Bab 4
"INSYA-Allah, aku mai. Satni aku pujuk laki aku. Tapi payah sikit. Payah buat kira dengan dia ni. Kan dia gila kerja. Bukan boleh ajak pi mana-mana. Ada saja alasan dia. Rasa macam dia sayang lembu dia saja daripada sayang aku." Aku perli Encik Hazrul sekejap dengan harapan dia faham. Kalau ajak makan angin memang susah.
"Janganlah lagu tu. Hang dalam bab memujuk kan terror? Tu pasal laki hang dok caiyaq selalu dengan hang."
Macam Nora perli aku saja. Terror la sangat.
"Dalam hal lain dia memang caiyaq, tapi dalam bab kerja, aku pujuk lagu mana pun mesti tak jalan punya!" Aku jeling Encik Hazrul yang sedang terbaring di sisi Humairah di atas katil. Mereka sedang main sembunyi-sembunyi. Dua-dua sama naik. Manalah si anak tu nak tidur kalau si bapa begitu? Makin cerah mata anak.
"Mai, jangan tak mai. Kalau hang tak mai, kira kita putus hubungan. Aku nikah bukan dua tiga kali. Ini kali pertama dan mungkin kali terakhir. Aku merayu sangat-sangat." Seperti tegas sahaja suara Nora. Aku rasa itu juga merupakan satu amaran. Dia bukan bergurau sekarang ini. Nora benar-benar serius dengan kata-katanya. Aku kenal Nora. Ada benda kami boleh buat lawak, tapi ada benda tak boleh. Silap hari bulan boleh berkelahi.
"Tau, hang bukan nikah dua tiga kali, tapi hang pun kena faham keadaan laki aku macam mana. Dia ni payah sikit bawa berunding. Nak-nak pasai tinggalkan Bukit Cendana ni. Aci lawan apa pun mesti tak mau punya." Aku pandang lagi Encik Hazrul. Kali ini dia juga pandang aku. Hmmm, jeling aku seperti terasa saja. Eh, dah betul. Nak terasa apa pula? Aci lawan apa pun mesti Encik Hazrul susah nak pergi Langkawi. Silap hari bulan dia suruh aku sorang saja yang pergi. Tu muka sanggup bawa anak pergi tempat kerja.
"Hang ugutlah dia."
"Cer hang habaq, aku nak ugut dia macam mana? Lari dari rumah? Dia tau punyalah kalau aku lari aku pi mana. Toksah mengarutlah."
"Hang ugutlah kata tak mau tidoq dengan dia sebulan ka?"
"Woit, hang gila ka? Tu bukan ugut dia, aku yang terlebih merana satni!"
"Aku tak kira. Kalau hang rasa aku ni kawan hang, hang datang majlis aku nikah. Kalau tidak, hang tak payah mai Langkawi sampai bila-bila. Putus hubungan!"
"Jangan la lagu tu, hang saja sahabat aku dunia akhirat."
"Kalau lagu tu, hang kena mai juga majlis nikah aku."
"Yalah, aku cuba pi. Tengoklah macam mana..."
"Okey, dah lama aku call hang ni. Apa-apa nanti aku call hang semula. Kirim salam kat laki hang. Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam."
Aku letak telefon bimbit di atas almari solek bersama keluhan berat. Rasanya macam tak lepas saja. Tak tahu nak pujuk macam mana lagi. Encik Hazrul memang sudah terkenal dengan sikap gila kerjanya.
"Apa pasal?" soal Encik Hazrul.
"Nora jemput majlis kahwin dia hujung bulan ni, dia kirim salam kat abang," jawab aku dengan lemah. Tak payah nak cakap lebih-lebih, aku sudah sedia maklum akan jawapan Encik Hazrul.
"Waalaikumussalam. Hmmm, elok juga tu. Dah lama kita tak pergi Langkawi."
Aku pandang wajah Encik Hazrul. Serupa tak percaya saja. Ini betul-betul atau mimpi? Takkanlah semudah itu. Aku belum lagi mulakan acara memujuk.
"Apa abang cakap?" soal aku. Serius, memang aku tidak menyangka jawapannya begitu.
"Dah lama kita tak makan angin ke Langkawi. Humairah pun tak pernah sampai Langkawi lagi. Bolehlah kita pergi nanti," jawab Encik Hazrul. Humairah sudah meniarap di dada Encik Hazrul. Terlentok-lentok. Nampak comel sangat. Mungkin kepenatan dan sekejap lagi pasti puteri kesayangan kami itu akan tertidur.
Aku turut terbaring di sisi Encik Hazrul. Pipi kirinya aku cium sekali. Tak terkata.
"Terharulah tu..." kata Encik Hazrul. Belakang Humairah dia urut perlahan-lahan. Kemudian berpindah pula ke punggung Humairah. Punggung anak comel itu ditepuk dengan perlahan-lahan juga. Jangan menyanyi sudah. Sakit telinga nak dengar.
"Ingatkan susah nak pujuk abang," balas aku. Wajah Encik Hazrul aku tatap tak sudah. Rasa dialah lelaki paling segak di dunia ni. Dialah suami paling terbaik di dunia. Tak akan ada tolok bandingannya.
"Abang tahu, dialah satu-satunya sahabat Azian. Orang yang Azian ada sebelum abang. Takkanlah abang zalim sangat untuk tidak membenarkan Azian hadir di majlis istimewa dia. Abang pun ada perasaan."
Aku peluk dia dengan erat. Sangat memahami. Sayang abang!
"Tapi lembu-lembu abang?" Baru teringat sesuatu yang juga sebahagian daripada hidupnya. Yang memerlukan perhatian serius daripada Encik Hazrul.
"Abang dah lantik seorang pengurus. Rasanya dia boleh uruskan ladang sementara abang tak ada."
"Hmmm, baguslah tu..." Lega aku dengar. Sekurang-kurangnya boleh membantu mengurangkan kerja Encik Hazrul.
Sepi sekejap. Humairah makin terlentok di dada papanya.
"Nora kahwin dengan orang mana?" soal Encik Hazrul selepas itu.
"Kaum kerabat dia juga. Anak sepupu Pak Cik Ayob."
"Hmmm, suka sangatlah kahwin dengan kaum kerabat. Macamlah tak ada orang luar. Cuba buka sikit mata. Masih ramai pilihan yang bagus-bagus menanti di luar sana."
Encik Hazrul seperti merungut. Rasa aku, dia ni memang kalau ada kelab membantah kahwin pilihan keluarga, dialah dulu-dulu jadi ahli. Memang alergi betul dengan kahwin paksa, kahwin aturan keluarga dan seumpama dengan keadaan tersebut. Cepat saja keluarkan pendapat berbaur hasutan. Jelas tak suka.
"Orang-orang tua cakap, kalau kahwin dengan kaum kerabat, nasi tak sempat basi. Harta tak jatuh ke tangan orang lain." Aku usik dia. Pasti saja karang melenting-lenting.
"Harta boleh bawa mati ke?"
Nak aje aku balas kata-kata Encik Hazrul. Kalau dia tidak memikirkan keduniaan, dan kalaulah apa yang dia ucapkan itu mewakili perasaan sebenarnya, takkan dia bertungkus-lumus bekerja keras?
"Sekurang-kurangnya keluarga terdekat. Mengeratkan mana yang renggang."
"Abang tak setuju."
Siapa pulalah yang minta pendapat dia? Disebabkan aku malas berlawan cakap, aku diamkan sahaja. Karang lagi panjang dia membebel. Hilang pula mood nak ke Langkawi. Paling takut kalau dia merajuk terus, tak jadi pergi Langkawi. Sudahlah nak memujuk bukan kerja senang.
Tarik nafas dalam-dalam. Bertenang, Azian Yuhanis.
Tak sangka jodoh Nora sampai juga. Dulu dia kata kalau boleh dia tak mau kahwin dulu. Dia nak majukan resort dia. Dia seorang yang sangat berwawasan, tapi aku rasa Pak Cik Ayob atau Mak Cik Bie yang mendesak. Kalau tidak, Nora tak akan fikir pasal kahwin.
"Kenapa diam? Kenapa tak nak berbalas cakap? Dah kalah?" soalnya. Sedar pula aku diam. Suka sangatlah berbalas cakap.
"Malaslah, dah tentu saya kalah!" balas aku.
"Abang cakap yang betul. Kalau tak betul abang tak cakap. Soal cinta mana boleh main paksa-paksa. Tu soal hati, soal perasaan, soal masa depan. Kita hidup ni memerlukan cinta. Tanpa cinta hidup kita jadi kosong, jadi tawar."
Aduhai, bertegas pula dia kali ni. Nak dilawan karang, memang panjanglah jawabnya. Tak dilawan, dipaksanya kita bercakap. Alahai suamiku. Pening aku dibuatnya.
"Tapi kan..." Aku pandang muka dia. Sikit-sikit kena 'basuh' juga dia ni. Nanti dia ingat aku ni pak turut saja.
Encik Hazrul pandang aku.
"Lelaki, kenapa selalu cakap tak cinta, tapi kalau nikah jadi anak juga? Ada tu berderet tiap-tiap tahun. Maknanya cinta lelaki tu pada nafsu ke?" soal aku.
Encik Hazrul tarik muka masam. Mata dia kecilkan.
"Tak betul? Abang jangan tipulah. Cakap aje tak cinta, lambat malam sikit mulalah. Merengek semacam. Siang tak cinta, malam lain cerita!"
"Abang bukan macam tu, okey? Kalau abang kata tak nak, memang abang tak nak. Pandang pun abang tak nak, apatah lagi sentuh."
"Ya?" Aku senyum menyindir.
"Serius, okey?"
"Tak percayalah. Muka abang tu, dah faham sangat. Asal malam aje mula tak senang duduk."
Encik Hazrul baling aku dengan bantal kecil Humairah. Menunjukkan rasa tidak puas hatinya atau sedang terkesan dengan sindiran aku?
"Abang macam tu sebab abang bersama orang yang abang cinta. Kalau abang tak cinta, jangan haraplah dapat sentuhan abang."
"Oh, ya?" Akhirnya aku mengaku kalah. Malas lagi hendak berlawan cakap.
"Abang cakap yang betul."
"Yalah, saya percaya..."
Tiba-tiba saja wajah Puteri Zahra melintasi ruang mata. Gadis yang dulunya dicanangkan sebagai calon isteri Encik Hazrul sehingga Encik Hazrul nekad jadikan aku isteri olok-oloknya. Sebab itukah Encik Hazrul pantang betul kalau buka cerita kahwin paksa?
Aku meniarap pula. Pandang kedua-dua beranak itu. Betapa bahagianya. Keluarga kami kecil sahaja tapi saling melengkapi. Inikah kehidupan yang Encik Hazrul impikan selama ini sehingga dia sanggup tinggalkan segalanya? Nampak impiannya biasa-biasa saja, tapi tiada ternilai.
"Puteri Zahra ada call abang?" soal aku sambil menongkat dagu di atas tilam. Encik Hazrul bangun perlahan. Mahu letak Humairah di atas katilnya. Aku bangun lalu ambil telefon bimbit dan dibawa ke atas katil. Pukul sebelas malam Humairah tertidur.
"Tak ada, dia call Azian?" Encik Hazrul kembali ke katil.
Aku geleng.
"Abang rasa dia masih menyimpan perasaan terhadap abang?" soal aku.
"Perasaan terhadap seseorang mana boleh dikikis dengan sekelip mata. Sedikit tidak, pasti masih tersimpan perasaan tu. Abang tahu Puteri Zahra masih menaruh harapan buat abang."
Cuak juga mendengar kata-kata Encik Hazrul. Kalau begitu aku tidak boleh berasa selesa untuk selama-lamanya kerana pasti saja Puteri Zahra akan membuat rancangan. Mana mungkin dia lepas tangan begitu saja.
"Kenapa muka macam tu? Cemburu?" Tiba-tiba saja Encik Hazrul senyum. Lagi mahu tanya. Gila tak cemburu? Agak-agak jugalah soalan pun.
"Mestilah. Gila tak cemburu?!"
Encik Hazrul sambut dengan ketawa kecil. Kemudian dia hampiri aku. Terbaring di sisi aku. Selepas itu, dia bawa kepala aku ke lengan kanannya.
"Kenapa nak cemburu? Abang bukan muda lagi. Sudah tiada daya penarik. Siapalah yang nak berkenan lelaki yang sudah ada anak satu ni? Kalau dulu tu abang percayalah ramai yang tergilakan abang. Sekarang ni hanya penternak lembu. Sebelah mata pun orang tak pandang."
"Sedang anak sepuluh pun orang masih tergila-gila, inikan baru anak satu."
"Ada yang tergila-gilakan lelaki yang bekerja sebagai penternak lembu? Ada?"
"Mustahil tak ada. Kalau dah suka peduli apa penternak lembu ke penternak kambing. Orang bukannya peduli semua tu."
"Azian salah. Bukan semua wanita yang sanggup buat begitu. Kira abang antara yang bertuah kerana memiliki seorang isteri yang sangat memahami. Setia menemani abang tak kira abang CEO ataupun penternak lembu. Sebenarnya abang takut juga kalau Azian tak sanggup dan pilih tinggalkan abang."
"Bodohlah saya kalau bertindak begitu. Sedang apa yang saya miliki sekarang lebih daripada sempurna." Aku pegang pipi Encik Hazrul. Walau apa pun yang terjadi, aku tidak akan lepaskan cinta yang satu ini. Aku akan berdiri teguh di sisinya tanpa sebarang ragu.
"Terima kasih, sayang..." Dahi aku dikucup sekali.
"Saya tetap rasa tidak sedap hati bila teringat tentang Puteri Zahra."
"Hmmm, jangan risau. Ada kawan abang beritahu dia nak kahwin dengan musuh ketat abang."
"Siapa?"
"Tengku Iqbal."
"Tengku Iqbal? Saya tak kenal."
"Azian memang tak kenal. Sekarang ni dialah yang berkuasa di Menara Holding."
Aku kerut dahi. Serius tak faham.
"Dia mempergunakan Puteri Zahra. Dia ambil alih semua saham Tan Sri Hasyim. Sekarang dia ada tiga puluh lapan peratus saham. Kira dialah pemegang saham tertinggi," beritahu Encik Hazrul apabila dia melihat kerut di dahi aku.
"Papa?"
"Papa cuma ada tiga puluh peratus."
"Bermakna papa masih ada kuasa di Menara Holding sebab papa antara pemegang saham terbesar."
"Papa pun malas nak ambil tahu pasal Menara Holding. Sejak papa dah mula insaf ni, papa pun lepas tangan. Dia serah bulat-bulat kepada Tengku Iqbal."
"Tengku Iqbal tu okey ke?"
"Kalau okey takkan dia buat taktik kotor untuk dapatkan Menara Holding. Mungkin dia mahu rampas Menara Holding daripada abang, sebab itu dia guna Puteri Zahra. Tapi dia tak sangka abang terlebih dahulu lepas tangan. Itu yang dia marah sangat."
Aku angguk. Sebenarnya aku tidak berapa tahu sangat tentang Menara Holding. Tapi apa yang diberitahu oleh Encik Hazrul ialah sewaktu mahu menubuhkan Menara Holding, papa dan papa Puteri Zahra, Tan Sri Hisyam memerlukan pelaburan sokongan. Jadi mereka jual beberapa unit saham untuk membantu mengembangkan modal mereka. Mereka melantik Encik Hazrul sebagai CEO selepas Encik Hazrul dewasa dan Menara Holding juga sudah mula maju.
"Dia tak puas hati sebab tak dapat kalahkan abang? Macam tu?" soal aku.
"Hmmm, lebih kurang macam itulah. Kiranya dia tewas sebelum bertanding. Sebab itu dia dendam sangat dengan abang."
"Kenapa dia macam marahkan abang?" Banyak pula soalan aku tetapi memang aku berminat juga nak tahu. Bukan saja dikhabarkan tentang musuh tradisi suami aku tetapi juga lelaki yang kononnya bakal menjadi suami Puteri Zahra.
"Dia mahu bersaing. Dia fikir abang sukakan Puteri Zahra, jadi dia goda Puteri Zahra. Tapi tiba-tiba apabila abang umumkan pernikahan abang, dia hilang punca. Itu yang pertama kali dia rasa macam dia tewas. Yang kedua, dia bersusah payah untuk dapatkan Menara Holding, tiba-tiba abang letak jawatan. Memang dia ada serang abang dan tuduh abang macam-macam tapi abang diamkan aje. Abang cuma cakap dia dah kalah."
Sedikit tidak, aku mula kenal Tengku Iqbal. Walau orangnya seperti ganas, tiada apa yang hendak aku risaukan. Takkan manusia seperti Tengku Iqbal akan kacau ladang penternakan Encik Hazrul? Tapi, manusia seperti itu susah hendak diramal tindakannya.
"Abang rasa dia nak kacau ladang ternakan abang?" soal aku. Walau rasa tidak berasas saja, namun tidak mustahil.
"Entahlah. Orang macam tu kita tak boleh nak agak. Selagi dia tidak berjaya puaskan hati dia, dia akan lakukan apa saja. Dan dia sentiasa mendesak. Abang bimbang juga kalau dia goda Azian."
"Abang ni... Kalau ya pun, agak-agaklah. Takkan sampai macam tu sekali." Encik Hazrul ni sengaja potong mood aku untuk mendengar sambungan ceritanya. Boleh lagi dia keluarkan ayat begitu. Bikin hati panas saja.
"Ingat isteri abang ni bekas model ke?" marah aku.
"Manalah tahu, siapa kata isteri abang ni tak ada daya penarik? Kalau tidak, takkanlah CEO Menara Holding boleh terpikat? Sedang yang beratur tunggu CEO tu bukan calang-calang orang. Bergetah semuanya."
"Hanya abang yang terpikat dengan saya ni. Orang lain mana mahu pandang..."
"Eh, peduli apa abang dengan orang lain? Yang penting abang suka. Abang sendiri yang jatuh hati dengan Azian. Orang lain jatuhlah cinta dengan orang lain. Isteri abang hanya untuk abang seorang sampai abang mati."
"Itulah yang saya cakap tadi, hanya abang yang sukakan saya. Sepatutnya abang tu jatuh cinta dengan gadis yang setaraf dengan abang."
"Tengok, Humairah. Mama Humairah ulang semula drama sebabak. Tak habis-habis dengan keturunan burung dia. Tengoklah, kejap lagi sah keluar burung gagak burung merak!" Encik Hazrul senyum manja.
"Anak abang tu dah tidur. Tak payah nak jual nama dia..."
"Tapi entah kenapa abang boleh jatuh cinta dengan keturunan gagak ni. Sekali pandang, terus tak boleh lupa. Terbayang-bayang macam orang gila bayang. Sesak nafas abang apabila ingatkan Azian." Dia hela nafas panjang selepas itu. Seperti puas dengan apa yang dia ada.
Aku tersenyum. Rasa sangat bangga. Mana tidaknya, aku hanya gadis biasa-biasa, tapi boleh digilai oleh lelaki hebat seperti Encik Hazrul.
"Kan cinta tu buta..."
"Hah, tahu pun. Yang asyik ulang keturunan gagak dengan keturunan merak tu kenapa?"
"Harus sedar diri..."
"Hmmm, mama Humairah ni pandai betullah pusing ayat."
Aku tersenyum.
"Satu perkara yang buat abang terfikir tentang Puteri dan Tengku Iqbal ni." Encik Hazrul kembali berbicara tentang Tengku Iqbal.
"Tentang apa?" soal aku.
"Apakah benar Tengku Iqbal akan mengambil Puteri Zahra sebagai isteri atau sekadar untuk memperalatkan Puteri Zahra semata-mata."
"Kesianlah Puteri Zahra kalau Tengku Iqbal sekadar mempermainkan dia sahaja."
"Entahlah, susah nak cakap sebab Puteri Zahra tu seperti mahu diri dia diperbodohkan saja. Kadang-kadang abang pun tak faham. Apa sebenarnya yang mereka berdua inginkan? Kalau tak menyusahkan orang memang tak sah. Ada saja benda yang mereka nak lakukan."
"Untuk kepuasan, bang. Mereka hanya memuaskan hati mereka sendiri saja sebenarnya. Tak boleh musuh mereka mendahului mereka. Kalau boleh mereka mahu melihat musuh mereka hidup menderita."
"Abang pun fikir begitu. Mereka tak akan senang selagi tak melihat kita menderita."
"Jadi kita kena lebih berhati-hati untuk masa akan datang."
"Betul tu..."
Macam-macam manusia ni. Tidak pernah puas rupa-rupanya.
"Errr, Tengku Iqbal tu handsome tak?" soal aku tiba-tiba. Saja.
Cepat Encik Hazrul ambil bantal lagi satu dan tutup mukanya. Eh, marah pula.
"Hmmm, sah handsome tu..." Aku usik.
"Malas nak cakap dengan Azian."
Aku tergelak perlahan. Hmmm, memang ada yang tak kenalah tu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co