Truyen3h.Co

TAKDIR UNTUK AKU

BAB 5

karyaseni2u

MATA mama menangkap susuk tubuh sasa si anak lelaki yang sedang mendekati. Hai... Tak pernah-pernah Taufiq datang tempat kerja dia kalau balik bercuti. Mesti melingkar dekat rumah aje. Tak nak keluar langsung. Bila orang tanya, katanya cuti untuk berehat dan berkurung dalam rumah. Itulah cara dia berehat. Tapi hari ni, muncul tiba-tiba.

"Fiq datang cari mama dekat kilang ni, mesti ada hal penting tak?" duga mama.

"Banyak kerja, ma?" Taufiq sengih dan dilabuhkan duduk di atas kerusi, tepat depan mama. Nampak kertas yang berselerakan di atas meja.

"Adalah sikit..." Mama senyum dan kembali memandang kertas yang bersusun di depan mata.

"Ini bukan sikit. Fiq tengok banyak ni." Rasanya inilah masa yang tepat untuk dia carikan pekerja baru untuk mama. Biarpun gaji, mama yang akan bayar nanti.

"Memang banyak. Nak diharap pada Tia..." Bibir merahnya tersenyum tawar.

Rasanya tak lama lagi Tia akan keluar. Harap sangat moga Tia benar-benar dah berubah. Dia hanya ada seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Inilah seorang di depan dia yang bekerja jauh dan seorang lagi ada di balik tembok yang tinggi.

"Ma, janganlah buat muka gitu. Fiq kan ada. Ini Fiq datang bawa berita baik ni." Kening lebat Taufiq naik tinggi.

Kerja mama terhenti. Sepenuh perhatian diberikan pada anak lelaki di depan mata. Dah agak. Mesti ada benda nak dicakapkan barulah datang. Putera lilin seorang ni.

"Fiq nak kahwin?" duga mama.

"Hah?" Mulut Taufiq melopong. Terkejut dia dengan telahan mama.

"Kahwin apa, calon tak ada. Lainlah kalau mama dah ada calon. Tapi, Fiq nak cakap dekat mama pasal kawan Tia. Kawan Tia baru keluar dari tempat dia orang tu. Dia call Fiq tadi, nak minta kerja dengan mama. Tia yang bagi nombor dekat dia," cerita Taufiq.

"Oh, yang dia selalu cerita tu, kan? Siapa dah nama?" Dia sendiri dah lupa. Tak ingat langsung sebelum ni.

"Teratai..."

"Oh, betul. Teratai. Mana dia?"

Bahu Taufiq terjongket.

"Fiq minta dia telefon balik petang karang. Fiq datang tanya mama dulu. Takkan nak suruh dia menonong datang aje? Buatnya mama tak setuju..." Taufiq koyak sengih. Di luar rumah, tak apalah buat keputusan sendiri. Tapi ini rumah mama dan ini business mama. Dia tak boleh nak tentukan sesuka hati.

"Fiq ni la hai..." Mata Puan Talhah meredup. Memandang Taufiq yang tersengih. Konon tak nak melangkaui kedudukan dialah tu. Padahal, dia tak pernah kesah dalam urusan membantu orang ni.

"Nanti Fiq suruh dia datang terus petang ni..."

"Petang ni? Nak suruh dia kerja terus ke apa?"

"Taklah," nafi mama. Budak Taufiq ni.

"Dia baru keluar. Tia pernah cakap dekat mama, dia bukan orang sini. Duit pun mesti semput-semput aje tu. Mana dia nak tidur malam nanti? Minta dia terus datang sini petang nanti. Mama bukan apa, mama letak Tia tempat dia. Sedih hati mama kalau tak ada yang sudi tolong."

Barulah Taufiq mengerti. Kepalanya menunduk sekali. Tangan angkat tabik hormat pada mama.

"Saya menurut perintah, puan!"

Lebar mama mencebik.

"Haaa... Kata kawan nak datang. Jadi ke tak?"

"Oh, yalah..." Dahi ditepuk sekali. Wajah Taufiq berkerut. Dia hampir lupa dekat kawan dia yang dua orang tu. Katanya nak datang bercuti.

"Eh, Fiq nak kena telefon dia oranglah, ma. Tanya bila nak datang. Ziyad dengan Qadr ni bukan boleh kira sangat. Tengok-tengok muncul aje depan rumah," bebel Taufiq.

Dia kenal sangatlah dua orang kawan baik dia tu. Memang jenis suka buat kejutan.

SEGELAS air diletakkan tepat di depannya. Teratai Nur pandang wanita yang dia yakin adalah mama pada Tiani. Masih anggun. Cemburu dia meluap-luap. Cemburu bila Tia masih ada seorang wanita yang bergelar ibu. Yang begitu menyayangi malah bertimbang rasa pada orang seperti dia.

"Taufiq kata nama awak Teratai Nur, kan?"

Teratai Nur mengangguk sekali. Hilang kata-kata tiba-tiba.

"Saya Puan Talhah. Mama Tia." Senyuman manis Puan Talhah berubah kelat. Bening mata Teratai Nur dipandang lama.

"Macam mana Tia?" Dah lama juga dia tak pergi. Tak sempat. Bila nak melawat, Taufiq melarang. Tak tahulah apa logik nak halang dia ke tempat Tia. Kebetulan dia pun sedang sibuk.

"Dia baik-baik aje, puan. Pagi tadi, masa saya nak keluar... Dia ada hantar saya. Dia yang bagi nombor telefon puan untuk saya."

"Ya, saya tahu tu," balas Puan Talhah perlahan. Melihat Teratai Nur, seperti dia lihat Tiani ada di depan mata. Rindu sungguh nak peluk anak gadisnya. Rindu nak dengar suara Tiani dalam rumah besar ini.

"Teratai Nur berapa lama dah masuk situ?"

"Setahun, puan," jawab Nur sopan. Sabar dia menanti Puan Talhah berbicara tentang niat dia ke sini. Tak mampu dia gambarkan dengan kata-kata bila panggilan kedua dia membisikkan khabar gembira.

"Rasanya puan mesti dah tahu tujuan saya datang ni. Tapi, kalau puan keberatan, tak apa. Saya faham." Melihatkan Puan Talhah yang memandang pada dia tanpa berkata apa, resah pula hati Teratai Nur memikirkan. Rasa macam nak lari jauh-jauh sekarang juga.

"Eh, awak jangan salah sangka dengan saya." Tangan Puan Talhah mengawang, menafikan telahan Nur yang jauh meleset. Mana ada dia fikir macam tu. Tak pernah terlintas pun.

"Saya tak pernah pandang serong pada orang seperti awak, Teratai. Ujian Tuhan ni datang dalam bentuk pelbagai. Nak kata orang, anak saya Tiani pun sama juga, Teratai." Senyuman sinis Puan Talhah terjongket pada hujung bibir. Sinis pada diri sendiri.

Untuk apa dia menghina anak orang bila anak sendiri tak tentu hala tujuan? Untuk apa dia hina manusia terduga seperti gadis di depan dia saat ini sedangkan dia tak tahu apakah yang bakal terjadi di depan hari? Malah, melihat pada Teratai Nur, nampak penyesalan yang bukan sedikit.

"Saya faham macam mana perasaan keluarga awak sebab anak saya sendiri macam tu. Boleh jadi kalau keluarga kami tak ada business sendiri, entah mana Tiani nak kerja bila dah keluar nanti. Jadi, saya rasa lebih baik awak kerja dengan saya. Tunggu Tiani keluar, boleh awak sama-sama dengan dia." Saat ini, wajah masam itu sudah bertukar manis. Jari-jemari Teratai Nur disapa lembut. Telapak tangan itu dah kasar.

"Teratai kerja dengan saya, ya?" pelawa Puan Talhah. Meyakinkan Teratai Nur yang dia senang hati terima gadis itu menjadi sebahagian keluarga besarnya.

Mendengarkan pelawaan Puan Talhah, Teratai Nur tunduk ke permaidani indah itu. Sesekali, menjeling pada tangannya yang masih ada dalam elusan Puan Talhah. Nampak sangat mama Tia sedang rindui Tia.

"Saya minta maaf, puan. Sebab dah datang susahkan puan sekeluarga..." Air matanya mula bertakung pada tubir mata. Rasa dihargai. Rasa disayangi. Itulah perasaan dia saat ini.

"Tak payah minta maaf. Saya faham. Awak tentu rasa rendah diri. Rasa tak yakin dengan penerimaan masyarakat. Itu tak boleh saya nak nafi. Manusia ni, Teratai... Biasalah. Tapi, saya bukan jenis tu. Saya akan bagi peluang pada yang memerlukan. Dan, salah seorang yang memerlukan itu saya tahu, awak," pujuk Puan Talhah.

Tak salah Teratai Nur jika gadis ini takut tapi dia perlu terus memujuk. Andai dia tiada satu hari nanti, dia harap ada yang menawarkan bantuan buat Tiani.

"Minum dulu. Air dah sejuk ni." Tangannya menolak cawan air mendekat pada Teratai Nur.

Kepala Teratai Nur tertunduk sedikit. Ombak ganas dalam dadanya sudah beransur reda. Sudah beralun tenang.

"Tengok awak, saya tak boleh nafi saya nampak anak saya sendiri. Esok-esok, boleh awak temankan saya ziarah dia, ya?"

Teratai Nur panggung kepala. Segaris senyum koyak pada Puan Talhah. Dia memang dah pasang niat begitu. Jika tanpa sesiapa pun, dia akan pergi jenguk kawan-kawannya di situ.

"Saya hanya ada dua orang anak. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Dulu ingatkan anak lelaki yang tak menjadi orang. Rupa-rupanya anak perempuan. Tiani dan Taufiq sama tapi sebenarnya sangat berbeza. Tak sangka Tiani yang kecundang..." Keluhan tipis lepas jauh dari dalam dada. Menyatakan penyesalan yang bukan sedikit.

Taufiq? Hati Teratai Nur menyebut nama itu perlahan. Dia ingat nama tu. Nama yang akan dia kenang untuk selamanya. Dan, dia akan berterima kasih pada pemilik nama itu selamanya.

"Huh..." Puan Talhah melepaskan nafas yang berat. Ditegakkan tubuh yang masih lagi langsing seperti anak dara.

"Dahlah tu, Teratai. Kita lupakan hal sedih-sedih. Tiani pun tak lama dah. Dalam setahun lagi akan keluar dah. Apa-apa pun, awak boleh mula kerja kat sini. Rumah saya sediakan. Buat masa sekarang rumah tu ada orang tinggal sebab pekerja saya seorang tu baru sahaja berhenti. Kiranya awak ganti dialah buat kerja marketing. Syarikat kami tak adalah besar sangat tapi boleh kata seluruh bandar Pasir Puteh termasuk Bachok, Machang dan Kota Bharu kami yang supplykan makanan frozen ni. Nanti awak boleh belajar check stok dulu esok. Hari ni saya bawa awak ke rumah dulu. Atau pun awak boleh tinggal dekat sini. Nak tak?"

"Hah?" Terkejut Teratai Nur dengan pelawaan Puan Talhah.

"Toksahlah, puan. Segan saya. Yang puan sediakan dah lebih daripada cukup. Nanti saya datang sini..." Dia senyum setelah menolak peluang itu dengan penuh sopan.

"Kalau gitu, tak apalah. Kot nanti Tia dah keluar, datang tinggal sini, ya? Dekat rumah tu nanti ada motosikal. Kalau awak ada lesen, gunalah," cerita Puan Talhah gembira.

"Gaji dia, kita kira kemudian. Nanti saya ambil kira semua kos awak untuk tampung hidup sendiri. Mungkin untuk kirim pada mak dan ayah kat Kuala Lumpur sana ke atau untuk adik-adik ke?" Saja Puan Talhah menduga. Sebab, tak terbit lagi perkataan keluarga daripada mulut Teratai Nur. Kotlah jadi anak terbuang ke?

"Saya sebatang kara, puan. Ada ayah tapi saya pun tak pastilah dia masih hidup atau dah tak ada." Nur tersenyum tawar. Mengingati ayah, rindu juga dia. Tertanya-tanya adakah ayah hidup dalam keadaan baik.

"Errr... Berapa lama?" Riak wajah Puan Talhah nampak canggung. Silap tanya pula dah. Tiani pun mana ada cerita tentang keluarga Teratai.

"Ibu saya tinggalkan kami masa saya umur dua belas tahun. Mungkin sebab tekanan hidup, ayah mula menagih. Bila saya dah masuk usia remaja, saya pun terjebak sama. Bila ayah hilang tak lama kemudian, saya sempat merempat sekejap. Sebab Tuhan atur yang terbaik, satu hari tu saya kemalangan dan dimasukkan ke hospital. Masa tu ada dua orang doktor muda yang bantu saya. Dia oranglah yang uruskan saya masuk ke pusat pemulihan. Kira macam saya serah dirilah sebelum keadaan jadi lebih parah." Panjang Teratai Nur mengatur bicara.

Saat ini, wajah Doktor Zayed dan Doktor Zafrina terbayang di ruang mata. Mengundang senyuman yang lebar. Boleh jadi pasangan itu dah pun berkahwin kerana dia ada terdengar yang mereka dah pun bertunang semasa menyelamatkan dia.

Lagipun, tiada apa yang dia nak sorok daripada Puan Talhah. Biarlah segalanya bermula dengan kejujuran. Kerana penipuan ini tak akan kekal lama. Satu hari, pasti terburai. Dia tak nak berselindung.

Air wajah Puan Talhah nampak seperti mahu menangis mendengarkan cerita daripada Teratai Nur. Makna kata, Tiani berkali-kali ganda lebih bertuah daripada gadis malang ini.

"Ehem..." Dia berdeham panjang. Kalau begini sepanjang hari, tak jadi kerja nanti.

"Yang dah lepas tu lupakanlah. Tiani dah buat benda baik dengan bagi nombor telefon saya dekat awak. Oh, ya..." Tiba-tiba teringat dekat anak bujang.

"Teratai kenal Taufiq? Abang Tiani?"

Nur menggeleng. "Saya tak tahu pun Tia ada abang. Dia tak pernah bagi tahu pula."

"Ermmm... Dia orang tu rapat. Tapi, tak sempatlah nak kenal sebab tiba-tiba dia dipanggil balik. Pasal kerja katanya. Dah gerak pun sebelum asar tadi."

"Dia kerja apa?"

Puan Talhah senyum. "Navy."

Dahi Nur berkerut. Di matanya segera terbayang akan lelaki beruniform putih itu. Wajah bengis yang marahkan dia. Kata-kata yang menghina dia. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co