Bab 7
"ESOK pagi kita balik."
Kata putus Irvan yang sia-sia sahaja hendak dibantah oleh Maryam. Dua minggu bersama suami, tweet! Dua belas hari sahaja. Mana puas? Tetapi perangai Irvan sudah dikenali Maryam. Pujuk rayu, ugut marah macam mana sekalipun, kalau dah dia kata hitam, hitam la. Kalau putih, putih la. Itu sahaja warna pilihan Irvan. Warna lain semua dia tidak kenal. Buta warna!
"Jom!" semawa Irvan.
Maryam mengangkat kepala. Irvan menariknya dari sofa.
"Abang bawa jalan ke kem."
Kem lagi? Apa yang menarik di sana? Malam tu dah pergi.
"Siang tak sama dengan malam, lebih-lebih lagi lepas subuh gini. Suasana yang berbeza," lobi Irvan bila melihat Maryam diam dalam Beetle.
"Hari tu ajak masuk kem tak nak sebab kerja siang. Hari ni boleh pulak?"
"Hari ni, kan cuti."
Pertanyaan yang berbau bunga-bunga pertengkaran.
"Tak payah masak. Mana stok yang tak habis bagi Kak Safi. Malam ni, abang nak bawa adik pergi Gerbang Malam. Kat situ ada popia S S Ali yang terbaik di dunia. Lepas tu kita pergi taman bunga. Kita jalan-jalan seluruh Ipoh dari pagi hingga ke malam."
"Adik tak pernah merangkak lagi selepas umur setahun."
Asidnya! Marah yang dipendam. Dibalas dengan suara yang tenang dan lembut. Faham sangat nada tidak puas hati Maryam. Tetapi mana boleh duduk lama-lama di sini. Setakat ini masih terselamat lagi, lain kali mungkin sudah tidak selamat. Baik beringat sebelum terkena!
"Nanti lain kali datang lagi."
"Bila lain kalinya? Peluang hanya datang sekali."
Baik kau diam, Irvan! Bab nak mengayat memang kau kalah la.
"Ini markas 69 Komando. Dalam tu ibu pejabat 69, pejabat komander, pejabat pentadbiran dan pengurusan. Ini bukit Giant. 69 ditugaskan membuat logo PDRM di tebing bukit ini."
Mata Maryam yang layu mula hidup. Memerhati lambang gergasi PDRM yang gagah melekap di lereng bukit.
"Ini tasik buaya."
Setiap jalan yang dilalui dan apa yang dilihat, dicerita oleh Irvan. Mata Maryam semakin hidup bila Irvan menyebut mengenai lebah.
"Pada awal Oktober 1969, seramai tiga ribu pegawai dan anggota yang baru tamat latihan polis hadir di Ulu Kinta untuk upacara perbarisan tamat latihan. Kumpulan ini digelar Skuad 69 kerana mereka menyertai polis dalam tahun 1969. Semasa perbarisan tamat latihan tersebut yang disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamed Salleh Ismail, sekumpulan lebah terbang melalui kawasan tersebut seolah-olah membuat lintas hormat sehingga cuaca yang cerah menjadi redup."
"Lebah ada kaitan dengan 69 Komando?" tanya Maryam girang.
"Tak tau nak kata tapi ada yang percaya kejadian itu bukan kebetulan. Ia tanda awal kehebatan 69. Diam seperti lebah tapi sangat berbisa."
Lebah dan 69? Maryam dan Irvan? Aku dan Abang One?! Hoo rattt!
"Masa tu 69 dah ditubuhkan ke?" Maryam semakin teruja.
"Dalam proses. Pada 23 Oktober 1969, dua ratus orang anggota pangkat rendah Pasukan Polis Hutan atau pasukan pemuda handsome melapor diri secara sukarela untuk pemilihan awal."
"Pasukan pemuda handsome? Kalau tak angkat diri tak boleh ke?"
"Siapa lagi nak angkat kalau bukan kami? Zaman sekarang, kena tekan lif naik sendiri."
Keras rahang Maryam menahan tawa dengan seloroh Irvan. Lif adalah kegilaan Irvan yang terkini.
"Tuan Navaratnam ketua jurulatih ketika itu. Itu pun hanya lima puluh empat orang yang lulus. Dilatih oleh Rejimen 22nd SAS (Special Air Service) di Fort Kemar yang dikenali selepas itu Major Clive Fair Wealther, Warrant Officer Co, Staff Sergeant Tough Springles, Sergeant Nick Bower, Sergeant Drank dan Sergeant Nobi."
Irvan memalingkan mukanya kepada Maryam. Mudah sahaja hendak tarik perhatian Maryam sebenarnya. Sembang bab ilmu dan pengetahuan, matanya pasti berkilau.
"Ya abang... tengok depan." Maryam cemas, pantas mencucuk jari telunjuknya ke bahu Irvan.
"Adoi!" Irvan keriau. Tidak sakit pun sebenarnya, tetapi mengada-ada. Manja!
Cemas pula Maryam dengan jeritan Irvan. Bahu Irvan segera diusap lembut sambil memohon maaf berkali-kali. Irvan tertawa kecil. Maryam agak mendengus. Kena tipu rupanya! Tangannya dilekap ke atas paha Irvan. Jari-jemarinya mencengkam manja paha Irvan. Irvan hanya tertawa. Seronok! Maryam menggosok lembut paha dan mengusik perut Irvan.
"Janganlah adik... geli..."
"Biarlah... suka sangat main-main bawa kereta. Bukan nak tengok depan. Tangan kat sini senang. Abang cuai je, adik cengkam paha abang kuat-kuat."
"Jangan la... hari tu cengkam sampai terbenam kuku adik. Walaupun pakai jean, tangan adik boleh tahan kuat. Lebam tau."
"Biarlah... baik cengkam dari siku lipat. Abang pilih yang mana?"
"Woiii... bahaya betul. Abang tengah bawa kereta, adik nak siku?"
"Maka, tengok depan. Jangan pandang-pandang adik."
"Ya la, adik... tapi adik nak apakan abang, abang rela."
"Gelenyar weiii 69 nih."
Mereka tertawa riang. Beetle terus meluncur di atas jalan pada pagi Sabtu yang sunyi. Mereka sampai atas puncak bukit. Tersergam sebuah banglo indah.
"Ini rumah komander."
"Betul-betul atas puncak bukit."
Irvan menghentikan Beetle dan keluar dari kereta. Maryam turut sama keluar dengan agak kehairanan. Melihat aksi Irvan yang memandang sekeliling dengan pandangan yang dilemparkan sejauh yang mungkin menyebabkan Maryam turut menikmati keindahan alam. Atas puncak, keadaan yang menghijau, dipagari bukit bukau yang masih berkabus, tersergam teguh, landskap alam....
"Kenapa abang suka Ulu Kinta?" soal Irvan kepada Maryam.
"Kenapa?" soal Maryam kembali.
"Tengoklah... hijau, tenang, segar...."
"Lebih suka sini dari Pulau Melaka?"
"Suka sini sebab ketenangan dan semangatnya, suka Pulau Melaka sebab adik."
"Kenapa sini?"
"Di sini tempat abang dibentuk menjadi lelaki sejati, diajar untuk menghormati setiap benda walaupun bukan yang bernyawa kerana ia ada semangatnya tersendiri, makan dan minum hanya untuk memberi tenaga, bukan mengisi tembolok sepenuh-penuhnya. Jika ration habis, cukuplah pucuk kayu mengalas perut, air embun sebagai penghilang dahaga. Tak pernah lagi kami mengambil tanaman yang ditanam oleh orang asli, mencuri ikan atau ternakan yang dibela mereka. Dengan alam juga kami dididik berlemah lembut. Bila melangkah, kalau boleh jangan ada ranting yang patah atau daun yang gugur. Jangan buat kotor dalam hutan. Bawa keluar semula sisa bahan lupus walau sampah hanya pembalut gula-gula. Dalam hutan, kita berkongsi dengan alam dan makhluk lain, yang nampak tak nampak. Kena saling memahami dan berbagi. Kami dilatih menguasai ruang udara, darat, hutan, bandar, sungai, laut, tasik, paya dan lombong. Sebolehnya, selagi bumi boleh diteroka, lautan boleh diselami, langit boleh ditembusi, kami akan maju. Tiada perkataan mustahil dalam perjuangan kami. Langit pun bukan batas."
Meremang bulu roma Maryam dengan patah-patah kata Irvan. Semangat 69 Komando seakan menyusuri setiap urat darahnya.
"Warisan darah perwira, itu moto kami. Adik tau tak, selama perjuangan kami, tiada seorang pun 69 yang pernah ditawan oleh pihak musuh. Setiap operasi yang kami jalankan sentiasa berakhir dengan kejayaan. Kami pernah menawan komunis seramai seratus tujuh puluh sembilan orang hidup-hidup tanpa sebarang kecederaan di pihak kami pada tahun 1975. 69 Komando juga telah berjaya merampas semula kapal MV Natris yang ditukar nama kepada MV Paulijing dan dibawa pulang ke Malaysia pada tahun 2005. Seramai lima pegawai kanan dan tiga puluh dua pegawai rendah 69 terlibat dalam operasi yang dinamakan Ops MV Paulijing. Ops Subuh atau diketahui ramai sebagai peristiwa Al Maunah pada tahun 2000, Ketua Polis Negara ketika itu telah menyerahkan operasi kepada pihak Angkatan Tentera Malaysia tetapi 69 Komando telah terlebih dahulu berjaya menyelinap masuk dan berdialog dengan ketua kumpulan Al Maunah. 69 berjaya memujuk sebilangan daripada mereka menyerah diri dan tanpa sebarang pertumpahan darah sebelum ketibaan pihak Leftenan Jeneral Zaini Mohd Said, Komander Tentera Darat, dua jam kemudian."
"Alhamdulillah. Tak pernah jemu mendengar kisah kehebatan 69."
"69 tak hebat... tapi orang-orang di dalamnya yang hebat. Rupa paras mereka biasa saja walau komando sering dikaitkan dengan wajah yang bengis, kasar dan kejam.... Ramai 69 yang berperwatakan sederhana, sopan santun dan sentiasa senyum... tapi dalaman mereka sangat degil dengan semangat juang yang sangat tinggi. Walaupun kami memiliki aset yang paling uzur dan lusuh, tapi kami masih mampu menjalankan operasi dengan sempurna."
"DEPAN kuarters, kita boleh lihat satu bukit seakan perempuan mengandung terbaring mengiring. Kejap lagi kita patah balik, abang tunjuk bukit tu."
"Kenapa mesti perempuan?"
"Apa yang salahnya?"
"Ya, manalah tau yang terbaring itu lelaki yang boyot. Kenapa mesti nak kaitkan yang hodoh buruk itu dengan perempuan, yang elok-elok semua lelaki?"
"Perempuan mengandung tu hodoh ke? Orang sebelah abang tak hodoh pun. Makin sejuk ada la."
Tertegun sejenak Maryam. Irvan yang lebih suka memuji diri sendiri jarang memujinya. Kalau puji pun, tidak tembus hatinya. Kali ini, terasa pujian itu terus menembusi pusatnya.
Tanpa menyedari kebisuan Maryam, Irvan terus menjadi pemandu pelancong yang sangat petah.
"Ini padang sasar latihan menembak. Sniper pun berlatih kat sini. Tapi kalau nak jarak lebih jauh, biasa sniper ke Langkawi. Berlatih kat padang sasar sana."
Maryam semakin bisu bila melihat apa yang ada di hadapan matanya. Padang rumput luas terbentang. Memutih. Berkilau. Irvan memberhentikan Beetle di sebelah astaka. Maryam segera keluar dan menuju ke tempat yang memukau dirinya. Maryam melutut. Melalukan jari-jemari halus di atas rumput tanpa menyentuhnya.
"Cantiknya..." bisik Maryam.
Tengok embun camtu pun cantik? Apa yang cantiknya?
Maryam menarik tangan Irvan yang sudah berdiri di sebelahnya. Irvan turut melutut.
"Ya abang... abang nampak tak?"
Irvan terpaksa menajamkan telinga. Maryam tetap berbisik. Seolah-olah suaranya tenggelam dalam keasyikan keindahan lakaran seni alam.
Rembesan embun malam disimbah lembut cahaya sang mentari pagi. Titisan embun yang terhampar menyebabkan padang itu seolah-olah diselimuti berlian-berlian yang berkilau sinarannya. Menimbulkan satu suasana yang sangat indah. Syahdu. Irvan sebak. Memandang wajah belahan hatinya yang terpesona dengan keindahan yang jarang dipandang.
Benarlah kata Maryam. Anak alam ini sentiasa memandang apa yang orang tidak pandang. Nampak apa yang orang tidak nampak. Sesuatu yang tidak cantik tetapi sangat cantik kepadanya.
"Cantikkan, ya abang..." Maryam tetap terpukau.
"Ya... sangat cantik." Dan abang tak pernah perasaan embun secantik ini, ya adik. Padahal embun tidak asing dengan abang.
Setiap pagi, semasa latihan asas komando, tanpa berbaju, para pelatih berguling dan bergolek di atas padang. Kadang-kadang datang nakal mereka dalam disergah jurulatih, mengambil kesempatan menjilat embun di hujung rumput. Tiada rasa didera tetapi mereka cukup seronok bermaharajalela dengan bebas. Dengan berbagai-bagai gaya sehingga lencun seluruh tubuh. Mandi embun. Kadang-kadang mafela dilalukan ke atas daun-daunan sehingga basah. Dilapkan ke muka dan di tubuh. Kenangan manis dalam latihan yang tidak dapat dilupakan tetapi tidak diendahkan sangat. Keterujaan Maryam membuatkan Irvan terkesan. Sesungguhnya, setiap apa yang diarah oleh jurulatih ada hikmah yang tersembunyi. Dan apakah hikmah yang ingin dirasakan oleh jurulatih kepada pelatih-pelatihnya, terpulang kepada persepsi individu itu sendiri. Sebagaimana kata-kata jurulatih yang sentiasa terngiang-ngiang di telinganya.
"Kami mengasuh... bukan mendera, mencedera atau menyeksa. Kami nak tengok kamu semua boleh bertindak mengikut situasi dan menguasai segala kemahiran. Lulus atau gagal kamu, atas diri, semangat dan mental kamu sendiri. Kami tak suruh, kami tak larang dan kami tak galak. Kami cuba bantu keluarkan singa dari dalam diri kamu. Kamu semua bukan produk separuh siap. Selagi kami tak polish betul-betul, jangan harap nak pakai beret pasir. Keluar dari Allagar ni masuk skuadron terus perform. Tak ada nak test-test."
Berjalan kaki atau berlari sejauh 35km dalam hujan panas, azab seksanya Tuhan sahaja yang tahu dalam siri latihan tapisan. Terhincut-hincut, melelong atau menyeret tubuh yang longlai dengan tapak kaki yang sudah pecah berair, celah paha yang melecet, kulit muka yang hangus terbakar, jurulatih hanya memerhati dan mengekor. Sesiapa yang jatuh tersembam, berlemuih muka dengan lumpur, tiada siapa yang mengangkat. Pandai-pandailah bangun sendiri. Pun jurulatih hanya memantau tanpa sepatah kata, apalagi hendak dengar kata semangat dan galakan. Betul-betul berperang dengan diri sendiri. Terpulanglah kepada pelatih itu sendiri. Mahu teruskan atau mahu minta di-RTUkan ketika itu.
Perasaan masa itu pula bercampur aduk. Kalau yang berhati tisu, kepala haywire, benci pada jurulatih meluap-luap sampai niat mahu mendajalkan jurulatih. Dendam sampai mahu menuntut bela pun ada. Kalau yang berhati getah sekerap, banyakkan bersabar dan lawan jin amarah dalam tubuh. Kalau yang berhati titanium, jurulatih buat apa, reda sahaja. Bila tamat latihan, jurulatih dipeluk dan dijulang. Air mata jangan kira la. Kalau anak dara tengok terus kensel mahu jadikan pasangan hidup. Hero menangis apa barang? Ho ho ho!
DATANGMU TAK DIUNDANG, PULANGMU TAK DIHALANG.
Kata-kata keramat yang sentiasa terngiang-ngiang di telinga sehingga menjadi igauan ngeri hatta dalam tidur pun. Kena pula kalau seseorang pelatih itu menjadi kesukaan jurulatih, maka masaklah pelatih itu "diasuh".
BALIK JIKA RAGU.
Dah "asuh"orang puas-puas, bagi pula kata-kata penawar yang menyebabkan hati para pelatih meleleh. Bukan senang nak senang, bukan susah nak susah. Disebut sekali saja oleh jurulatih, ia melekap terus dalam hati Irvan. Ketika ini, tidak kiralah pelatih berhati jenis apa, semua bergenang air mata. Ibarat macam kena rotan dengan bapak, malam-malam masa anak tidur, masa itulah bapak datang sapu ubat pada bekas rotan.
Mata Irvan kembali jatuh kepada roman wajah Maryam.
Budak telur separuh masak. Tengok apa sahaja cantik. Lihat apa sahaja, comel. Mungkin benar ungkapan yang pernah didengarnya, orang yang hatinya cantik akan sentiasa memandang semuanya cantik. Orang yang hatinya baik, akan memandang semua orang baik. Bagus... tapi hati-hati wahai Blackswan, tak semua orang baik di dunia ini.
Maryam yang semakin dikenalinya, mudah senyum dan tertawa sopan dengan menunduk melihat kuku jari sendiri.
Kadang-kadang Irvan menegur bila Haziq bersorak riuh apabila Kelantan menjaringkan gol. "Tak payah seronok sangat la, kejap lagi kena ngap dengan The Cops la. Jangan suka sangat, kejap lagi menangis."
Maryam yang sedang mengisi bedak sejuk ke dalam botol menyampuk. "Jangan serius sangat la, ya abang. Masa seronok, kita seronoklah habis-habisan."
"Kalau kalah camna? Boleh terima ke? Dah seronok sangat?"
"Kalau kalah, kalah la. Nak buat apa lagi? Gol itukan satu kemenangan untuk dirai. Nak bersorak, nak menjerit sekuat hati, biarkan je la. Bukan senang hati nak bergembira. Hidup ini singkat sangat. Bila Allah bagi masa untuk kita gembira, ketawalah puas-puas. Tak kiralah lepas ni kalah ke. Yang penting kita dah nikmati kegembiraan itu. Kalau menang, sixty niners happiness. Tak yah stres-stres sangat. Kita enjoy!"
"Haaa... dengar tu Abang One?" sampuk Haziq.
Tertegun sejenak Irvan. Pandai pakukan aku. Dulu zaman dia bermuram durja, ada dia ingat ni semua?
Keasyikan Maryam ditatap semula.
"Ada sesuatu yang sangat berharga dalam hidup yang tak perlu kita beli atau tak perlu kita memilikinya...."
"Apa dia?" soal Irvan kepada Maryam yang berbunyi tiba-tiba. Seolah-olah bercakap dengan embun di hadapan.
"Udara...."
Diam sejenak sebelum dia menyambung, tetap menunduk memerhati embun.
"Ia percuma tapi ramai yang tak ambil endah... tak tahu akan kepentingannya... dengan merosakkan alam... membinasakan ekosistem dan habitat hidupan liar. Pemburuan dan pembalakan haram, gunung dan bukit yang ditarah tanpa timbang rasa, pembangunan yang sangat pesat tanpa memikirkan bagaimana generasi selepas itu akan hidup tanpa mengenali hutan..."
Lebih dari faham bagi seorang 69. Kebiasaan berada dalam hutan menyebabkan Irvan cukup mencintai hutan.
"Alam jika diceroboh semberono akan mengamuk. Jangan dilawan alam kerana manusia akan kalah."
Sedar akan ucapan Maryam tetapi sebagai seorang penjawat awam yang kerdil, apa yang boleh Irvan lakukan jika tangan-tangan ghaib lebih berkuasa dalam menjarah hasil bumi tanpa hati perut? Duit punya hal.
"Sentuhlah embun tu. Sapu ke muka. Awet muda."
"Biarkan saja begini. Adik lebih puas menikmati keindahannya tanpa menyentuhnya. Kalau diusik, hilanglah serinya."
Anak yang membesar dengan alam, bersahabat dengan alam, tidak akan menyakiti sahabat alamnya. Irvan turut asyik bersama Blackswannya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co