BAB 6
DALAM kesulitan, pasti akan ada kemudahan. Itulah kata-kata nasihat yang sentiasa dia pegang. Bukan janji manusia tapi itu janji Tuhan. Jadi, kenapa dia mahu ragu-ragu? Kerana janji itulah dia menjadi siapa dia sekarang.
Menjadi sebahagian daripada pekerja Puan Talhah, tipulah dia tak gembira. Penerimaan rakan-rakan sekerja juga begitu baik. Suasana dia bekerja sangat selesa. Teratai Nur menapak keluar daripada pejabatnya. Bersama sebuah fail di tangan. Fail tentang stok yang akan keluar hari ni.
"Abang Bidin nak masuk zon mana hari ni?" Suara Teratai Nur kuat bertanya pada Abang Bidin yang sudah ada dalam lori.
"Bachok. Kenapa? Teratai nak ikut ke?" Mata Abang Bidin memandang pada Teratai Nur.
Tapi dia hanya menggeleng. "Tak naklah. Saya ada kerja banyak sikit hari ni. Stok banyak tak rekod lagi. Yang Abang Bidin nak bawa hari ni, saya dah rekod dan boleh gerak bila-bila masa aje, ya? Ni senarai stok untuk Abang Bidin." Sekeping kertas putih dihulurkan pada Abang Bidin.
"Okey, cun. Terima kasih, ya Teratai." Mata dikenyitkan dan lori dah sedia untuk bergerak.
Teratai Nur kembali melangkah ke pejabat Puan Talhah. Sekali ketukan saja, Puan Talhah meminta dia masuk. Saat itu, Puan Talhah sedang mengemas beg tangannya.
"Eh, puan dah nak balik?" Jam dikerling. Awal lagi ni. Biasanya Puan Talhah balik lewat juga.
"Ya, Teratai. Saya nak balik awal hari ni. Taufiq baru sampai," jawab Puan Talhah bersama leretan senyuman manis.
"Oh, kalau gitu... Tak apalah. Nanti saya uruskan apa yang patut." Seronok melihat keterujaan Puan Talhah setiap kali anak lelakinya balik. Andai Tiani juga ada sama, pastilah lengkap kegembiraan Puan Talhah yang masih hilang kepingannya.
"Awak pun jangan balik lewat sangat, Teratai. Bawa motor hati-hati, ya?" Sempat lagi Puan Talhah berpesan sebelum dia menapak mendekati pintu, mahu meninggalkan Teratai Nur yang sedang hantar dia bersama senyuman.
Tapi, belum sempat langkah Puan Talhah melepasi pintu, daun pintu ditolak dari luar.
Mata Puan Talhah terjojol. Bila daun pintu terus terkuak lebar, ada sesusuk tubuh tegap menapak ke dalam dan tanpa salam, tubuh Puan Talhah terus disambar ke dalam pelukan.
"Miss you much, mom," ucap lelaki itu dengan mata yang terpejam. Beg galas yang masih terbeban di atas belakangnya, dibiarkan saja begitu.
Teratai Nur memeluk fail hijau tadi rapat ke dada. Inilah Taufiq. Dia cam melalui gambar-gambar yang ada di rumah Puan Talhah. Mereka tak pernah berkesempatan untuk berjumpa. Kali terakhir dulu, Taufiq dipanggil untuk kembali bertugas walaupun masih berbaki cuti.
"Kenapa tak tunggu kat rumah? Ma dah nak balik dah ni." Puan Talhah menepuk bahu anak lelakinya perlahan.
Pelukan terlerai dan mata mereka bertatapan. "Rindu dekat mama sangat. Tia macam mana?" soal Taufiq tanpa sedar akan seorang gadis yang sedang memerhatikan.
"Kalau Fiq nak tahu, tanya kawan baik Tia ni." Puan Talhah dan Taufiq melemparkan pandangan pada Teratai Nur yang sedang tercegat tak berkata apa.
Dahi Taufiq berkerut. Inilah Teratai gamaknya. Hai... Ingatkan tak ada orang. Sepi aje. Dia pun tak perasaan bahana rasa teruja mahu bertemu dengan mama.
"Assalamualaikum, Encik Taufiq." Teratai Nur gariskan senyuman tipis.
"Awak ni..." Taufiq nampak ragu-ragu walaupun dia macam dah yakin. Kotlah orang lain, kan? Malu aje nanti salah orang.
"Teratai?" Dia sebut juga. Siapa lagi perempuan muda yang bekerja dengan mama melainkan seorang, iaitu kawan adik dia.
"Ya, saya Teratai Nur. Kawan Tiani yang Encik Taufiq bantu sebelum ni," akui Teratai Nur jujur.
"Terima kasih bantu saya sebelum ni, Encik Taufiq." Ucapan yang sekian lama tergantung itu, terlepas jua. Bertemu dengan Taufiq empat mata begini, sepertinya bertemu dengan a knight in the shining armor.
Wajah Taufiq terukir sengih lebar. Kehilangan kata yang pastinya. Pernahlah dia ceritakan pada kawan baik dia tentang gadis depan mata dia sekarang. Suara merdu tapi sayang bila dia tak berkesempatan kenal rupa kerana dia perlu bergegas balik. Bila tanya pada mama, mama hanya senyum. Sekarang, terbukti depan mata yang kata-kata kawan baik dia tu tak boleh pakai.
"Biasa yang suara merdu ni, rupa tak cantik, bro." Ziyad yakin dengan kata-kata sendiri bila dia bercerita pada kawan baiknya itu.
Tapi...
"You're wrong, dude... You're wrong indeed." Tawa Taufiq meletus dan dia terus memeluk mamanya sekali lagi. Taufiq menggeleng kecil. Tak boleh dia bayangkan kalau Ziyad pandang wajah Teratai Nur sekarang.
"Mama, Fiq bawa kawan. Yang tak jadi nak datang hari tu. Saja paksa dia datang juga. Dia tu tak suka Kelantan katanya. Kolot. Tapi, kita tengok sama ada dia nak tinggal lama atau tidak." Kata-kata Taufiq penuh makna tersirat seraya menjeling pada Teratai Nur yang masih kaku berdiri dengan senyuman tipis terus menghiasi wajah polos itu.
Melihatkan kemesraan Puan Talhah dan Taufiq, rupa-rupanya hatinya masih tersimpan rasa cemburu. Jika sekali Tuhan berikan ruang untuk dia bertemu ayah ibu, tiada apa yang dia akan pinta melainkan mahu dipeluk kedua-duanya erat. Seketika pun jadilah.
"Kalau puan nak balik berehat dengan Encik Taufiq pun tak apa, puan. Saya ada aje. Apa-apa hal saya bagi tahu puan." Meriahlah rumah keluarga Puan Talhah malam ni. Biasanya, dia yang akan ke sana menemani Puan Talhah makan sebelum balik ke rumah sewa. Malam ini, nampaknya dia perlu berkurung dalam bilik sendiri ajelah.
"Kalau tak ada apa lagi, saya keluar dulu." Teratai Nur mahu berlalu sebaik saja Puan Talhah memberi izin namun langkahnya mati sebaik saja dia rapatkan daun pintu pejabat Puan Talhah.
"Cik... Ada nampak Taufiq?"
Teratai Nur angkat muka. Matanya tepat menyoroti mata seseorang yang baru saja muncul. Dikecilkan pandangan mata yang kurang jelas. Tapi, bila jasad itu makin hampir, fail di tangannya jatuh ke lantai. Bersabung mata dengan tetamu Taufiq yang baru sahaja muncul adalah sesuatu yang dia paling tak ingin seumur hidupnya.
Guruh berdentum dalam dadanya. Petir menyabung dalam minda. Memori lama hadir membelek lipatan sejarah yang begitu kemas tersimpan.
Tuhan... Takdir apa lagi yang sedang Kau rencanakan untuk hamba?
"Cik?" Ziyad kerut kening. Jarinya diketik sekali.
Dah kenapa pula perempuan ni pandang dia macam nak telan? Kot ya pun dia kacak, janganlah pandang macam tu. Dia pun reti malu kalau perempuan sebegini indah kejadiannya renung dia tak berkelip.
"Taufiq ada?" Ziyad gariskan senyuman manis. Rugi tak senyum pada perempuan cantik macam ni. Macam kucing melepaskan ikan depan matalah jawabnya.
Teratai Nur tunduk bila menyedari dia sedang renung lelaki di depan matanya tak lepas. Soalan itu dibiarkan tak berjawapan. Segala sendinya terasa longgar. Lutut dia sedang menggeletar.
Ziyad senyum sinis. Tajam.
"Hailah... Awak ni betul-betul cantik tapi..." Senyuman Ziyad semakin tajam.
"Sayang sebab pekak." Kan dah kena. Orang tanya dua kali, dia tak jawab.
"Errr... Saya... Saya..." Kata-kata Teratai Nur tersekat di halkum. Nafas yang bergelora cuba didamaikan sebaik mungkin. Dia tahu, lelaki ini tak cam dia tapi dia mana pernah lupa akan seraut wajah dan suara ini.
Walaupun dia tak nak, tapi kehendak takdir, macam mana dia nak sekat?
"Ma... maaf. Encik Taufiq ada dengan mama dia kat dalam." Jari telunjuk Teratai Nur lurus pada pintu bilik Puan Talhah. Dia menepi, memberi laluan dengan kepala yang ditunduk hinggakan dagu hampir rapat ke dada.
Ziyad menapak perlahan. Tapi, jelingannya pada gadis ini tak lepas. Kacak sangat ke aku ni sampaikan perempuan ni gugup kemain? Dia memang tak boleh lepas daripada fikir benda macam tu. Kerana sebelum ini juga ada terjadi benda sama. Kotlah, perempuan ni pun salah sorang yang cair tengok dia walaupun pada kali pertama.
"Sini, ya?" Tangan Ziyad dah sedia mahu memulas tombol pintu.
Teratai Nur angguk. Dia terus berpaling.
"Thank you." Sempat kata-kata itu diucap biarpun gadis itu sedang berlalu. Baguslah kalau tak pekak dan baguslah juga kalau perempuan tadi cair pada dia. Setidak-tidaknya, dia tak akan sunyi sepanjang bercuti ni.
"Oh ya, cik..."
Langkah Teratai Nur kaku bila Ziyad memanggil. Namun, tubuhnya langsung tak dipusing walaupun seinci. Dia ketakutan sebenarnya. Macam mana jika Ziyad cam dia? Macam mana kalau lelaki itu mengherdik dia sekali lagi? Dia masih tak sedia.
"Boleh saya tahu nama cik?"
Rahang diketap. Teratai Nur gigit bibir bawah. Perlahan-lahan dia kalihkan tubuh. Menala pandangan sepenuhnya pada lelaki yang pernah dia kenal sebagai Ziyad. Itu pun daripada bibir dua orang doktor muda yang pernah membantu dia.
Tapi, melihatkan pada cara Ziyad, Teratai Nur yakin yang Ziyad langsung tak kenal dia lagi. Setahun... Mungkin satu waktu yang singkat pada orang lain tapi tidak pada dia. Setahun... Segala-galanya boleh terjadi dan tidak ada sebab untuk Ziyad simpan dia dalam lipatan memori lelaki itu. Dia adalah sampah masyarakat. Dia adalah sesuatu yang tak berharga untuk dikenang.
"Boleh saya tahu nama awak?" Sekali lagi Ziyad hantar soalan. Betul-betul cair dengan aku perempuan ni ha...
Senyuman terukir payah pada bibir merah Teratai Nur. Sesekali dia sentuh hujung tudung yang dirasakan berterbangan. Entah mana datangnya angin, tak pastilah dia.
"Teratai..."
"What? Teratai?" Bunga tawa pada bening mata Ziyad kembang mekar. Tak dapat dia nak sembunyikan tawa. Terkejut juga dia dengan nama gadis ini. Klasik betul!
"Ya... Teratai Nur," akui Teratai Nur jujur. Nak menipu, nanti Taufiq juga pasti akan bagi tahu.
"Nama yang unik. Klasik."
"Terima kasih." Entah memuji atau tidak, Teratai Nur tak pasti. Namun, yang tersungging pada bibir Ziyad adalah satu senyuman lain. Bukan yang pernah Ziyad ukir padanya dulu.
Dalam dadanya terus berdoa. Moga Tuhan terus tutup hijab dalam hati Ziyad. Moga Tuhan terus padam memori antara mereka satu waktu dulu. Itulah yang terbaik dan semoga sepanjang waktu Ziyad di sini, dia mampu berlagak biasa. Dia benar-benar mahu segalanya berlalu.
Teratai Nur palingkan tubuh biarpun dia masih dapat rasakan yang mata Ziyad terus meratah setiap langkahnya. Tapi, belum sempat dia menghilang daripada pandangan mata Ziyad, suara Puan Talhah memanggil lembut.
"Eh, siapa ni?" Puan Talhah halakan pandangan pada lelaki segak di depan mata. Tadi, dia terus panggil Teratai Nur. Tak perasan pula tetamu di tepi dinding ni.
"Errr..."
"Yad," seru Taufiq.
Puan Talhah pandang anak lelakinya. "Ziyad ke?" Wajahnya teruja.
Ziyad garu kepala dan angguk. "Kali lepas tak sempat nak datang, aunty. Ini yang baru sampai ni." Malu juga dia. Dulu dah pernah janji nak datang tapi sudahnya dia bercuti ke tempat lain. Ini pun Taufiq yang paksa.
"Haaa, eloklah. Sesekali ambil angin kampung pula. "Kejap, ya? Aunty nak jumpa staf aunty kejap." Langkah terus diatur mendekati Teratai Nur yang sedang berdiri di hujung sana.
"Malam ni makan dekat rumah saya macam biasa, ya?" ajak Puan Talhah.
"Maaf puan, tapi rasanya macam tak boleh." Serba salah Teratai Nur mahu menolak. Mana pernah dia tolak pelawaan Puan Talhah tapi kali ini dia terpaksa. Dia tiada pilihan.
"Kenapa tak boleh?" celah Taufiq. Dia yang minta mama ajak Teratai Nur makan malam sama-sama. Lagipun, bukan ke tiap-tiap hari Teratai Nur temankan mama?
"Saya ajak awak ni, Teratai." Taufiq senyum tipis tapi Teratai Nur tetap menggeleng. Tersenyum tipis pada Taufiq dan kemudian pandangannya jatuh pada Puan Talhah.
"Malam ni nak kemas rumah sikit, puan. Dah lama sangat tak berkemas. Lagipun, kain banyak lagi tak berlipat." Alasan! Tapi, harap sangat Puan Talhah percaya.
"Ala, kainlah pula dia. Biarlah dulu. Fiq bukan selalu balik. Kita makan dengan Fiq dan Ziyad malam ni. Saya masak. Kami balik dulu. Awak datang terus lepas tutup kilang, ya?"
"Tapi, puan..."
"Teratai Nurrr..." Panjang namanya diseru Puan Talhah dan dia tahu bila nama penuh itu diseru, Puan Talhah tak mahu lagi dia menolak.
Keluhan tipis lepas. Resah. Nak-nak bila dia nampak wajah Ziyad sedang berkerut memandang pada dia. Tak pernah lepas sejak tadi.
Memandang pada wajah resah Teratai Nur, Taufiq mengerling pada Ziyad. Macam ada apa-apa dah jadi dengan dua orang ni sampaikan Teratai Nur tu pucat lesi. Ziyad ni dah tunjukkan taring gamaknya.
"Kau ada cakap apa-apa dekat dia ke, Yad?"
"Cakap apa, apa?" Ziyad tayang wajah pelik menerima soalan Taufiq.
"Memanglah dia cantik tapi takkan aku nak terus bagi ayat kasanova pula. Kau ni, Fiq..." Ziyad menggeleng tak puas hati tapi Taufiq hanya tersenyum.
Kot ya pun dia digelar buaya, mana ada dia terus ngap. Paling tidak, dia tilik dulu. Bukan terus terkam. Dia buaya yang ada cita rasa tau... Bukan main bedal aje. Taufiq la hai...
"Aku tanya aje. Manalah tahu sebab dia nampak takut-takut aje dekat kau."
"Ha..." Ziyad palingkan seluruh wajah pada Taufiq. Ingatkan dia aje yang perasan. Rupa-rupanya Taufiq pun perasan. Makna kata, tak salahlah apa yang dia sedang fikir sekarang.
"Aku rasa dia takut dekat aku, kot..." Kemudian, matanya kembali memandang pada gadis itu yang masih berkerut-kerut wajah mahu menolak pelawaan mama Taufiq.
"Itu yang aku tanya, kau ada buat apa dekat dia ke?" ulang Taufiq. Tadi dengan dia, elok aje Teratai Nur tu senyum. Sekarang, kelat macam kopi tak bergula.
"Serius, Fiq... Aku sendiri tertanya ni apa yang aku dah buat pada dia sampaikan dia macam takut sangat dekat aku." Wajah Ziyad juga serius. Cuba mencerna jawapan.
Pertama kali ni dia jumpa gadis yang nampak jelas takut pada dia. Sebelum ni, mana pernah. Atau Teratai Nur pernah kenal dia? Atau memang Teratai Nur ni adalah salah seorang mangsa trial and error dia sebelum ni? Huh! Percubaan dalam setiap hubungan yang dia bina tanpa ada tunjang debar dalam dada, jauh sekali tunas cinta.
"Kau pernah kenal dia tak?" duga Taufiq.
Ziyad angkat bahu dengan bibir yang menceber lebar. Tak cam dan tak ingat langsung akan wajah comel itu. Kalau ada pun, rasanya dia tak sampai hati nak mempermainkan gadis seperti Teratai Nur. Bukan gadis hidung belang yang suka dekati dia. Teratai Nur nampak luhur. Suci sangat.
Atau, Teratai Nur yang ada kenangan dengan dia? Kenangan yang dia dah capai tarikh luput dalam peti memori dia? Hingga membuatkan gadis ini berubah langsung tak dapat dia cam? Kerana dia tahu... Dia tak pernah usik gadis bertutup penuh. Rimas!
Tapi hari ini, dia tertanya... Apa yang ada di sebalik yang tertutup itu?
Ziyad ukir sengih.
Nakal!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co