Bab 9
WAKTU Adil sedang berusaha siapkan kerjanya, Alif masuk perlahan tanpa Adil sedar.
Dia letak tangannya menjalar di leher Adil. Adil menjerit kerana terkejut.
Alif menjerit juga sebab terkejut. Kemudian mereka berdua ketawa sebab sama-sama terkejut.
"Alif? Kenapa tu?" tanya Sofia.
Kemudian mereka berdua cepat-cepat letak jari kat bibir. Tahan ketawa. Tapi kedua-duanya ketawa juga kuat-kuat.
"Alif!" jerit Sofia.
"Ya, mama. Kejap. Unckedil. Jom-jom, mama suruh solat."
Alif pegang tangan Adil. Berusaha untuk ajak Adil solat bersama.
"Tengok ni dulu."
Adil tunjuk lukisan komik pada komputer yang dia sedang siapkan. Ternganga mulut Alif apabila melihat lukisan yang Adil tunjuk itu.
"Fuyooo..."
Alif sudah teruja. Adil tunjukkan lagi gambar-gambar karakter yang dia sedang siapkan.
"Cool, kan? Cuba tengok yang ni..."
Adil tunjuk pula karakter heronya.
"Tu hero dia, eh?" soal Alif.
Nampak sangat muka teruja.
"Handsome, kan?"
Adil tersenyum cantik. Puas hati dengan apa yang sedang diusahakan.
Alif sengih. Tunjuk muka teruja sebab karakter sebiji macam muka dia. Makin semangatlah Alif.
"Apa kuasa dia?" soal Alif, semangat ingin tahu semakin meluap-luap.
"Alif Ziyad! Keluar sekarang!"
Sofia menjerit. Dua-dua terkejut. Pandang antara satu sama lain dan buat muka takut.
"Jom, Unckedil. Cepat! Solat isyak," ajak Alif.
"Unckedil sakit kepala ni. Alif pergi dulu."
"Alaaa, jom la solat sama-sama..." Alif pujuk Adil dengan gaya manja. Dia tarik tangan Adil.
"Yaaa. Karang uncle solat."
"Aaa... Lif!!!"
Sofia menjerit lagi. Kali ini tambah kuat. Hampir seluruh rumah mendengar suara Sofia.
"Pergi cepat, pergi cepat."
Adil tolak badan Alif perlahan. Dia sudah tidak sanggup mendengar Sofia terjerit-jerit.
"Unckedil solat tau karang."
Alif seperti sedang ingatkan Adil.
"Yaaa. Nanti Unckedil solat." Adil angguk.
"Janji tau? Teacher Adil cakap, orang tak solat kan, kalau dia buat baik apa pun, semua Allah tak terima."
Menipu kalau Adil tak terasa sebab memang dia jarang solat.
"Pandai teacher Alif."
"Macam kita jadi doktor kan... Kita tolong orang, dapat pahala, kan?"
"Okey. Unckedil nak jadi doktorlah."
Adil layankan juga cakap-cakap Alif walau dia tahu sebentar lagi Sofia bakal menjerit semula.
"Tapi kalau kita tak solat, pahala kita tu Allah tak terima."
"Okey, Unckedil solat dulu lepas tu Unckedil jadi doktor, boleh?"
"Alif pun nak jadi doktor."
Pintu bilik Adil diketuk dari luar dengan kuat.
"Okey... Pergi cepat."
Adil tolak semula badan Alif. Cepat-cepat Alif lari keluar. Adil mengeluh perlahan selepas itu.
Dia sedar diri kenapa Sofia tak benarkan Alif masuk ke dalam biliknya.
Takut Alif tiru perangainya. Takut Alif jadi seperti dia. Ah! Lantaklah.
Adil sambung kerjanya yang tertangguh.
Dia perlu siapkannya dengan kadar segera. Leka dia dengan kerjanya sehingga pintu diketuk semula.
"Masuk!" laung Adil.
"Dil, jom makan..." pelawa Zain.
"Okey..."
Adil tutup komputer dan bergerak keluar dari bilik. Kemudian dia turun ke ruang makan.
"Seronok, kan? Makan orang panggil..."
Sempat lagi Sofia menyindir.
Masa tu Zain masih belum sampai ke ruang makan. Hanya ada Sofia dan Adil saja.
Adil diam. Dalam masa terdekat, dua kali dia tersentap. Tadi pasal Alif, sekarang pasal makan.
Mujur perasaan Adil itu mungkin diperbuat daripada batu, jadi dia buat bodoh saja.
"Apa nak semua dapat. Adik manjalah katakan..."
Sabar, Adil. Buat cara orang menumpang. Lagi pula dia mengandung.
Orang mengandung mungkin emosional sikit. Tak boleh terusik perasaan. Kena jaga semua tu. Nanti menjejaskan kandungan.
Adil tarik kerusi perlahan. Kemudian dia termenung sambil melihat makanan yang sudah terhidang.
"Hah, Adil. Kenapa duduk saja? Makanlah..." Zain muncul.
Adil senyum hambar. Sebenarnya hilang selera nak makan.
Tapi disebabkan dia sudah duduk, takkan dia nak bangun semula? Nanti apa pula kata Zain?
Zain sendukkan nasi untuk Adil.
"Esok kalau Dil nak kahwin, cari gadis yang tau masak. Senang hidup Dil..." Pinggan yang berisi nasi, Zain hulur kepada Adil.
Adil sambut sambil tersenyum tawar. Sedaplah sangat. Adil makan pun sebab nak jaga hati kakak ipar. Kalau tidak, dia sanggup makan kat gerai saja.
"Mesti kita tak makan kat luar punya."
Adil lihat lauk-pauk yang terhidang. Lauk biasa-biasa saja. Masak lemak cili api, tumis kubis, telur dadar.
Kalau masakan macam ni, budak lepas SPM pun boleh masak.
Adil sudu kuah masak lemak cili api. Ambil ayam seketul. Ambil telur dadar sikit. Dan terus kunyah.
"Sedaplah Fia masak," puji Zain.
Adil hanya dengarkan saja. Petua rumah tangga ni. Kena puji isteri selalu walau tak ikhlas.
"Memang Fia pandai masak pun..."
Sofia tak nak kalah. Kembang apabila dipuji.
Adil terus suap dan tak toleh lagi. Hanya dengarkan saja Sofia dan Zain berbual. Selesai makan, dia terus bangun.
"Cepatnya kau makan, Dil."
"Banyak kerja, bang." Adil ke singki.
Dia basuh pinggan dan bergerak semula menuju ke biliknya.
Sofia tarik muka masam.
Adil terus ke biliknya. Masa sampai bilik, Adil mula rasa kepalanya sakit.
Dia ambil keputusan untuk berbaring seketika. Sebelum tu dia telan ubat tahan sakit dengan harapan sakit di kepalanya cepat sembuh.
Pintu bilik ditolak perlahan. Alif jenguk kepala.
"Unckedil dah tidur ke?" soal Alif sambil bergerak menghampiri Adil.
"Unckedil sakit kepalalah..."
"Oh, Teacher Thia pun selalu sakit kepala."
Alif pergi ke kepala katil dan duduk di situ. Tanpa disuruh, dia terus picit kepala Adil.
"Pandainya Alif picit kepala."
"Memang pandai!"
"Ngeee, pantang puji." Adil ketawa perlahan.
"Yalah, Alif selalu picit kepala Teacher Thia. Mestilah Alif pandai picit kepala."
"Amboi, rajinnya. Sejak bila pandai buat baik ni?" Adil pandang muka Alif.
"Sebab Teacher Thia tu cantik sangat."
"Yek?"
"Teacher Thia pandai lukis gambar rumah, gambar pantai. Unckedil tak pandai, kan?"
"Eh, Unckedil pandailah. Unckedil pandai lukis semuanya."
"Habis tu, kenapa Unckedil lukis gambar hero aje?"
"Sebab Unckedil suka lukis gambar tu. Hurm, dahlah. Alif pergi masuk tidur sekarang. Nanti mama marah pula. Esok nak sekolah lagi." Adil memujuk. Kejap lagi kalau kakak iparnya naik, mahu bertempik lagi.
"Okey..." Alif turun dari katil dan bergerak tinggalkan Adil.
"Unckedil..." Alif panggil ketika berada di muka pintu.
"Apa?" soal Adil.
"Teacher Thia cantik sangat." Alif terus tinggalkan bilik Adil.
"Yalah tu..." Adil senyum sendiri. Kecil-kecil dah pandai puji perempuan. Budak sekarang memang terlebih pandai rupa-rupanya. Dia yang sudah umur dua puluh lima tahun pun belum terlintas nak fikir pasal perempuan. Kecuali minah sorang tu. Minah tu la...
Adil senyum sendiri. Macam-macam.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co