Bab 5
Petang itu sedang aku leka mandi, terdengar cerek berbunyi. Ah! Terlupa pula mahu tutup.
"Abang!" Aku menjerit. Rasanya tak dengar tu sebab masa aku masuk bilik air tadi Encik Hazrul sedang bermain dengan Humairah di ruang tamu. Aku ambil tuala dan balut ke badan. Elok-elok aku keluar, Encik Hazrul juga sampai. Dia yang tutup dapur gas. Kemudian dia pandang aku atas bawah.
"Kenapa?" soal aku.
"Dah mandi ke belum ni?" Encik Hazrul angkat kedua-dua belah kening. Gaya lelaki nakal.
"Belum..." Aku jawab.
"Hmmm, nak abang tolong?" soalnya.
"Mengada-ada..."
Encik Hazrul buat gaya seperti hendak menyergah aku. Dengan kadar segera aku lari semula ke dalam bilik air.
"Sayang, bukalah pintu." Suara Encik Hazrul merayu di luar pintu bilik air kedengaran.
Aku senyum. "Betul ke?" soal aku.
"Mestilah betul. Ingat abang main-main?"
"Serius?" soal aku.
"Dahlah kalau tak nak!" katanya seperti merajuk. Aku ketawa. Setakat itu sahaja dia mampu menggoda. Bosan gamaknya.
Lepas mandi, aku terus cari baju. Elok saja aku selesai berpakaian, telefon bimbit yang terletak di atas almari solek berbunyi galak. Cepat aku dapatkan. Sangat terkejut apabila melihat nama Puteri Zahra terpampang pada skrin telefon bimbit. Baru semalam aku dan Encik Hazrul bergosip tentang Puteri Zahra dan petang ini dia muncul dalam talian. Memang tak boleh diingat langsung. Bagai diseru-seru pula namanya.
"Assalamualaikum." Aku beri salam.
"Hmmm, waalaikumussalam," jawab Puteri Zahra di hujung talian. Memang agak lama tidak mendengar khabar berita tentang Puteri Zahra. Sejak kami berpindah, kali terakhir aku dapat tahu tentang Puteri Zahra ialah ketika bapanya meninggal dunia. Lepas itu kami langsung tidak bercakap tentang dirinya sehinggalah malam tadi.
"Apa khabar?" Aku bermanis kata. Cuba berfikir positif dan kalau boleh aku mahu lupakan semua perbuatan jahat Puteri Zahra terhadap aku selama ini. Aku sedang berbahagia bersama Encik Hazrul. Itu saja sudah membuatkan Puteri Zahra lebih menderita lagi.
"Khabar baik..." jawabnya.
Aku sudah buntu untuk berbicara. Yalah, Puteri Zahra itu bukanlah kawan aku sebaliknya boleh dianggap sebagai musuh juga. Jadi, aku terasa kekok untuk bertanya lebih-lebih tentang dia. Kalau ikutkan hati, hendak saja aku bertanya tentang hubungannya dengan Tengku Iqbal. Biarlah dituduh kepochi, asal aku tahu keadaan sebenarnya. Tapi malaslah. Hal peribadi orang kurang manis untuk dicungkil.
"Hmmm, Hazrul macam mana?"
Menipulah kalau tak rasa apa-apa apabila seorang gadis bertanyakan tentang suami sendiri. Apatah lagi si gadis pernah menggilai si suami. Pasti saja aku rasa kurang selesa apabila Puteri Zahra bertanyakan tentang Encik Hazrul.
"Alhamdulillah. Dia sihat-sihat saja. Sedang bermain dengan Humairah," jawab aku.
"Oh, dah berapa bulan anak kau tu?"
"Masuk enam bulan. Manja sangat dengan papanya..."
"Hmmm, betul ke itu anak Hazrul? Entah-entah..."
Menyirap darah aku. Apa motif Puteri Zahra bertanya soalan begitu? Apa yang cuba dia lakukan sebenarnya? Mahu menyakiti hati aku semula? Atau dia masih tidak berputus asa dengan apa yang berlaku? Maka benarlah kata Encik Hazrul, bukan senang mahu menyingkirkan jauh-jauh perasaan sayang terhadap seseorang. Bermakna perasaan cinta terhadap Encik Hazrul masih lagi marak menyala.
Aku buat-buat ketawa sambil cuba tenangkan perasaan. Lawan orang bodoh serta angkuh bukanlah dengan cara maki hamun membuta tuli. Berhadapan dengan orang yang tidak sedar diri memerlukan kesabaran yang tinggi.
"Anak dialah, anak siapa lagi. Kalau dah muka sebiji si bapa, takkan senang-senang nak cakap orang lain..."
Aku ketawa lagi. Kalau dengan cara itu membolehkan Puteri Zahra sakit hati, aku tak kesah untuk ketawa banyak kali. Biar dia tahu, aku tak apa-apa dengan soalannya itu.
"Jadi sekarang ni kau betul-betul bahagialah?" Soalan jenis tidak puas hati Puteri Zahra lontarkan. Tak apalah Azian, layankan ajelah. Mungkin Puteri Zahra sedang kebosanan sekarang ini dan dia perlukan seseorang untuk berlawan cakap. Yang malangnya akulah mangsa dia petang ini. Aduhai...
Menyesal juga aku tak ajak Encik Hazrul berendam bersama tadi. Kalau tidak, pasti sekarang ini kami masih belum keluar dari bilik air dan pastinya aku tidak menjadi mangsa Puteri Zahra. Nasib! Nasib!
"Alhamdulillah. Saya masih berpeluang untuk menikmati rasa bahagia. Saya benar-benar rasa bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang ni. Rasa bahagia yang saya tak pernah terfikir akan saya miliki selama ni. Saya sedar siapa diri saya. Tidak sangka menjadi pilihan hati Encik Hazrul." Perlukah aku ulang lagi ayat yang sama demi menyakiti hati Puteri Zahra sedangkan aku memang benar-benar bahagia? Bukan sekadar mahu membalas kata-kata Puteri Zahra, tetapi aku berkata yang sejujurnya. Riak benarkah aku? Bangga benarkah aku kerana terpilih untuk menemani hidup Encik Hazrul? Tidak, tidak sedikit pun aku berasa riak. Kalau Puteri Zahra berfikir begitu, terpulanglah.
"Tapi kau jangan rasa selesa sangat dengan apa yang kau ada tu. Akan hilang sekelip mata nanti. Kau tengoklah. Aku hanya beri kau peluang untuk rasa bahagia. Aku tak teragak untuk rampas semula Hazrul daripada kau!"
Hmmm... Dia sudah mulakan serangan kecil.
"Eh, takkanlah Puteri sanggup merampas seorang lelaki yang hanya bekerja sebagai penternak lembu? Suami saya bukan lagi CEO seperti dulu. Rasanya seorang penternak lembu memang tidak sesuai untuk Puteri. Tak glamor langsung. Satu lagi, sanggup ke Puteri tinggal di tempat seperti Bukit Cendana ni? Tempat yang sunyi sepi. Tak ada disko, tak ada kelab malam, yang penting memang tak ada pusat membeli-belah. Sanggup ke?" soal aku. Aku juga mulakan serangan balas yang kecil. Adil begitu. Mana boleh aku berlembut selalu.
Aku tahu memang Puteri Zahra itu seorang gadis yang sangat gemar bersosial. Saban malam, masanya dihabiskan di pusat-pusat hiburan. Minum dan berparti sampai lewat malam. Tetapi pelik juga, kenapa mama tetap sukakan Puteri Zahra? Ilmu apa yang Puteri Zahra guna sehingga mampu mengaburi mata mama? Entahlah.
"Itu ketika dia jadi suami kau, bila dia jadi suami aku nanti, tahulah aku memujuknya untuk kembali ke Menara Holding. Kau tu tak pandai nak pujuk dia. Entah-entah memang kau yang paksa dia jaga lembu. Sebab tu Hazrul dah sama macam lembu dicucuk hidung."
Benar-benar menguji kesabaran aku. Sabar, Azian.
"Saya tak pernah hasut suami saya. Cik Puteri pun macamlah tak kenal siapa Encik Hazrul tu. Dia mana pernah mahu dengar cakap orang. Sebab itu dia sangat hebat ketika dia di Menara Holding. Kalau dia mahu kekal di Menara Holding, Cik Puteri tak akan ada peluang untuk buat perkara tak baik. Dia memang nak lepaskan Menara Holding, jadi dia biarkan saja Cik Puteri buat sesuka hati. Itupun Cik Puteri tak sedar ke?" Aku sakitkan hati Puteri Zahra semula.
Peribahasa hari ini, ada lori mesti ada bas.
"Eh, kau jangan nak putar belit fakta, okey! Aku tahu niat sebenar kau. Kau memang mahu menguasai Hazrul, sebab itu kau bawa dia jauh dari aku." Sudah kedengaran seperti bunga-bunga marah itu sedang bercambah.
"Fakta apa yang saya belitkan? Fakta apa? Fakta tentang kebodohan Cik Puteri?" Hendak sahaja aku hadiahkan dengan ketawa mengejek, tapi tak berbaloi rasanya untuk orang sebodoh Puteri Zahra itu. Nanti aku sama seperti dia.
"Kau kata aku bodoh?" Puteri Zahra menjerit. Yes! Aku sudah berjaya menaikkan darah dia. Konon mahu mencari pasal dengan aku. Ingat aku selemah Azian yang dulukah? Kau sudah silap banyak wahai Puteri Zahra yang bodoh sombong. Sudahlah bodoh, sombong pula.
"Cik Puteri nak suruh cakap Cik Puteri cerdik? Cerdik ke sampai orang boleh ambil alih Menara Holding dengan mudah?"
"Eh, yang kau sibuk sangat ni kenapa? Kau tengoklah nanti nasib kau bila Hazrul kahwin dengan aku. Aku akan jadikan Hazrul pemilik Menara Holding semula."
Aku ketawa mengejek. "Cik Puteri ni mabuk ke apa? Cik Puteri sedang minum air setan tu ke?" soal aku. Walaupun tiada bunyi riuh-rendah kedengaran di hujung talian, aku difahamkan kediaman arwah Tan Sri Hisyam memang tidak putus-putus dengan air iblis itu.
"Aku masih waras lagi, okey?"
"Kalau masih waras kenapa boleh bercakap macam tu, seolah-olah tidak sedarkan diri. Mahu suami saya kembali ke Menara Holding? Cik Puteri tahu tak apa yang sudah Cik Puteri lakukan terhadap Menara Holding? Lagi mahu cakap pasal Menara Holding. Menara Holding tu sudah tinggal sejarah tahu tak?" Aku geleng. Teruk betullah perempuan seorang ni.
"Aku tahulah apa yang aku nak buat. Janji Hazrul ceraikan kau dan kahwin dengan aku. Lain-lain perkara, tahulah aku uruskan!"
"Cik Puteri, tolonglah sedar diri sikit. Kalau betul Cik Puteri benar-benar mencintai suami saya, bukan begini caranya. Sepatutnya Cik Puteri doakan orang yang Cik Puteri sayang tu agar hidup bahagia selalu. Bukan dengan cara merosakkan kebahagiaan dia. Kalau benar cinta Cik Puteri ikhlas, Cik Puteri takkan tergamak mengheret lelaki yang Cik Puteri cintai ke kancah penderitaan." Entah Puteri Zahra faham atau tidak apa yang aku cuba sampaikan.
"Eh, perempuan. Kau tolong dengar sini baik-baik. Aku pun mampu buat hidup Hazrul bahagia. Cuma aku tidak diberi peluang langsung untuk berbuat begitu sebab awal-awal lagi kau dah potong jalan aku!" Keras suara Puteri Zahra.
"Perlu ke saya ulang ayat saya yang dulu? Oh, mungkin Cik Puteri terlupa. Baiklah, saya ulang semula. Saya potong jalan Cik Puteri? Jalan apa yang saya potong? Sedangkan Cik Puteri kenal suami saya bukan setahun dua. Sejak Cik Puteri kecil lagi, bukan? Di mana datangnya potong jalan kalau Cik Puteri ada peluang itu sejak lama dulu? Cik Puteri nampak tak cinta memang tak boleh dipaksa?"
"Geramnya aku. Bukan main berlagak lagi kau sekarang, ya? Aku akan pastikan kau berputih mata. Baru padan dengan muka kau!"
"Insya-Allah, saya akan cekal menghadapi setiap dugaan yang sudah tertulis buat saya. Memang tak ada istilah putih mata dalam hidup saya. Semua tu dugaan daripada Tuhan. Saya jalani dengan baik-baik sahaja. Kalau hidup mati kita menjadi rahsia Tuhan, jodoh kita juga tetap menjadi rahsia Tuhan. Saya tak perlu risau tentang tu. Yang saya risaukan ialah Cik Puteri sendiri. Sehingga kini Cik Puteri masih lagi belum bertemu kedamaian. Sebab itulah Cik Puteri tak putus-putus mahu merosakkan kebahagiaan orang. Bertaubatlah, Cik Puteri. Insaflah." Kedengaran sangat tenang, tapi dalam hati hanya Tuhan yang tahu betapa sakitnya hati aku petang ini.
"Geramnya aku... Auntie, tengoklah menantu kesayangan auntie ni!" Puteri Zahra merengek. Auntie? Bermakna sekarang Puteri Zahra berada di kediaman mentua aku? Dan-dan aku rasa tak sedap hati. Kenapa dia berada di sana?
"Hah, Azian. Apa yang kamu dah buat kepada Puteri sampai dia menangis tu?" soal mama kasar dengan tiba-tiba. Lain benar nada suara mama. Seperti sedang menyalahkan aku saja. Sebelum ini tidak begitu. Apa sudah terjadi ni? Racun Puteri Zahra sudah meresap ke dalam tubuh mama ke?
"Saya tak buat apa-apa pun..." jawab aku.
"Kamu jangan nak menipu. Kalau kamu tak cakap sesuatu, takkan dia boleh menangis sampai macam tu sekali. Kamu ni memang sudah melampau, Azian!" Lantang suara mama. Ini benar-benar satu kejutan.
"Kenapa pula saya nak menipu? Dia yang terlebih dahulu menghubungi saya. Kemudian bercakap perkara yang tidak logik. Bila saya balas, tahu pula mengamuk. Siapa yang terlebih dahulu mencari pasal sebenarnya?" soal aku. Geram betul. Asyik aku saja dipersalahkan. Mana adil.
"Tak boleh ke kamu jawab dengan sopan? Kalau sudah dasar tak reti nak berbudi bahasa, memang begitulah. Tu pasal dulu mama cakap kamu tak sesuai dengan Hazrul, tapi dia degil juga nak kamu. Tengok sekarang. Macam lembu dicucuk hidung saja!"
Sabar, Azian. Yang berkata-kata sekarang ini ialah mentua aku. Bukan orang lain. Mana boleh aku kurang ajar dengan dia. Walau apa pun aku harus menghormatinya sebagai seorang ibu.
"Tak bolehlah mama tuduh saya macam tu. Lembu apa pula? Selama ni saya tak pernah mempengaruhi Abang Hazrul. Saya hanya mengikut apa saja tindakan dia."
"Jadi kamu nak cakap, kamu tu isteri solehah la? Nak cakap kamu baik?"
"Mama, saya tak cakap macam tu. Saya hanya beritahu kebenaran." Entah bagaimana lagi hendak aku jelaskan kepada mama.
"Eh, mama tahu, kamu yang hasut Hazrul, bukan? Kamu yang hasut Hazrul tinggalkan Menara Holding. Kamu takut Puteri Zahra akan rampas Hazrul, jadi kamu paksa Hazrul buat keputusan begitu. Mama baru tahu rancangan kamu. Tak sangka busuk betul hati kamu, Azian. Pentingkan diri sendiri. Sebab takut Hazrul tak pedulikan kamu, sanggup kamu buat rancangan jahat macam tu."
Barulah aku tahu kini. Perubahan sikap mama ini rasanya ada kena-mengena dengan Puteri Zahra. Naluri aku kuat menyatakan, ini semua kerja Puteri Zahra. Sekali lagi berjaya juga dia mempengaruhi mama. Sungguh aku tak sangka. Memang busuk benar hati Puteri Zahra. Tak sudah-sudah lagi.
"Astaghfirullahalazim... Mama, saya tidak sejahat itu."
"Sudahlah kamu, Azian. Kamu dengar sini baik-baik. Selepas ni kalau terjadi apa-apa terhadap rumah tangga kamu, kamu jangan nak menyesal. Baik kamu sediakan payung sebelum hujan." Mama seperti keluarkan amaran. Selepas itu mama terus tutup telefon bimbit.
Apa sudah jadi dengan mama? Aku ingatkan semua sudah berakhir. Mama sudah boleh terima aku seadanya. Kenapa semuanya bertukar 360 darjah dengan tiba-tiba?
"Siapa call?" Encik Hazrul mengejutkan aku.
"Puteri Zahra," jawab aku sepatah. Tidak mahu mama terlibat sama. Tidak baik untuk hubungan Encik Hazrul dan mama. Hubungan mereka adalah antara seorang ibu dengan seorang anak. Bukan hubungan biasa. Sebagai isteri aku tidak perlu mengeruhkan lagi keadaan yang sedia keruh. Berdosa besar nanti.
"Uiks, apa kes? Tiba-tiba saja call. Baru semalam kita bergosip pasal dia. Hari ni dah call. Panjang betul umur dia." Encik Hazrul juga nampak terkejut.
"Bukan panjang umur, tapi macam ada chemistry!" balas aku.
"Banyaklah chemistry. Apa dia nak?"
"Apa lagi, nak abanglah!" Geram betul. Bukan dengan Puteri Zahra saja. Dia memang aku meluat sangat-sangat tetapi dengan mama juga rasa geram. Boleh lagi buat perangai. Masih tak insaf-insaf. Lainlah kalau aku betul-betul pengaruhi anak dia. Sedangkan akulah yang membuatkan anak dia bahagia. Aku jugalah yang memberi gelaran nenek kepadanya, masih lagi nak buat perangai.
Aku atur langkah keluar bilik bersama perasaan geram. Mahu angkat kain. Selepas itu aku bawa semua kain ke sofa. Akan lipat kain di situ.
"Hmmm, dia ada cakap apa-apa ke?" Encik Hazrul juga duduk di sofa. Tolong sama lipat kain. Humairah dia letak di baby walker.
"Cakap apa lagi? Cakap nak abanglah!" jawab aku sedikit kasar. Rasa nak menangis pun ada. Sedih diperlakukan begini. Seolah-olah aku ini tempat permainan mama dan Puteri Zahra saja. Entah bila hidup aku akan aman sepenuhnya, aku juga tidak pasti.
"Sayang, kenapa ni..." Encik Hazrul menghampiri aku.
Aku geleng kemudian sambung lipat kain.
"Tak pernah Azian macam ni. Pasti ada sesuatu yang tak kena."
Aku geleng juga.
"Baik, kalau macam tu, abang call Puteri." Encik Hazrul bangun. Cepat aku tangkap tangannya.
"Kalau macam tu, baik berterus terang dengan abang. Abang tak suka tengok isteri abang macam ni. Pendam semuanya sendiri. Jadi, apa gunanya abang? Abang ni suami Azian, bukan?" Encik Hazrul duduk semula. Suka benarlah dia ugut aku dengan cara begitu. Tahu akan titik kelemahan aku.
Aku pandang wajah Encik Hazrul. Mata kami bertentangan. Sebenarnya itulah yang aku inginkan. Aku inginkan perhatian daripada Encik Hazrul. Mengada-ada? Dengan siapa lagi aku hendak mengada-ada kalau bukan dengan suami aku?
"Puteri call. Dia cakap dia masih tidak berputus asa. Dia akan berusaha untuk dapatkan abang sebab dia nak abang bekerja semula di Menara Holding. Abang tinggalkan Menara Holding sebab saya. Maknanya punca abang tinggalkan Menara Holding memang disebabkan saya. Abang tu macam lembu dicucuk hidung. Ikutkan saja apa cakap saya." Habis aku luahkan semuanya. Tinggal lagi apa yang mama ucapkan aku tidak sebut-sebut. Tidak akan sama sekali aku libatkan mama kerana maksud mama memang serupa dengan Puteri Zahra.
"Hilang ingatan gamaknya perempuan ni!" Encik Hazrul bangun. Dia berjalan ke meja perhiasan di mana telefon bimbitnya sedang dicas.
"Abang, janganlah. Nanti lagi panjang cerita."
"Masalahnya abang tak suka dia kacau isteri abang!"
Inilah masalahnya dengan Encik Hazrul. Kalau tak beritahu, nanti aku dituduh mahu sembunyikan sesuatu daripada dia. Apabila sudah beritahu, tindakan yang tidak-tidak pula menyusul. Memang serba salah aku dibuatnya.
"Helo, perempuan. Apa masalah kau sebenarnya ni? Kau ni ada penyakit busuk hati ke? Atau kepala kau tu memang dah rosak?" soal Encik Hazrul kasar. Encik Hazrul sudah mula...
"Untuk pengetahuan kau, sebenarnya Azian tidak terlibat langsung dalam keputusan aku nak tinggalkan Menara Holding. Apa pasal kau ni bangang sangat? Masih tak faham-faham lagi apa yang aku cakap sebelum ini? Aku ingatkan kau dah faham. Padanlah Menara Holding tu senang-senang jatuh ke tangan orang lain. Ini disebabkan kau bangang sangat!" Suara Encik Hazrul semakin kuat sehingga menyebabkan Humairah terkejut. Terus dia menangis. Cepat-cepat aku dapatkan Humairah.
"Tak sayang, papa tak marah Humairah. Papa marah orang lain." Aku pujuk Humairah sambil cium pipi gebunya. Tangisan Humairah reda sendiri.
"Kau dengar sini, keputusan aku, tak ada kena-mengena dengan Azian atau sesiapa pun. Memang cita-cita aku dari dulu lagi nak jadi penternak lembu. Kalau aku kahwin dengan kau, kau nak ikut aku tinggal di sini? Kau nak? Kau nak ikut aku? Eh, perempuan. Aci lawan kerat kaki pun aku berani bertaruh kau tak akan ikut. Aku kenal sangat siapa kau. Sebab itulah sampai mati pun aku tak suka dengan kau. Ini amaran daripada aku, jangan sesekali kau kacau Azian. Kalau aku dapat tahu, kau memang nahas dengan aku!" Encik Hazrul tutup telefon bimbitnya selepas itu dan dia cekak pinggang. Wajahnya masam.
"Inilah sebabnya saya tak nak cerita apa-apa kepada abang," kata aku sambil bawa Humairah ke dalam bilik. Rasanya perkara ini akan menjadi lebih panjang nanti. Betul-betul aku rasa marah sekarang.
"Sebab perangai Azian beginilah orang senang buli. Mudah sangat mengalah. Sekarang ni bukan zaman mengalah. Kena balas balik apa orang lain dah buat kat kita. Kalau selamanya diam, makin bermaharajalelalah orang lain." Encik Hazrul serupa marah aku.
"Abang, adakalanya kita kena tengok keadaan macam mana. Kadang-kadang kita tak perlu nak guna kekerasan pun."
"Jadi, janganlah nak marah-marah pula!" Nampaknya Encik Hazrul memang benar-benar marahkan aku.
Aku diam. Cukup, tak perlu panjangkan lagi. Nanti lagi panjang sengketa. Tak pasal-pasal masam muka pula.
MASA makan malam, Encik Hazrul tak banyak bersuara. Aku tahu dia masih marah disebabkan peristiwa petang tadi. Aku tahu niatnya itu untuk menjaga kepentingan aku namun aku melihat keadaan itu sebagai mengeruhkan lagi keadaan. Memburukkan lagi aku di mata mama.
Dalam keadaan begini, aku serba salah hendak memujuk. Untuk sementara waktu aku biarkan kemarahannya reda sendiri.
Usai makan juga, terus Encik Hazrul tinggalkan meja makan. Selalunya hendak juga dia menolong aku basuh pinggan dan mengemas. Buruk betul perangai Encik Hazrul ni apabila sudah marah.
Bersabarlah, wahai Azian Yuhanis. Bukankah itu suami awak yang paling awak cintai? Kenalah terima buruk dan baik dia. Mana ada rumah tangga yang aman damai selalu. Sesekali mesti ada berselisih faham. Sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula suami isteri.
Habis saja kerja-kerja mengemas, aku terus ke bilik. Biarkan Encik Hazrul bermain dengan Humairah di ruang tamu. Malas mahu campur mereka. Di dalam bilik, aku rajinkan diri dengan mengemas rak pakaian Humairah yang nampak agak tidak tersusun dengan kemas.
Ketika rak baju Humairah hampir kemas keseluruhannya, Encik Hazrul dan Humairah muncul. Aku tidak pandang pun wajah Encik Hazrul.
"Sayang, kenapa dengan mama tu? Tak nak kawan papa ke? Diam aje dari tadi. Papa tanya sepatah, mama jawab sepatah. Mama marah ke, sayang?" Encik Hazrul sudah mula. Pandai saja dia hendak memujuk. Kali ini Humairah pula yang jadi mangsa. Benarlah kata orang, anak itu penyambung kasih.
"Siapa marah siapa, Humairah. Mama ke marah, papa yang marah?" soal aku. Humairah juga jadi orang perantaraan.
"Papa tak marah. Cuma papa tegur aje. Kita mana boleh biarkan orang buat sesuka hati terhadap kita. Kita kena pertahankan hak kita. Kalau sikit-sikit nak merajuk, sikit-sikit nak bawa hati, makin senanglah orang buli kita. Humairah jangan jadi macam tu tau. Kalau ada orang buli anak papa ni, jangan diamkan. Lawan balik. Kalau orang pukul, pukul dia balik. Peduli apa."
Aku toleh pandang wajah Encik Hazrul. Ajaran yang tak boleh dipakai sama sekali. Ada pula mengajar anak begitu.
"Eloklah ajar anak jadi samseng!" ujar aku bersama rasa kurang senang.
"Papa bukan ajar jadi samseng, papa ajar bagaimana untuk mempertahankan diri sendiri. Walaupun Humairah ada papa, ada mama, Humairah tak boleh bergantung harap dengan papa dan mama selalu. Ada masanya Humairah kena jaga diri sendiri sama."
Terasa. Itu yang mendatangi diri aku sekarang. Bermakna Encik Hazrul tidak mahu aku bergantung harap kepada dirinya selalu. Encik Hazrul mahu aku bangkit untuk membela diri aku sendiri tanpa dia.
Kalau difikirkan, memang betul juga katanya itu. Selama ini aku terlalu bergantung harap kepada Encik Hazrul. Seolah-olah aku tidak mampu untuk bertindak sendiri. Semua harapkan dia. Pasti lama-kelamaan Encik Hazrul akan jadi bosan. Ah, salah aku rupa-rupanya.
Aku ke katil selepas rak pakaian Humairah kemas sepenuhnya. Perasaan menjadi sedikit lega. Walau begitu, aku tidak mahu mengalah dengan mudah. Biar Encik Hazrul memujuk lagi.
Di atas katil juga aku buat tidak peduli. Pusing badan ke arah dinding.
"Mama, sampai bila nak merajuk ni? Hati papa tak senang tau. Humairah pun tak senang tengok mama macam ni. Sudah-sudahlah tu..."
Pandainya dia memujuk.
"Janganlah merajuk lagi. Papa sudahlah tak pandai nak pujuk-pujuk ni. Papa memang failed dalam bab-bab pujuk. Kesian papa. Malam ni mesti papa sejuk. Selimut papa dah tak hairankan papa..."
Aku senyum. Perasaan mula mencair.
"Dahlah Humairah, jangan layan sangat papa tu. Mengada-ada aje lebih." Akhirnya aku bersuara juga.
"Papa bukan mengada-ada. Papa hanya inginkan sedikit perhatian. Kalau papa tegur sikit dah masam muka, macam mana lagi papa nak buat? Papa sayang sangat mama Humairah tu. Bukan sayang sikit-sikit. Terlalu banyak. Kalau jadi apa-apa, papa tak tahu nak buat apa. Papa boleh gila nanti."
Terharu aku mendengarnya.
"Mama pun sayang papa Humairah, tapi takkanlah mama langsung tak boleh nak beri pendapat mama? Sesekali dengarlah sama suara hati mama. Mama buat pun sebab mama sayang." Biar Humairah jadi orang tengah malam ni.
"Kalau macam tu, papa minta maaflah. Papa selalu ikut perasaan, langsung papa tak hiraukan perasaan mama Humairah."
Aku senyum pada dinding.
"Eh, papa dah minta maaf ni. Kenapa tak ada respons apa-apa? Takkan nak tunggu hari raya baru boleh minta maaf."
"Mama Humairah yang salah. Mama Humairah yang sepatutnya minta maaf..." Masih pandang dinding.
"Takkan nak minta maaf kat dinding."
Aduhailah suami. Sengaja nak buat aku ketawa. Terpaksalah aku pusing badan. Humairah masih di dada Encik Hazrul.
"Saya minta maaf kalau saya buat salah." Wajah Encik Hazrul aku pandang. Tak mengapalah aku beralah. Aku ini isteri. Isteri wajib taat terhadap suami. Tak boleh ingkar. Perasaan isteri itu jatuh nombor dua.
"Abang pun minta maaf. Tapi abang tak naklah isteri abang dilihat terlalu lemah. Kena pandai tepis juga. Mana boleh nak harapkan abang saja."
Dia minta maaf, tapi dia masih senaraikan kesalahan aku. Bermakna maaf itu sebagai pemanis mulut sahaja. Gamaknya semua suami begitu.
"Yalah, lain kali saya akan cuba pertahankan diri saya." Mengalah sajalah. Itu yang terbaik buat masa sekarang.
"Macam tak ikhlas aje..."
"Abang juga yang cakap, ikhlas tu mana boleh nampak."
"Oh, goreng abang balik?"
"Mana ada goreng-goreng. Manalah saya tahu nak goreng."
Encik Hazrul bangkit dan bawa Humairah ke katilnya. "Tidur tau, papa sibuk malam ni..." bisiknya perlahan dan lampu bilik ditutup. Hanya lampu dinding dia biarkan terpasang.
"Sibuk apa pula?" soal aku. Apalah yang hendak disibukkan sangat?
"Papa Humairah sibuk nak pujuk mama Humairahlah. Apa lagi? Selagi tak dipujuk betul-betul, makan dalam aje tu..." Encik Hazrul sudah naik ke atas katil. Seperti biasa dia angkat kepala aku dan letak ke atas lengan kanannya.
"Nak pujuk apa pula? Kan saya dah minta maaf."
"Tapi abang tak suka cara minta maaf tu. Ada nada-nada tak puas hati..."
Sebenarnya dia yang tak puas hati. Cara dia minta maaf tu serupa terpaksa sahaja. Bukan aku tak tahu. Dia pernah jadi CEO yang berkepala ego. Mana pernah mahu mengalah dengan mudah.
"Malam ni abang nak ajar satu teknik baru."
Dalam kesamaran lampu dinding aku nampak bibir Encik Hazrul mengukir sekuntum senyuman. Melihatkan senyumannya begitu, mula hilang semua rasa yang kurang enak. Ah! Sesungguhnya aku yang lemah dengan senyumannya.
"Lain kali, kalau ada sesiapa serang Azian, jangan gentar. Jangan rasa takut. Lawan aje. Berani kerana benar. Azian kena pertahankan diri sendiri. Jangan terlalu lemah. Azian ada abang, ada Humairah. Apa yang Azian takut lagi?"
Tarik nafas dalam-dalam. Selemah itukah aku di mata Encik Hazrul?
"Masa abang ada, bolehlah abang jaga Azian, mana tahu abang pergi dulu ke..."
Terus aku tutup mulut Encik Hazrul. Aku tidak sanggup untuk mendengar kata-katanya lagi.
"Sayang, mati itu pasti. Semua yang bernyawa akan pasti mati, cuma kita tidak tahu bila masa kita akan sampai. Kalau ditakdirkan abang pergi dulu, abang mahu Azian teruskan hidup Azian dengan baik. Jaga buah hati kita dengan rasa kasih sayang. Kalau mahu cari pengganti abang, carilah. Abang izinkan asalkan Azian akan bahagia."
"Janganlah cakap macam ni..." Dulu-dulu aku menangis.
Encik Hazrul bawa kepala aku ke dadanya. "Boleh tak isteri abang ni jadi berani sikit? Abang risau sangat tentang Azian. Abang risau kalau abang tak ada nanti." Dahi aku dikucup lama.
Air mata aku masih tidak berhenti mengalir. "Saya harap saya mati dulu..."
"Kalaulah boleh kita buat permintaan begitu."
"Saya tak sanggup kehilangan abang. Saya tak dapat bayangkan hidup saya tanpa abang. Memang saya tak mampu nak teruskan kehidupan saya kalau abang tinggalkan saya."
"Sebab itu abang mahu Azian jadi lebih berani. Hadapi hidup ini dengan rasa yakin." Rambut aku dia cium pula. Terasa seperti malam ini sudah menemukan aku kepada sesuatu yang baru. Hidup ini harus berani.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co