Truyen3h.Co

TAKDIR UNTUK AKU

BAB 7

karyaseni2u

SUSUK tubuh Teratai Nur dah lama hilang daripada pandangan. Entah mana pergi, tak pastilah dia. Mungkin sibuk menguruskan stok masuk. Tapi, dia tercari-cari juga. Teringin nak pandang wajah itu sekali lagi. Suka dia lihat seraut wajah yang malu-malu itu. Dan, dia juga tahu mata bundar Teratai Nur sesekali mengerling juga pada dia.

Tidakkah itu menjadikan dia seperti orang mengantuk yang disorong bantal? Senyuman tipis terukir pada bibir Ziyad. Gila! Senyum sendiri.

"Dahlah tu senyum sorang-sorang, Yad. Nampak sangat gilanya kau ni. Gila dekat pekerja mama aku!" herdik Taufiq selamba. Sejak tadi, tak lepas Ziyad pandang Teratai Nur. Sebab renungan itulah gamaknya, Teratai Nur pucat lesi.

Ziyad kalau renung gadis, memang boleh tembus ke belakang. Tajam sangat. Taufiq menggeleng kecil. Hai... Bilalah nak jumpa nur (cahaya) kawan baik aku seorang ni.

"Lagipun, dia bukan cita rasa kau pun, kan?" Bibir Taufiq mencebik lebar. Saja dia ingatkan Ziyad.

Nak ke Ziyad dekat perempuan berbungkus macam Teratai Nur tu? Kalau kata nak buat spare, dia memang tak akan izinkan. Teratai Nur tu baik. Kalau tak, mana mungkin mama bela sampai sekarang?

Tentang sejarah Teratai, biarlah jadi rahsia antara dia dan mama aje. Rasanya pekerja yang lain pun tak tahu. Yang mereka tahu, Teratai Nur kenalan adik dia, Tia. Pada dia, biarlah dia sorok aib orang. Nanti moga Allah tutup aib sendiri.

"Of course not... But better if I die trying," balas Ziyad perlahan.

Taufiq buat muka. Memang sahlah budak ni tak dapat nur lagi. Sesat betul.

"Dan macam biasa, kau akan error," sindir Taufiq. Disambut oleh ketawa Ziyad.

Dah lama tak buat perangai gila tu sejak dia pergi belayar. Baru balik, nak kena pergi lagi.

"Kau ni nak tidur dekat kilang atau nak ikut aku balik ni?" Taufiq siku Ziyad yang masih lagi melingas ke serata kilang. Memang sahlah angau dekat Teratai Nur.

"Ikut kau balik. Tapi, malam karang dia datang, kan?"

Tak jadi Taufiq masuk ke dalam perut kereta bila Ziyad menyoal demikian. Dia pandang Ziyad tanpa riak.

"Yad, satu kau kena tahu."

Ziyad jongket sebelah kening.

"Dia perempuan baik..."

"Habis tu, kau rasa aku jahat sangat ke?" Hai... Taufiq memang akan halang hingga ke titisan darah terakhir ke ni?

Taufiq juga jongket sebelah kening.

"Kau lagi tahu siapa diri kau, Yad. Dan ingat, perempuan baik untuk lelaki baik..."

"Lelaki macam aku ni, untuk perempuan jahat? Kan?"

Taufiq mencebik lebar.

"Kalau tahu, bila nak berubah?" Sempat lagi dia sindir Ziyad sebelum meloloskan tubuhnya ke dalam kereta.

RESAH. Teratai Nur tak duduk diam. Sekejap duduk, sekejap berdiri. Kilang dah ditutup. Malah, pekerja syif malam dah masuk. Dia dah tamat waktu kerja sejam yang lepas. Usai solat asar, dia masih berkira-kira untuk terima pelawaan Puan Talhah. Biarpun dah setuju, tapi hati dia tak rela. Nak dijadikan alasan kerja, stok semua dia dah kemas kini dan Puan Talhah tahu tu.

Jari-jemari diramas. Sejuk di setiap hujung jarinya. Lampu dah lama dipadamkan. Hanya cahaya daripada skrin leper komputer di depan mata saja yang masih terang. Teratai Nur menyungkur ke meja. Rasa nak menangis.

"Dasar sampah masyarakat! One day... You'll pay for this!"

Suara Ziyad mengaum dalam kepala. Sampah masyarakat. Teratai Nur pejam mata. Saat ni, suara jahatnya mahu salahkan ayah. Bolehkah dia katakan kehancuran hidup dia sebelum ini kerana ayah? Dia tak tahu... Birai matanya dah basah.

"Cuba ni... Seperti mana ayah mampu lupakan ibu lepas hisap benda ni, ayah yakin Atai pun boleh lupakan masalah dan belajar dengan baik."

Tak... Bukan salah ayah. Teratai Nur menidakkan sedaya upaya. Dia tak boleh nak salahkan ayah sepenuhnya sedangkan dia juga salah. Bukan dia tak tahu benda itu tak baik tapi dia tetap cuba. Dia patut berkeras dengan pujukan ayah. Malah dia yang patut pujuk ayah tinggalkan semua tu. Tapi sayang, dia juga terjerumus dan kerana itulah dia dipanggil sampah masyarakat.

Air matanya jatuh setitis dua. Dah lama dia tak menangis tapi kemunculan Ziyad buatkan air mata dia menjadi begitu murah. Malah, jika hendak dibandingkan saat rindukan ayah dan ibu pun dia tak rasa sebu sebegini.

Astaghfirullah... Dia beristighfar panjang bila telefonnya menjerit dekat dengan telinga. Teratai Nur lap pipi dan berdeham panjang. Membetulkan rengkung yang berkeladak.

"Ya, puan..."

"Kenapa tak sampai lagi? Ada yang bawa balik stok ke?"

"Nak kemas kini fail sikit aje, puan. Senang nanti nak buat rujukan kalau saya tak ada."

"Teratai Nur," seru Puan Talhah panjang.

"Kerja tu tak akan habis sampai bila-bila. Biasa awak okey aje saya ajak ke rumah. Hari ni macam berat hati pula. Takkan sebab Taufiq dan Ziyad ada, awak tak sudi dah terima pelawaan saya?" Kotlah sebab terasa hati dengan Taufiq atau Ziyad ke, manalah dia tahu. Biasanya Teratai Nur seorang yang mudah. Tak banyak kerenah dan tak suka beralasan.

"Eh... Bukan macam tu, puan," nafi Teratai Nur. Dia diam seketika.

Jam terus berdenting. Dekat kampung ni sekejap aje dah malam. Jalan raya pasti akan lengang sikit masa lagi.

"Saya kemas fail sikit. Nanti saya sampai, ya puan?" Dia tiada pilihan lain melainkan pergi juga ke rumah banglo tepi bendang itu. Rumah bercat biru putih itu tersergam indah. Mewah tapi pemiliknya begitu pemurah.

"Cepat sikit. Saya tunggu ni," pesan Puan Talhah sebelum mematikan talian.

Mata Teratai Nur memandang pada telefon yang sudah gelap skrinnya. Kemudian, dia tarik cermin di sisi meja. Direnung wajah sendiri lama. Masih pucat. Bibir dia kering. Malah, dah nampak pecah. Tak sempat nak berdandan memandangkan dia pun bukan jenis suka berdandan segala. Kalau berkesempatan, dia tempek bedak bayi pun dah cukup dah.

Sekeping gambar pemberian Puan Hanah semasa dia dalam pusat pemulihan dulu dipandang. Dia dan Tiani. Tersenyum tipis dalam pakaian pelatih pusat pemulihan. Saat itu dia kurus benar. Pipi dia benar-benar cengkung. Nak dibandingkan dengan sekarang, memang patutlah kalau Ziyad tak cam dia.

Dengan rasa berat hati, Teratai Nur angkat tubuh. Menutup komputer dan terus berlalu keluar. Apa nak jadi, jadilah. Dia dan Ziyad, tak pernah ada apa-apa. Hanya kenangan pahit yang tak mahu dia ingat lagi. Dia bukan Teratai Nur yang dulu. Dia adalah Teratai Nur yang baru. Yang dah ada kehidupan. Dah ada pegangan.

Baru saja dia lepasi pintu kilang, Abang Bidin baru keluar daripada lori.

"Nak balik dah?"

Teratai Nur angguk. Menghampiri motosikal pemberian Puan Talhah untuk kemudahan dia.

"Abang Bidin lewat pula hari ni, ya?" Biasa masa ni semua lori dah balik ke kilang. Tapi, hari ni Abang Bidin yang paling lewat.

"Itulah. Tadi, sampai dekat Gunong, lori buat hal. Tunggulah kejap orang datang repair."

"La... Kenapa tak telefon saya?" Tak jadi dia nak sarungkan topi keledar.

"Ala, sikit aje. Bateri kong. Guna jumper, kejap dah okey. Terus balik. Esok sebelum keluar kena cakap dekat bos nak tukar bateri dulu."

Teratai Nur hela nafas lega.

"Ini saya nak pergi rumah bos kejap. Nanti saya cakap dekat bos. Esok pagi-pagi Abang Bidin datang jumpa sayalah, ya?"

Abang Bidin angguk. Senang dia sejak Teratai Nur masuk kerja. Cakap aje, Teratai Nur akan selesaikan untuk dia.

"Hati-hati bawa motor, Teratai."

"Insya-Allah..." Jari telunjuk dan ibu jari Teratai Nur bertemu. Dia terus hidupkan enjin motosikal dan berlalu perlahan meninggalkan pekarangan kilang.

Namun, debarnya masih tak kurang. Hujung jarinya masih dingin. Seperti mahu pergi berperang mati.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co