Bab 4
ZAIN membantu Sofia membasuh pinggan. Dia memang perasan wajah Sofia masam sejak dia pulang tadi.
Masa makan malam tadi, masam Sofia semakin menjadi-jadi. Zain faham benar akan sikap Sofia.
Sejak berbadan dua, mood Sofia sering saja kurang baik. Mudah sangat naik angin. Sebab itulah Zain ikutkan saja apa kata Sofia.
Tapi selalunya memang Adil punca Sofia jadi begitu. Zain tahu tentang tu. Sejak mula lagi memang Sofia tidak senang dengan kehadiran Adil dalam kehidupan mereka.
Walaupun Zain tahu Sofia selalu makan hati dengan sikap Adil, namun sehingga sekarang Sofia tetap bersabar.
"Abang..." Sofia merengek manja.
Zain sudah agak. Pasti ada perkara yang hendak Sofia adukan. Berada dalam situasi tengah-tengah, Zain perlu bijak menangani setiap permasalahan yang timbul. Dia harus bijak.
Umpama menarik rambut di dalam tepung. Tepung jangan sampai berselerak dan rambut jangan sampai putus. Dua-dua juga sangat penting dalam hidup Zain.
"Hurm..." kata Zain.
Gelas yang sudah dicuci, dia letak di atas rak.
"Malaslah nak cerita. Nanti abang cakap Fia mengadu pula."
Sofia yang berdiri bersebelahan Zain hanya perhatikan suaminya.
"Cakaplah. Selama ni pun memang abang ni macam kaunter pengaduan, kan?" Zain jeling manja.
Dia sudah agak, tak lama mana Sofia akan simpan perasaan.
Sekarang ini pun dia rasa Sofia memang sudah tidak sabar-sabar hendak mengadu.
"Nanti abang cakap apa pula. Tak habis-habis nak mengadu pasal adik abang tu..."
Sofia masih teragak-agak sebenarnya hendak bercerita. Dia sendiri sudah dapat agak bagaimana reaksi Zain setiap kali Sofia mengadu perihal adik kesayangan suaminya itu.
Zain tetap masuk sebelah Adil. Sofia sendiri tidak tahu kenapa Zain begitu sayangkan adiknya itu. Selama ini Sofia memang gagal untuk menghasut Zain apatah lagi meracuni fikiran suaminya. Zain memang sangat kebal.
"Cakaplah. Abang dengar ni..."
Zain cuba sedapkan hati Sofia walaupun sebenarnya dia sangat bosan mendengar cerita tentang Adil. Ada saja yang tidak kena. Zain juga tahu, Sofia sentiasa berusaha untuk memburukkan Adil.
"Dia adik kesayangan abang, kan..."
"Ya, memang betul. Dia adik kesayangan abang. Tapi Fia juga isteri kesayangan abang. Dua-dua abang sayang. Dua-dua penting dalam hidup abang. Jadi, dua-dua pun abang kena dengar."
Zain lap tangannya di tuala yang tergantung di hadapan singki. Kemudian dia peluk bahu Sofia bagi meredakan perasaan Sofia.
Dia tahu Sofia juga memerlukan sokongannya. Zain tahu selama ini Sofia memendam rasa.
Maklumlah, sejak mula lagi memang Adil tinggal bersama mereka. Di mana lagi Adil hendak tinggal kalau tidak di situ?
Rumah itu juga rumah Adil. Rumah peninggalan orang tua mereka.
Sejak ibu bapa mereka meninggal kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya hampir 10 tahun lalu, memang Adil sudah menjadi tanggungjawab Zain. Mujur juga waktu itu Zain sudah tamat belajar dan bekerja.
Semenjak itulah tumpuan dan kasih sayang terhadap Adil memang tidak berbelah bagi. Apatah lagi Adil sangat mendengar kata-katanya.
Sofia tarik muka masam. Mahu menarik perhatian Zain.
"Beritahulah dekat abang. Nanti abang tegurlah kalau Adil dah buat salah."
Kata-kata yang Zain sering ulang setiap kali Sofia mengadu.
"Siang tadi, boleh lagi dia tinggalkan rumah macam tu saja. Dengan pintu tak tutup, pintu pagar ternganga. Kalau perompak masuk macam mana? Fia dahlah dalam keadaan macam ni." Sofia pegang perut.
"Astaghfirullahalazim. Kenapa cuai sangat sampai macam tu sekali?" Zain tergeleng.
Adil buat lagi perangai. Kali ni dia tidak boleh membela Adil di hadapan Sofia kerana Zain tahu ia bakal menaikkan kemarahan Sofia. Sedangkan memang begitulah perangai Adil.
Bukan sekali dua Adil tinggalkan rumah begitu saja. Sejak arwah kedua-dua ibu bapa mereka masih ada. Sehinggakan arwah ibu mereka sudah hilang sabar.
Kalau arwah ibu ada, Adil tu memang dapat habuan. Zain sendiri sebenarnya tidak dapat berbuat apa-apa. Perangai Adil memang begitu sejak dulu lagi. Memang susah untuk diubah.
"Perangai dia semakin menjadi-jadi sekarang ni. Abang janganlah biarkan saja dia buat sesuka hati. Nanti makin lemak dia. Yang Fia geram sangat, dia buat selamba saja bila Fia tegur. Langsung tak ada rasa bersalah. Sampai bila dia nak jadi macam tu? Fia takut sikap cuai dia tu bakal mengundang bala dalam rumah kita."
Sofia pandang muka Zain. Minta suaminya itu lakukan sesuatu walaupun harapannya sangat tipis. Ternyata Zain juga takut dengan Adil.
"Nantilah abang nasihatkan dia."
"Itulah abang, suka sangat nanti. Nanti itulah yang buat dia semakin menjadi. Semakin teruk Fia rasa."
Sofia benar-benar tidak puas hati mendengar jawapan Zain. Masih bernada menyebelahi Adil walau apa yang Adil sudah lakukan itu memang benar-benar melampau.
"Yalah, nanti abang nasihatkanlah. Fia pun janganlah marah selalu. Kesian baby nanti."
"Sebab Fia ingatkan baby kitalah, Fia bersabar. Kalau tidak, memang teruk dah adik abang tu!"
Tinggi sedikit Sofia bersuara sambil pegang perutnya. Mudah-mudahan dia bersabar dengan apa yang berlaku sekarang ini. Kalau ikutkan hati, memang dia boleh hilang sabar.
"Terima kasih, sayang. Abang sangat-sangat menghargainya sebab memahami keadaan abang."
"Sampai bila Fia kena bersabar, bang?"
"Abang minta Fia berilah lagi masa untuk dia berubah. Abang yakin suatu hari nanti dia akan sedar juga."
"Dia takkan berubah, bang. Percayalah. Selagi abang tak ambil tindakan, sampai bila-bila dia akan macam tu. Dia jadi macam tu sebab abang yang terlalu manjakan dia!" Sofia bergerak tinggalkan Zain.
Dia tidak mahu bercakap lagi, kerana apa yang dia cakap seperti tidak memberi apa-apa kesan buat Zain.
Sofia tahu, bukan senang hendak merubah perasaan Zain terhadap Adil. Sudah hampir enam tahun dia berusaha, namun langsung tidak mampu menggoyah perasaan Zain.
Zain hanya mengeluh sambil perhatikan saja langkah lemah Sofia.
Sesungguhnya dia benar-benar tersepit. Bak kata orang, diluah mati mak, ditelan mati bapak. Tapi Zain yakin suatu hari nanti Adil akan berubah juga. Hanya memerlukan masa untuk berubah.
Dia atur langkah perlahan menuju ke bilik Adil. Walaupun dia sendiri tidak tahu apa yang bakal dia katakan kepada Adil, sekurang-kurangnya Zain perlu juga bercakap dengan Adil. Setiap kali berbicara dengan Adil, dia rasa seperti lidahnya kelu hendak bercakap lebih-lebih. Perlahan Zain ketuk pintu bilik Adil sebelum dia masuk.
"Dil, siang tadi kau keluar memang tak kunci pintu yek?" soal Zain terus.
"Orang tak ingat, bang. Masa tu orang kelam-kabut sangat sebab orang dah lambat."
Adil sudah agak. Pasti saja Sofia akan mengadu. Dan pasti saja Zain bakal menegur. Begitulah selalunya. Tapi seperti biasa, Adil akan tadah juga apa yang bakal Zain hamburkan. Dia sudah lali dengan semua tu.
"Kau ni, bilalah nak berubah dan rasa lebih bertanggungjawab? Dari dulu memang macam inilah perangai kau. Sampaikan arwah ibu nak jumpa bomoh semata-mata nak ubatkan kau. Dia ingat kau tersampuk masa kecil dulu."
Adil ketawa perlahan. Kenangan bersama orang tua mereka datang semula. Sekaligus melupakan permasalahan yang ada. "Kalau arwah ibu ada, memang kena bantailah..."
"Dengan abang sekali arwah ibu bantai. Walhal abang tak terlibat pun."
Zain juga ketawa. Rindu kepada ibu bapa mereka tak pernah padam malah semakin mendalam.
"Dari mula sampai sudah ibu akan berleter. Selagi dia tak puas hati, selagi itulah dia berleter," tokok Zain.
"Orang rindulah dekat ibu dan ayah..." Perasaan Adil sebak.
"Habis, kau ingat abang tak rindukan mereka?"
Mereka diam seketika. Masing-masing melayan kenangan manis.
Hanya itu saja yang mereka lakukan apabila sesekali rasa rindu itu datang menjengah.
"Apa pasal mulut tu?" soal Zain apabila nampak mulut Adil seperti bengkak.
"Oh, orang jadi superhero siang tadi."
"Bergaduh?"
"Lebih kurang macam itulah."
"Padanlah Kak Fia kau dah bising. Yang kau bergaduh tu kenapa? Karang tak pasal jadi kes polis pula. Tolonglah jangan cari masalah." Zain hela nafas dalam-dalam.
"Tak adalah. Siang tadi, ada sorang minah tu kena ragut. Orang tolong kejar peragut tu. Berjaya jugalah jadi superhero."
"Hurm, macam-macam. Dah, kalau boleh janganlah buat perangai sangat. Bising karang Kakak Sofia kau tu. Dia tak suka." Zain bergerak semula ke pintu bilik.
"Maaflah kalau orang dah buat abang susah hati. Orang akan lebih berhati-hati nanti."
"Abang yang lain tak kesah sangat. Tapi bab tak tutup pintu tu memang abang tak sukalah. Bahaya sangat tu. Kalau setakat harta benda yang hilang, aku tak kesah sangat. Kalau melibatkan nyawa macam mana? Dahlah kakak kau dalam keadaan macam tu. Kau tak dapat bayangkan ke kalau terjadi apa-apa?" Agak keras soalan Zain tapi dia hanya mampu bersuara setakat itu sahaja. Hendak marah lebih-lebih memang tak mampu.
"Orang tau. Orang minta maaf sangat-sangat sebab orang nak cepat tadi." Adil ulang semula alasannya.
"Hurm..." Zain terus keluar tinggalkan Adil.
Adil hanya pandang pintu yang baru saja ditutup Zain.
Dia tahu, satu-satunya abang yang dia ada itu sangat sayang kepadanya. Zain jaga Adil sejak ibu bapa mereka meninggal dunia.
Apa saja kehendak Adil, akan Zain cuba penuhi. Kadang-kadang Adil rasa seperti Zain sudah lebihkan Adil berbanding isteri dan anak sendiri. Itu yang buat Adil rasa serba salah.
Dia hela nafas dalam-dalam. Apalah yang dia nak jadi? Mungkin hanya menyusahkan orang saja.
Adil pegang bibirnya yang terasa pedih.
Wajah Thia kembali menerjah kotak ingatan. Perempuan kampung manalah yang baru sampai KL ni. Mungkin dia pun tak salah juga. Tengok muka polos begitu, rasanya baru sampai dari kampung.
"Apa aku dah buat ni?" kata Adil sambil picit kepalanya yang sedang berdenyut. Sepatutnya dia beri nasihat dengan cara yang baik. Memberi teguran dengan cara berhemah, bukan dengan marah-marah. Kalau begitu sesiapa pun akan tidak puas hati.
Ke, dia memang tak ada pengalaman bercakap dengan anak dara orang? Mungkinlah kut!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co