Bab 8
KALI ini Thia akur juga dengan arahan doktor.
Kerana sudah tidak tertahan dengan sakit kepala yang selalu menyerangnya, Thia pergi juga ke hospital untuk mendapat pemeriksaan seterusnya. Namun dia terpaksa melalui beberapa proses saringan yang lazim dilakukan oleh pesakit lain.
Thia juga tidak terkecuali untuk melalui proses tersebut.
Walaupun Thia agak keberatan, namun dia terpaksa juga lakukannya. Sampai bila dia hanya bergantung dengan Panadol dan ubat penahan sakit?
Sakit kepala yang dia tanggung itu bukan saja menyakitkan bahkan menjejaskan sama tugasan sehariannya.
Itu alasan paling kuat kenapa dia perlu segera untuk mendapatkan rawatan.
Mujur tuan punya tadika seorang yang bertimbang rasa. Tapi Thia kena fikir sama, tak selamanya orang akan bertimbang rasa.
Thia harus mengambil langkah untuk mengatasi masalah tersebut walaupun dia memang tidak suka dengan apa yang dia lakukan.
Sementara itu, Adil juga berada di dalam hospital yang sama. Dia juga lakukan ujian saringan seperti Thia. Masa Thia hendak keluar dari bilik MRI, Adil baru saja hendak buat proses MRI.
Selepas menjalani proses MRI, Thia diarahkan menunggu di kaunter untuk tindakan selanjutnya.
Sebenarnya Thia menunggu untuk dapatkan kepastian mengenai janji temu seterusnya.
Daripada janji temu tersebut, dia bakal mendapat keputusan ujian yang baru dia jalani sebentar tadi.
"Datang balik dua puluh lapan hari bulan. Pukul sembilan pagi," kata jururawat yang bertugas kepada Thia.
"Terima kasih," balas Thia perlahan.
Perasaan cemas Thia yang terpaksa melalui proses MRI, masih belum berkurang.
Dia tetap berdebar. Macam-macam yang Thia fikirkan.
Kalau sudah terpaksa melalui proses begitu, pasti ada masalah besar. Tapi Thia cuba yakinkan dirinya, tak ada apa-apa yang berlaku. Dia hanya sakit kepala. Takkan ada penyakit serius.
Jururawat hulurkan kad janji temu kepada Thia lantas Thia bergerak tinggalkan kaunter. Kemudian Adil pula ambil kad janji temu.
Adil lihat janji temunya tertulis 28 hari bulan pada jam sembilan setengah pagi.
"Macam-macam betullah..."
Adil merungut sendiri. Satu hal pula nak datang hospital.
Sudahlah dia memang tak suka dengan bau hospital. Meloyakan. Tiba-tiba saja Adil rasa loya namun dia tahan saja.
Sekilas, Adil seperti terpandang susuk tubuh seseorang yang pernah dia kenal.
Dia pandang saja langkah Thia yang sangat perlahan. Yalah, Adil kenal sangat dengan beg tangan yang sedang tergantung di bahu kiri Thia.
Apa minah ni buat kat sini? Sakit juga ke dia? Sakit apa? Sakit hati kut! Mungkinlah. Muka garang macam tu memang selalu sakit hati.
Adil terus melangkah menuju ke tempat motosikal. Waktu itu kepala Adil sudah berdenyut kembali.
"Kepala ni pun satu. Kalau tak sakit memang tak sah!" Adil merungut sendiri. Kemudian dia terus tunggang motosikal tinggalkan pekarangan hospital dengan kepala yang sakit.
Adil sengaja lalu di depan Thia. Pura-pura nak langgar Thia.
"Hoi!" marah Thia.
Kurang ajar betul.
Adil terus tekan minyak dan ketawa dengan kuat. Seronok pula dia menyakat Thia.
Sah berbakul-bakul kena sumpah. Tak apa, kira sebagai balasan untuk kacang rebusnya yang dirampas hari tu. Sekarang ni, kosong-kosong.
"Kalau aku dapat, kau memang sakit dengan aku!" marah Thia lagi.
Dia pandang terus motosikal yang semakin menghilang.
"Kalau kau jatuh tergolek, jangan harap aku akan tolong. Aku sepak lagi ada la..."
Thia mula menyumpah. Geram betul dia.
Thia terus melangkah. Kerana kepalanya sakit, dia putuskan untuk pulang ke rumah dengan menaiki teksi.
Tak larat hendak naik bas, karang kalau pengsan satu hal pula.
Sebaik sahaja sampai ke rumah, Thia duduk menyandar di sofa. Kepala sudahlah pening, sakit hati pun sama. Hatinya tak berhenti menyumpah Adil. Geram betul dia.
"Apa pasal kau ni?" sapa Ati.
Kebetulan Ati pulang awal kerana dia syif pagi. Lagipun dia bergaduh dengan seorang rakan sekerja. Sebab itu dia tak nak buat kerja lebih masa.
"Sakit kepala campur sakit hati," marah Thia.
"Hurm, tak boleh kata apalah. Sebab tu memang dua-dua penyakit kau." Ati ketawa perlahan.
Memang pun. Setiap hari kalau tak sakit kepala, mesti sakit hati. Ada saja yang buat Thia sakit hati. Kadang-kadang dengan orang naik lif pun Thia boleh sakit hati.
Dengan orang letak kereta merata pun dia sakit hati. Bukan kereta dia pun. Pelik betul.
"Aku serius ni. Aku hampir kena langgar dengan mat rempit tau tak?!"
Ati tak balas. Bukan dia nak menangkan mat rempit, tapi Ati kenal Thia.
Kalau berjalan tu serupa arwah ayah dia dulu ada kongsi saham buat jalan raya. Mana orang tak langgar. Kalau tak berangan tak sah.
Untuk sejukkan diri, Thia cari air di dalam peti sejuk.
Mana tahu dapat memulihkan semula perasaannya yang sedikit membara, gara-gara penunggang motosikal yang tidak bertanggungjawab. Ikutkan rasa memang binasa. Dialah yang binasa kerana marah-marah. Sedangkan marah-marah itu tidak baik untuk kesihatan.
Selesai basahkan tekak, Thia kembali ke sofa.
Ati sudah senyap. Langsung tak bercakap. Waktu itu dia teringatkan kakaknya di kampung.
Hampir dua minggu juga dia tidak menghubungi kakaknya itu. Rasa rindu pula.
Laju saja tangan Thia menekan nombor telefon milik kakaknya.
"Assalamualaikum, kak..." Lembut saja Thia memberi salam sebaik sahaja panggilannya dijawab.
"Waalaikumussalam. Thia sihat? Lama Thia tak telefon Kak Yah. Sibuk, ya?"
Seronok Thia dapat mendengar suara satu-satunya kakak kandungnya.
Ayah Thia meninggal ketika menjala ikan.
Emak Thia pula menyusul tidak lama selepas itu. Tinggalkan Thia dengan kakaknya.
Sebab itu hubungan mereka berdua sangat rapat.
"Alhamdulillah, kak. Budak-budak macam mana?"
"Lagu tu la... Thia tak balik kampung ke cuti sekolah ni?"
"Tak boleh nak balik, Kak Yah. Ada kerja sekolah sikit nak kena buat," jawab Thia apabila Foziah bertanya bila Thia nak balik memandangkan ada cuti sekolah tak lama lagi.
"Tak apalah. Ni pun cuti seminggu aje, kan. Baik simpan duit tu. Tunggu cuti panjang baliklah."
Thia dengar suara kakaknya seperti biasa saja. Seolah-olah menyokong keputusan Thia tidak pulang ke kampung.
Kakaknya itu pun sangat memahami kesulitan Thia. Mereka bukannya orang berada. Biasa-biasa saja. Sekadar cukup makan pakai.
"Kak beli coklat sepuluh ringgit bagi kat Nurbaya dengan Aiman, bagi tau Cik Thia kirim, deh?" pesan Thia lagi.
Rindu terhadap anak-anak saudaranya itu sudah tidak tergambar lagi. Dia sangat-sangat rindu.
"Sekali hadap aje budak-budak tu nanti. Lepas tu melompat-lompat sampai ke malam."
"Biarlah sekali-sekala. Nanti Thia masuk duit ke Kak Yah."
"Duit tu simpan la untuk Thia pakai kat sana. Cukup ke duit tu? Okeylah. Mahal ni telefon lama-lama."
"Okey. Kirim salam ke Nurbaya dengan Aiman, deh?"
"Insya-Allah. Baik-baik. Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam." Thia matikan telefonnya. Ketika itu Ati tengah kacau air di dapur. Thia pandang saja Ati.
"Supermarket aku tu cari orang." Ati bersuara selepas Thia letak telefon di atas meja sofa.
"Wah, kaya kau ada supermarket," seloroh Thia.
"Memang pun kaya." Ati balas sambil ketawa sama.
"Kau buat part time situ sudah. Aku boleh tolong cakap kat manager," cadang Ati. Dia tahu Thia sekarang sedang mencari kerja sampingan.
"Aku bukan malas, Ti. Sebabnya dari pagi kerja dah berdiri, ni sambung pula kat supermarket kau tu, sampai ke malam nak berdiri lagi. Kejang la kaki."
"Memilih!"
Thia sambut dengan ketawa.
"Cuba kau rasa, betis aku dah keras ni." Thia duduk di atas kerusi makan selepas itu. Ati tolak muk di depan Thia.
"Minum ni." Ati paksa. Thia ambil dan terus minum. Kemudian tersembur keluar.
"Apa benda ni?" soal Thia.
"Ni aku dapat resipi kat FB. Untuk kurangkan sakit kepala kau tu."
Thia hidu dan kemudian dia geleng. "Ngeee... Kau bau tak? Macam air stoking busuk."
"Kau pernah minum air stoking ke?" soal Ati, geram. Sudahlah dia bertungkus-lumus sediakan air tu. Jangan kata nak cakap terima kasih, lagi dikata macam air stoking busuk.
"Kau letak apa ni, Ti?" Dahi Thia berkerut. Serius dia tak boleh nak telan. Buat dia tambah loya adalah.
"Cuka epal. Aku tambah dengan air aje. Minum!" Ati paksa Thia minum. Kemudian dia keluarkan botol yang tertulis apple cider vinegar lalu ditunjuk kepada Thia.
"Tak nak aku minum. Busuk sangat." Thia tolak muk ke tepi.
"Mahal aku beli ni. Nak buat apa benda ni kalau tak guna?" soal Ati dengan garang.
Thia cepat-cepat lari dari situ, nak masuk ke bilik. "Kau tanyalah kawan-kawan muka buku kau tu!"
"Weh. Ni kan ubat. Mana ada ubat yang sedap. Kau ni mengalahkan budak-budak." Ati rasa sikit air tu. Memang betul-betul tak boleh masuk. Terus Ati buang air tersebut ke dalam singki.
"Penipu punya rakan FB. Ubat ke racun ni?" bebel Ati sendirian. Jangankan Thia, dia pun tak sanggup nak telan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co