Bab 15
Berdetak di hati terbitnya kesal.
PELUH merintik sekitar dahi. Dia risau andai betul-betul dihumban masuk ke dalam lokap walaupun sekejap. Seumur hidup dia tak pernah impi pun nak tidur beralaskan simen lepa yang kesejukan itu. Membayangkan saja dah cukup takut apatah lagi kalau mereka betul-betul dihumban masuk ke dalam.
Iftinan fokus memandu dan Iyyad lebih selesa membuang pandangan ke luar. Melihat kepulan-kepulan awan putih yang menggebu di langit biru dan bangunan tinggi mencakar langit membuatkan perasaannya sedikit tenteram.
Suasana sepi antara mereka berdua berlanjutan sehingga hampir tiga puluh minit. Tiada tanda-tanda untuk memulakan bicara. Sesekali Iftinan mencuri pandang lelaki itu. Bukanlah niat dia untuk mengugut tetapi itulah caranya untuk memastikan Iyyad diam dan terima tawarannya tanpa banyak syarat.
Dia dah malas nak cari yang baru. Latar belakang lelaki itu menepati ciri-ciri yang dia mahukan. Lelaki macam Iyyad dirasakan mampu membantunya melonjak lebih tinggi. Asalkan lelaki itu setia dan boleh buat kerja dengan baik sudah cukup okey.
"Siapa nama kawan you yang tergedik-gedik atas motor tu?" soal Iftinan memecah kesunyian ketika mereka dalam perjalanan ke Dabura Hotel.
"Syed." Antara dengar tak dengar Iyyad melantunkan suara. Alahai, dahlah cantik malah sopan pula tu. Anak teruna siapalah ni.
"Pardon?" Iftinan sengetkan tubuh sedikit.
"Syed. Syed Taharim." Ulang Iyyad. Rasa bersalah menyelubungi diri kerana terpaksa mendedahkan identiti sahabatnya.
"Ah... Sopan aje you sebut nama dia. I tak tau pulak di kampung pun banyak gayboy. Tok imam tak ceramahkan you all ke? Gay ni berdosa. Nabi tak mengaku umat. Tak takut disambar api neraka? Nanti disebabkan dosa yang you all lakukan, habis satu kampung kena tanggung azab."
"Tak! Kami bukan macam tu. Biasalah lelaki dan lelaki bergurau. Puan dah salah faham ni." Cepat Iyyad menafikan. Kali ini nada suaranya juga masih mendatar. Bukan sebab dia menyerah kalah tapi suasana harmoni, aman dan damai menjadi keutamaan.
Iftinan tergelak.
"You berdua nampak secocok tau. Dunia penghujung zaman, semua dah tak malu tayang dosa, kan? You nampak agak berkualiti tapi sayanglah pula salah pilih jalan." Tuduhan Iftinan membuatkan pedih telinganya menerima sindiran. Ah, tak boleh jadi macam ni. Bila dia bersabar, Iftinan sengaja cari isu untuk memanaskan suasana. Dia mesti membalas.
"Kalau perempuan ajak lelaki buat maksiat terang-terang di siang hari samalah dosanya. Hancur kulit dijilat api neraka. Puan tak takut ke?"
Tawa Iftinan meletus. Boleh tahan mulut lelaki cantik ni membidas kata. Ah, apapun dia memang suka menjinakkan lelaki yang kuat mencabar. Bibir itu akan didiamkan pakai ugutan!
"Kalau I report polis pasti you dan kawan you tu tidur semalam or dua malam dalam lokap. Tapi I tak adalah kejam sangat. I takkan report apa-apa pasal you... tapi... tapi I tak janji tau pasal kawan you tu. Muka dia paling banyak terakam tadi, kan?!" lanjut Iftinan lagi. Nada suara cukup lembut tetapi sinis menggadai janji.
Iyyad yang menyilang tangan di dada hanya mampu mengetap bibir menahan sabar. Dia memang bijak manipulasi keadaan. Itulah kelebihannya.
"Kau nak apa sebenarnya? Aku dah muak dengan permainan kotor ni. Kau suruh aku jadi baik tapi kau tak sudah-sudah mengugut! Macam mana nak bekerjasama?" Iyyad sudah hilang sabar. Makin seronok lanun memijak kepalanya. Ugutan demi ugutan! Penatlah nak melayan.
"Kau? Hei, tolong hormat sikit bila bercakap dengan bos you. You all yang memulakan permainan kotor tu. I cuma nak panaskan keadaan aje supaya you sentiasa ingat dosa you tu. Macam nilah, mungkin I akan report tentang Syed! Hanya Syed seorang yang akan bertanggungjawab di atas apa yang you all dah buat." Iftinan menyambung bicaranya yang terang-terang menoktahkan kemahuannya.
Mendengar kata-kata itu membuatkan Iyyad membuang keluhan. Terasa berat bunyinya kerana terpaksa menanggung beban orang lain juga. Iyyad terus memaling wajah ke luar tingkap. Mampukah dia terus bertahan? Kalaupun dia mampu agak-agak berapa lama dia mampu bertahan? Sebulan? Setahun?
Iyyad tiada jawapan melainkan diam! Dia memang akan kalah kalau Syed diheret sekali. Tak apalah, dia akan hulur leher ini untuk Iftinan pasangkan rantai.
"I dah agak you memang kawan yang penyayang. Good. Mengugut orang yang kita sayang lebih berkesan sebenarnya. You memang sayangkan dia, kan? "
"Mak dia tak sihat. Jadi aku tak mau kau heret anak dia dalam masalah kita." Nada suara Iyyad sudah sedikit kendur bila teringatkan tentang nasib Syed Taharim.
Inilah kali pertama kali dalam hidup dia merayu depan perempuan. Arghhh. Senyuman wanita itu yang semakin lebar membuatkan hatinya benar-benar mendongkol rasa geram.
Senyap.
"I akan simpan sebagai bon jaminan selagi you ada di sebelah I. Sepanjang tempoh tu you kena setia dengan I. Jangan tikam belakang I. Apa yang you nampak dan dengar you kena simpan sebagai rahsia. Ke mana pun I pergi you kena ikut. Apa yang I suruh you kena buat dengan wajah yang manis. Jangan jadi manusia yang banyak alasan. Satu lagi jangan mengutuk bos you di belakang. Deal?"
"Ni nak cari secretary atau suami?" Iyyad terus bertanya tanpa berfikir panjang. Iftinan terus membuang ketawa. Boleh tahan perasan mamat ni.
"You bukan taste I jadi jangan risaulah. I cuma nak secretary!"
Diam. Iyyad terus mengunci bibir. Tidak lama kemudian dia kembali menyimpulkan perjanjian setelah berfikir semasak-masaknya.
"Baik, puan. Kalau itu yang puan nak, saya akan ikut saja demi kebaikan semua orang," katanya. Senyuman Iftinan terus mekar menghiasi wajahnya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co