Bab 14
DIA tak langsung merapati Eqram bila lelaki itu nampak berjalan terhuyung-hayang, menggalas beg di atas belakang. Sesekali, dia menoleh dan mata mereka berlaga. Seperti biasa, pandangan Eqram padanya, seperti orang yang tiada rasa. Atau boleh jadi, hanya dia yang mempunyai rasa istimewa pada lelaki itu. Dan, lelaki itu pula sebaliknya. Langsung tak mahu mencuba.
Sebaik tiba di tingkat tiga, Ammara membuka grille pintu. Waktu ini, tubuh Eqram hampir tersembam dan mujurlah dia sempat paut lengan lelaki itu, membantunya berdiri.
"Dah sampai?" soalnya perlahan.
"Hurm... Dah. Awak masuk dulu. Saya tutup grille..."
Tak berkata apa, Eqram menapak masuk. Pertama kali, dia berasa begitu lapang. Entah kenapa rumah milik perempuan ini terasa lapang dan tenang, dia tak tahu. Tapi dia benar-benar rasa selesa.
Ammara menapak masuk. Pintu dirapatkan. Dia berdiri jauh. Melihat pada Eqram yang sedang terbaring lesu di atas sofa. Seluruh rumah gelap. Hanya ada sedikit cahaya yang sangat samar.
"Awak nak air?"
"No..."
"Awak nak tengok TV..."
Eqram terus diam. Tapi Ammara boleh nampak lelaki itu menggeleng.
"Saya buka lampu, ya?"
"Jangan..." larang Eqram. Perlahan.
Huh... Sepertinya telah terlambat untuk dihalau Eqram keluar tapi ini adalah satu kesilapan.
"Awak... Saya tak rasa..."
"Kenapa?" Entah bila, Eqram rapat padanya.
Ammara gamam.
"Told ya, just now... I need you..."
"Saya tak faham..." Dahi Ammara berkerut.
Dia nampak wajah Eqram yang senyum dan mendekatinya.
"Mana mungkin awak tak faham. Mustahil. Lagipun, bukan awak cakap awak akan bagi apa yang orang lain tak bagi dekat saya ke? Setakat bunga, makan... Semua tu saya dah pernah terima. Banyak. Tapi saya tertanya apa yang awak nak bagi yang orang lain tak bagi."
"Ya... Betul. Tapi, bukan ni maksud saya..."
"Ya ke?" Eqram koyak senyum. Tajam dan sinis.
"Kalau bukan ni maksud awak, tak akanlah kita ada dekat sini, kan?" Soalan itu kedengaran tajam menusuk pendengaran Ammara.
Hatinya berdesir menahan pedih.
"Lagipun, saya tak rasa saya lelaki pertama yang awak bawa masuk rumah awak. Betul tak?"
"Hah?" Ammara menolak dada Eqram. Lelaki itu terdorong ke belakang.
"Awak ingat saya apa? Saya suka awak tapi bukan dengan cara ni. Saya tak pernah heret mana-mana lelaki masuk rumah saya sebelum ni. Tadi pun, saya panik nampak awak sakit... Dan saya tak tahu kenapa saya boleh dengar kata awak untuk bawa awak ke sini..." Ammara sudah mahu menangis.
Tak mungkinlah.
Adakah ini lelaki yang sama yang dia suka selama ni? Takkanlah perangai Eqram sebegini menjengkelkan? Wajah Eqram tergambar jelas dengan senyuman. Dia kembali mendekati. Mata kuyu itu terus memandang Ammara.
"Awak tak perlu tipu. Cakap aje. Saya tak kesah..."
"Tapi saya kesah... Dan kalau macam inilah perangai awak..." Tak sempat Ammara matikan kata, kepalanya dipaut sedikit rakus.
Eqram berjaya membuatnya berhenti berbicara untuk seketika.
Bila dia berjaya tolak wajah Eqram, nafasnya tercungap. Dia pandang mata kuyu Eqram yang begitu dekat dengan wajahnya.
"Kenapa?" Mata Ammara berkaca-kaca. Terkejut dan sedih. Dia tak harap Eqram berperangai begini.
"Awak suka saya, kan? Dan awak juga tahu yang orang lain pun ramai yang sukakan saya..."
"Takkan sebab saya suka awak, awak kena buat saya macam ni?" tanya Ammara cukup syahdu dan perlahan.
Betulkah ini lelaki yang selama ini dia suka? Yang nampak sopan dan mesra? Lelaki yang samakah? Berkali-kali Ammara mengaju soalan sama padahal jawapan juga serupa.
Inilah lelaki itu!
"Yes. I want to do this... With you. Lagipun, saya yakin awak tengok saya selama ni pun sebab benda yang sama, kan? Saya tak fikir awak nak serius dengan lelaki umur macam saya ni. Awak ada segala. Kerjaya, kereta, rumah. Dah stabil. Tak mungkinlah awak nak serius dengan saya yang tak ada apa ni. Sebab tu saya yakin, awak terus approach saya atas sebab yang sama dengan apa yang saya nak daripada awak..."
"No..." Ammara geleng.
"You're wrong," bisiknya perlahan.
"Kalau awak cakap saya salah, saya faham. Saya percaya. Awak bukan jenis macam tu. Tapi kita dah ada dekat sini. Dan awak jangan risau. Lepas malam ni, kita akan keluar date macam pasangan lain. Macam yang awak nak. Saya janji. Kita akan keluar date macam pasangan biasa."
"No, Eqram. This is wrong..." Ammara cuba tolak dada bidang itu agar jasad itu menjauh.
"Hey... I promise..." Eqram senyum. Tangannya menolak tangan Ammara yang cuba menepis. Jari-jemarinya naik membelai lembut wajah Ammara.
"You janji?" Ammara perhatikan wajah Eqram. Lama. Senyuman itu benar-benar telah menakluki kewarasannya.
"Yes." Mata kuyu Eqram mengerdip sekali. Bersama senyuman yang lebih indah.
Menghambat segala keresahan dan ketakutan Ammara. Seperti terpukau dengan raut tampannya, tangan Ammara naik menyentuh seluruh wajah lelaki itu.
Eqram senyum lagi.
TUHAN...
Ammara buka mata sebaik saja dia mampu jaga daripada terus bermimpi. Seperti suatu waktu dulu, sekujur tubuhnya menggigil. Seperti demamnya makin menjadi-jadi. Dia beristighfar tak henti-henti. Memujuk hati yang rawan moga lebih tenang.
Kekesalannya masih tidak berpenghujung atas apa yang terjadi. Andai dia tidak terpesona dengan wajah tampan itu, dia tak akan lalui hari ini. Sedangkan Tuhan telah melarang setiap hamba-Nya mendekati kejahatan, kerana itu membinasakan; dia telah pilih untuk merosakkan diri sendiri. Dia lupa segalanya dalam sekelip mata dan dalam sekelip mata juga hidupnya telah berubah.
Biarpun setelah lima tahun berlalu, malam itu masih menjadi igauan ngeri padanya. Dia masih sukar untuk lelapkan mata. Jika begini hukuman di dunia, entah bagaimana hukuman untuknya di akhirat nanti.
Allah... Ampuni hamba kerana telah menzalimi diri sendiri.
Air mata yang mengalir disapu perlahan. Dia bangkit dan tersepak mainan Amaris yang bersepah. Perlahan, dia duduk... Mengutip semula mainan. Tanpa sedar, dia senyum sendiri. Dulu, rumah dia sangat bersih dan kemas. Hampir setiap masa dia kemaskan rumah. Bagaimana letih pun, dia akan pastikan rumahnya bersih dulu sebelum dia berehat.
Kata Ina suatu waktu dulu...
"Ni ha... Ciri-ciri orang kena penyakit OCD. Banyak sangat ciri-ciri tu kena dengan kau. Dan kau kena tahu, OCD ni adalah satu mental disorder tau. Kau kena jumpa doktor pakar..." Wajah Ina serius.
Dia hanya ketawa waktu itu. Tak mungkinlah dia ada penyakit pelik tu. Bila dia baca artikel yang Ina bagi, matanya membulat. Hampir semuanya sama.
"Ini teruk sangat ni, Ina..."
"Eh, kau memang teruk. Kalau tak teruk, takkanlah setiap masa kau pegang tisu. Air meleleh kau terus lap. Nasi atau kuah tumpah, kau terus lap. Tak habis makan kau dah susun pinggan. Kau susun semua benda ikut warna. Kau sapu rumah kau berkali-kali. Jangan kata rumah kau, meja dekat kedai orang pun kau lap sampai berkilat. Memang sah kau ada mental disorder ni..."
"Amboi, kau..." Ammara tarik muka.
Ina sengih. Rasa bersalah pula kenakan Ammara. Tapi memang Ammara ni tahap pembersih dia lain macam.
"Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Kau bukan tak tahu..." balas Ammara membela diri.
"Ya... Aku tahu. Aku saja aje. Tapi nanti... Dah ada anak, kau tahulah rumah kau bersih ke tak?" usik Ina.
Masa tu, dia tak fikir begitu jauh. Hidupnya, hanya ada rutin biasa. Klise sangat. Pergi kerja, balik kerja. Outstation kalau perlu. Mengembara. Makan dengan Ina dan lepak tempat yang sama. Atau juga beriadah di Lake Garden. Tengok TV. Layan drama dan rancangan Korea. Masak-masak kalau rajin. Tiada apa yang berubah sejak bertahun dulu.
Sekarang...
Ammara senyum lagi. Kali ini, manisnya tiada. Yang tersisa hanya sebak yang mencengkam dada. Kerana perbuatan hina itu, dia seperti telah buang segala yang berharga dalam hidup. Segala yang dia sayangi, telah hilang.
Kini... Tinggal dia sendiri. Rasanya, tanpa Amaris... Dia memang akan benar-benar gila.
"Ya, Ina... Rumah aku tak kemas seperti dulu. Tapi aku boleh terima tanpa ada apa-apa. Sebab Aris, aku tak kesah dia sepahkan semua mainan dia. Dia buat mural dekat dinding. Aku memang tak kesah. Semuanya sebab Aris..." ujarnya sendiri.
Air mata yang menitis, diseka perlahan.
Jika dulu... Dia akan telefon Ina saat mengalami mimpi buruk. Hampir setiap waktu dan kata-kata nasihat Inalah yang buat dia terus ada asa hidup. Hati yang ditikam kejam oleh Eqram, Afina la yang begitu berusaha untuk menyelamatkannya.
Biar sesukar mana untuk dia teruskan hidup, setidak-tidaknya hati itu masih bernafas dengan bantuan dan sokongan. Kini, lelaki itu kembali lagi. Secara tiba-tiba.
Lama Ammara merenung mainan Amaris yang dia kutip. Rindunya pada Amaris menggebu. Rindu pada Afina lebih lagi. Senyuman mata seperti Ina, ketenangan dan kesabaran Ina... Segalanya.
"Aku terlalu rindukan kau, Afina! Sangat!"
Andai dia mampu katakan sekali lagi... Dia akan dengar kata-kata dan larangan Afina tentang lelaki itu. Dia tak akan pandang biarpun dengan hujung mata!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co