Truyen3h.Co

THE REASON

Bab 15

karyaseni2u

DAH masuk seminggu. Ammara sangat pelik. Kata-katanya berbelit. Tak pernah lagi Ammara buat perangai macam ni. Bagaimana seorang penulis puisi hebat seperti Ammara boleh gagal dalam menyusun kata. Hinggakan dia sendiri keliru.

"I met him..." luah Ammara tiba-tiba.

"Him?" Ina kerut dahi.

Tak pasti siapa dia yang Ammara maksudkan. Kerana dia tahu, Ammara tak pernah ada kawan lelaki, jauh sekali teman lelaki. Setakat suka tu, adalah. Tapi sesaat itu saja dan Ammara terus lupakan. Cinta pada Ammara, menyakitkan. Ammara sangat bahagia sendiri. Tiada apa yang menyekat langkah kaki. Dia bebas membuat keputusan dan kawan baiknya ini sangat sayang pada diri sendiri.

"Aku tahu kau cakap kau suka seseorang. Tapi... Dia?" Ina sengaja leretkan ayat. Dia dah agak cuma nak tahu dari mulut Ammara sendiri.

Dan bila Ammara angguk, Ina tak mampu berkata apa. Buat seketika, lidah dia lumpuh. Terkejut pun ya. Kenapa Ara tak cakap dekat aku sepatah? Sedangkan selama ini, Ara tak pernah berahsia.

"Bila?"

"Dalam seminggu..."

"Really? Dan kau baru bagi tahu aku?" Huh... Sebagai kawan baik, Ina rasa hati dia tercalar juga dengan kata-kata Ammara.

"Lepas tu?" Walaupun begitu, dia rasa teruja juga nak tahu cinta Ammara ni berjalan lancar atau tidak. Orang dah lama tak jatuh cinta. Sekali jatuh cinta, mahu tergolek ni.

Afina senyum. Tak dapat nak sembunyi rasa teruja. Tapi, tak lama.

"Kejap. Aku faham kau jumpa dia. Kau tak cakap dekat aku sebab mungkin kau risau aku larang. Lagipun, pada aku kau dah dua puluh lapan tahun. Dah cukup dewasa untuk buat keputusan sendiri dan jaga diri sendiri. Cuma, aku pelik... Kenapa kau asyik cakap dia pelik? Apa yang dia buat sampai kau cakap dia pelik?"

Waktu ini, Ina perasan air wajah Ammara sudah begitu berubah. Sejak seminggu, dia tak dapat nak jumpa Ammara kerana kekangan tugas yang semuanya memerlukan tindakan segera. Bila dia jumpa hari ni, kegembiraan dan keceriaan Ammara selama ni seperti telah hilang begitu saja.

Hatinya seperti mahu mengagak yang bukan-bukan. Tapi dia tak sanggup. Wan Ammara yang dia kenal, tak akan buat sesuatu yang membinasakan.

"Aku tak nak fikir bukan-bukan, Ara. Sebab tu aku rasa elok kau cakap dekat aku. Terus-terang. Dah seminggu aku cuba cerna bila kau duk WhatsApp dekat aku cakap budak tu pelik. Dekat mana peliknya?"

Ammara tunduk. Memintal jari-jemari sendiri.

Di mana dia harus mulakan? Dengan ayat apa? Padahal, dia memang telah bersedia untuk memberitahu Ina tentang segalanya. Otak dia sudah hampir pecah. Dada dia juga sama. Serasa mahu meletup kerana dihenyak kesal.

Matanya mula basah. Dia tak sanggup menatap mata Ina. Tapi, selain Ina... Siapa lagi yang dia ada? Umi dengan abang long? Memang tak mungkin. Biarpun dia juga tahu, Ina mungkin akan buang dia jauh setelah ini, dia juga perlu ambil risiko ini.

"Ara... Jangan-jangan..."

"I slept with him..."

"What?!" Ina ketawa. Kelakarnya. Buat lawak pula Ara ni. Terkekek-kekek Ina ketawa.

"Aku tahu kau suka kenakan aku. Tapi janganlah tentang hal ni kau pun nak buat lawak juga, Ara. Aku penatlah kerja. Tak larat nak ketawa..." Padahal, Ina sedang memujuk hati.

Ini adalah gurauan. Wan Ammara? Mustahil. Sangat mustahil.

"Aku dah sedia andai aku hilang kau, Ina. Sebab aku tak layak untuk ada sesiapa. Lebih-lebih lagi kawan sebaik kau. Tapi aku betul-betul dah buntu sangat. Aku takut. Tiap-tiap malam sejak seminggu lepas, aku mimpi bukan-bukan. Aku tak boleh tidur dalam rumah sendiri. Berkali-kali aku mandi pun, aku tetap kotor, Ina..." luah Ammara. Suaranya tertahan-tahan dek sebak.

"Berkali-kali aku solat taubat pun, aku tetap rasa Tuhan tak nak terima aku..." Air matanya mengalir lesu. Pandangannya menjadi kabur diliputi air mata. Tapi dia tahu, wajah Ina jelas berbicara tentang kecewa.

"Aku berdosa besar, Ina. Aku sakitkan diri sendiri. Aku jahat," akui Ammara dengan esakan yang kian menjadi-jadi.

Dia peluk tubuhnya sekuat hati. Malu, kecewa dan segala rasa buruk menguasai dirinya sekarang. Sepertinya, satu dunia sedang tuding jari padanya. Inilah dia wanita yang berikan segalanya demi cinta dusta. Dalam sekelip mata, hidupnya benar-benar telah berubah.

"Aku salah, Ina... Aku jahat..." Tangis Ammara kian menjadi-jadi.

Afina angkat tubuh tiba-tiba. Dia berdiri tepat di depan Ammara yang sedang tersedu-sedan. Pertama kali sepanjang kenali Ammara sejak sedekad lalu, dia rasa begitu kecewa dan marah.

Betapa bodohnya Ammara. Bukan sekali dia katakan... Dia risaukan Ammara. Dia terlalu risau. Bukan kerana dosa yang telah dilakukan, tapi dia risaukan perkara lain. Dia bimbang Ammara terus hidup dalam dunia sendiri yang hanya ada dia. Dia risau kerana Ammara telah tutup segala pintu bagi mengelak orang lain masuk ke dunianya. Dia risau kerana Ammara telah memulaukan diri sendiri kerana perkara lalu yang menyakitkan.

Tapi kini, kenapa dia perlu risau Ammara berbuat perkara terkutuk macam ni?

"Aku dah cakap, Ara... Sebab tu kau tak patut jumpa dia. Memang aku tahu aku tak dapat halang kau sebab aku tahu kau macam mana. Sekali kau tekad, siapa pun tak boleh ganggu-gugat keputusan kau. Sama juga beberapa tahun lepas bila kau kata nak travel sorang diri. Negara mana kau tak pergi. Banyak benda dah jadi. Tapi aku tetap percaya kau kuat dan kau memang akan jaga diri kau lebih daripada segalanya. Biarpun aku larang, aku risau... Apa yang mampu aku buat?!" Suara Ina mula memekik.

Dia geram. Dia marah.

"Lepas tu, dah jadi macam ni teruk baru kau nak bagi tahu dekat aku? Kenapa kau tak cakap masa kau nak pergi jumpa dia tu? Dan, aku mati-mati ingat kau hanya jumpa dia semata-mata jumpa. Sepertimana yang kau rancang. Common-date..."

"Aku memang rancang yang lain, Ina. Tapi rancangan aku..."

"Jadi, kau nak salahkan takdir yang rancang lain untuk kau? Macam tu?!" Nada Ina semakin memetir.

"Tak... Aku tak salahkan sesiapa. Jauh sekali takdir. Aku salahkan diri aku sendiri, Ina." Ammara menangis dan menggeleng berkali-kali. Menyangkal kata-kata Ina. Esakannya kian kasar dan berat.

"Ya... Kau memang patut salahkan diri kau sendiri!" Suara Ina masih keras. Air matanya juga turut sama mengalir. Air mata kecewa. Buat pertama kalinya.

"Sebab kau sendiri tahu. Kau sendiri didik ramai orang melalui bakat kau yang Tuhan dah bagi akal. Kau selalu cakap dekat aku dan orang lain... Api itu panas. Tuhan dah cakap, memang sifat api tu panas. Kenapa kau nak hulur tangan kau dalam api tu? Kau memang akan melecur. Kau akan terbakar. Kau yang cakap dekat aku dan orang lain macam tu. Tapi, kenapa kau sendiri..." Ina ketap bibir. Meraup wajahnya berkali-kali.

Ya Allah... Dia rasa seperti dirinya yang diuji. Beratnya bahu menggalas beban apatah lagi melihat Ammara menangis teresak-esak buat pertama kalinya. Di depan matanya? Padahal, perempuan ini kerasnya seperti kerikil. Tak akan menangis di depan orang walau apa pun jadi.

"Api tu panas, Wan Ammara. Kenapa kau masuk juga?" soal Afina penuh emosi.

"Aku salah, Ina. Aku lupa diri. Aku terpesona dengan wajah dia. Aku tak terkata apa masa tu. Aku cuba tolak..."

"Tapi kau sendiri kalah dan menyerah, kan?" tanya Ina, sinis. Dia menggeleng kesal. Nak dimaki, semuanya telah terjadi. Apa guna semua itu?

"Kau sendiri tahu... Bila berdua dan yang ketiga tu..." Tak guna diteruskan kata. Ammara lebih hebat daripadanya malah Ammara telah lalui banyak perkara berbanding dengan dirinya.

"Benda dah jadi dan kau cakap dekat aku pun, bila semua dah lepas. Biasanya kau akan cakap semua benda yang kau nak buat dekat aku. Kadang-kadang, kita yang dorong diri sendiri ke arah keburukan ni, Ara. Selama ni, aku mati-mati ingat kau bergurau tentang budak tu. Dia terlalu muda. Tujuh tahun, bukan sikit beza. Apalah lelaki seusia tu reti, Ara? Nak-nak budak zaman sekarang. Tentang tanggungjawab? Jauh sekali. Dia mesti tahu nak seronok aje. Aku letak semua percaya aku pada kau sejak dulu. Takkanlah aku ni kawan kau masa kau susah aje, Ara? Masa kau mula seronok, kau lupa semua benda? Hurm?" soal Ina dalam ketawa kecil namun, tangisnya tak surut malah makin mengganas.

"Kat mana silapnya aku pada kau, Ara? Kenapa aku tak boleh halang kau? Adakah aku pun dah jadi salah satu puncanya? Masa kau cakap dia pelik hari tu lagi, aku macam dah dapat rasa semua ni jadi tapi, aku tak nak percaya. Aku tak percaya diri sendiri. Aku lebih percaya dekat kau daripada diri sendiri. Tapi kau..."

Ina diam. Dia sudah tak mampu berkata lagi. Dia bukan nak ungkit segala perkara tapi dia benar-benar terkejut. Rasa mahu pitam dengan pengakuan Ammara.

"Aku tahu, Ina... Dan kalau kau kata nak benci aku pun, kau jijik dengan aku pun..." Kata-kata Ammara tersekat-sekat dihalang sendu.

Wajahnya sembap. Matanya juga sama. Air mata mengalir tanpa henti.

"Aku tak benci kau, Ara. Macam mana aku nak benci sedangkan aku sayangkan kau lebih daripada segala-galanya?" balas Ina. Dia duduk di sisi Ammara.

Tangan itu dicapai namun Ammara membentak.

"Jangan sentuh aku, Ina. Aku kotor!"

Dahi Ina berkerut lama. Kemudian dia angguk. Mengerti. Ammara masih larut dalam kejadian itu hingga nak disentuh pun tak boleh. Akhirnya, dia koyak senyum biarpun air mata mengalir tak henti-henti.

"Kau perlu solat taubat dan mohon ampun pada Tuhan, Ara. Tiada manusia dalam dunia ni yang boleh hukum dan ampunkan kau melainkan Tuhan. Aku sentiasa menyokong kau tapi kau kena sujud pada-Nya. Cari sebanyak yang terdaya keampunan tu. Dan kau kena terima segala kesannya biarpun kau perlu galas untuk seumur hidup..." pesan Ina.

Kali ini, Ammara jatuhkan kepala di bahu Ina. Menangis dan terus menangis. Dia manusia yang silap. Yang sentiasa berbuat kesilapan. Tapi dia sentiasa pastikan dia tidak tersilap langkah biarpun jalan itu beronak duri dan sekarang, bila dia silap langkah... Dia tersadung. Tersembam. Hingga hancur lebur air mukanya. Menjadi perca yang tak dapat dia cantumkan lagi. Hingga tak mampu nak tatap wajah sendiri.

"Biarlah satu dunia tuding jari pada kau, biarlah Eqram tinggalkan kau... Aku sentiasa ada, Ara... Akan sentiasa ada," bisik Ina.

Lembut dan tenang.

Membuatkan air mata Ammara terus mengalir dan mengalir tanpa ada tanda untuk berhenti.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co