Truyen3h.Co

Terindah Pernah Ada

Bab 1

karyaseni2u


Seperti kapal yang berlayar di lautan tanpa tujuan akhirnya tetap berlabuh.


SURAT yang diterima kelmarin dibiarkan di atas meja. Malas nak dibuka dan baca andai sudah boleh diduga isi kandungannya. Iyyad duduk berehat di beranda rumah.

Sesekali angin petang menyapa lembut ke wajahnya. Suasana nyaman dan tenang di kampung yang takkan ada di hutan batu. Tenang itu percuma dan membahagiakan.

Buka sahaja tingkap terus langsir terbang ditiup angin. Terbentang langit yang luas dengan pohon-pohon menghijau menjadi teduhan.

Tanah yang diinjak-injak menjanjikan kesuburan andai segenggam benih ditabur rata. Gunung yang menjadi pasak bumi dan anak-anak sungai yang mengalir tenang turut menjanjikan sumber rezeki yang meluas sebenarnya. Mahu dan tak mahu saja untuk berusaha. Kalau terlalu banyak alasan pasti nasib malang yang selalu disalahkan.

Nama pun manusia dan kadangkala rezeki yang ada di depan mata malas nak direbut tetapi masih cuba gigih menggapai yang jauh di seberang. Alasan demi alasan cumalah menutupi kelemahan diri.

Itulah yang membelenggu pemuda itu sekarang.

Iyyad merenung jauh memikirkan masa depan. Dalam meniti kehidupan di dunia ini ada yang sudah pecut berlari mengejar kekayaan. Jauh meninggalkan manusia lain yang mungkin masih terkulat-kulat mencari sesuap nasi setiap hari.

Maka bersyukurlah dengan apa yang ada. Walaupun tak banyak namun cukup asalkan ada. Bak kata pepatah lama, besar periuk besarlah keraknya. Tepuk dada tanya selera!

"Iyyad!"

"Woit! Turunlah cepat. Tengok aku bawak apa ni."

Iyyad lekas bangun menuruni tangga usai terdengar namanya diseru. Syed tersengih sambil menunjukkan rezeki yang ingin dikongsikan bersama.

"Mana hang dapat ikan tu? Untuk aku ka?"

"Hmmm, untuk hanglah. Aku dapat lebih jadi aku bagi kat hang sikit. Kalau rajin malam ni hang masaklah."

Iyyad mencebik. Lambat-lambat dia menyambut huluran daripada Syed.

"Terima kasih. Kalau aku rajin aku masaklah. Makan sorang-sorang bukan seronok pun."

"Kahwinlah. Bini boleh tolong masak. Makan ramai-ramai dikelilingi anak-anak. Bunga bukan sekuntum. Layu satu ada berlambak yang kembang elok. Hang pilih saja mana yang berkenan. Selebihnya mak aku boleh uruskan."

"Banyaklah hang punya anak, bini, bunga kembang. Duit yang ada pun cukup-cukup tanggung hidup sendiri. Hang kahwinlah dulu. Nasihat orang pandai!"

"Kita suruh dia... dia kona kat kita balik."

Diam.

"Weh, aku letak surat depan pintu. Hang dah tengok belum?"

Iyyad geleng.

"Malas. Dah boleh agak jawapan. Belum buka pun dah boleh terbayang kecewa tu. Semua nak yang berpengalaman. Pengalaman celah mana kalau tak ada orang nak bagi peluang kat aku?" balas Iyyad. Kesal.

Senyap.

"Zaman la semua nak pengalaman. Kalau ada orang dalam lagilah cepat dapat. Asalkan kabel kuat layak tak layak belakang kira. Tu sijil-sijil tu sekadar ada ja habuan berat untuk usung sana sini. Aku dah boleh agak keputusannya," sambung Iyyad kecewa.

"Eh, mana hang tau? Mungkin ada rezeki kali ni. Hang sembahyang dan berdoa panjang tapi tak percaya pada rezeki yang Allah janjikan! Cepat sangat putus asa," nasihat Syed seraya menolak bahu kawannya itu.

Tidak berganjak. Iyyad sekadar membuang keluhan.

"Bukan putus asa, Edd. Lagipun sekarang ni bercambah orang lulusan macam aku. Nak jadi freelance pun kena ada tapak dulu baru ada peluang. Kalau tak ada pengalaman, tak ada manusia yang nak beri peluang."

"Yad, apa kata kita usahakan balik tanah kosong tu sama-sama. Kalau buat sorang-sorang aku tak yakin sangat. Kalau ada hang aku rasa okey sikit. Kita buat sama-sama dan untung bahagi dua. Amacam, nak? Kalau hang sanggup aku sanggup."

Iyyad memandang udara. Terus teringat projek mereka yang tak jadi dulu tu. Bukan sikit duit yang keluar untuk buat modal. Sudahnya modal hangus macam tu saja dan tiada hasil yang dapat. Serik dah!

"Nak tanam apa? Ingat hari ni tanam esok boleh petik? Makan modal gak tu. Mana nak beli baja... racun...Lagipun kita dah pernah buat tapi tak berhasil pun. Kalau betul-betul nak buat kena sedia modal paling sikit empat ribu. Ada?"

Syed geleng kepala. Duit yang ada dulu semua sudah dibuat modal untuk tanam pokok naga tapi sayang semuanya tak menjadi. Modal tu lebur begitu saja. Waktu itu Mak Cik Nab beri gelang emasnya untuk dijual. Takkan dia nak meminta-minta lagi. Aduh, serabutnya!

"Bila fikir balik dah lama aku duduk di kampung. Sesekali fikir elok juga kalau berhijrah keluar. Tukar angin pula. Manalah tau boleh jumpa jodoh sekali," balas Iyyad acuh tak acuh.

Syed diam. Malas nak paksa-paksa kalau tak sudi. Iyyad berpendidikan jadi cara pemikiran mereka mesti tak sama.

"Yad, hang pi ambil surat tu. Meh aku tolong baca. Mana tau masin mulut aku kali ni hang berjaya," pujuk Syed. Iyyad tayang wajah kelat.

"Nanti-nantilah." Iyyad terus beralasan. Firasatnya kuat membisik menyatakan dia gagal lagi! Kadang-kadang bukan mahu memberikan alasan cuma hati perlukan ruang untuk berehat daripada terus terkecewa.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co