Bab 2
IYYAD bergegas berlari memanjat anak tangga. Setelah menyimpan kad kahwin pemberian tok imam, dia terus mencapai kunci motor yang tergantung di dinding rumah lalu menutup rapat pintu depan.
"Nak ajak aku pi mana pulak ni?" soal Syed kebingungan apabila ternampak Iyyad menolak keluar motor kesayangan dari bawah beranda rumah. Satu-satunya yang dia jaga elok sebab arwah bapanya paling sayang dengan motor lejen ni.
"Temankan aku jap."
"Nak pi mana?"
"Mak Piah mintak tolong. Dia nak aku kemaskan barang-barang lama dalam stor arwah Pak Nan. Dia tak mampu nak buat sorang-sorang. Aku nak pi usyar-usyar dulu barang lama apa nak dibuang. Jom."
"Anak-anak dia kan ada. Pakat buatlah sorang sikit."
"Anak-anak dia semua duduk jauh, kan. Dalam keadaan dia yang tak berapa sihat sangat tu lagu mana dia nak buat sorang-sorang?" sela Iyyad cepat.
"Hah... Ni yang aku geram. Berdesup hijrah pi duduk bandar sampai tak peduli apa pun. Biar mak sorang-sorang terkehel-kehel kepala lutut tu nak buat itu ini. Hari raya tau-tau ja bawak balik kereta besar tayang dekat orang kampung. Lepaih tu harap orang kampung yang duk peduli urusan mak depa. Banyak cantikkk. Eee, aku geramlah."
"Lah... Hang nak geram pasai apa? Tu bukan mak hang," tukas Iyyad sambil menggeleng kepala. Sudah menjadi tabiat Syed selalu membebel panjang.
"Mau tak geram... Bila mak bapak depa dah mati mulalah pakat berdesup balik kerap-kerap sambil duk intai harta pusaka. Masa orang tua tu hidup haram tak peduli pun sakit demam depa. Kitalah yang duk ambil kesah. Apa punya anaklah macam ni," bebel Syed.
Iyyad meraup rambut ke atas. Pelan-pelan dia menoleh memandang Syed yang sudah memanjat naik duduk di belakang.
Ya, kadang itulah gambarannya tetapi tak semua. Dia malas nak jatuh hukum kepada sesiapa kerana ujian dan dugaan manusia ni tak sama. Apa yang mahu ditayangkan kepada umum kadang tak sama dengan apa yang berlaku. Husnuzon ajelah.
"Membebel macam perempuan. Nak ikut ke tak ni?"
"Ada upah tak?" Syed bertanya. Iyyad angguk. Upah tak banyak mana tapi buat ajelah asalkan poket tak kering.
"Kira on. Jom! Jom! Aku pun tengah sengkek sekarang ni."
"Jangan hegeh sangat boleh tak?" Iyyad menolak tangan Syed yang merangkul kemas pinggangnya.
"Pegang kat sini boleh tak?" Kedua-dua tangan Syed terus merayap naik ke atas. Kemas memegang leher Iyyad. Jari-jemari mula menari manja. Terliuk lentok jejaka itu menahan geli. Geram!
"Hoi! Elok-elok arh. Aku tumbuk kang!" jerkah Iyyad.
"Dah tu aku nak pegang kat mana? Sini tak boleh, sana tak boleh. Adik takut tau naik motor dengan Abang Yad. Lajuuu," ajuk Syed dengan suara manja. Gedik!
"Bila masa aku bawak laju-laju? Aku bawak slow aje. Jalan kampung ni celah mana nak laju?" balas Iyyad seraya menepis tangan Syed.
"Wow. Adik memang suka jantan slow-slow." Syed terus sidai dagu di bahu Iyyad pula.
Tawa Iyyad meletus. Geli, nyah. Geli! Payah dapat member selalu masuk air ni. Memang kena sabar banyak dan jenuh bergelak.
Kadang-kadang member macam nilah nampak sengal dan menjengkelkan tetapi percayalah dialah yang paling memahami sebenarnya.
Dialah yang paling caring dan tak berkira langsung. Kalau orang lain ada masalah dialah yang melompat ke depan dulu. Tak perlu ramai, ada seorang pun cukuplah. Gamat hidup!
"Elok-eloklah, kang kita bertiga terjun masuk bendang. Hang buat perangai macam jadah terjerit-jerit macam pondan, aku tinggal hang tepi jalan! Sumpah...Aku tinggal. Woittt, gelilah." Iyyad menepis tangan Syed yang bermain-main manja di cuping telinganya. Makin ditegur makin menjadi-jadi perangai Syed.
"Eh, bila masa adik buat macam tu?" Halus bisikan Syed menyapa cuping telinga Iyyad. Seram. Berdiri bulu romanya seiring tegaknya pokok-pokok padi yang tumbuh menghijau.
"Bodoh hang, Edd! Aku tumbuk muka hang sat gi. Hang buat perangai molek sikit. Nanti orang kampung ingat kita mengunyit atas motor. Mulut bini Abang Kri tu boleh tahan sedap mengata orang." Iyyad memberi amaran saat motosikal mereka menghampiri rumah Syukri.
"Baik, bang. Adik janji adik jaga perangai." Syed melafazkan janji seraya merangkul lebih erat pinggang Iyyad. Iyyad geleng lalu dibiarkan saja perangai mengada-ada Syed. Malas dah nak larang.
Sesekali Syed mencuit pinggang sahabatnya itu. Melelong motor jadinya. Berkali-kali juga Iyyad cuba meleraikan pelukan namun tak berjaya. Syed lagi menjadi-jadi perangai. Tiba-tiba...
PIIINNN! Kedengaran bunyi hon kuat dari belakang. Mereka berdua tersentak!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co