Bab 13
DAHI dijamah. Panas. Bila dia periksa suhu tubuhnya, dia sendiri hampir terkejut. Tiga puluh sembilan? Dia memang demam. Terkejut gamaknya. Dia dah lama tak alami demam teruk sebegini. Kali terakhir dulu sewaktu dia terima berita kepergian ayah secara tiba-tiba.
Dan sekarang...
Allah... Ammara raup wajah bagi melindungi tangis. Adakah ini juga sebahagian daripada hukuman atas silap hamba yang lalu? Jika benar, tiada apa yang mahu hamba pinta daripada-Mu melainkan kekuatan dan kesabaran. Hamba tak mahu goyah sekali lagi kerana manusia sepertinya.
Ya... Dia hanya perlukan dua perkara itu sekarang. Dalam pertemuan yang tak dijangka. Bagaimana kalau Eqram bercerita pada abangnya dan Eqwan bercerita pada Hajah Najihah dan staf lain di pejabat?
Harus bagaimana dia mahu hadapi hidupnya nanti? Sedangkan selama ini pun tak putus orang bercakap-cakap tentang dia dan Amaris. Dan kesannya pada si kecil Amaris?
Ya... Nama Amaris itu adalah miliknya sebagai seorang penulis. Gabungan nama dia dan arwah ayahnya. Wan Ammara Wan Ismail. Kerana itu muncul nama Nur Amaris. Kemudian, bila Amaris lahir... Dia dan Afina abadikan nama tersebut pada anak itu. Dulu, Eqram tak pernah sekalipun menyebut namanya. Entah bila lelaki itu tahu namanya yang sebenar. Dia tak tahu.
Dia tak pernah tanya akan soalan semudah itu pada Eqram dulu. Tak sempat. Segalanya berlaku begitu pantas dan Eqram terus pergi dari hidupnya. Hilang seperti kabus pagi bila muncul mentari. Ketika dia benar-benar tersedar untuk terima kenyataan, Eqram terlebih dahulu hilang dari hatinya.
Dia terpaksa mohon cuti kecemasan hari ini. Mujurlah dia bukan jenis yang selalu mengambil cuti kecemasan dan bila jarang sangat dia mohon, tiada siapa yang persoalkan. Nasib baik juga segala kerja yang Hajah Najihah minta telah dia siapkan.
Semalam adalah suatu hari yang begitu panjang untuknya. Tidurnya kerap terganggu hingga dia terpaksa berjaga hingga ke subuh sambil menepuk Amaris. Mata Ammara mula terasa pedih. Dia akan lelap seketika selepas menghantar Amaris ke sekolah.
Sebaik saja pulang, dia hanya terbaring lesu di atas sofa yang tak pernah dia tukar sejak pertama kali pindah ke rumah yang dia beli sendiri ini. Segala susun aturnya juga sama. Warna catnya juga serupa. Bukan kerana tak mampu menukar segalanya, cuma dia pilih untuk tidak mahu.
Dia ingin semua ini seperti sedia ada. Dia selesa begini. Biarpun ada yang pahit tak tertelan, tapi banyak juga keindahan.
Mata cuba dipejamkan. Dia mahu menjemput lena biarpun seketika. Tubuh dan mindanya benar-benar keletihan. Akhirnya, dia mula hanyut. Bersama kisah lalu yang sedang terburai sedikit demi sedikit bahana pertemuan itu.
DADA Ammara berdegup kencang bila Eqram akhirnya duduk di sisinya di dalam kereta. Memandang ke depan tanpa menoleh padanya sedikit pun. Air muka lelaki ini nampak begitu keruh. Kalau tak sudi, dia tak paksa. Dia cuma tanya andai lelaki ini sudi keluar bersamanya untuk sekali.
"Awak serius nak keluar ni?" soalnya lembut.
Eqram hanya mengerling dan angguk.
"Tapi..." Leretan suara Eqram menarik perhatian Ammara.
"Kalau awak tak nak, saya tak paksa tau." Risau pula Ammara tengok pada wajah Eqram ni. Mendung semacam.
"Awak nampak penat sangat ni. Atau awak nak balik?"
"Tak. Saya dah cakap saya memang nak keluar dengan awak. Awak yang duk ajak saya dan kita dah ada dekat sini. Kenapa awak nak suruh saya balik pula?" Suaranya begitu dingin menyoal Ammara. Kedengaran tak puas hati.
Fuh... Ammara pandang ke lain. Berat hati nak tolak tombol gear daripada N ke D. Pertama sekali, tak tahu ke mana tujuan. Keduanya, mood Eqram nampak swing. Berbeza sungguh dengan Eqram yang dia tahu sebelum ini. Nak kata kenal, tidaklah. Baru nak mengenali. Tapi Eqram begitu mesra ketika bekerja.
"Okey. Awak dah makan ke belum ni? Kalau belum, saya bawa awak makan dulu. Okey tak?" cadang Ammara.
Tapi lelaki muda itu geleng. Hanya bersandar memejamkan mata tanpa banyak bersuara.
Ammara rasa mood dia juga mula berubah. Tak seronoklah nak keluar kalau macam ni. Nanti serba-serbi tak kena. Sudahlah ini janji temu pertama dan terakhir mereka. Eqram dah tegaskan yang dia akan tinggalkan ibu kota Kuala Lumpur sikit masa lagi.
"Jujurnya, saya tak tahu nak ke mana. Awak cakaplah dekat saya... Awak nak ke mana? Seperti yang saya janji, I akan bawa you mana aje you nak pergi..." ujar Ammara cuba berbahasa. Menghidupkan suasana.
"Can you just drive to your home?"
"Hah?" Ammara ketawa kecil. Macam tak percaya dengan apa yang lelaki ini katakan.
Dia salah dengar ke? Ini tak termasuk dalam rancangannya. Dia dah rancang yang lain. Paling tidak, makan atau tengok wayang. Atau lepak di Putrajaya mungkin. Merenung lampu. Apa saja tapi bukan yang tu.
"Awak cakap awak tinggal sendiri, di rumah sendiri..."
"Betul. Tapi kenapa rumah saya? Saya rasa kita patut..."
"Saya rasa tak sihat..." jawab Eqram dengan wajah yang sedikit pucat.
"Kalau awak tak sihat, saya hantar awak balik..."
"Tak nak..." Gelengan mengukuhkan lagi jawapan Eqram.
"Kalau saya nak balik, saya dah awal-awal cakap dekat awak yang saya nak balik. Tapi saya tak nak..."
Bibir diketap. Ammara pandang Eqram yang langsung tak memandangnya. Hanya merenung ke depan tanpa apa-apa perasaan. Boleh jadi lelaki ini punyai masalah lain dengan keluarga. Nak bertanya, dia rasa dia tak punyai hak.
Perkenalan mereka masih terlalu awal. Seperti dia katakan, ini adalah janji temu mereka yang pertama.
"I take you somewhere better..." Baru Ammara nak menukar gear, Eqram menahan.
"Take me to your home..."
"But..."
"I need that. I need you..."
Okey, sekejap. Ammara bingung.
"Apa yang tak kena dengan awak ni?" Apa yang Eqram nak dan apa yang boleh dia bagi? Dia tak mahu menerka dalam kesamaran. Bimbang sendiri tersalah tafsir nanti.
"Awak tahu kan saya ajak awak date. Common date. Macam orang lain dating. Makan, tengok wayang, lepak, sembang dekat kedai tepi jalan atau dengan mana-mana aje. Tapi awak..." Bicara Ammara mati.
Geli hati pun, ya. Rasa baran pun, ya. Apa yang budak umur dua puluh satu tahun ni sedang fikir? Memanglah Eqram langsung tak nampak seperti umurnya, tapi kenyataannya tak boleh nak nafi.
Mata kuyu lelaki itu menatap bening mata Ammara. Riak wajahnya masih begitu.
"Saya tahu awak suka saya. Suka sangat..."
"Habis tu?" Ammara semakin keliru. Memang dia telah akui dengan beraninya setelah berbulan-bulan menjadi peminat rahsia pada lelaki ini.
"Saya perlukan rehat..." putus Eqram dan dia kembali memejamkan mata. Tak menjawab soalan Ammara.
Lama dia begitu. Hinggakan Ammara sendiri mula tak betah duduk.
"Sebab saya dah ada dalam kereta awak, saya tak nak patah balik. Saya tak nak keluar dari kereta awak. Yang saya tahu saya perlukan rehat. Lagipun saya rasa badan saya tak sihat..." Tangannya mula naik ke kepala.
Memicit pelipis dan juga turun mengurut belakang leher.
Kalau kata tak larat, kenapa tak cakap aje? Dia tak adalah nak paksa Eqram untuk keluar dengannya.
"Awak buat saya rasa bersalah pula ajak awak keluar..."
"Kalau awak rasa bersalah, drive the car and take me to your home..."
"Tapi..." Bicara Ammara mati.
Matanya bulat bila melihat sedikit darah keluar dari hidung mancung Eqram namun lelaki itu hanya buat tak tahu. Terus memandangnya tanpa perasaan.
"Hidung you..." Tangan Ammara ringan mahu mengelap darah yang sedang mengalir perlahan.
Tapi Eqram mengelak. Dia lap hidungnya sendiri. Kemudian tersenyum senget. Tanpa berkata apa, lelaki itu menutup mata dan diam tak berkutik.
"Awak?"
Senyap.
"Eqram?"
Tiada jawapan.
"Am?"
Bila kali ketiga nama itu diseru tapi tidak berjawapan, Ammara resah. Apa dia nak buat ni? Dia cuba tarik beg galas Eqram tapi nak buat apa. Dia capai iPhone milik lelaki itu yang masih ada di dalam genggaman. Dah sudah... Tak ada bateri pula.
"Saya bawa awak pergi hospital..." Ammara mahu menekan pedal minyak. Memberi isyarat untuk keluar ke jalan dan terus saja berlalu.
Dia mahu meneruskan perjalanan ke tempat yang dia mahu tuju, namun suara Eqram mengatasi tindakannya.
"Saya tak nak pergi hospital. Saya cuma perlu rehat. Take me to your place..." pintanya separuh berbisik.
Waktu ini, liur yang ditelan terasa begitu kelat. Entah bila, Ammara memaut stereng dan mencari jalan menuju ke tempat yang Eqram maksudkan.
"I need some rest. Kejap pun jadi..." ulang lelaki itu bersama mata yang terpejam.
Diam. Tidak lagi bersuara. Hanya matanya yang terkebil-kebil bersama kesan darah yang masih belum dibersihkan dengan sempurna.
Apa yang dah jadi pada kau ni, Ammara?
Dia bukan sesiapa. Hanya kau yang suka dia tapi dia belum tentu suka pada kau. Beza umur kau dengan dia, jauh. Mana mungkin dia nak pandang kau. Tapi melihat wajah itu merayu dan terus merayu, Ammara bagaikan terpukau.
Lelaki yang selama ini dia suka dalam diam, ada bersamanya. Biarpun untuk seketika.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co