Truyen3h.Co

The One (Yang Terunggul)

Bab 2

karyaseni2u

Khas, Ulu Kinta, Ipoh. Bilik mes pegawai bujang dimasuki oleh Irvan dengan lemah longlai. Nampak katil sahaja. Selesai mandi dan membersihkan diri, Irvan merebahkan diri ke atas katil. Terlalu penat. Hendak kelip mata pun tidak larat. Mengantuk. Tadi pun Irvan sudah beberapa kali tersengguk-sengguk dalam MPV VAT 69 menuju ke Ulu Kinta. Sentuh bantal sahaja, Irvan terus lena ghaib.

Beberapa minit kemudian, mata terbuka dengan sendirinya. Walau cuba dipejamkan semula tetapi ia tetap berkelip-kelip. Irvan memegang jantungnya. Kenapa berdebar? Kerana tenangan teropong sniper tadikah? Bukan. Terlalu letih? Bukan. Ada yang tidak beres semasa operasi tadi? Bukan. Seperti ada yang tertinggal. Apa ya? Botol-botol pasir koleksi Irvan di atas rak buku dipandangnya. Lama. Ada sesuatu di situ. Ia mengingatkannya kepada seseorang. Allah Tuhan! Maryam!

Irvan segera melompat dari katil. Kelam-kabut memakai seluar, mencapai dompet, kunci Storm dan telefon bimbit. T-shirt berkolar disauk, dibutangkan sambil berlari ke arah Storm.

Beberapa kali nombor Maryam didail tetapi suara operator yang menjawab.

"This is the mailbox for number 012 9444 3666. Please leave your message after the tone."

Tidak tahu kenapa operator ini sangat bencikan Irvan!

Anjung Tinjau Kuala Lumpur International Airport...

"DATANG sini untuk ni je?"

"Tengok dan bersiar-siar. Ronda satu KLIA ni boleh makan masa satu hari."

Jawapan Irvan mendiamkan Maryam sekejap. Riak tidak puas hati tetapi tidak tahu bagaimana mahu dizahirkan.

"Insya-Allah, ada rezeki, abang bawa adik terbang. Buat masa ni, enjoy yang ni dulu."

"Apa yang nak enjoynya?"

Faham dengan kebisuan Maryam, Irvan cuba memujuk. Tetapi dibalas dengan jawapan yang penuh berasid pula.

"Penat abang drive dari Kota Bharu, naik banjaran Titiwangsa, pergi Ipoh, masuk Ulu Kinta, langsung ke Selangor dan KLIA. Rentas berapa buah negeri tu, takkan adik tak rasa terharu sikit pun dengan pengorbanan abang?"

Peka dengan nada suara Irvan. Deraman pula kesot hati tapi kenapa tak cakap betul-betul? Tadi sebut nak pergi KLIA, fikir Maryam nak terbang ke mana. Aku dah kegembiraan yang melampau tadi! Sepanjang melalui perjalanan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), aku tak berhenti-henti berceloteh. Dipelawa oleh Abang One berhenti sekejap kat Rehat dan Rawat (RNR) pun tak mahu kerana takut terlepas kapal terbang... tapi ini saja rupanya. Tengok kapal terbang naik turun! Baik tengok kat Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pangkalan Chepa. Lagi thrill. Boleh nampak perut kapal terbang sebesar-besarnya terbang atas kepala!

Sama-sama diam di bangku. Merenung jauh ke hadapan.

"Jom la balik." Irvan sudah angkat punggung dan pusing. Jari-jemarinya dipaut lembut oleh Maryam.

"Mohon ampun."

Kaku sekejap Irvan. Wajahnya dipalingkan ke belakang sedikit menunduk melihat Maryam yang sedang mendongak memandangnya.

"Maafkan adik, ya abang...." Mata terkerdip-kerdip memohon. Maryam yang segera meminta maaf jika ada perselisihan di antara mereka. Maryam yang sentiasa mengalah walaupun Irvan yang salah. Sikap murni Maryam yang selalu membuat Irvan tewas.

Irvan sedikit mengeluh. Kembali duduk di sisi Maryam.

"Ini saja yang abang mampu."

"Tak apa la... ada rezeki nanti, kita terbang sama-sama."

"Maafkan abang...."

"Maafkan adik?"

Saling berbalas senyum.

"Cuti abang banyak. Yang terkumpul sampai burn pun ada. Kalau ada peluang, abang akan rancang satu percutian untuk kita berdua. Bila tu, tak tau... tapi abang janji akan ada dan kita akan terbang bersama."

"Ini pun dah kira cuti tapi sangat kelakar... kita berada di KLIA jam sebelas malam."

Sunyi sepi. Hanya beberapa penumpang yang transit atau sedang menunggu penerbangan yang kosong (stand-by) tidur atas bangku.

"Nak terbang sekarang pun boleh," ajak Irvan.

"Camna?" Mata Maryam mula berkilau. Teruja.

Irvan sudah berjalan ke troli yang berhampiran. Dua buah beg diangkat perlahan dari troli langsung diletak ke atas lantai. Tuannya yang sedang enak berdengkur tidak sedar apa.

Terbesar sekejap biji mata Maryam. Kemudian bibirnya diherotkan ke tepi sambil menahan tawa.

'Abang... kenapa ambil troli orang?' Patah kata tanpa bunyi keluar dari bibirnya sambil tangan menunjuk kepada lelaki yang sedang nyenyak.

'Pinjam...' Irvan membalas dengan gaya yang sama. Terus mendekati Maryam.

'Naik!' Perintahnya tanpa bunyi.

Mujur Maryam faham gerak bibir Irvan. Berkerut kening Maryam, tidak arif dengan kelakuan pelik Irvan.

"Naik la lekas. Duduk bersila. Kata nak terbang, kan?" Baru keluar bunyi daripada Irvan tetapi dengan nada berbisik.

Keras rahang Maryam menahan tawa. Hati-hati dia bersila di atas troli. Walaupun agak sakit punggungnya terkena besi troli tetapi ditahannya. Keterujaan hendak terbang dengan cara Irvan menyebabkan dia tidak peduli apa lagi.

Irvan menujah kaki kanannya ke belakang, troli tertolak laju. Maryam terjerit halus. Sekitar anjung tinjau ini menjadi tempat Irvan bermain dengan Maryam. Sesekali ketawa mereka berdua meletus dan Maryam pantas menekup mulutnya. Irvan sangat cekap dalam mengendalikan troli yang memerlukan kebolehan dan kegagahan manual untuk menggerakkannya dengan kelajuan yang maksima. Gaya macam dah biasa buat kerja mencilok camni!

Keasyikan mereka terganggu dengan kedatangan dua orang polis bantuan.

"Kelakuan cik berdua dilihat dalam CCTV dan kami minta cik berhenti bermain di sini. Sila pulangkan troli kepada tuan empunya," tegur salah seorang daripada mereka.

"Maaf, encik. Saya pulangkan sekarang." Irvan mengangkat tangan dan menolak troli ke arah lelaki yang masih tetap nyenyak.

"Sesekali kalau abang jadi bad boy, seronok juga..." bisik Maryam, tetap menahan tawa sehingga menggigil badannya.

"Nayyy... I am Mr.Nice Guy! Hero is my middle name."

"And what is your first name, my jari – tunjuk – langit hero?" nada suara Maryam penuh mengejek.

"One. The one! Yang terunggul. The man is my surname. Lelaki sejati," jawab Irvan. Sedikit pun tak kalis dengan sinis Maryam.

"Allah Tuhan! Abang sangat bongkak. Segala gelaran di bumi dan di langit mahu dikautnya!"

"Abang telah dilatih mesti jadi yang terbaik. Top of the notch. Dalam dunia abang, orang merajuk, patah hati, main kalbu... tak dilayan. Tak ada siapa nak ambil peduli. Nak terus kekal dalam 69, kena sentiasa fit dan perform. Hal peribadi dan kerja jangan dicampur aduk. Kerja is kerja. Benda lain tolak tepi. Leka dan lalai sesaat, nyawa boleh melayang."

"Dah jadi macam mesin. Bak kata Haziq, 69 is a killing machine."

"Itu kalau bab kerja, kalau bab hati perasaan, 69 is a lover... not a fighter."

"Oh hoi! Tolong!"

Irvan tertawa dengan reaksi meluat Maryam. Mereka kembali melabuhkan punggung di bangku tadi. Nada dering telefon bimbit Irvan mendiamkan mereka.

"Saya datang sekarang. Roger."

Irvan berpaling kepada Maryam.

"Abang ke Bukit Aman sekejap. Adik tunggu abang di sini. Jangan ke mana-mana. Duduk je sini. Faham?"

Maryam mengangguk.

"Kalau sesiapa ajak ke mana-mana atau nak bawa ke mana-mana, adik jangan ikut. Faham?"

Angguk lagi. Dahi Maryam dikucup pantas. Langkah tangkas Irvan diperhati oleh Maryam sehingga hilang dari mata.


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co