buat keluarga Encik Hazrul? Padanlah hari tu Puteri Zahra hubungi aku ketika berada di rumah mama. Pasti ada sesuatu yang sedang mereka rancangkan. Naluri aku kuat menyokong.

Aku bukan mahu berfikiran jahat, tetapi masakan tempua akan bersarang rendah kalau tidak ada apa-apa sebab. Benar, mama dan Puteri Zahra sangat rapat sejak sekian lama, namun kali ini aku merasakan keakraban yang sangat luar biasa.

"Lah, yang panggil perempuan banyak masalah tu kenapa?" Suara Encik Hazrul bernada keras.

"Dah lama dia tak makan malam bersama. Jadi mama jemputlah. Lagipun dia kan sudah tiada sesiapa. Mak dan ayah dah tak ada. Hanya kita saja keluarga dia," balas mama dengan nada lembut serta perlahan. Seperti sedang mengawal keadaan kerana sedia maklum akan perangai anak lelakinya itu. Mama sedang berhati-hati sebenarnya.

"Mama ni kenapa? Mama tak ingat ke apa yang dia dah buat terhadap Menara Holding? Masih lagi mahu berbaik-baik dengan perempuan macam tu? Dia tu jenis ular, mama. Berbelit. Tolonglah sedar sikit. Janganlah nak berbaik sangat dengan dia. Nanti entah apa-apa yang dia hasut mama."

Wajah mama berubah dan mama menjeling aku dengan jelingan tajam. Seolah-olah aku punya angkara Encik Hazrul bercakap begitu.

"Itu soal kerja, jangan campur adukkan dengan soal hubungan kita. Bukankah kita memang kenal Puteri Zahra sudah terlalu lama sebelum orang luar masuk ke dalam keluarga kita? Kamu tu yang perlu sedar sama. Jangan sembarangan percaya orang luar." Mama membalas kata-kata Encik Hazrul. Mama sedang menyindir aku sebenarnya. Akulah orang luar itu. Akulah orang asing itu. Orang luar yang sudah memecahbelahkan hubungan mereka. Akulah orang asing yang memusnahkan harapan mama untuk bermenantukan Puteri Zahra. Aku sedar diri. Aku sedar akan semua hal yang terbabit melibatkan aku, tapi apa pilihan yang aku ada?

Papa hanya berdiam diri. Leka bermain dengan Humairah sepertinya tidak mahu mencampuri pertelingkahan tersebut.

"Mama tahukan saya tak suka pandang muka dia? Saya memang menyampah betul dengan dia. Mama sengaja mahu naikkan darah saya. Tolonglah jangan buat perkara-perkara yang saya tidak suka." Encik Hazrul terus-terusan bengkeng.

"Yang kamu tak suka sangat dengan Puteri Zahra tu kenapa? Apa masalah dia sampai kamu langsung tak boleh pandang dia? Ada yang sudah guna-gunakan kamu ke Hazrul sampai kamu bencikan sangat dekat Puteri tu?!" Mama balas dengan nada bengkeng sama. Benar-benar buat aku rasa tidak sedap hati. Bimbang berlaku sesuatu yang tidak diingini.

"Tak ada sesiapa pun yang guna-gunakan saya. Kalau betul saya diguna-guna, bermakna sudah berpuluh tahun saya kena guna-guna. Saya benci perempuan tu bukannya sehari dua, sejak lama dulu. Itupun mama tak tahu ke? Atau mama sengaja buat tak tahu? Saja nak sakitkan hati saya dengan jemput perempuan tu? Kalau begitulah tujuan mama jemput kami datang, baik tak payah jemput. Menyakitkan hati saja!" marah Encik Hazrul.

"Puteri sekarang bukan seperti Puteri yang dulu. Dia sekarang dah banyak berubah. Dia dah jadi baik dan mama pasti siapa yang bakal menjadi suami dia akan beruntung. Puteri dah pandai dalam segala hal." Mama menjeling aku. Kata-kata mama itu penuh dengan tanda tanya yang membuatkan aku benar-benar rasa tidak sedap hati.

"Masalahnya, dia baik macam mana pun, saya tetap tidak suka. Kalau saya sudah tak suka, pandang pun saya tak suka. Mama faham ke tidak ni? Dia baik ke, dia apa ke, itu dia punya pasal. Apa kena-mengena dengan saya?"

"Yalah, awak pun satu. Yang jemput Puteri kenapa? Inikan makan malam untuk kita anak-beranak saja. Suka sangat buat anak marah." Baru papa menyampuk.

"Saya kesian dengan dia tu. Sudahlah anak yatim piatu sekarang ni. Apa salahnya kalau sesekali kita jemput dia datang makan bersama kita? Mesti dia gembira. Tadi masa saya telefon dia, bukan main ceria lagi suara dia. Hazrul saja yang buat perangai. Tak boleh ke layan Puteri dengan baik sikit? Macamlah Puteri tu jahat benar. Sedangkan orang yang betul-betul jahat langsung tak sedar!"

Makin tak senang duduk aku jadinya. Rasa nak ajak Encik Hazrul balik saja. Terpanggang sungguh. Mama sudah buat tuduhan.

"Saya malas nak cakap lebih-lebih. Cakap banyak pun bukan mama faham pun!"

"Memang mama tak faham. Tak faham kenapa Hazrul tak suka Puteri sedangkan boleh suka perempuan luar. Apa kurangnya Puteri? Apa pula lebihnya perempuan luar tu?"

"Perempuan luar? Maksud mama perempuan luar tu isteri saya?" soal Encik Hazrul.

"Yalah. Habis, kamu ada perempuan simpanan lain ke?"

Ya Tuhan, berikan aku sedikit kekuatan. Pujuklah hati aku yang benar-benar terluka ini. Tidak aku sangka sama sekali rupa-rupanya mama anggap aku hanya perempuan simpanan selama ini. Begitu hina aku di mata mama.

Bersabar, wahai hati. Entah berapa kali aku harus memujuk hati.

"Perempuan simpanan?" soal Encik Hazrul dengan nada marah.

"Abang, mama bergurau aje tu. Janganlah marah." Aku maniskan muka dan tersenyum. Hanya itu yang mampu aku lakukan sekarang ini. Aku lihat mama mencebik. Hendak menjawab mungkin mama sudah mula takut.

Lain benar cara tutur bicara mama. Mustahil aku tidak faham. Aku lebih daripada faham. Aku tahu mama masih belum berputus asa. Mana mungkin harapan yang terbina bertahun-tahun lamanya mampu pudar dengan sekelip mata. Kehadiran Humairah juga tak mampu untuk merubah pandangan mama.

Encik Hazrul diam. Aku tahu dia sekarang sedang mengawal perasaan.

"Sukanya anak mama dengan atuk..." Aku cuba meredakan ketegangan dengan mengalih perhatian masing-masing terhadap Humairah. Tangan Encik Hazrul juga aku pegang erat sebagai bahasa memujuk. Ternyata dengan cara itu sangat berkesan kerana Encik Hazrul langsung diam.

"Mestilah suka kan..." ujar papa.

Kami menunggu lagi. Hampir setengah jam selepas itu, Puteri Zahra muncul. Lama juga kami tidak bertemu. Puteri Zahra kian susut tubuhnya. Pipinya lebih cengkung. Sebaik sahaja memandang wajahnya, rasa marahku membuak. Inilah perempuan yang tak sudah-sudah membuat onar.

"Dah sampai pun tetamu istimewa yang kita tunggu." Mama mengalu-alukan kedatangan Puteri Zahra. Dipeluk cium dengan mesra Puteri Zahra. Menipu kalau aku tidak terasa kerana mama tidak menyambut aku begitu. Sekadar biasa-biasa sahaja. Sungguh, aku rasa cemburu.

Apatah lagi mama menyebut tetamu istimewa. Istimewa benarkah Puteri Zahra itu di mata mama sehingga mama tidak nampak sebarang cacat cela Puteri Zahra? Mama tidak nampakkah apa yang Puteri Zahra sudah lakukan terhadap Menara Holding?

Bertabah, wahai hati. Apa pun yang mama lakukan, aku harap tidak mempengaruhi kehidupan kami sekeluarga. Tak kesahlah berapa banyak sayang mama buat Puteri, aku tidak akan ungkit apa-apa nanti, tapi janganlah hendaknya kerana kasih sayang itu mama mahu melihat kebahagiaan anak sendiri hancur. Janganlah mama lakukan tindakan yang boleh membuatkan Encik Hazrul serba salah. Tolonglah. Aku tak kesah kalau segunung sekalipun benci mama terhadap aku. Aku reda dengan kebencian itu.

Puteri Zahra menyalamiku ala kadar. Pandang pun tidak. Serupa tak sudi saja. Eh, aku lagi tidak sudi. Ikutkan buruk perangai aku, mahu saja aku ajak Encik Hazrul balik. Rasa memang tidak selesa langsung.

"Oh, inilah baby comel tu, ya? Mari Mama Puteri dukung pula." Puteri Zahra hulur tangannya untuk mengambil Humairah daripada papa. Mama Puteri? Rasa loya tekak.

"Humairah kena baik-baik dengan Mama Puteri tau. Bagi Mama Puteri jadi mama Humairah suatu hari nanti. Mama Puteri ni baik sangat. Nenek yakin Mama Puteri dapat jaga Humairah dengan baik," kata mama lagi.

Sekali lagi, perasaan aku diuji. Kali ini rasanya lebih hebat lagi. Bermakna telahan aku benar-benar belaka. Memang mama masih menyimpan harapan untuk bermenantukan Puteri Zahra. Rasanya mereka sedang merancang sesuatu.

"Apa yang mama merepek ni? Kalau nak suruh kami balik untuk dengar mama merepek baik jangan suruh kami balik!" tegas suara Encik Hazrul. Dia ambil Humairah dari pangkuan Puteri Zahra selepas itu.

"Merepek apa pula? Mama cakap yang betul aje."

Puteri Zahra tersenyum sinis sambil pandang aku.

"Dah, dah. Jom kita makan." Papa redakan keadaan.

"Malaslah nak makan. Dah tak ada selera." Encik Hazrul tiba-tiba saja menonong ke arah pintu utama.

"Hazrul, nak ke mana pula tu?" Mama tanya.

"Baliklah. Tak selera nak makan. Lalat banyak sangat!" kata Encik Hazrul.

"Tengok, apa yang awak dah buat? Sesekali anak menantu balik, awak buat perangai pula. Cubalah jadi orang tua yang berakal sikit. Ini tidak, makin bodoh saya tengok. Bukannya tak tahu perangai anak tunggal awak macam mana. Saja nak cari pasal. Karang budak tu tak balik langsung padan muka!" Papa membebel. Mama tak cakap apa-apa. Wajah mama benar-benar berubah.

Aku ambil beg Humairah. Kemudian aku menyalami papa. "Balik dulu, papa. Kita jumpa esok di majlis nikah Abang Mikael." Aku hulur tangan kepada papa kemudian cium tangan papa.

"Pujuk Hazrul tu baik-baik." Papa keluarkan pesanan. Hmmm, memang selama ini akulah yang jadi tukang pujuk setiap kali Encik Hazrul mengamuk.

"Hmmm, nampaknya kenalah saya pujuk..." Aku berbasa-basi. Bukan niat aku hendak membalas perbuatan mama.

"Pujuklah selagi ada kesempatan. Esok kalau dah tak ada, gigit jari ajelah. Jangan pula nak meraung-raung," kata Puteri Zahra. Seperti yakin benar. Seolah-olah Encik Hazrul akan jatuh ke pangkuannya dengan mudah. Menipulah kalau aku tidak rasa takut. Sungguh aku takut. Kalau sampai ke detik itu, entah apalah yang bakal terjadi terhadap diri aku.

"Balik, mama..." Aku cium tangan mama tanpa mahu menghiraukan kata-kata Puteri Zahra. Cepat mama tarik tangannya selepas itu. Tahu mama sedang marah aku.

"Sayang, cepat sikit!" panggil Encik Hazrul.

"Baik..." balas aku.

"Hmmm, ingatkan dah jadi bapak perangai boleh berubah. Rupa-rupanya makin menjadi-jadi." Puteri Zahra membebel sendiri. Aku terus tinggalkan ruang tamu tanpa mahu bersalam dengan Puteri Zahra. Hangat saja hati.

Di dalam kereta, wajah Encik Hazrul masam semasamnya. Nak tegur pun takut. Jadi aku biarkan Encik Hazrul memandu terlebih dahulu. Biar kemarahannya reda sendiri. Sesungguhnya, aku lebih marah lagi. Aku lebih merasa kesakitannya namun apalah dayaku. Aku ini menumpang kasih orang. Walau pahit, terpaksa juga aku telan demi kasih sayang seorang suami.

"Humairah tahu tak, sejak Humairah lahir, inilah kali pertama papa tunjuk wajah papa yang paling handsome." Aku mula ajak Encik Hazrul bergurau. Tidak mahu dia terlalu terbawa-bawa. Sifat pemarah ini sebenarnya tidak baik untuk kesihatan.

"Apa selama ni papa tak handsome ke Humairah?" balas Encik Hazrul. Nada seperti sudah elok.

"Kalau tak handsome takkan mama sanggup ikut balik rumah..." Aku senyum. Pegang tangan kirinya yang terletak di stereng. Semoga dapat mereda kemarahannya.

"Kalau papa tak paksa, mama tak ikutkan," balas Encik Hazrul.

"Sebenarnya mama pun rela hati nak ikut..."

Baru aku nampak senyuman Encik Hazrul. Masih menawan. Mungkin sedang mengingati semula kenangan manis kami dahulu.

"Cairlah mama tengok papa senyum macam tu. Hmmm... Tak sabar nak sampai rumah!" Aku usik lagi.

"Papa lagi tak sabar!" jawab Encik Hazrul. Tangan kirinya sudah sampai ke pipi aku.

"Eh, tak lapar ke?" soal aku.

"Bila Azian cakap tak sabar nak sampai rumah, hilang lapar abang."

"Melampaulah papa Humairah ni..."

"Eh, mama Humairah lagi melampau!"

Ah! Senang aje nak pujuk Encik Hazrul. Itu bukan jaminan untuk berasa selesa selamanya. Seribu kemungkinan sedang menanti. Seharusnya aku tidak leka dengan apa yang aku miliki sekarang ini. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co