Truyen3h.Co

Suami Edisi Terhad

Bab 8

karyaseni2u

MAJLIS pernikahan Nora berlangsung di kediaman keluarga Nora. Tepat 11.45 pagi Nora selamat bergelar seorang isteri. Aku hanya perhatikan Nora dari jauh kerana Nora sudah dikelilingi kaum kerabatnya. Tak naklah kacau. Bagi aku lebih bermakna dia di sisi kaum keluarga.

"Hmmm, boleh tahan suami Nora. Hitam manis," puji aku. Orangnya sedikit hitam manis. Tinggi lampai. Padan jugalah dengan Nora yang lebih kurang kulit aku.

"Hitam itu menawan," balas Encik Hazrul.

Aku senyum saja sambil melihat Nora yang nampak tenang sebaik saja menggalas status sebagai isteri. Sudah tidak ternampak tanda-tanda kurang senang semalam. Bahagia saja aku melihat dia. Betapa bertuahnya dia diraikan kaum keluarga. Sedang majlis nikah aku dulu berlangsung dalam suasana paling sederhana.

Namun aku tetap bersyukur kerana diberi jodoh yang sangat baik. Melengkapi hidup aku yang serba kelam. Tempat aku menumpang kasih dan sayang. Alhamdulillah, aku diberi kesempatan untuk bahagia.

"Eh, kenapa senyum sorang-sorang pula ni?" soal Encik Hazrul. Sekaligus mematikan lamunan aku. Cepat saja aku geleng. Sentiasa diperhatikan rupa-rupanya.

"Mustahil tak ada apa-apa. Ke Azian dah bayangkan malam pertama mereka?"

"Humairah, tengok papa, tak senonoh langsung."

"Humairah, papa bukannya tak senonoh, selalu apa yang papa cakap tu betul."

"Kali ni tak betul."

"Habis tu senyum kenapa?"

"Seronok tengok Nora dikelilingi kaum keluarga. Nampak sangat disayangi, saya tak ada keluarga. Nikah sorang-sorang. Mungkin bukan rezeki untuk ada keluarga macam Nora." Sendu pula terasa. Suasana yang cukup hening ini sedikit mengundang rasa sedih buat aku.

"Tak apa. Sekarang Azian sudah ada keluarga sendiri, bukan? Ada suami yang terlalu sayangkan Azian dan anak yang paling comel. Azian tidak akan terkurang apa-apa." Encik Hazrul memujuk.

Lega mendengar kata-kata Encik Hazrul. Betul, sekarang ini aku tidak akan terkurang apa-apa.

"Dah, jangan sedih. Tu pengantin dah datang," kata Encik Hazrul. Ketika itu Nora sedang menghampiri kami.

"Sorry la. Aku tak dapat layan hang..." kata Nora.

"Tak kesahlah. Aku tau hang sibuk. Aku pun tak mintak hang layan aku."

"Takut hang terasa saja. Hang tu mudah jauh hati. Kalau jauh hati mulalah merajuk. Bawa diri hujung tanjung. Betul tak, Encik Hazrul?" soal Nora.

"Memang betul sangat-sangat," sokong Encik Hazrul.

"Tu dulu..." Aku bela diri.

"Sama aje. Sekarang ni lagi teruk!" tokok Encik Hazrul.

"Yalah tu... Hmmm, aku tak sangka hang secantik ni..." puji aku, tidak mahu terus-terusan mereka mengusik aku. Sepatutnya aku yang mengusik Nora. Nora manis sekali dengan satin kurung moden berwarna putih.

"Aku mana cantik. Lainlah hang..."

"Daklah. Aku tak cantik tara mana pun."

"Sukalah cakap macam tu..."

"Aku cakap sungguh ni." Malu pula rasanya apabila Nora puji macam tu.

"Kalau nak tau hang cantik ka dak, tanya laki hang. Encik Hazrul, Azian cantik dak?"

"Sapa kata dia tak cantik? Kalah ratu cantik dunia. Kalau dia tak cantik tak pasai nak suka." Encik Hazrul buat lawak. Dan-dan tukar gaya orang sini bercakap. Mau kami tak tergelak.

"Nora, mai sat!" Salah seorang wanita yang berbadan agak gempal panggil Nora. Sekaligus mematikan ketawa kami.

"Aku pi sat. Jangan lupa jumpa nanti kat majlis resepsi..." Nora berlalu pergi.

"Humairah, mak hang cantik dak? Kalau kata tak cantik, sah mata atas lutut." Encik Hazrul buat lawak lagi. Dapat sekali jelingan daripada aku. Suka sangat mengajuk.

"Awat? Tak betui ka?" soal Encik Hazrul lagi.

"Humairah, tengok pak hang. Bukan main lagi..."

Encik Hazrul senyum saja. Sesekali dia buat lawak, memang menjadi.

TERKEJUT aku apabila melihat Hilda. Rupa-rupanya dia menjadi penyambut tetamu di hotel di mana majlis resepsi Nora berlangsung. Jauhnya dia bawa diri.

Mulanya dia nampak terkejut melihat aku dan Encik Hazrul. Mungkin tidak menyangka akan bertemu kami di sini. Mungkin juga dia sebenarnya tidak mahu jumpa sesiapa. Malu atau demi menjaga air mukanya? Apa masalahnya dengan kerja penyambut tetamu sampai dia takut sangat tu?

Aku pandang wajahnya. Walau Hilda tak cakap, aku tahu dia juga ada hati terhadap Encik Hazrul ketika kami sama-sama berada di Menara Holding dulu. Berusaha keras untuk menawan hati Encik Hazrul.

"Eh, Encik Hazrul?" soalnya sambil tunjuk rasa terperanjatnya.

"Hilda? Awak kerja di sini?" soal Encik Hazrul pula.

"Haah...." jawab Hilda berbasa-basi. Matanya merenung Humairah yang digendong oleh Encik Hazrul.

"Kenapa jauh bawa diri? Memang tak sukakan Menara Holding ke?" soal Encik Hazrul pula. Aku tidak tahu Encik Hazrul ni tahu atau tidak keadaan Menara Holding. Boleh lagi tanya soalan macam tu. Sah-sah kawan tu kena buang kerja, masih lagi nak tanya bagai. Atau dia sekadar mahu mempermainkan Hilda? Kadang-kadang aku tidak tahu apa yang terselirat dalam fikiran Encik Hazrul. Kepakarannya untuk mengenakan orang memang sangat mengagumkan.

"Nak tukar selera saja, Encik Hazrul..." Hilda seperti mahu menutup segala rahsia yang ada. Aku tahu dia sekarang ini berperang dengan perasaan sendiri. Berhadapan dengan aku yang selalu menjadi mangsa bulinya adalah sesuatu yang agak sukar bagi seseorang bernama Hilda. Mungkin dia merasakan maruahnya sedang aku pijak-pijak. Tapi percayalah, bukanlah aku orangnya untuk menjadi sezalim itu.

"Baguslah, selamat bekerja..." kata Encik Hazrul.

"Terima kasih..." katanya lemah.

Tanpa menjawab, kami terus melangkah menuju ke dewan di mana majlis resepsi Nora bakal berlangsung sekejap lagi.

"Kenapa abang tanya Hilda macam tu? Bukan ke dia kena buang kerja? Abang tak tahu ke?" soal aku ketika kami sampai di pintu dewan.

"Abang tahu, tapi takkan pula abang nak aibkan dia."

Aku faham kini. Tak sangka Encik Hazrul akan fikir begitu. Pandai juga dia menjaga hati. Kalau dulu ketika di Menara Holding dia main redah saja. Mana pernah mahu menjaga perasaan orang lain. Sekarang aku tahu Encik Hazrul sudah semakin matang.

"Hmmm, jadi abang tahulah dia antara pekerja yang ada hati kat abang?"

"Mestilah abang tahu. Bukan dia sorang saja yang ada hati kat abang, ramai lagi pekerja perempuan yang menaruh hati terhadap abang." Seperti bangga pula Encik Hazrul ni. Sengaja mahu membuatkan hati aku panas semacam.

"Eh, masuk bakul angkat sendiri nampak!"

"Hakikat, okey? Abang pun tak minta untuk diminati begitu. Mungkin sebab abang terlebih segak kut."

"Humairah, kenapa papa Humairah ni perasan sangat? Mama tahulah papa tu segak, banyak pilihan. Boleh pilih perempuan-perempuan taraf model, tapi kenapa yek papa Humairah pilih mama yang hodoh ni..." Aku main drama.

"Kalau Humairah nak tahu, papa pilih mama sebab mama cinta pertama papa. Papa jatuh cinta pandang pertama. Tak boleh lepas. Terus papa simpan dalam hati..." Encik Hazrul bisik perlahan ke telinga Humairah. Seperti anak kesayangannya itu faham apa yang diperkatakan. Tapi manis juga apabila Humairah menjadi perantara ketika kami mahu menyindir satu sama lain.

"Oh, ya? Betul ke cinta pertama? Mana tahu untuk perempuan yang kedua ratus pun papa cakap yang pertama juga. Kan, siapa tahu. Kata segak. Mustahillah lelaki segak tak laku!" Aku perli lagi.

"Hati papa ada satu saja, Humairah. Satu tu pun papa dah serahkan kat mama Humairah. Kalau itupun masih tak percaya, papa tak tahulah nak cakap apa lagi..."

"Mama faham. Tu sebab mama rasa bertuah sangat dapat menjadi tukang jaga hati papa Humairah. Antara berjuta-juta tu, mama jadi pilihan. Mama janji, mama akan berusaha keras untuk menjadi penjaga hati papa Humairah yang kekal."

"Ah! Terharunya papa..." kata Encik Hazrul.

Sesungguhnya aku lagi terharu. Seperti Cinderella yang bernasib baik kerana terpilih untuk menjadi isteri kepada seorang putera raja, aku juga begitu bernasib baik menjadi orang yang terpilih untuk memiliki rasa bahagia itu.

Semoga Tuhan memanjangkan jodoh kami.

SEBELUM tinggalkan hotel, aku minta izin untuk berbual dengan Hilda. Bukan senang untuk aku berbual dengan dia. Walau perangai Hilda tidak begitu menyenangkan suatu ketika dulu, dia juga ialah bekas rakan sekerja aku. Mana tahu keadaan sukar yang dia lalui itu sudah menginsafkan dia. Aku harap benar dia akan insaf dan menjadi insan yang lebih baik. Bagi aku, setiap daripada kita sentiasa ada peluang ke arah kebaikan selagi berusaha untuk mencarinya.

Mula-mula aku senyum ketika menghampirinya. Tiada apa yang hendak aku dendamkan lagi. Sudah aku lupakan semuanya. Sungguh, sejak menjadi isteri Encik Hazrul memang aku tidak pernah menyimpan sebarang rasa sakit hati terhadapnya.

Hilda kelihatan masih cantik. Lebih-lebih lagi dengan tubuhnya yang langsing, memang sesuai memakai kebaya pendek warna coklat itu. Rambut juga sudah dipotong pendek. Penampilannya nampak cukup matang. Tidak seperti ketika kami sama-sama berada di Menara Holding dahulu.

"Kau nak gelakkan aku ke? Kau datang nak tepuk tangan? Kau datang nak menghina aku?" Aku disambut dengan soalan-soalan begitu. Nada suara seperti tidak suka. Tak mengapa, Azian. Niat untuk berbaik-baik itu yang penting. Apa pun tanggapan Hilda, terserah kepadanya. Aku sekadar mahu menjernihkan keadaan yang sedia keruh.

"Taklah. Aku bukan jenis begitu. Kau tetap rakan sekerja aku dulu. Walau kau selalu buli aku, kita pernah bersama untuk masa-masa gembira. Kita pernah ketawa bersama dan kita pernah kecut bersama apabila Encik Hazrul mengamuk. Buruk-buruk kau, tetap juga rakan aku. Tak bolehkah kita berbual seperti rakan sekerja yang lama tidak jumpa?" Walau Hilda tu boleh masuk kategori jahat, tapi ada juga kebaikannya. Mustahil tiada langsung. Sekurang-kurangnya dia membuatkan hari-hari aku benar-benar hidup.

"Aku ingatkan kau datang nak menghina aku..."

"Kau ingat aku jenis manusia macam tu ke?" soal aku dengan tegas.

"Taklah, aku tahu kau seorang yang baik." Perlahan suara Hilda. Kemudian dia tunduk. Aku tahu dia sedang diagah penyesalan yang tak sudah. Kalau tidak, takkan dia tunjuk reaksi begitu. Maka benarlah, manusia sentiasa akan berusaha untuk menjadi yang lebih baik. Hilda tidak ketinggalan. Alhamdulillah. Aku tumpang gembira untuk perubahan itu.

"Cuma, sampai sekarang aku tak tahu kenapa kau terlalu bencikan aku. Sedangkan kita bukan kenal lama. Hari pertama aku di Menara Holding, kau sudah tunjukkan sikap benci kau terhadap aku. Seolah-olah aku ini musuh ketat kau." Itulah tujuan aku berjumpa dengan Hilda. Aku mahukan jawapan bagi persoalan itu. Aku kira inilah peluang yang aku ada untuk mendapatkan jawapan daripada Hilda. Kalau aku persiakan peluang ini, bermakna persoalan ini bakal menjadi tanda tanya sepanjang hidup aku.

Hilda diam. Lama juga dia diam. Aku sabar menanti dia bersuara. Seperti Hilda sedang berusaha mengumpulkan kekuatan untuk berterus terang. Untuk mencari jawapan kenapa dia benar-benar bencikan aku mungkin sulit buat Hilda. Yalah, tanpa sebab yang munasabah dia terus membenci aku.

"Sebab kau terlalu cantik." Hilda angkat muka. Matanya merah. Wajah penyesalan itu semakin menyerlah.

"Sebab kau terlalu cantik, Azian." Hilda ulang semula ayatnya. Air matanya jatuh satu-satu. Entah apa yang membuatkan air matanya begitu mudah luruh. Sedang dahulu, Hilda tidak pernah begitu.

"Aku tak cantik pun. Kau sendiri cakap aku perempuan kampung yang cukup selekeh. Aku hanya menjatuhkan imej pejabat CEO. Aku ingat lagi semua kata-kata penghinaan kau tu." Masakan aku boleh lupa setiap kata sinis Hilda. Ketika itu, kata-kata sinis Hilda sangat menghiris perasaan.

"Aku cakap macam tu sebab aku nampak kecantikan yang ada di dalam diri kau. Aku rasa sangat cemburu, sebab itu aku tak sukakan kau."

Haruskah aku terima penjelasan Hilda itu? Dia cemburukan aku kerana aku cantik?

"Hilda, takkanlah kau boleh fikir macam tu sedangkan kau jauh lebih cantik? Kau ada semua, tapi kenapa kau masih dengkikan aku? Tak ada langsung ke belas kasihan kau terhadap aku? Aku ni anak yatim piatu. Aku tak ada keluarga. Kau masih ada semua tu. Pernah tak kau fikir kau lebih seribu kali beruntung daripada aku? Pernah tak kau bersyukur?" soal aku.

"Masa tu memang tak ada langsung perasaan kasihan. Memang aku bencikan kau sangat-sangat. Bila Encik Hazrul macam beri perhatian terhadap kau, aku lagi cemburu."

Aku tidak menyangka begitu sekali Hilda membenci aku.

"Tapi sekarang aku mula sedar. Aku memang banyak buat silap. Bukan saja kepada kau, tapi terhadap semua orang yang aku kenal. Sebab itu aku tak pernah diberi peluang untuk rasa gembira. Aku sentiasa rasa sakit hati." Hilda sapu air matanya. Aku nampak dengan jelas, Hilda seperti benar-benar sudah temui jalan pulang. Dia tidak tersesat lagi.

"Mungkin Tuhan mahu beri aku peluang untuk minta maaf daripada kau, sebab itu kita dipertemukan di sini. Aku minta maaf atas perbuatan aku dulu. Betul-betul aku minta maaf," kata Hilda. Kata-katanya itu seperti bersungguh hati. Kata-kata yang lahir daripada hatinya yang tulus ikhlas.

"Tak perlulah kau minta maaf. Aku dah maafkan sejak dulu lagi. Sebenarnya aku pun nak minta maaf sebab buat kau rasa kurang senang selama kita kenal." Aku hulur tangan aku. Hilda tak sambut, sebaliknya dia peluk aku erat. Tiba-tiba bahu aku seperti basah. Hilda benar-benar menangis.

"Aku minta maaf..." pohon Hilda.

"Dahlah, kita lupakan sajalah cerita masa lalu. Yang penting sekarang ni kita teruskan kehidupan kita. Kita jalani dengan baik-baik sahaja. Aku doakan kau akan bahagia juga nanti. Jangan putus asa untuk memiliki rasa gembira. Aku tahu kau berhak untuk hidup bahagia."

Hilda lepaskan pelukannya dan kesat air matanya. Kemudian dia tergelak. "Kalau dulu aku rasa nak cekik saja kau ni. Tak sangka aku peluk kau juga."

Aku juga tergelak. Aneh sungguh hubungan manusia ini. Kadang-kadang benci. Kadang-kadang suka. Tapi mana mungkin manusia hidup dalam perasaan benci selamanya. Perasaan benci itulah yang membuatkan hati manusia jadi kotor.

"Kau bukan saja cantik pada luaran, tapi dalaman kau juga cantik. Kau tabah orangnya. Walau aku selalu sakitkan hati kau, kau tetap macam tu. Langsung tidak bertindak balas. Mungkin sebab itulah bos kita jatuh cinta terhadap kau."

"Cinta tu buta, Hilda. Mana nampak apa-apa."

"Tu yang salahnya. Sebenarnya cinta tak buta. Orang yang jatuh cinta itu yang dibutakan matanya," balas Hilda.

Kami berbual buat seketika sebelum aku minta diri. Banyak yang kami bualkan. Tapi lebih banyak mengingati kenangan masa lalu. Seronok dapat berbual dengan Hilda dalam keadaan begini. Tidak sangka, akhirnya Hilda membuka pintu hatinya untuk menjalani kehidupan ini seperti orang lain juga.

"Apa pasal nampak senang hati saja ni?" soal Encik Hazrul yang setia menunggu di luar lobi. Humairah sedang nyenyak tidur. Tahu buah hati aku itu kepenatan. Kali pertama dibawa ke majlis perkahwinan. Mujur dia tak banyak ragam.

"Semuanya dah selesai," jawab aku bersama perasaan senang hati. Semuanya sudah terungkai kini. Aku sudah tiada apa-apa masalah dengan Hilda.

"Betul sudah selesai?"

Aku angguk. "Saya dah dapat jawapan yang saya perlukan. Nampaknya Hilda benar-benar sudah insaf."

"Alhamdulillah, jom kita balik." Encik Hazrul tersenyum cantik.

Aku tarik nafas lega. Benar-benar rasa lega.

"Alah..." Baru aku teringat akan sesuatu.

"Kenapa?" soal Encik Hazrul.

"Lupa tanya pasal anak ikan dia tu."

"Hesy, itupun sibuk nak tanya. Macam tak ada benda lain nak tanya." Encik Hazrul terus ke kereta yang kami sewa sepanjang berada di Langkawi.

"Naklah tahu juga..." Aku ketawa.

Encik Hazrul langsung tidak peduli. Aku tahu dia tidak begitu gemar aku ambil tahu hal-hal begitu. Aku hanya ketawa. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co