Truyen3h.Co

THE REASON

Bab 4

karyaseni2u

"WAN AMMARA!"

Kepala Ammara mendongak. Terkejut. Terasa lelah nafas di dalam dada bila disergah dengan begitu kuat. Teruk betullah.

Wajah Fitri muncul depan mata. Tersengih.

"Kau ni... Tegur elok-elok boleh tak? Buatnya aku mati terkejut dekat sini, siapa nak jaga anak aku?!" Huh... Geram betullah.

Lelaki seorang ni mana pernah reti nak tegur dia baik-baik. Setiap kali pun mesti menyergah. Rasa nak baling stapler aje.

"Aku tengok kau tu kemain tunduk. Buat-buat sibuk ke apa? Bukan kau jenis tak sibuk ke?" Fitri gelak mengekek dapat kenakan Ammara.

"Aku memang sibuklah..."

"Yalah. Biasa aku datang kau tu sibuk tengok drama Korea la, drama Thailand la. Drama itu, ini..."

"Eleh... Cakap orang. Kau tu pun sama..."

"Aku buat masa aku tak sibuk. Lepas semua kerja aku siap..."

"Haaa... Aku pun samalah..." Ammara membela diri.

Bukan selalu pun dia tengok drama tu semua. Ada masa bila otak dah tak boleh nak cerna langsung pasal kerja, dia hanya tengok cerita tu sekejap aje. Lagipun, cerita tu semua dia dapat daripada Fitri juga.

"Kau tu supplier. Jangan nak buat innocent pula..."

Terus Fitri ketawa. Kelakarlah Ammara ni. Tapi macam mana kena kutuk pun, sekarang hanya dia dan Ammara orang yang paling lama berkhidmat di sini. Yang lain semua orang baru dan ada sesetengah tu susah betul nak ngam.

"Eh, Ara..." Fitri labuhkan duduk di depan Ammara.

"Hah! Apa cerita?" Ammara tunjuk minat.

"Kau tahu kan bos nak bersara dah tahun depan."

"Mestilah aku tahu. Aku kan assistant dia dah lama. Lagipun, ada benda yang bos tak tahu pun, aku lagi tahu. Tapi apa pula kaitan bos nak bersara awal tahun depan dengan kau?"

"Inilah aku nak cakap dekat kau. Aku nak minta tukarlah lepas bos bersara. Rasa tak bestlah nanti kalau tukar bos. Kan kita dah lama dengan dia."

"Kau nak pergi mana pula?" Ammara menyoal. Perlahan.

"Mungkin aku masuk team projek khas kut..."

"Yalah, kan. Aku pun rasa nak tukar ke team projek dua juga la..."

"Kan..." Fitri tiba-tiba ketawa.

"Kenapa kau gelak?" Ammara buat muka. Ada lagilah tu nak kenakan aku.

"Aku rasa kau kena kahwinlah, Ara."

Heh. Ammara mencebik. Dah agak dah. Memang itu yang Fitri nak cakap. Rasanya setiap kali pun, Fitri akan ungkit perkara ni.

"Kau dah tiga puluh tiga. Sampai bila kau..."

"Fitri..." Ammara menyekat suara Fitri.

"Kau tahu kan, kau yang aku paling rapat dekat ofis ni. Dengan kau aje aku boleh bergurau kasar. Tapi kau juga tahu aku ada anak, kan? Ingat senang nak cari orang yang nak ibu tunggal macam aku ni?" Nada suara Ammara dah berubah serius.

"Ada yang nak. Kau tu aje yang tak pandang orang," sindir Fitri.

Macamlah dia tak tahu perangai Ammara ni. Jarang sangat nak melayan orang. Rasanya selain kerja, Ammara memang jarang bercampur. Lebih banyak diam di bilik sendiri. Kadang-kadang, kalau ada makan-makan pun kena paksa baru Ammara datang. Dulu, Ammara lain. Wan Ammara yang dia kenal adalah seorang periang. Sebab tu dia boleh masuk kepala dengan Ammara.

Orang kata, sama-sama masuk air. Macam mana pun dia mengusik Ammara, Ammara hanya buat tak tahu. Malah, bukan sekali dia dengar Ammara diherdik dan dihina. Katanya, Amaris tiada berbapa. Kala itu, dia pandang mata Ammara yang merah menahan tangis. Tapi tidak membalas apa-apa.

"Ini aku nak tanya... Kau dulu bukan macam ni. Biasanya kalau kau tak salah dan orang fitnah kau, kau ada seribu satu cara untuk buktikan semua tu. Kenapa beberapa tahun ni, kau terima aje orang cakap bukan-bukan tentang kau, Ara?" Risau pula Fitri tengok Ammara ni.

Ammara tunduk. Senyum sendiri. Kenapalah Fitri ni nak kacau emosi dia hari ni? Dia dahlah terkejut bila Amaris menangis malam tadi.

"Kenapa aku nak nafi, Fit? Aku boleh aje cakap tak, tapi sejauh mana orang nak percaya? Mungkin mereka akan berhenti kejap tapi lepas tu mereka akan cakap lagi dan lagi dan lagi. Sama aje. Nak aku mengamuk... Lepas tu rosakkan suasana ofis? Kau rasa aku sampai hati nak bagi bos canggung dengan semua ni?"

"Jadinya, kau terima ajelah bulat-bulat?" Fitri nampak tak puas hati. Biasanya, dia yang backup Ammara. Cuma kadang-kadang tu geram. Perempuan ni senyap aje. Dia pula jadi sudu. Lebih daripada kuah.

"Kau tak tahu apa-apa, Fit. Jangan risau. Aku tahu kau kawan yang baik tapi aku terima semua ni sebagai salah satu cara Tuhan hukum aku atas sebab dosa-dosa yang dah aku lakukan dalam sedar atau tak..." jawab Ammara perlahan.

"Itulah kau... Haih... Geram aku..." Fitri sudah ketap gigi.

Ammara senyum.

"Eh, aku tak naklah cakap pasal ni. Aku nak half-day ni. Anak aku demam malam tadi. Cuma pagi tadi dah elok, aku hantar dia ke sekolah juga. Aku janji nak jemput dia awal. Lagipun, aku nak keluar ni pergi KL Sentral kejap..."

"Lor... Kata anak demam, nak pergi KL Sentral buat apa lagi?"

"Bos nak tukar tiket flight untuk anak dia. Aku dah call tapi susah nak angkatlah pula. Aku pergi tanya dekat kaunter teruslah."

"Kau ni, Ara... Rajin sangat."

"Bukan masalah rajin. Tapi dah tanggungjawab aku..." Senyuman Ammara tawar.

Fitri juga sama. Rasa bersalah menjerut leher. Boleh jadi salah masa dia nak bangkitkan perkara dengan Ammara kerana anaknya tak sihat. Kerana dia tahu, Ammara begitu sensitif tentang Amaris.

"Kau balik ajelah terus. Tak payah pergi. Bos tu biarlah dulu."

"Tak boleh. Aku singgah KL Sentral kejap sebelum balik. Nanti kau tolong cover untuk aku, ya? Aku dah cakap dekat bos aku nak half-day..." Ammara dah siap mengemas beg. Dia terus bangkit meninggalkan Fitri yang masih duduk di biliknya.

"Jangan lupa tutup lampu dan kunci pintu bilik aku tu, weh..." Sempat lagi Ammara bersuara semasa dia punch card untuk keluar.

"Yalah. Kau jangan risaulah. Aku tolong cover kau..." balas Fitri pula.

Ammara senyum. Biasa dia tak sensitif macam ni, tapi boleh jadi sebab risaukan Amaris, dia sedikit terasa hati dengan kata-kata Fitri.

Usah kata nak bina satu perkahwinan, nak bercerita tentang lelaki pun dia takut. Apatah lagi mahu membela diri yang nyata pernah silap. Dia memang tak mahu. Dia benar-benar telah serik. Cukuplah sekali dan dia tak mahu lukakan diri sendiri sekali lagi. Dalam hidupnya sekarang, selain Fitri kawan lelakinya di pejabat, dia hanya ada abangnya seorang saja.

Kata rakan-rakan di pejabat, dia begitu ego dengan diri sendiri. Sedangkan manusia itu dicipta berpasangan namun tidak pada dia. Pasangannya adalah Amaris. Dia akan hambakan diri sepenuhnya pada Tuhan, keluarga dan Amaris. Dia tak akan tamak. Sepertimana yang pernah dia lakukan sebelum ini.

"Kau ni memang tak pernah sukakan lelaki ke, Ara?" Soalan daripada kawan ofis pada suatu ketika tu, dia hanya terima dengan senyuman.

Tak. Bukan tak pernah malah dia begitu mencintai hingga hilang segalanya. Hingga hidupnya berubah sepenuhnya. Kesan yang dia galas, masih begitu berat. Langsung tak kurang rasa berat itu tapi dia terima semua itu sebagai suatu harga yang dia perlu bayar atas kejahilan sendiri.

Dan, satu per satu... Kisah lalu itu hadir mengejarnya. Hinggakan dia sendiri sudah tidak tahu, mana lagi harus dia bersembunyi.

Air mata Ammara jatuh lagi.

Api kesal itu tak pernah padam daripada membakar tubuhnya.

Hingga ke hembusan nafas yang terakhirnya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co