Truyen3h.Co

THE REASON

Bab 3

karyaseni2u

RUMAH yang sudah sedia bersih, dikemaskan lagi. Sejak dua tiga hari ni, mak memang tak pernah duduk diam. Naik pening kepala Enita melihat kelincahan mak. Kata tak sihat, tapi kemas itu ini. Benda tu dah sedia bersih. Mak nak kemas apa lagi la haiii.

"Kita nak tempah langsir baru tak, Ita?" Auntie Safiah terus membelek langsir yang indah tergantung. Dia baru tukar awal tahun ini.

"Kalau tempah sekarang, bila masa nak siap, mak?"

"Ala... Kita pergi aje Nilai 3 tu ha... Kejap aje dia orang jahitkan. Dan-dan tu juga boleh siap..." Auntie Safiah menjeling anak sulungnya.

"Haaa... Tak nak bawa maklah tu."

Enita kerut wajah. Eh... Eh... Mak ni.

"Kalau Ita tak nak bawa, mak boleh aje ajak Wan..."

"Eh, eh... Mak ni. Mana ada Ita cakap tak nak bawa. Tapi Ita tanya apa keperluan mak nak tukar langsir tu? Ita tengok elok aje lagi. Kita basuh ajelah. Nanti minta Wan tolong buka bila dia balik kejap lagi. Biar Ita pergi hantar dobi."

"Eh, mak nak yang baru. Ceria sikit..."

Enita rasa nak tepuk dahi. Sesekali, dia kerling anak lelakinya yang sedang lena di dalam buaian automatik itu. Baru aje tidur ni ha... Dahlah susah nak tidur budak bertuah ni. Dah enam tahun, masih nak berbuai.

Enita dekati mak. Dia mendongak. Langsir ni dahlah digantung tinggi. Satu hal pula nak panjat. Perlu ke dia panggil house cleaner? Tapi masalahnya, mak nak buat langsir baru. Padahal, raya tahun lepas tak tukar pun. Ini tiba-tiba nak tukar. Sebab itukah?

"Jangan membazirlah, mak. Langsir masih cantik, masih sangat elok. Design ni pun tak ditelan zaman lagi. Nanti Ita bawa ke dobi..." putusnya.

Auntie Safiah terus mengerling.

"Kenalah tukar. Kita nak sambut tetamu, kan?"

Aduhai, makkk...

"Budak tu anak mak. Dia tinggal dekat sini. Dia bukan tetamu, mak..."

"Yalah... Tapi dah berapa tahun dia tak balik. Mak nak bagi yang terbaik."

"Mak tak payahlah prepare apa-apa pun..." Entah bila Eqwan muncul, menyokong kakaknya, Enita.

"Eh, Wan... Senyap-senyap aje masuk..." tegur mak.

Eqwan senyum. Dilabuhkan duduk tepat di depan buaian anak saudara tunggalnya. Bilalah Kak Ita nak bersalin lagi? Dia dah tak sabar nak dapat anak buah baru ni. Nak dicuit, dah tidur pula budak Aqeef ni. Karang Aqeef kembali jaga, Kak Ita pula meroyan nak melayan kerenah anak yang begitu lasak. Tangannya bergerak mahu mencubit pipi bulat Aqeef bila suara Kak Ita menegah.

"Aqeef tu baru tidur, Wan. Kau jangan nak kejutkan dia. Kak Ita ni dahlah pening dengan mak ni ha... Semua benda dalam rumah ni dia nak tukar baru sebab anak kesayangan dia nak balik..."

Eqwan ketawa kecil. Dia kepenatan sebenarnya. Malas nak bantah tapi betul kata kakaknya. Buat apa membazir? Yang nak disambut itu bukan orang lain. Yang tinggal di rumah ini juga.

"Wan bukan nak sokong Kak Ita, mak. Tapi tak payahlah membazir. Wan rasa dia pun tak kesah rumah ni macam mana. Janji dia dapat jumpa mak, Wan rasa itu dah memadai..."

Mak senyum. Barulah rasa lega sikit dengan jawapan Eqwan. Dia sebenarnya gemuruh. Yalah. Lepas lima tahun tak jumpa, siapa tak gementar nak sambut anak sendiri pulang ke pangkuan keluarga?

Anak yang dia paksa untuk menyambung pengajian jauh di negara orang. Anak yang banyak menguji sabarnya seorang ibu. Anak yang begitu liar dan angkuh hingga hampir tak mampu dijinakkan. Namun, suatu hari... Anak itu yang sudi pergi. Berubah jinak tiba-tiba. Bersungguh-sungguh.

Menerima satu perubahan yang baik dalam diri anaknya, ibu mana yang tidak gembira. Tapi naluri hati ibu kuat mengatakan anak lelakinya itu mahu lari dari sesuatu.

Sesuatu yang sehingga kini, belum dia temui jawapannya. Sesuatu yang masih menjadi tanda tanya sampai sekarang. Apa yang telah terjadi? Tapi itu lima tahun dulu. Sekarang dia yakin, anak itu telah menjadi seorang lelaki yang bertanggungjawab. Kerana itu dia mahu kuburkan segala kisah lalu. Biarlah anaknya yang bongsu ini menjalani hidup seperti biasa.

"Bila dia balik sebenarnya, mak? Ita rasa dah berkali-kali budak ni tukar flight. Nak singgah situlah... Sinilah. Cuba mak tanya dia betul-betul. Senang nak pergi jemput nanti..."

"Dia cakap tak tahu lagi. Katanya, lusa baru dia confirm dengan mak yang sebetul-betulnya..." Hai... Auntie Safiah pun tak tahu nak cakap apa lagi.

Budak ni masih jinak-jinak merpati. Makan di tangan, nak ditangkap lari. Sebab itu sampai hari ini dia masih tak tahu lagi penerbangan anaknya yang tepat. Kejap ubah, esok ubah lagi. Lepas tu ubah lagi.

"Kalau macam tu, kita biar ajelah dia balik sendiri, mak..." tokok Eqwan. Saja nak usik mak.

"Eh, mana boleh. Dia naik kapal terbang lama. Mesti dia penat nak ambil teksi. Kenalah pergi jemput. Dia kan dah lama tak balik."

"Dah anak bertuah mak tu tak nak balik..." Enita mencebik.

Dia sejak dulu lagi geram dengan perangai adik dia yang seorang tu. Mak pula tak sudah-sudah membela. Umur dua puluh satu, tapi macam-macam masalah yang budak tu timbulkan. Berlagak macam orang dah umur tiga puluh. Ya, susuk adiknya masa tu memang nampak sangat matang. Tapi, perangai tu haaa... Suka sangat... Haih... Malas nak sebut.

Cuma, hingga suatu hari... Anak muda yang begitu liar dan sentiasa bangga dengan rupa yang begitu kacak itu, sedikit berubah.

"Mak..." Enita bersuara tiba-tiba.

"Ingat tak macam mana kita paksa dia sambung belajar dulu tapi dia tak nak? Dia sibuk dengan kerja part-time dia dekat kedai kopi tu. Lepas tu, keluar dengan perempuan tu, perempuan ni. Tiba-tiba suatu hari tu dia balik cakap dekat kita, dia setuju nak sambung belajar..."

Wajah Auntie Safiah berubah. Eqwan juga sama namun dia lebih memilih untuk diam. Masa kejadian tu, dia tiada di rumah. Dia ada di luar negara kerana tuntutan kerja. Dia hanya dapat khabar daripada mak yang adiknya setuju untuk sambung belajar. Masa tu, dia antara yang paling seronok. Akhirnya, budak bertuah tu jumpa arah hidup.

"Yalah, mak. Wan pernah juga tanya dia masa dia nak berangkat dulu. Dia kata, perempuan Malaysia tak seronok. Dia nak try yang luar negara pula. Wan macam rasa dia tu sorok sesuatu walaupun dia cakap macam tu..."

Kata-kata Eqwan dan Enita membuatkan Auntie Safiah termenung lama. Baru awal tadi dia memikirkan benda yang sama dan sekarang, kedua-dua anaknya telah zahirkan apa yang terlintas dalam fikiran.

"Mak pun tak tahu. Dia tak cakap apa-apa pun dekat mak. Yalah, mak pun rasa dia pelik juga masa tu, tapi tak apalah. Kalau ada sesuatu pun, benda tu dah lama. Kita lupakan ajelah. Dia kan dah ada hidup baru. Dah ada ilmu. Wan juga cakap dia tak pernah buat masalah masa dekat sana, kan?"

Eqwan angguk. Ada beberapa kali dia singgah di sana bila ada urusan dan bertanya pada pelajar yang mengenali adiknya. Kenal yang tidak rapat.

Tanya yang rapat karang, disorok pula perangai hantu budak tu. Tapi peliknya adik dia tak berkawan sangat. Ada seorang dua aje kawan. Lebih banyak bersendiri. Kerana itu dia yakin, budak bertuah tu dah berubah.

"Yalah, mak. Jangan risau. Dia memang dah berubah. Wan bagi jaminan. Masa Wan pergi sana tahun lepas, dia memang bukan macam budak nakal yang pernah kita kenal dulu."

"Wan yakin ke?" Enita masih susah nak percaya.

"Kak Ita jangan risaulah." Eqwan senyum lebar bagi menghilangkan resah kakaknya.

Yalah, dia dengan Kak Enita beza tiga tahun. Dengan adiknya beza sedekad. Memang susah nak kawal adiknya masa tu kerana dia terlalu sibuk membina kerjaya. Lagipun, anak muda seusia itu nak dikawal... Memang akan memberontak. Keadaan akan jadi lebih teruk.

"Memang dia pernah buat salah. Tapi itu dulu. Setiap orang kan ada masa lalu. Ini dah lima tahun, kak. Kita bagi dia ruang dan peluang. Wan boleh nampak dia dah lama mula hidup baru..." Bukanlah Eqwan nak sedapkan hati kakak dan mak, tapi memang itu kenyataannya.

Dia jarang salah tengok orang. Nak-nak pula budak tu adik sendiri. Darah daging sendiri. Paling tidak, jika orang lain tak sokong... Mereka sekeluarga perlu menyokong.

"Kak Ita kan, Wan... Memang susah nak percaya. Tambah pula hidup luar negara. Tak nak balik pula tu..."

Eqwan terus ketawa melihat mulut Kak Enita terjuih-juih membebel. Masih tak puas hati.

"Kita jangan judge orang, Kak Ita. Kita tunggu dia balik dulu..."

"Yalah. Kita tunggu dia balik. Entah-entah dia tu tak nak balik sebab lari daripada masalah sebelum ni tak, mak?" Mata Enita memandang pada Auntie Safiah.

Dahi mak berkerut. Eh eh budak Enita ni, punyalah marah adik sendiri, sampai ingat lagi semua benda yang dah jadi lima tahun lepas.

"Ita ni... Cubalah jangan buruk sangka macam tu," tegur mak. Dia lantas bangkit dan berlalu ke dapur.

Malas dia nak fikir biarpun hati seorang ibu memang dah dapat agak, anak itu lari daripada sesuatu. Cuma, tak pasti apa. Jika ya ada... Perkara dah lepas. Abaikan ajelah.

Eqwan hanya menghantar mak berlalu dengan wajah keruh. Dia pandang semula pada Enita.

"Kak Ita ni la hai... Kan mak dah sedih."

Terpaksalah Enita sengih menyembunyikan rasa canggung. Dia terus bangkit dan melangkah ke dapur.

"Mak marah Ita?" soalnya perlahan sebaik saja dia berdiri di sisi mak yang sedang mengelap meja.

"Mana ada mak marah. Cuma mak rasa, tak adil nak hukum dia kalau betul pun dia salah. Mak harap, apa yang Wan cakap tu betullah. Dia dah berubah..." Fikiran Auntie Safiah jauh melayang.

Lima tahun lalu, wajah itu begitu bersih. Tiada siapa pun dapat jangka sikap di sebalik raut putih bersih, lembut dan kacak itu punyai satu perangai yang sukar untuk diduga.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co