Truyen3h.Co

Suami Edisi Terhad

Bab 9

karyaseni2u

SEMINGGU selepas pulang daripada menghadiri majlis kahwin Nora, kami terima satu kejutan. Tiada sebarang pengkhabaran dan secara tiba-tiba sahaja. Sangat-sangat mengejutkan. Kami terima tetamu yang tidak diduga sama sekali akan mengunjungi kami awal tengah hari Ahad itu. Pasangan Mikael dan Naila. Kata Encik Hazrul, pasangan paling bermasalah abad ini. Dari kes mereka bersekedudukan sehinggalah menikah di sempadan, ada saja masalah yang mereka timbulkan. Tak pernahnya berstatus aman.

Bagi aku, itu masalah mereka. Kita sudah nasihat dan sebagai orang dewasa mereka patut bertanggungjawab atas apa yang mereka lakukan. Berani buat berani tanggung. Kubur masing-masing. Tapi Encik Hazrul cukup marah kalau aku cakap begitu. Katanya, kalau Allah mahu turunkan bala, Allah tak pilih. Semua sekali kena. Jadi tugas kita untuk saling mengingatkan walau untuk sekecil-kecil perkara.

Untuk apa mereka mengunjungi kami, aku sendiri tak sempat bertanya. Tiba-tiba saja, pada waktu tengah hari mereka sudah sampai. Mujur Encik Hazrul tidak ke tempat kerja. Selalunya pada hari minggu dia akan menjenguk pekerjanya. Bagi Encik Hazrul, tiada istilah bercuti.

Apa pun kami menerima mereka dengan hati yang terbuka tanpa mahu bersangka buruk apa-apa. Anggap kunjungan seorang sepupu.

"Saya nak panggil dia apa?" Aku bisik perlahan di tepi telinga Encik Hazrul sebaik sahaja pasangan itu tolak pintu kereta.

"Kakak..."

"Oh!" Bukan apa, kadang-kadang ada yang tak selesa dipanggil dengan pangkat begitu. Kononnya nampak tua. Kalau panggil nama saja, kurang sopan pula.

"Abang dan Mikael sebaya, jadi kena panggil dia kakaklah."

"Okey..." Muktamad. Senanglah kalau begitu.

"Assalamualaikum." Mikael beri salam sambil angkat tangan kanannya.

"Waalaikumussalam," balas Encik Hazrul.

"Handsomenya..." Terpuji sekejap sebab lelaki bernama Mikael itu sangat kacak. Penuh dengan daya penarik. Bertubuh sasa. Kulit sama cerah dengan Encik Hazrul. Maklumlah, mereka sepupu. Encik Hazrul juga beritahu aku, inilah sepupunya paling akrab. Mereka bukan saja semata-mata sepupu tapi sahabat baik juga. Saling berkongsi rahsia. Cuma aku tidak begitu suka Encik Hazrul terlalu rapat dengan sepupunya itu. Bukan saja cara hidup Mikael yang kurang menyenangkan hati aku, tetapi aku masih bengang dengan kisah mereka di Bangkok dulu. Kiranya, Mikael itu berpotensi untuk mengheret Encik Hazrul ke arah kurang sihat.

Mujur kata Encik Hazrul ketika itu, dia sudah mula jatuh cinta. Kalau tidak, mahu Encik Hazrul hilang terunanya masa itu juga. Memikirkan tentang itu, aku rasa curiga saja untuk membiarkan Encik Hazrul bersama Mikael. Harap Naila mampu mengubah Mikael ke jalan yang diredai.

Encik Hazrul gigit hujung bibir dan kedua-dua matanya dikecilkan. "Abang dah tak handsome?" soalnya.

Ketawa aku jadinya. "Dah memang dia handsome..."

"Yalah, abang dah tak handsome kan. Perut pun dah boroi. Tu yang dah tak handsome."

"Ada masalah ke kalau abang sudah tak handsome?" soal aku. Sesungguhnya sekadar mengusik. Mana boleh isteri memuji lelaki lain. Begitu juga sebaliknya, suami juga tidak boleh memuji perempuan lain. Itu dah salah.

"Memang masalah. Masalah besar!" balas Encik Hazrul.

"Yang penting abang sentiasa seksi di mata saya..." Aku senyum dan cepat saja tangan Encik Hazrul paut pinggang. Menampakkan kemesraan.

"Itu yang abang nak dengar selalu," bisiknya perlahan.

"Dari dulu lagi seksi," balas aku.

"Abang tahu tu. Sebab tu tak nak lepaskan abang, betul tak?"

"Masalahnya sekarang siapa tak nak lepaskan siapa dulu?" Aku pandang tepat wajahnya.

"Sudah, jangan bertekak. Kita ada tetamu tu..." Makin kemas dia paut pinggang.

"Jealous aku tengok kau orang ni. Makin intim!" kata Mikael. Kemudian dia dan Encik Hazrul berpelukan. Aku pula menyalami Naila.

"Suami isteri wajib intim selalu. Barulah makin lama makin sayang..." jawab Encik Hazrul. Angkat kedua-dua belah keningnya sambil pandang aku. Tak malu!

"Oh, itu rahsianya?" soal Mikael.

"Habis, kau orang dah tak intim?" soal Encik Hazrul. Kurang ajar punya soalan. Depan-depan dia tanya. Taulah sepupu, tapi melampau betul.

"Mana anak angkat aku?" soal Mikael. Seperti sedang berusaha untuk mengelak daripada menjawab soalan Encik Hazrul. Terus saja dia masuk ke dalam rumah. Aku perasan ada perubahan pada wajah Naila.

"Ini ada sedikit buah tangan," kata Naila sambil pamer senyuman yang aku kira senyuman terpaksa dibuat-buat.

"Terima kasih. Susah-susah saja. Jemputlah masuk," pelawa aku sambil sambut beberapa bungkusan plastik dari tangan Naila. Naila terus saja melangkah masuk dan tinggalkan aku dengan Encik Hazrul. Aku pandang Encik Hazrul dan Encik Hazrul pandang aku. Kemudian dia angkat kedua-dua belah kening berkali-kali. Seperti bertanyakan soalan, kenapa dengan mereka tu?

Aku angkat kedua-dua belah bahu sebagai jawapan, entah, aku pun tak tahu.

"Macam ada masalah saja," kata Encik Hazrul.

"Takkanlah..." Aku serahkan beg plastik kepada Encik Hazrul untuk dibawa ke dalam rumah.

Di ruang tamu, Mikael sudah bermain dengan Humairah. Humairah yang sudah mula cam orang itu mula menangis.

"Kenapa tak nak dengan Papa Mikael?" soal Mikael.

"Humairah dah cam orang. Selain aku, Azian, lepas tu anak jiran kami, orang lain memang dia tak nak. Dia tak kenal. Tu la, datang pun setahun sekali. Cuba datang tiap-tiap bulan," kata Encik Hazrul lantas ambil Humairah.

"Hesy, buat apa datang Bukit Cendana ni tiap bulan. Bukan ada apa pun. Orang bodoh saja yang tinggal kat sini! Sudahlah dalam hutan, sunyi sepi pula tu. Apa pusat hiburan pun tak ada. Tak sangka ada juga orang yang boleh hidup di tempat macam ni."

Selamba sungguh jawapan daripada Mikael itu. Padanlah Encik Hazrul juga begitu. Hmmm, memang elok sangatlah kalau macam tu. Masing-masing kurang ajar. Kenalah buku dengan ruas.

"Sebab orang bodoh ni nak hidup jauh dari kesibukan. Daripada orang lain yang suka buat kacau. Daripada manusia-manusia yang sering bawa masalah," balas Encik Hazrul dengan nada sindiran. Humairah di pangkuan sudah senyap. Terkebil-kebil matanya melihat Mikael. Kelihatan masih takut. Kesian Humairah.

"Kau tak bosan ke, langsung tak ada tempat untuk lepak dan berhibur?"

"Sebab aku dah ada pusat hiburan aku sendiri!" Encik Hazrul pandang aku dan dia tersenyum.

Mikael terus terdiam.

Aku ke dapur. Mahu buat air. Hanya teh O terlebih dahulu. Tunggu penat mereka reda baru aku hidangkan makanan tengah hari.

Aku bawa dulang ke ruang tamu. Encik Hazrul dan Mikael rancak berbual sambil usik Humairah. Sementara Naila masih berdiam diri. Aku perhatikan saja Humairah di dalam pangkuan papanya.

"Minum dulu, selepas ni baru kita makan tengah hari."

"Eh, jangan susah-susah sebab kita orang pun belum check in," kata Naila.

"Eh, kenapa pula nak check in? Tidur ajelah rumah kami. Kalau tidur kat resort, bila masa pula kita nak berbual, nak meluah rasa dan mungkin nak tolong selesaikan masalah!" kata Encik Hazrul masih berbaur sindiran. Alahai sayang, sudah-sudahlah menyindir orang.

Aku tuang air ke dalam cawan.

"Tak menyusahkan kau orang berdua ke?" soal Mikael pula.

"Papa Mikael ni hilang ingatan ke Humairah? Bila masa pulalah Papa Mikael ni menyenangkan papa?" Sindiran lagi daripada Encik Hazrul.

"Yalah, Papa Mikael sedar. Papa Mikael ni jahat. Tak serupa orang. Papa Humairah kan orangnya baik," balas si sepupu. Kasihan Humairah. Tak pasal-pasal jadi bahan.

"Hah, sedar diri pun." Encik Hazrul tak mahu mengalah.

Akhirnya Mikael menyandar juga. Nampak seperti mengalah. Nama juga Hazrul Effendi. Siapa yang tak kenal? Nampak segak, menawan, berjiwa penyayang dan sangat melindungi. Tapi siapa tahu di sebalik semua itu ada sifat yang tak boleh dinafikan? Dia ego, dia hanya fikir mahu menang saja. Dan kata-katanya seperti satu arahan. Tak siapa pun yang boleh membantah.

"Saya siapkan bilik dulu, nanti kita makan tengah hari."

Aku melangkah ke bilik yang memang Encik Hazrul khaskan untuk tetamu yang mahu bermalam di rumah kami. Encik Hazrul juga ekori aku selepas letak Humairah di dalam baby walker.

"Tak apa ke mereka tinggal di rumah kita?" soal Encik Hazrul.

"Eh, lagi saya suka. Boleh juga kita berbual panjang nanti."

"Mana tahu Azian penat nak melayan mereka."

"Taklah, tetamu kan datang bawa rezeki. Lagipun apa saya susah, suami saya seorang yang ringan tulang. Boleh bantu saya dalam semua hal. Bertuahnya saya. Mana nak cari suami rajin tolong isteri. Dalam sejuta tu dapat nak seorang pun payah."

"Tu namanya kerjasama. Bukan kerjasama untuk aktiviti tertentu saja. Kenalah adil."

"Sayang abang..." ucap aku.

"Sayang Azian juga." Encik Hazrul tolong pasang cadar. Kemudian sarung bantal.

Ah, kalau begini, terima tetamu setiap hari pun tak apa.

ENCIK HAZRUL tolong basuh pinggan sebaik sahaja selesai makan malam. Di meja makan, pasangan Mikael dan Naila masih menikmati kopi panas. Mungkin ada perkara yang mereka bincangkan. Aku dan Encik Hazrul seperti melihat ada ketegangan pada hubungan pasangan suami isteri itu. Petang tadi saja ketika hujan turun mencurah, Mikael memilih untuk duduk di serambi sedang Naila lebih senang bersendiri di dalam bilik. Kalau tiada masalah, masakan mahu berjauhan pada waktu-waktu hujan begitu. Tambah lagi dengan cuaca dingin Bukit Cendana, pasti saja perlukan sesuatu yang boleh menghangatkan suasana.

"Kenapa tu?" soal aku. Kepochi sikit.

"Masalah dalaman," jawab Encik Hazrul.

"Dalaman?" Kepochi tambah jadi dua. Sangat berminat mahu ambil tahu. Maklum, di Bukit Cendana ini aku memang tiada teman hendak bergosip. Nad isteri kesayangan Syed Imran itu memang tak boleh pakai. Bajet isteri solehah. Mahu bercerita perkara yang baik-baik sahaja. Jarang hendak bercerita yang bukan-bukan.

"Mak long abang minta Mikael kahwin dengan sepupu kami..."

"Hah?"

"Sebenarnya abang yang sepatutnya kahwin dengan sepupu abang tu..." Encik Hazrul senyum jahat.

"Ya?"

"Tapi abang tak nak."

"Eh, kenapa pula tak nak? Kahwin ajelah..." Aku rasa hangat semacam.

"Hesy, tak boleh abang nak goreng sikit. Mana ada. Abang gurau aje. Bajet ustazah tu memang dirancang untuk Mikael. Mana tau boleh ubah sikap Mikael yang buas tu."

Aku pandang tangan Encik Hazrul yang masih ligat basuh pinggan. Nak goreng aku konon. Kalau dulu bolehlah sebab aku tak faham apa-apa.

"Abang silap sebenarnya. Saya tahu Mikael tak buas. Mereka jadi macam tu sebab cinta. Sebab cinta mereka hilang pertimbangan."

"Tak buas ke namanya kalau 'lampu merah' pun main redah aje. Abang pun pernah bawa balik bakal isteri abang ke rumah dengan status isteri palsu, tapi abang boleh kawal perasaan. Sebab cinta abang cinta suci, bukan disebabkan nafsu."

"Ya ke? Tapi malam tu... Nyaris-nyaris, kan?" Masih teringat malam itu.

Wajah Encik Hazrul berubah sedikit. Dahinya berkerut. Pasti telahan aku tepat. "Mujur tak jadi apa-apa malam tu..." kata Encik Hazrul perlahan.

"Saya tahu abang seorang yang baik. Tahu menjaga maruah saya. Tidak anggap saya murahan kerana tak berhujung pangkal ikutkan saja apa kata abang."

"Maaf, sayang..." Perlahan saja suara Encik Hazrul.

"Sebab cinta juga, kan?" soal aku.

"Ya, sebab terlalu cinta. Tapi bukan cinta macam orang tu. Cinta orang tu memang sebab nafsu. Belum apa-apa dia dah ngap dulu!"

Aku tak tahu nak cakap apa. Itulah masalahnya. Apabila nafsu sudah menguasai diri sendiri, masing-masing tidak kenal mana dosa dan pahala. Mujur mereka cepat sedar. Cepat perbetulkan keadaan. Walau cara pernikahan mereka itu kurang elok, sekurang-kurangnya mereka sudah diikat sebagai suami isteri yang sah.

"Habis tu macam mana?"

"Naila minta Mikael nikah juga. Dia tak nak Mikael jadi anak derhaka."

Aku diam. Aku juga pernah lakukan perkara yang sama. Demi seorang ibu aku sanggup tinggalkan Encik Hazrul walau ketika itu aku sudah berbadan dua. Bagi aku kasih sayang seorang ibu itu tiada nilainya. Tiada galang ganti.

"Saya rasa tindakan Naila tu betul."

"Hmmm, betul sangatlah?"

"Yalah, isteri boleh cari bila-bila masa saja. Tapi ibu memang tak akan dapat walau di mana pun. Abang kena ingat semua tu. Sebelum jadi ibu, saya tak kesah semua tu. Tapi bila saya dah jadi ibu dan rasa sakitnya masa lahirkan Humairah, baru saya tahu naluri seorang ibu itu bagaimana. Sentiasa mahukan yang terbaik buat anak. Termasuk dalam soal memilih pasangan."

"Abang tak setuju. Bagi abang terpulang kepada Humairah untuk memilih pasangannya. Kita tak ada hak untuk menentang pilihan dia."

"Itu maknanya abang tak sayang anak."

"Bukan abang tak sayang anak. Sebab sayang anaklah abang mahu anak abang hidup bahagia. Abang sudah rasa bagaimana sakitnya apabila pilihan hati abang ditolak oleh kedua-dua ibu bapa abang."

"Sebab ibu bapa abang tahu apa yang terbaik untuk abang..."

"Sudahlah. Abang tak nak bertekak pasal benda ni. Keputusan abang muktamad. Humairah bebas mencari pasangan hidupnya. Abang atau Azian tak ada hak terhadap pasangan hidup Humairah. Biarlah dia pilih sendiri pasangan hidup dia."

"Abang, Humairah tu belum pun setahun tau!" Aku geleng. Macam-macam Encik Hazrul ni. Tapi tanpa sedar sebenarnya Encik Hazrul banyak menguasai kehidupan Humairah. Encik Hazrul yang tentukan semuanya. Baik dari segi pakaian Humairah mahupun penjagaan Humairah. Kata tak nak masuk campur dalam urusan Humairah, tapi belum apa-apa dah tunjuk sikap kuku besi dia. Inilah yang dikatakan cakap tak serupa bikin.

"Kenapa senyum macam tu? Perli abang?" soalnya. Hmmm, perasan pula.

"Saya nak tengok nanti. Kalau umur kita panjang, kita akan tengok macam mana keadaan abang nanti."

"Insya-Allah, abang akan jadi seorang bapa yang sangat memahami..."

"Ya, kita tengok nanti..." Aku masih senyum. Bukan bermakna aku puas hati, tapi banyak perkara yang Encik Hazrul tidak sedar.

Kami selesaikan hal itu di singki kemudian kami menyertai pasangan bermasalah selepas itu. Sebenarnya aku kurang selesa hendak masuk campur urusan rumah tangga orang. Tak manis. Kami orang dewasa. Seharusnya sudah mampu berfikir buruk dan baik. Jadi, tak perlu minta nasihat orang lain.

"Hmmm, baik pula Humairah malam ni..." Aku mulakan bicara. Rasa janggal tetap ada jadi aku dahulukan nama Humairah untuk bicara selanjutnya.

"Selalu tidur lambat ke?" soal Naila.

"Tu keturunan tidur lambat." Aku muncung bibir ke arah Encik Hazrul.

"Samalah, satu keturunan dengan orang sebelah ni. Kalau tak pukul dua tak masuk bilik." Naila sigung lengan Mikael dengan sikunya.

"Dah satu keturunan, tapi rasanya Humairah memang banyak masuk keturunan belah kita orang," sampuk Mikael. Dia ketawa perlahan.

Oh tidak, kalau keturunan belah sana, memang payah aku nak didik Humairah. Masing-masing keras kepala dan ego yang tinggi. Cakap tak mahu mengalah. Mereka saja yang betul, mereka saja yang bagus. Tolonglah Humairah, jangan ikut perangai keluarga belah papa Humairah. Makan hati berulam jantung mama nanti.

"Hmmm, kau orang dah ada keputusan?" Encik Hazrul mencelah. Sebenarnya itulah tujuan kami menyertai pasangan ini di meja makan. Mahu bertanyakan permasalahan pasangan ini, bukan bercerita pasal Humairah dan keturunannya.

Mikael tarik nafas panjang. Naila pula sambung hirup kopi.

"Nak tambah lagi?" soal aku.

"Tak, tak. Cukup. Nanti tak boleh tidur pula," jawab Naila.

"Kau rasa macam mana?" soal Mikael kepada Encik Hazrul. Ya, aku juga menantikan jawapan Encik Hazrul.

"Kau jelaskan dengan perangai aku? Kalau aku kata A, ada ke orang lain boleh cakap B? Kalau aku di tempat kau, awal-awal lagi aku berterus terang tentang kedudukan sebenarnya. Tak kahwin lagi, aku dah beritahu awal-awal aku kahwin. Jadi, aku tak ada masalah dalam hal ni..."

Bangga, jauh di sudut hati aku rasa sangat bangga mendengar jawapan Encik Hazrul. Memang betul, sejak mula lagi Encik Hazrul memang jelas dengan apa yang dia inginkan, hanya aku saja blur tahap moyang gaban! Kalau tidak, semuanya akan jadi sangat mudah. Tak perlu nak jawab teka-teki, tak perlu nak berlakon kahwin olok-olok. Ah! Kenapalah aku boleh jadi begitu bodoh masa tu?

"Sebab kau dapat jenis menurut. Apa saja kata kau dia iakan saja tanpa banyak soal. Aku pula dapat jenis yang kuat membantah. Aku baru sebut satu perkataan, dia smash aku balik dengan seribu perkataan. Habis, macam mana..." Nada suara Mikael kedengarannya ada tanda-tanda marah.

Kalau aku jadi Naila, memang aku jawab. Tapi Naila memilih untuk berdiam diri. Menikmati kopi panas seolah-olah tanpa perasaan. Kata-kata Mikael langsung tidak diendahkan. Atau mungkinkah Naila sudah berputus asa dan dia mahu lepas tangan saja?

"Masalahnya bukan soal kita dapat jenis yang bagaimana, tapi masalah tu datang daripada kita sendiri. Kalau kau sudah berani bersekedudukan, nikah pula senyap-senyap, kenapa tak berani berterus terang? Berani buat, berani tanggung la, bro!"

Mikael senyap. Naila pula sejak tadi memang membatukan diri. Aku tahu apa yang sedang dia alami dan aku sangat bersimpati.

"Jadi kau nak ikut juga cakap umi kau?"

Mikael pandang wajah Naila. Dia pegang tangan Naila, namun cepat-cepat Naila tarik. Ah! Tak guna muka handsome kalau pengecut. Dalam hal ni, Encik Hazrul sejuta kali lebih bagus. Encik Hazrul berani buat dan betul-betul berani tanggung.

"Mula-mula dulu mama dan papa aku pun tak terima Azian juga, tapi masa boleh mengubah keadaan, Mikael. Ambil masa untuk buktikan apa yang kita pilih itu benar-benar permata. Permata yang kita akan bawa sampai ke jannah." Begitu tenang Encik Hazrul beri nasihat. Benarkah lelaki kalau sudah bergelar bapa akan menjadi lebih matang? Akan lebih terbuka dan akan lebih sabar? Ah! Rasa mahu peluk dia kuat-kuat.

"Fikirlah, Mikael. Bercinta tu tidak berdosa, tapi apa yang kita lakukan pada cinta itu yang mendatangkan dosa." Encik Hazrul bangun dan dia pegang bahu Mikael.

"Aku tak nak kau orang buat silap yang membuatkan kau orang akan menyesal seumur hidup. Fikirlah baik-baik."

"Aku tahu tu..." balas Mikael.

"Sayang, jom kita tidur." Encik Hazrul atur langkah terlebih dahulu.

"Kita orang masuk tidur dulu. Kalau nak minum nak makan, ambillah sendiri. Jangan malu jangan segan." Aku cakap sambil senyum.

"Terima kasih, susah-susahkan Azian saja." Naila bercakap sambil tersenyum. Senyuman terpaksa. Pasti saja susah untuk dia tersenyum manis kalau suami tercinta bakal diserahkan kepada orang lain.

"Taklah susah. Akak janganlah rasa macam tu. Akak datang pun saya sudah berbesar hati. Saya minta maaf juga kalau layanan saya kurang memuaskan. Minta maaf juga kalau masakan saya tak kena dengan selera. Saya memang tak pandai masak." Aku merendah diri.

"Kalau tak sedap, takkan Hazrul jadi macam tu. Perut kenyang, hati dia pun senang," balas Mikael.

"Suami saya tu memang tidak cerewet. Saya masak apa pun dia makan."

"Beruntung awak, Azian..." Naila bersuara lemah.

Aku atur langkah selepas ucap selamat malam kepada kedua-duanya. Tinggalkan kedua-duanya bersama masalah yang perlu mereka selesaikan sendiri. Harap nanti ada jalan yang terbaik buat mereka.

Sampai bilik saja, aku tarik tudung dan campak di atas katil Humairah. Kemudian aku terus peluk Encik Hazrul dengan erat. "Sayang abang..." ucap aku selepas itu.

"Hmmm... Lain macam aje peluk abang. Selalu tu biasa aje pelukan dia. Ni rasa macam seksi pula." Ada ketawa kecil menyusul selepas Encik Hazrul berkata-kata.

Aku tak nak cakap apa-apa sebab tak ada satu perkataan pun yang paling sesuai untuk aku huraikan betapa beruntungnya aku kerana memiliki Encik Hazrul. Akulah insan terpilih itu.

"Sayang, takkanlah... Kita ada tetamu tu..." kata Encik Hazrul lagi.

"Bukan pasal tu. Saya rasa nak peluk abang saja. Terima kasih..."

"Hmmm, mulalah drama air mata..." Encik Hazrul juga peluk aku dengan erat. Ubun-ubun aku dia cium. Terasa kasih tertumpah sederas air terjun. Terlalu banyak kasih sayang yang aku terima selama ini.

"Sayang abang..."

"Abang sayang Azian juga."

"Terima kasih untuk segala-galanya."

"Dah, jom tidur. Tak nak sedih-sedih. Insya-Allah, abang tak akan jadi macam Mikael."

Sebenarnya itulah yang mahu aku dengar. Tolong jangan jadi seperti Mikael. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co