Bab 3
JAM sudah menunjukkan pukul dua setengah petang. Thia baru saja selesai solat zuhur. Selepas lipat telekung dia tengok tapak tangannya yang melecet bekas kena ragut tadi. Pedih juga apabila terkena air.
Dan-dan dia teringatkan Adil. Luka yang Adil alami pun teruk juga.
Bagaimanalah keadaan dia sekarang? Mungkin sedang menahan kesakitan. Bukan Thia tak bersimpati, tapi disebabkan sikap Adil yang terlebih ajar tu buat Thia rasa geram pula.
Lantaklah. Buat apa nak ingat-ingat? Entah siapa-siapa.
Thia keluarkan bekas plastik berisi peralatan jahit. Dia mahu menjahit tali beg tangannya yang putus. Masih boleh digunakan lagi. Sayang kalau dibuang begitu saja. Masa menjahit, kepalanya terasa sakit. Berkerut-kerut dahinya nak tumpukan perhatian kepada jahitan. Kerap pula sakit kepala menyerang.
Nak kata ada darah tinggi, Thia jarang pula makan ikan masin. Budu pula ada sekali-sekala. Takkan pasal makan budu?
Dah berkurun orang makan budu, tak ada masalah pun. Tapi sekarang kerap pula dia sakit kepala. Kadang-kadang seminggu dua tiga kali dia sakit kepala.
Selepas jahit tali beg, Thia gam pula tumit kasutnya yang tercabut. Kasut tu pun masih boleh dipakai lagi. Buat apa nak beli baru kalau masih boleh digunakan? Bukankah dia perlu berjimat cermat?
Selepas itu dia keluarkan pula lukisan-lukisan milik pelajarnya. Tekun dia memeriksa walaupun sekadar lukisan kanak-kanak. Sambil itu dia tersenyum.
Nampak comel saja semua lukisan. Dia buat ikon senyum di setiap kertas yang dia selesai periksa.
Waktu itu dia sedang menahan rasa sakit kepala yang amat sangat.
Akhirnya terpaksalah Thia mengaku yang dia sudah tidak mampu untuk menahan rasa sakit. Dia segera ke meja makan. Tuang air panas di dalam muk untuk sediakan air teh. Di tangannya ada dua biji Paracetamol.
Dia picit kepalanya dan selepas itu dia telan ubat. Harap akan lega nanti.
Telefon bimbit galak berbunyi. Cepat saja Thia jawab. Sambil tu wajahnya berkerut juga menahan rasa sakit kepala.
"Assalamualaikum."
Thia beri salam dengan suara orang yang sedang menahan kesakitan.
"Waalaikumussalam. Fathia ke?"
Suara di hujung talian bertanya.
"Ya. Siapa ni?" soal Thia.
Rasanya dia tidak mengenali siapa si pemanggil.
"Abang Lan. Abang nak ambil kelas mengaji."
"Ya-ya. Untuk anak Encik Lan ke?"
"Bila boleh jumpa?"
"Rumah encik dekat mana?" Thia menyoal pula tanpa syak apa-apa.
"Fathia datang sini ke abang pergi sana?"
"Saya boleh pergi sana. Cuma nak tau dekat kawasan mana. Anak encik perempuan ke lelaki? Umur berapa?"
"Hantar selfie dulu satu."
"Huh?" Terkejut Thia mendengar kata-kata lelaki di hujung talian. Serupa orang gatal pun ya.
"Ala, belanjalah satu selfie. Nak tengok sikit."
"Hei, awak jangan main-main dengan saya. Kalau nak belajar mengaji, buat cara belajar nak mengaji. Jangan nak main-main pula!" marah Thia.
"Eh, eh. Garangnya. Tapi abang suka."
"Eeewww!" Geli Thia dengar.
Memang sah lelaki gatal. Inilah risiko kalau edarkan iklan begitu. Selalu saja ada yang mengambil kesempatan. Mahu cari duit tambahan pun susah. Mengajar mengaji saja pun. Bukannya Thia letak iklan yang bukan-bukan.
"Come on la. Selfie la satuuu."
Thia terus matikan telefon bimbitnya dan baling ke atas sofa. Geram betul dia. Sudahlah dia sakit kepala. Ditambah pula dengan panggilan gatal. Semakin menjadi sakit kepalanya.
"Ngeee..."
Muka Thia berkerut teringatkan panggilan tadi. Geli-geleman dia. Nampaknya selepas ni memang dia kena hadap panggilan seumpama itu. Dia kenalah bersedia untuk menepisnya. Ah! Dalam dunia ini semua kerja pun susah. Semua pun ada risiko.
"Gatal betul!" marah Thia lagi.
Makin ramai lelaki yang sakit jiwa sekarang ni rupa-rupanya. Bahaya ada di mana-mana. Tadi saja contohnya. Tak pasal-pasal kena ragut.
Pintu dibuka dari luar. Ati muncul bersama bungkusan makanan. Waktu itu Thia masih marah-marah.
"Kau dah kenapa?" soal Ati apabila melihat Thia seperti tidak puas hati saja.
"Aku tak taulah apa nak jadi kat dunia ni. Dah tak ada agaknya lelaki yang boleh jadi harapan wanita," keluh Thia. Seorang jadi tukang ragut. Seorang lagi tunjuk lagak hero. Sebenarnya dua-dua pun tak guna!
"Apa pasal pula kau cakap macam tu? Tiba-tiba saja ni."
"Kau tahu tak, tadi aku kena ragut." Thia berjalan menuju ke sofa. Kemudian dia duduk di situ.
"Hah? Kau kena ragut? Kau tak apa-apa ke? IC kau hilang?" Ati yang baru berusia 22 tahun itu nampak cemas. Tubuh langsing yang nampak kepenatan terus menghampiri Thia.
"Aku tak apa-apa..."
"Habis tu, jalan tak berapa betul tu kenapa?" soal Ati. Dia nampak Thia jalan terhincut-hincut tadi.
"Kaki aku terseliuh masa kejar bas. Tumit kasut aku patah."
"Habis, kes ragut tu macam mana?"
"Beg aku memang dah dilarikan seorang peragut tapi ada la pula sorang mamat tu tunjuk hero. Dia pergi kejar peragut tu. Berjayalah dia dapatkan beg tangan aku semula," jawab Thia dengan nada kecewa.
Nak tak nak saja bercerita pasal hero yang satu itu.
"Lah, dah ada orang tolong kenapa cakap macam tu?" Pelik Ati rasa apabila Thia cakap begitu. Serupa tak suka orang tolong pula.
"Yalah, dah tolong tu cakap yang bukan-bukan pula. Buat sakit hati aje."
"Handsome tak hero yang tolong kau tu? Ada macam Zul Ariffin?" Ati sengih.
"Eh, kalau handsome macam Zul Ariffin tu tak apalah juga. Ini muka pun serupa rumah tak siap. Entah-entah tak mandi pun!" Wajah Adil muncul sekali lagi dalam ingatan Thia.
"Kau ni. Dah orang tolong pun banyak songeh. Bersyukurlah kau dah selamat. Kau tak tengok dalam surat khabar atau dalam TV? Ramai mangsa ragut yang cedera parah. Yang bawa maut pun ada."
Thia diam. Bukan dia tidak bersyukur. Dia bersyukur. Masalahnya dia rasa sakit hati dengan apa yang berlaku. Apatah lagi wajah lelaki seorang itu asyik bertandang saja di ruang ingatan Thia. Lemas Thia dibuatnya.
"Tapi yang pastinya, kita memang sudah kekurangan lelaki yang boleh diharap." Thia masih lagi dengan pendapatnya.
"Eh, ramai aje. Zul Ariffin. Sharnaaz Ahmad. Beto... Lelaki harapan aku semua tu."
"Itu kat dalam TV aje kut. Mana kau tau perangai dia orang kat luar macam mana?" Thia membantah sambil geleng.
"Aku taulah. Aku follow aje..." Ati ketawa.
"Huh! Macam mana nak kahwin sebelum umur aku dua puluh enam tahun? Dah kehabisan calon." Thia mengeluh dalam nada seloroh.
"Habislah kau tak dapat nak honeymoon kat Langkawi, nak ada anak tiga lagi. Nampaknya anak kucing aje la kut." Ati mengusik.
"Aku serius ni. Tak mungkin tercapai kalau orang lelaki ni tak berubah." Thia jeling Ati.
Dia cakap betul-betul, boleh pula Ati buat lawak. Tak serius langsung.
"Aku pun serius. Tak payahlah nak kusutkan fikiran kau dengan fikir benda yang bukan-bukan. Kau kena ingat, semua tu urusan Tuhan. Jodoh, pertemuan, ajal maut dan rezeki tu semua urusan Tuhan. Tak payahlah kau fikir sangat."
Thia tarik nafas perlahan.
"Makan, jom," ajak Ati.
"Aku serius ni, Ati." Geram saja Thia tengok Ati. Tak pernahnya serius.
"Aku tau. Kaulah perempuan yang paling serius aku pernah jumpa kat dunia ni. Kau dah buat jadual hidup sampai mati..." Kemudian Ati ketawa.
Lawak betul. Tak pernah dia jumpa manusia seperti Thia. Semua buat perancangan.
Thia jeling Ati dengan tajam. Memang buat dia tambah bengang saja. Fikirkan Ati itu teman serumah dan sahabat paling baik saja, kalau tidak memang dah kena.
"Okey-okey. Aku pun serius juga pasal Zul dengan Sharnaaz. Beto kensel. Pasal Beto dah kahwin." Ati berseloroh lagi.
Itu saja caranya untuk mengendurkan ketegangan Thia. Kena buat lawak bodoh sama.
Akhirnya Thia ketawa juga. Dia duduk sambil pegang kepala.
"Kau ni buat tambah sakit kepala aku aje."
"Dah berminggu-minggu aku dengar kau tu sakit kepala. Pergilah cek. Gaji dah masuk, kan?"
Thia urut tepi dahinya.
"Sakit biasa aje ni. Aku dah makan ubat tadi. Kejap lagi baiklah."
"Tu la kau. Semua benda kau boleh rancang, tapi bab sakit kau boleh buat bodoh saja. Weh, tolonglah serius sikit pasal sakit. Bukan ke mencegah itu lebih baik daripada mengubati?"
"Yalah-yalah. Nanti aku pergilah. Puas hati?"
"Macam tu la..."
Thia geleng. Selagi tak diikut selagi itulah Ati akan bising. Penat Thia nak dengar.
THIA dan Ati terbaring sambil menonton TV. Selalunya Ati akan menonton drama Melayu. Nak-nak kalau Sharnaaz yang berlakon. Memang matanya tak berkedip langsung. Minat sungguh dia.
"Apa pasallah aku asyik teringat saja kat mamat yang tolong aku siang tadi," kata Thia perlahan. Disebabkan selalu sangat wajah Adil muncul dalam ingatannya, terpaksalah dia bercerita kepada Ati.
Ati kalih pandangan dari TV ke wajah Thia. Peliknya. Setahu Ati, Thia ni bukan jenis yang suka ingat lelaki. Lelaki macam tak wujud saja dalam hidup dia.
"Aku rasa mesti lelaki tu kacak, kan? Tu pasal kau tak boleh lupa. Ke kau dah mula jatuh cinta?"
"Weh..."
"Aku tak pernah tengok kau macam ni. Jarang kau sebut pasal lelaki kecuali pasal Amar Baharin. Ke muka lelaki tu macam Amar Baharin?"
"Jauh api dari panggang. Memang tak ada bayangan Amar Baharin langsung. Macam Pakistan jual karpet adalah."
"Handsome la kalau macam tu. Orang Pakistan tu. Mesti hidung mancung!" Ati tergelak. Memang betul lawaklah Si Thia malam ni.
Thia tumpang tergelak sama.
"Hurm, aku rasa mamat tu pun sekarang ni teringatkan kau juga. Tu pasal kau asyik teringat dia. Inilah orang panggil chemistry."
"Chemistry la sangat. Tapi kan, kalau fikir balik, kesian juga dia tu. Aku tengok dia bergelut dengan peragut tu sampai dia cedera. Mulut dia luka, lengan dia pun luka." Masih jelas terbayang wajah Adil yang menahan kesakitan.
"Tu la. Kesian dia."
"Aku pula marah-marah dia."
"Betullah kau ni, Thia. Tak berterima kasih langsung. Orang dah tolong."
"Yalah, boleh lagi dia tuduh aku sengaja tayang beg. Tu pasal kena ragut."
"Kalau fikirkan balik, memang betul pun cakap dia. Kita serupa tayang beg saja. Lalai. Tu pasal senang peragut nak ragut."
"Kau pun sama sokong mamat tu? Eh, kau ingat aku saja nak tayang beg tangan aku?"
"Aku tau, tapi cuba kau fikir balik. Apa yang tak kena tadi?"
Thia diam sekejap. Kemudian dia berfikir. Memang betul. Dia memang langsung tak terfikir kelalaian dia tadi sudah mengundang bala.
"Kau kena ambil pengajaran daripada kejadian tu. Lain kali kena lebih berhati-hati. Cuba jangan bagi peluang langsung untuk orang lain buat jenayah."
"Yalah, aku tahu tu... Aku pun rasa bersalah dengan mamat tu. Entah macam mana dia sekarang ni."
"Kau doakan saja untuk dia. Itu saja caranya."
Thia angguk.
"Macam mana kepala kau tu?" soal Ati.
"Alhamdulillah. Dah kurang sikit."
"Ke kepala kau ni sakit sebab teringat mamat tu?" usik Ati.
"Weh..." Thia tampar bahu Ati.
Ati sambut dengan ketawa yang kuat. Tapi memang Thia dah tunjuk perangai yang sangat pelik. Ati takut Thia dah jatuh cinta dengan hero dia saja. Karang tak pasal-pasal kena cari pula nanti.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co