Bab 14
Ikhlaskan pertemuan itu kerana setiap yang berlaku ada kisah di sebaliknya.
Hari kedua...
IYYAD meletakkan kepala di atas meja. Kelopak matanya terasa berat kerana semalaman tidurnya tidak lena. Wajah lanun kerap hadir mengacau keamanannya. Semuanya bagai mimpi ngeri bila dia terpaksa terima sahaja syarat yang Iftinan tetapkan.
"Kita boleh buat-buat lupakan kejadian tu asalkan you kerja dengan baik. I dah malas nak cari yang lain. Anggaplah pengorbanan ni tanda kasih sayang you untuk seorang sahabat." Kata-kata Iftinan semalam masih terngiang-ngiang dalam fikirannya. Ya, itulah yang dia akan buat. Iftinan pun pandai manipulasi peluang yang ada di depan matanya.
Hari kedua di sini bagai terpenjara menanti hukuman untuknya. Apa yang patut dia buat sekarang? Kalau nak terus bekerja juga mesti kedua-dua berdamai. Masalahnya sanggupkah lanun sambut salam berdamai?
Perempuan gila tu tampak cukup gembira dapat kenakannya. Dia mungkin selamat sekarang tapi bukan untuk selamanya. Andai suatu hari dia tersilap langkah pasti susah jadinya. Arghhh... Inilah malang tak berbau. Tak habis-habis nak menempel dengannya.
"Hei. Jom ikut I pergi hotel," ajak Iftinan tergesa-gesa keluar dari biliknya. Iyyad lekas bangun dan membetulkan kedutan kemejanya. Terkebil-kebil mendengar permintaan tak masuk akal itu.
"Hotel? Bu... bu... buat apa nak pergi sana?" Terbata-bata suaranya. Riak wajah terus berubah pucat apabila ada perempuan sewel ajak ke hotel. Siapalah yang tak cuak? Dia masih teruna. Dia masih ingat dosa pahala dan halal haram.
"You rasa kalau seorang wanita cantik macam I ajak lelaki berhalkum tajam ke hotel untuk apa?" Soalan dibalas soalan. Ini yang paling jadah sebenarnya. Tiada jawapan penyelesaian.
Iyyad tidak berganjak. Terkaku berdiri di situ memikirkan segala kemungkinan. Tanpa sedar dia meraba halkum sendiri. Gulp!
"I tak suka buang masa. Jom!" usik Iftinan dengan melayang flying kiss pada orang barunya itu. Mmmuah! Terus wajah itu pucat lesi. Gila!
"Jomlah kita buat first project kita berdua di sana. Mesti best!" katanya terus menarik tali leher Iyyad. Terkulat-kulat jejaka itu mengikut tanpa sepatah kata. Sikit lagi nak tercekik dan tersembam ke depan.
Sesungguhnya dia masih blur tapi dia belum nak gila. Musibat apakah ini? Apalah dosa dia sehingga dipertemukan dengan perempuan yang sudah hilang kewarasan dan perasaan malu.
Terus hidupnya yang tenang-tenang sebelum ini sudah jadi haru-biru. Sekelip mata semuanya tunggang, terbalik dan tergandah!
Sreeet! Kakinya terus menekan brek kecemasan. Tapak kasut yang masih baru hebat mencengkam lantai simen.
"Puan, kejap! Tengah confuse ni. Apa tugas saya yang sebenarnya? Saya kena buat apa?" Iyyad menghentikan langkah. Mereka berada betul-betul di tengah-tengah petak parking kereta yang kosong.
"I bos you and you secretary I lah!"
"Dah tu... kenapa ajak buat yang pelik-pelik ni? Puan ajak saya buat dosa ke? Astaghfirullah. Saya tak boleh kerja kat sini. Tak boleh! Puan carilah orang lain untuk buat kerja terkutuk tu." Laju Iyyad menepis tangan bos daripada terus memaut tali lehernya.
"It's up to you! You memang berhajat nak bermalam di lokap ke? You dah lupa kesalahan you kat I?" lanjut Iftinan berbaur ugutan. Roman wajah Iyyad terus berubah. Balik-balik hanya itu modal yang dipertaruhkan.
"Ugh... Kau ingat aku takut? Kalau ikut undang-undang kau pun salah tau! Kereta kau langgar motor aku dulu. Perkara tu takkan terjadi kalau kau tak mula dulu." Iyyad tidak berganjak. Dengan angkuh dia mempertahankan maruah diri. Sabarnya sudah menipis apabila berhadapan dengan perangai wanita itu.
"Ooo... Dah pandai menjawab. Lagi banyak you cakap lagi you nampak takut. You nak masuk lokap atau pergi hotel dengan I?" tekan Iftinan sekali lagi.
Senyap.
Iyyad ketap bibir menahan geram. Wanita jenis apa yang langsung tak ada rasa malu walaupun sekelumit? Semudah itu ajak lelaki yang baru dikenali ke hotel? Jauhi dia, Iyyad. Jauhi! Terus Iyyad geleng kepala. Dia tolak mentah-mentah. Harga diri lebih penting. Maruah bukan boleh dijual beli sesuka hati.
"I tau apa you buat malam tu. Macam yang I dah cakap I akan lupakan semuanya kalau you kerja dengan I. Buat kerja betul-betul supaya dapat balas budi baik I. Kalau I puas hati dengan prestasi you, segala bukti I akan padam. You dan kekasih hati you yang atas besar punggung kecil tu akan selamat." Tawarannya membuatkan bulu roma Iyyad kembali tegak berdiri.
Persis bisikan hantu yang bangkit dari kubur untuk membalas dendam. Hantu yang dahagakan kasih sayang seorang teruna. Dari cerita seram sudah bertukar jadi kisah dendam.
"Bu... buk... bukti apa?" Kalut Iyyad menyoal. Sekali lagi roman wajahnya berubah. Dari riak wajah wanita itu, Iyyad tahu Iftinan tak cakap kosong.
Iftinan tersenyum nakal sebelum menendang sesuatu. Terbuntang mata Iyyad. Jelas terpancar di matanya sedang meraikan kemenangan keduanya. Dua kosong!
Wanita itu melangkah lebar menghampiri Iyyad. Dia mengeluarkan sesuatu dari beg tangannya lalu ditunjukkan kepada lelaki itu.
"Actually kereta I ada internal battery. Sekarang ni kamera dengan resolusi 1080p berlambak di pasaran. Ops, I terlupa yang you pakai motor cabuk aje. Manalah you tau pasal ni, kan? Hurm, I saja tak tunjuk dekat you kelmarin. Takut you terkejut lagi dan terus pendek umur. Selama ni tersimpan aje dalam handphone ni. I aje yang tengok sambil menyumpah-nyumpah dua ekor biawak ni. Abang-abang polis belum tengok lagi. Patut ke I tunjuk atau I upload saja ke medsos? Biar netizen yang buat selebihnya?" Ugutan Iftinan disusuli bukti di tangannya.
Huk! Huk! Iyyad terbatuk-batuk. Tiba-tiba air liur terasa seperti getah skrap. Tidak tertelan selepas melihat bukti di depan mata. Iyyad ketap bibir .
Malang sungguh nasibnya. Kali ini dia sendiri yang terperangkap atas khilaf sendiri. Terperangkap! Macam manalah mereka berdua boleh tak sedar pasal dashcam tu?
"I lanun atau you all yang berperangai macam lanun sebenarnya? Uncivilized!" Sengaja Iftinan terus membakar hati lelaki itu. Iyyad tahu dia sudah terperangkap dan tiada guna berdalih. Terima saja tawaran Iftinan. Harung dan hadap sajalah.
"Itulah siapa suruh 'cerdik' sangat? Masuk!" arah Iftinan. Tiada pilihan melainkan terpaksa. Lambat-lambat Iyyad melangkah masuk.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co