Bab 1
"All call signs!"
"I am your commander, I have control."
"Setiap komander dan operator, sila lapor diri dengan double click pada kedudukan masing-masing!"
Arahan dari Ground Commander, DSP Sallehuddin dipatuhi segera.
Click! Click!
Kedengaran bunyi klik dua kali ditekan pada walkie-talkie oleh assault commander, jetski commander dan sniper commander dengan jelas di corong RMP Net Base di bilik gerakan sementara VAT 69 di Pelabuhan Kuantan. Sebagai komander pasukan penggempur yang akan mendekati MV Orchid dengan bot Measat, Irvan aka Hero harus bertindak pantas seiring dengan pasukan dummy atau penyamar iaitu sniper yang berada dalam 4 buah helikopter dan 5 buah jet ski. Dua pasukan ini akan mengelirukan musuh dan pada masa yang sama menembak musuh yang perasan atau cuba menghalang pasukan penggempur daripada mendekati kapal tangki minyak.
"Sniper! Ready?"pertanyaan daripada DSP Sallehuddin.
"Sierra 1 ready, Oscar Bravo!"
"Sierra 2 ready!"
"Sierra 3 ready!"
"Sierra 4 ready!"
Tertegun sejenak Hero mendengar suara dari Sierra 4. Bukan semasa taklimat tadi sniper Sierra 4 ialah Sarjan Mejar Muthu Ramaiah aka Kerambit? Kenapa ini suara orang lain?
"Ready!"
Para operator senyap. Memberi sepenuh tumpuan kepada arahan selanjutnya. Bersedia untuk menggempur.
Five! Four! Tree! Two! One! Zero!
Kesemua pasukan pantas bertindak!
Dum! Dum! Dum!
Beberapa tembakan dilepaskan oleh lanun ke arah helikopter Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PGU) yang membawa sniper dari VAT 69. Pilot PGU sangat terkenal dengan kemahiran tertinggi dalam melakukan aksi penerbangan yang boleh membekukan jantung sesiapa yang melihat. Kecekapan mereka mengacah dan melayang di atas MV Orchid sangat meresahkan lanun-lanun. Pergerakan helikopter yang lincah berjaya mengalih perhatian musuh daripada menyedari kumpulan penggempur yang diketuai oleh Hero menghampiri dan menaiki kapal tanpa disedari. Didahului oleh Hamzah aka Rhino sebagai front cover memanjat tangga bertali dengan laju. Dengan pergerakan taktikal yang sangat senyap tetapi pantas di bahagian buritan kanan kapal. Segala tindakan dilaporkan kepada Hero dan arahan diberi oleh Hero melalui voiceducer. Semuanya itu dapat didengar dengan jelas oleh setiap komander dan operator. Mereka berjaya menyusup masuk dalam masa yang singkat.
Berpakaian penggempur berwarna hitam yang dilengkapi dengan assault helmet, voiceducer di telinga, cermin mata lut sinar yang dapat melihat pada waktu malam, balaclavar, armoured vest, sarung tangan kulit. Senjata M4 lengkap dengan aim-point dan touch light diselempangkan di badan. Berserta side arm, Walther 99, VAT 69 melangkah penuh hati-hati seperti kucing menghendap burung.
Selat Melaka...
Ops Orang Minyak:
Ground Commander : DSP Sallehuddin / Oscar Bravo
Assault Commander : Inspektor Irvan / Hero
Sniper Commander : Asp Junaidi / Barrel
Jetski Commander : Asp Benkok / Spear
LIMA belas lanun lengkap bersenjata. 25 anak kapal dijadikan tebusan. Kapten dan 8 anak kapal cedera. Senarai nama dan latar belakang setiap tebusan diteliti oleh DSP Sallehuddin dan pasukannya. Irvan menggunakan sepenuhnya kebolehannya mengecam dan mengimbas segala maklumat dengan pantas. Setiap gambar kapal yang diambil dari udara oleh pesawat TUDM dan TLDM dianalisisnya dengan teliti. MV Orchid walau sudah diubah suai dan diberi nama baharu, MV Orc tetapi hasil siasatan dan risikan, bentuk dan modelnya masih dikenali berdasarkan beberapa kriteria tertentu dalam rupa bentuknya. Kapal tangki yang membawa minyak berlepas dari Melaka dan sepatutnya tiba di Pelabuhan Kuantan tiba-tiba lesap selama 3 hari. Daripada kelajuan 10 knot turun mendadak ke 0.01 knot memberi pertunjuk, MV Orchid dirampas di tengah perjalanan. Dan kemungkinan besar segala isi minyaknya dipindahkan ke dalam kapal tangki yang lain untuk dijual dalam pasaran gelap. Mereka yang disyaki melakukannya adalah orang dalam syarikat perkapalan itu sendiri yang bersekongkol dengan lanun.
Kedudukan MV Orchid berjaya dikesan dengan bantuan tiga buah pesawat milik TUDM dan TLDM yang melakukan operasi SAR di Laut China Selatan dengan terbang pada ketinggian 1000 – 5000 kaki dari paras laut.
Menyedari yang mereka sudah dikesan, para lanun membuat beberapa tuntutan. Mereka akan bebaskan tebusan tetapi dengan syarat, mereka dilepaskan berserta kapal dan isinya. Daripada pengalaman pihak keselamatan, lanun kali ini adalah spesies yang sangat bahaya dan berhati kering. Kapten dan kru kapal telah dicederakan, tidak mustahil mereka akan dibunuh.
Menyelamatkan tebusan di dalam sebuah kapal tangki minyak bukan mudah. Ini bukan video game yang boleh di-reset dan main semula. Bukan boleh main serbu macam itu sahaja. Nyawa tebusan lebih diutamakan daripada kapal dan isinya. Salah atur gerak, tebusan boleh maut, kapal tangki boleh meletup dan lanun boleh terlepas. Kena pula lautan dalam yang harus diharungi bukan sebesar longkang belakang rumah dan tugas VAT 69, selamatkan anak kapal, hapuskan lanun, dan neutralkan keadaan ketika wakil daripada pihak keselamatan dan lanun berbincang.
Entah dari mana muncul seorang lanun di pintu masuk yang sepatutnya dilalui oleh mereka. Rhino dengan pantas menarik picu M4 memuntahkan peluru menembusi leher dan dada lanun tersebut. Silencer atau alat penyenyap berjaya mengelakkan sebarang bunyi yang boleh mencurigakan lanun-lanun lain yang masih sibuk menembak helikopter di atas. Hero dan yang lain membuat pertahanan kiri, kanan dan belakang. Semuanya berlaku dengan pantas.
"Good job, bro..." ucap Hero kepada Rhino.
Kumpulan bergerak ke hadapan.
Dum! Dum! Dum! Tembakan daripada musuh di bahagian kanan dari bilik kru kapal kedengaran. Malek aka Volcano rebah! Penyusupan mereka telah dikesan!
"Tango right! Move right! Move right! Rhino cover!" Hero pantas memberi arahan. VAT 69 dengan lincah mengambil posisi masing-masing dan berbalas tembakan dengan lanun-lanun. Tembakan tepat, berjaya menewaskan musuh! Hero terus mengarahkan pasukannya menggeledah, mencari dan menyelamatkan tebusan.
Pada masa yang sama, Hero meminta bantuan DSP Sallehuddin.
"Oscar Bravo. One man down. Level one. Room number two. Support." Hero melutut memeriksa kecederaan Volcano sepintas lalu. Volcano terbaring dengan tangan menekan sebelah perut kiri. Kelihatan basah sarung tangannya.
"Jauh dari kepala, bro. Kau selamat," ucap Hero tenang. Nada yang disengajakan untuk mengelak daripada kepanikan operator yang tercedera dan yang lain. Volcano terseringai sambil menahan kesakitan yang semakin ngilu.
"Sempat lagi kau buat lawak, bro? Adoi...."
Mereka berbalas senyum dengan peluh menitik melalui celah balaclavar di bahagian dagu. Seorang VAT 69 perlu berfikir dengan pantas dalam apa juga keadaan untuk hidup. Ketenangan di dalam membuat keputusan boleh menyelamatkan diri dan pasukan lebih-lebih lagi bila berperanan sebagai ketua. Itu pesan jurulatih ketika dalam latihan asas dulu. Kebijaksanaan keputusan akan menentukan hidup atau mati orang di bawahnya.
Field dressing atau bandage berubat yang diselitkan di celah poket sebelah kiri 'armour vest' Volcano ditarik keluar. Hero menyuruh Volcano menekan field dressing itu untuk membuat tekanan atas luka bagi mengelakkan berlaku pendarahan yang lebih banyak.
Setelah dua orang anggota penyokong VAT 69 datang membantu dan memberi rawatan selanjutnya kepada Volcano, Hero menepuk bahu anak buahnya.
"Okey bro. Aku gerak dulu."
Volcano mengangkat ibu jarinya.
Hero segera bercantum dengan kumpulannya.
"Level one clear," lapor Hero kepada DSP Sallehuddin.
VAT 69 berhati-hati memanjat tangga menuju ke aras 2. Dengan formasi single line, pertahanan kiri dan kanan bergerak dengan pantas dari satu bilik ke satu bilik. Sentiasa siap siaga untuk membidik. Masing-masing basah lencun. Harapan tinggi di bahu mereka mesti dilaksanakan. Apa ada dengan baju yang basah? Misi perlu diutamakan. Musuh mesti ditumpaskan.
Sewaktu Rhino hendak membelok ke sebelah kanan bilik, tiba-tiba dia tercampak ke dinding dengan kuat! Rhino terjelepok bagai sayur buruk. Hero pantas memetik picu M4. Seorang lanun rebah di situ juga.
Kejadian berlaku sekelip mata. Baru terasa kesakitan yang tidak dapat digambarkan menjalar ke seluruh urat sendi. Rhino lemas dengan tarikan nafas yang mula sesak. Ketika itulah ekor matanya dapat melihat kelibat lanun menyerbu ke arahnya dengan wajah yang bengis berserta jeritan yang bergaung. Rhino cuba bangun melawan tetapi dia terlalu lemah. Ayunan pertama dari sebilah parang panjang dapat dielak oleh Rhino. Percubaan tetakan kedua berjaya ditumpaskan dengan satu terajang padu daripada Hero mengenai tangan si lanun. Dengan double tap, picu diramas. Lanun jatuh terhempap ke atas Rhino. Humph! Rhino yang sudah sedia lemas, semakin lemas!
Sempat lagi Hero tersenyum geli hati melihat keadaan Rhino yang tersepit begitu. Kecil sungguh hati Rhino. Ketuanya yang sangat berhati batu akik! Bukannya hendak tolong angkat mayat lanun yang menghimpitnya.
"Oscar Bravo. One man down. Level two. Room number one. Support!"
Hero mengarahkan Ishak aka Falcon membantu Rhino sambil menunggu bantuan.
"Jangan duk main kalbu sangat, bro. Jauh dari perut. Nanti kita pekena teh tarik power bila selesai. Aku gerak dulu. Tapi mesti janji dengan aku, kau masih hidup."
Adoi la! Kata-kata semangat yang langsung tidak memberi semangat. Rhino mengetap bibir menahan kesakitan. Luka tembakan mujur jauh dari perut!
Setiap tingkat dan bilik kapal diperiksa rapi.
"Clear sir!"
Stack leader memberi laporan kepada Hero.
"Dominate sir!"
Lapor kesemua stack leader bila kesemua tingkat dan bilik disahkan negatif.
"Five tango dead. Hostages safe. Two operators injured. Team okay."
"Oscar Bravo! We are covering!"
Laporan akhir Irvan kepada DSP Sallehuddin.
"Good job my boys!"
Nafas penuh kelegaan ditarik oleh DSP Sallehuddin.
Dalam 30 minit, keseluruhan kapal berjaya dirampas semula oleh 69 Komando! Mana-mana musuh yang cuba melarikan diri dengan bot penyelamat digagalkan dengan suluhan lampu dari helikopter dengan sniper yang mengarahkan muncung AX 308 ke kepala mereka. Belum lagi kumpulan sniper yang bersiap menunggu dengan jet ski di bawah. Segala pergerakan lanun berjaya dineutralkan. Tebusan berjaya diselamatkan.
MV Orchid belayar masuk ke Pelabuhan Kuantan dengan diiringi 4 buah helikopter, 5 buah jet ski, 4 buah bot Measat, 3 buah bot daripada polis marin, 3 buah bot dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), dua buah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia dan dua buah jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Sebaik sahaja masuk ke dermaga, pasukan kedua dari unit lain Polis Diraja Malaysia pula masuk ke dalam kapal untuk final clearance. Pihak lanun diserahkan kepada unit seterusnya untuk menguruskan segala urusan yang berkaitan. Topeng muka ditarik ke dagu dan sarung tangan dicabut. Peluh di badan yang bagaikan mandi tidak sebanding dengan perasaan lega yang teramat bila tugasan berjaya dibereskan dengan cemerlang. Bertambah lega bila mengetahui Volcano dan Rhino sudah berada di hospital dan selamat. Beban yang tergalas di bahu sudah hilang. Ringan kepala!
Hero mendongak bila kedengaran deru kipas helikopter di atas kepalanya. Beberapa buah helikopter melakukan berbagai-bagai aksi berterbangan yang cantik di atas pelabuhan. Ketika itu salah seorang daripada sniper 69 yang sedang duduk di muka pintu salah sebuah helikopter mengangkat AX 308 dan menenangkannya ke arah Hero.
Hero hanya memerhati dengan tenang. Dan ketenangan Hero diperhati melalui teropong sniper berkenaan dengan geram. Sniper itu kemudiannya mengangkat jari telunjuk dan jari tengahnya. Menabik Hero dengan sinis. Helikopter terus melayang kembali ke pangkalan.
Sierra 4!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co