Truyen3h.Co

Tiada Noktah Cinta

Bab 4

karyaseni2u

"KITA dah boleh mula buka jualan, Meen?" tanya Datuk Borhan sambil meneliti fail yang baru dibawa oleh Jasmeen.

"Minggu depan dah boleh buat majlis pembukaan itu. Meen dah aturkan semua. Iklan dan brosur dah mula diedarkan. Kita tunggu feedback dari bakal pembeli-pembeli kita. Buat majlis di ruang legar bangunan pejabat kita pun sesuai, pak long. Tempat terbuka."

Datuk Borhan mengangguk.

"Buat sekali jamuan kecil untuk bakal-bakal pembeli dan kawan-kawan yang akan datang," cadang Datuk Borhan.

"Dah tentu. Ada jamuan ringan, minuman dan snek. Meen dah buat bajet dengan pihak kewangan dan uruskan katering. Semuanya berjalan lancar, pak long."

"Alhamdulillah."

Terdengar ketukan di muka pintu bilik kerja Datuk Borhan yang bertutup rapat. Lelaki itu menjawab, menyuruh tetamunya masuk. Amsyar muncul dan berjalan ke meja Datuk Borhan. Dia hanya menjeling sekilas wajah Jasmeen. Gadis itu pura-pura tidak melihat kehadiran Amsyar. Tangannya pantas menyusun kertas-kertas yang berselerak di atas meja dan menyumbatkannya ke dalam fail. Jasmeen bersedia untuk meninggalkan bilik Datuk Borhan.

"Amsyar, duduklah," pelawa Datuk Borhan.

"Maaf, saya datang terlalu awal ke? Datuk masih ada perbincangan?"

"Tak... tak, dah selesai. Meen, semuanya lancar, kan?"

"Ya, lancar pak long. Jangan bimbang. Meen dah urus semua. Pastikan pak long ada masa majlis itu nanti. Meen juga dah sediakan teks ucapan pak long."

"Jangan panjang-panjang teks ucapan itu, Meen."

"Ringkas aja, pak long. Semua maklumat pasal belian dan lain-lain sudah disertakan dalam brosur. Lagipun nanti semua pegawai pemasaran akan turun padang untuk layan pertanyaan bakal pembeli kita."

"Baik. Bagus," kata Datuk Borhan sambil tertawa kecil. Dia puas hati dengan kerja-kerja Jasmeen.

"Amsyar, nanti kau pun datang ke majlis pembukaan tu. Tuliskan sikit berita tentang penjualan rumah-rumah mewah dan sederhana yang syarikat aku tawarkan. Kalau kau juga berminat nak beli rumah, aku akan beri kau harga istimewa. Kalau ada jodoh, kau nak settle down. Rumah dah ada," kata Datuk Borhan lalu meminta Jasmeen memberikan Amsyar brosur dan iklan kepada Amsyar.

Jasmeen diam tetapi tangannya menghulur brosur kepada lelaki itu. Amsyar menyambutnya.

"Terima kasih," ucapnya spontan.

Jasmeen sekadar membalas dengan anggukan. Dia berpaling pada Datuk Borhan, meminta diri dengan tertib dan sopan. Amsyar diam sahaja. Dia tidak menyangka Jasmeen sedingin itu meskipun mereka pernah bertemu. Gadis itu seperti tidak suka padanya.

Setelah Jasmeen keluar, Datuk Borhan memandang Amsyar dan berkata; "Aku serius bila aku kata, kau harus beli rumah, Amsyar. Ini masa yang tepat. Rumah yang akan ditawarkan tu di kawasan strategik dan harga pun berpatutan. Kau punya pasal, dah tentu aku bagi harga yang bagus."

"Entahlah Datuk, saya belum ada duit yang banyak untuk buat deposit rumah. Masih mengumpul duit. Maklumlah duduk di bandar besar ini semua barang mahal. Harga barang-barang pun bukan main sekarang ni."

"Ya, betul. Harga barang melambung. Aku setuju dengan kau. Amsyar, aku nak beri kau maklumat sedikit. Kau tulislah tentang perkara ini. Sebab aku baru dapat info. Kau wartawan yang berani dan lantang," kata Datuk Borhan sambil membuka laci meja di sebelah kanannya. Dia mengeluarkan sebuah fail yang terikat dengan tali. Agak tebal juga isi fail itu.

"Kau bawa balik rumah, baca semua info dalam fail ini. Mana-mana yang kau boleh jadikan bahan penulisan dan artikel, kau ambil dan tulis. Cuma sumber dari mana kau dapat maklumat, jangan kau dedahkan," kata Datuk Borhan sambil tersenyum kecil.

"Aku percaya pada kau. Info ini sebenarnya sulit dan hanya orang yang boleh dipercayai sahaja yang aku sanggup kongsi. Aku harap kau tapislah dahulu apa-apa jua yang boleh dan tidak boleh dikeluarkan sebagai bahan dalam tulisan-tulisan kau, Amsyar. Aku bukan nak suruh kau tulis semuanya. Kau ambil yang terbaik, yang tak akan jejaskan nama baik kau dan nama baik aku."

"Baik, Datuk. Terima kasih kerana percayakan saya. Ya, saya akan teliti dulu semua isinya. Sebelum saya keluarkannya nanti, saya akan dapatkan persetujuan Datuk dulu."

"Bagus, itu yang aku nak dengar."

"Isu rasuah ini isu besar, Amsyar. Sebab kau pun berminat nak tulis dan membanteras rasuah melalui penulisan sebab itulah aku kongsikan maklumat. Aku tahu, bukan mudah nak banteras rasuah ini dari berlaku dan berleluasa. Bukan kerja mudah bila ia dah jadi amalan. Cuma kita harapkan, ia dapat dibanteras secara beransur-ansur."

"Apa yang kita perlukan adalah pemimpin yang jujur," balas Amsyar.

"Ya, aku setuju. Tapi kalau pemimpin sahaja yang jujur, tapi rakyat masih mengamalkan rasuah dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara, tidak guna juga, kan? Perjuangan kau melalui penulisan akan jadi satu perjuangan yang sia-sia."

"Ya," balas Amsyar sambil menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya.

"Pendapat saya, kalau kita ada kesedaran yang tinggi dan kesedaran itu berjaya diterapkan dari puncak hingga ke dasar akar umbinya, tidak mustahil suatu hari nanti negara kita yang tercinta ini akan bebas dari rasuah."

Datuk Borhan senyum lagi. Terselit rasa gembira dalam hati. Dia yakin Amsyar seorang anak muda yang jujur dalam kerjayanya dan akan menempa kejayaan yang besar dalam bidang penulisan.

"Berapa lama kau dah jadi wartawan, Amsyar?"

"Sebaik tamat belajar di universiti, Datuk. Kira-kira lapan tahun yang lalu," beritahu Amsyar.

Datuk Borhan mengangguk.

"Bermakna sudah lapan tahun bekerja, sudah kukuh dari segi kewangan."

Amsyar mengeluh. "Bolehlah. Dulu saya kerja dengan majalah yang syarikatnya kecil sahaja. Melingkup pula syarikat itu tidak sampai dua tahun beroperasi. Beberapa bulan juga saya menganggur. Mujur ada duit simpanan. Puas juga buat kerja sambilan, ambil upah menulis atau jadi ghostwriter sebelum Datuk Rahim tawar untuk kerja dengan dia."

"Rahim bagus. Aku tahu, dia jaga pekerja dia dengan baik."

"Setakat ini bagi saya okeylah, Datuk. Kami tidak pernah lambat dapat gaji. Ada bonus tahunan lagi. Saya rasa selesa dan tak akan berhenti kerja selagi diperlukan."

"Tak ada cita-cita nak buka syarikat penerbitan sendiri?"

"Dah tentu ada. Tapi bukan nak buka syarikat penerbitan yang amat tinggi risikonya. Saya hanya nak buka book cafe. Kedai buku dan kafe, tempat orang singgah, lepak minum kopi dan makan kek keju. Tempat saya akan melakukan aktiviti sastera, macam baca sajak pada hujung minggu ataupun membaca fragmen novel dari novel-novel yang paling laris," kata Amsyar sambil tersenyum kecil.

"Insya-Allah. Aku dahulu pun bermula dari bawah juga, bukan terus berjaya macam hari ini," kata Datuk Borhan.

"Hmmm, dah hampir pukul satu. Kau ada assignment ke? Kalau tak ada, boleh ikut aku makan tengah hari. Aku nak jumpa beberapa orang rakan parti. Boleh kau join sekali."

"Tak ada masalah, Datuk. Saya suka dengar orang-orang politik bersembang," jawab Amsyar sambil tertawa kecil.

"Boleh buat modal menulis."

Datuk Borhan ketawa.

"Banyak modal kau nanti, Amsyar. Sembang berdegar-degar. Business semua juta-juta. Perempuan pun jangan cakaplah. Sentiasa masuk dalam agenda." Lelaki itu meneruskan gelak berdekah-dekah.

Tiba-tiba telefon bimbit Amsyar bergetar dan berbunyi. Amsyar meminta maaf untuk menjawab panggilan. Dahinya berkerut tatkala melihat nama Aini.

"Ya Aini, kenapa?"

"Nenek jatuh di dapur, abang!"

"Jatuh? Teruk ke?"

"Tak boleh bangun. Aini takut, kakinya patah. Aini tak tahu nak buat apa. Abah Aini tak ada kat rumah. Emak Aini pula pergi pasar Chow Kit belum balik lagi."

"Okey. Abang balik sekarang. Kau temankan nenek sekejap, boleh?"

"Boleh."

Amsyar terus menutup panggilan sambil berpaling ke arah Datuk Borhan.

"Maaf, saya tak boleh ikut Datuk makan tengah hari. Nenek saya jatuh. Saya harus bawa dia ke klinik."

"Okey, tak mengapa Amsyar. Pergilah tolong nenek kau segera."

"Minta diri dulu." Amsyar bangun, bergerak ke pintu dengan pantas.

Dia setengah berlari menghala ke pintu utama syarikat Datuk Borhan. Langkahnya besar dan panjang menghala ke lif. Dia nampak pintu lif separuh tertutup, pantas dia mengejar dan menjerit agak kuat; "Tunggu! Tunggu!"

Pintu ternganga semula dan dia melompat masuk seperti seekor kijang yang ingin meloloskan diri dari perangkap. Spontan matanya nampak wajah Jasmeen dan teman sepejabat berada di dalam lif. Amsyar berdiri di hadapan mereka tanpa suara. Kedua-dua gadis itu juga membisu sepanjang berada di dalam gawang lif. Beberapa saat sahaja lif sudah pun berada di lantai lobi bangunan yang tersergam indah itu. Panjang dan laju langkah Amsyar keluar dari bangunan menghala ke tempat parkir.

Dia masuk ke kereta dan memandu pergi. Mujurlah Jalan Ampang tidak dilanda jem seperti hari-hari biasa. Perjalanan menuju ke Kampung Baru lancar. Sekitar lima belas minit dia sudah pun berada di hadapan rumah. Amsyar keluar dari kereta, membiarkan enjin keretanya menderam perlahan benar-benar di hadapan pintu pagar. Dia menolak pintu rumah sambil menyeru nama nenek.

"Nek! Nek!"

"Kami kat sini!" Aini menyahut dari arah dapur.

Amsyar melangkah laju menghala ke dapur. Nenek Timah duduk terkedang di atas lantai. Aini pula duduk di sisi Nenek Timah sambil memegang tangan wanita tua itu. Wajah Nenek Timah kelihatan sedikit pucat, dahinya yang sedia berlapis-lapis itu kelihatan bertambah tebal kerutannya akibat menahan sakit.

"Macam mana boleh jatuh, nek?" tanya Amsyar.

"Dah memang nak malang. Apa boleh buat," balas Nenek Timah ringkas, enggan bercerita bagaimana dia boleh terjatuh.

Amsyar mengangkat Nenek Timah supaya berdiri. Tubuh Nenek Timah kurus dan kecil sahaja. Tetapi sebaik sahaja Amsyar membawa tubuh Nenek Timah berdiri, dia mengaduh sakit. Kaki sebelah kanan tidak mampu ditegakkan. Terlalu sakit hingga dia menjerit. Kedua-dua tangan berpaut pada tubuh Amsyar yang tegap dan sasa itu.

"Kaki nenek patah agaknya?" tanya Aini menunjukkan wajah bimbang.

"Kita ke klinik, nek," kata Amsyar sambil mencempung tubuh kecil neneknya menghala ke luar. Aini mengikut mereka hingga ke pintu hadapan.

"Nenek nak Aini temankan ke klinik?"

"Tak apa, Aini. Kau tolong tutupkan pintu dapur dan pintu depan," pinta Amsyar.

"Okey, bang. Tapi kalau nenek nak Aini temankan, Aini ikut."

"Janganlah. Nanti mak ayah kau marah kau pergi mereka tak tahu," kata Amsyar lagi.

Nenek hanya mengaduh perlahan dengan dahi berkerut. Amsyar membawa nenek masuk ke dalam kereta.

"Aini, kau ambilkan tudung nenek!" jerit nenek dari dalam kereta.

Ah, nenek ini suka-suka hati sahaja memerintah anak dara orang, rungut Amsyar dalam hatinya sahaja.

Aini tergopoh-gapah masuk semula ke dalam rumah, mengambil tudung Nenek Timah dan menyerahkannya kepada wanita tua itu. Dalam kesakitan, Nenek Timah sempat lagi tersenyum puas melihat Aini membawakan dia tudung hitam kesukaannya.

Amsyar terus memusing kereta, menghala ke jalan utama. Dia memandu kereta laju menuju ke klinik terdekat.

Beberapa jam kemudian, Amsyar membawa Nenek Timah pulang. Wanita tua itu tersandar lemah di kusyen kereta. Sekali-sekala Nenek Timah memandang kakinya yang berbalut dan bersimen. Tidak disangka kakinya bukan hanya terseliuh tapi juga patah. Padahal dia tergelincir sedikit sahaja kerana tidak menyedari ada air bertakung di lantai dapur.

"Macam mana boleh jatuh, nek?" tanya Amsyar ingin tahu kerana dia kurang jelas bagaimana neneknya boleh jatuh hingga patah kaki begitu.

"Subuh tadi kan hujan lebat. Rupanya ada atap dapur bocor. Patutlah nenek tengok siling tu basah. Rupanya di lantai penuh air. Nenek yang salah, kurang hati-hati. Mata pula tak berapa nampak. Jatuh macam nangka busuklah. Apa lagi..." cerita Nenek Timah.

"Mujur Aini dengar nenek menjerit. Terus dia datang jenguk."

Amsyar sekadar mengangguk walaupun dia ingin meleteri nenek. Dia mahu neneknya menjaga diri kerana dia sangat sayangkan neneknya itu. Neneknya itu memang sudah tua, hampir tujuh puluh lima tahun, namun masih gagah ke dapur, memasak untuk Amsyar setiap pagi meskipun Amsyar melarang.

"Selepas ini tak payah masak lagi, nek. Biar Am beli saja. Nenek rehat."

"Memang nenek tak larat masak seminggu dua ni. Tengoklah kaki dah bersimen gini. Nak bergerak pun susah," rungut Nenek Timah.

"Ada tongkat ketiak. Kan tadi dah beli tongkat siap-siap untuk memudahkan nenek ke bilik air," kata Amsyar seolah-olah mengingatkan.

"Macam mana nenek nak solat dengan kaki bersimen gini?"

"Tayamum, nek," kata Amsyar ringkas.

"Banyaklah tayamum. Mana nak dicari debu dan pasir. Sini tak nampak tanah. Semua dah ditutup simen. Bukan seperti masa kita di kampung dulu," rungut Nenek Timah lagi.

"Nanti Am usahakanlah. Jangan nenek bimbang," kata Amsyar meyakinkan neneknya.

"Nenek tak nak tinggalkan sembahyang. Dah tua, tak sembahyang pula. Mahu ke neraka aku perginya nanti..." rungut Nenek Timah antara dengar dan tidak.

"Nenek, jangan cakap gitu. Bukan sengaja nenek tak mahu solat. Kan ada alasannya. Allah Maha Mengetahui."

"Nenek ingat nenek dah nak mati tadi. Tak boleh bangun, sakit satu badan rasanya. Mujur ada Aini datang temankan nenek," kata Nenek Timah.

Niat dalam hatinya ingin memuji-muji Aini supaya Amsyar menyukai gadis itu.

"Ya, syukur."

"Aini itu sangat baik. Nenek sayangkan dia seperti cucu sendiri."

Amsyar menjeling neneknya kemudian senyum kecil.

"Jadi Amsyar ni nenek dah tak sayang lagi! Sejak ada Aini," balas Amsyar.

"Bagus juga kalau kau kahwin dengan Aini. Ada orang jaga nenek bila kau pergi kerja. Kerja kau itu tak tentu masa, balik pun malam-malam buta."

"Nek!" Tekak Amsyar terus kering mendengar kata-kata neneknya.

Sudahlah perut berkeroncong kerana belum sempat diisi. Jam sudah hampir pukul empat petang. Amsyar berhasrat ingin singgah membeli nasi bungkus tetapi nenek enggan. Dia hanya ingin balik dan berehat di atas tilamnya sendiri. Dia sudah terlalu penat dan ingin tidur sahaja.

"Tapi nenek mesti makan. Nanti perut masuk angin."

Nenek Timah yakin Aini sudah pun memasak untuk mereka. Jadi, mereka tidak perlu singgah untuk membeli apa-apa. Dan benar jangkaan nenek. Di bawah tudung saji sudah tersedia segala lauk-pauk dan semangkuk besar nasi. Aini tidak menunggu kepulangan mereka. Mungkin Aini tahu nenek ingin berehat. Jadi dia hanya menghantar makanan. Hasrat hatinya hanyalah ingin nenek rasa disayangi dan dihargai. Selebihnya dia ingin Amsyar merasakan sifat prihatin yang bersalut sekelumit cinta. Cinta yang penuh rahsia.

"Kan nenek dah kata, tak perlu beli apa-apa," kata Nenek Timah tersenyum sambil meletakkan tongkat ketiaknya ke dinding. Dia duduk di kerusi dengan susah payah, mengimbangi sebelah kaki yang bersalut simen.

Amsyar diam sahaja. Dia mengambil pinggan dan mulai mengisi nasi.


"NEK," seru Aini dengan lembut dari arah pintu dapur yang baru dibuka dari luar.

"Nenek dalam bilik, Aini," jawab Nenek Timah.

Aini menjengukkan wajahnya ke dalam bilik Nenek Timah. Bau harum bedak yang dibawa angin mengitari ruang bilik kecil Nenek Timah. Wajah Aini kelihatan bersih berseri-seri. Dia baru lepas mandi petang.

"Abang Am dah keluar?"

Nenek Timah mengangguk.

"Lepas makan tadi, dia terus keluar. Katanya ada kerja belum siap."

"Masuklah, Aini. Mari duduk sini!" kata Nenek Timah sambil menepuk tilam di sisinya.

"Apa kata doktor, nek? Bersimen kaki nenek ni. Maknanya patah tulang?"

Nenek mengangguk.

"Mujur terus pergi ke klinik," kata Nenek Timah.

"Moga cepat sembuh, nek," doa Aini.

Nenek Timah mengangguk.

"Nenek jangan bimbang. Selagi nenek tak sembuh, Aini akan selalu datang, tolong nenek apa yang patut."

"Tak apa, Aini. Amsyar ada. Nenek takut marah pula mak ayah kau nanti kalau selalu sangat ke sini."

"Ala, nenek. Memang Aini setiap hari ke sini bersembang dengan nenek. Mak tak marah. Hanya ayah saja yang akan tegur kalau dia tahu Aini kerap datang. Nenek tak usah bimbang. Ayah bukan selalu ada kat rumah."

"Nanti kerja-kerja kau di rumah tergendala pula."

Aini tertawa kecil.

"Tak banyak kerja, nenek. Aini hanya bersihkan bilik tidur Aini sahaja setiap hari. Lepas tu tolong emak memasak. Selebihnya Aini main telefon atau tengok televisyen. Apa lagi yang Aini boleh buat?"

Nenek tersenyum sambil menghulur tangannya dan menggenggam tangan Aini yang lembut dan gebu.

"Kau sangat baik, Aini. Siapalah agaknya lelaki yang bertuah, yang akan jadi suami kau?"

"Aini tak ada teman lelaki, nenek. Soal jodoh itu Aini serahkan sahaja pada takdir Tuhan."

"Setahu nenek, Abang Amsyar kau itu pun tak ada teman wanita. Tak pernah dia bawa perempuan perkenalkan pada nenek. Kadang-kadang nenek risau juga. Umurnya sudah tiga puluh satu tahun. Entah bila dia mahu kahwin. Duit simpanan entah ada entah tidak. Zaman sekarang ini kalau mahu kahwin bukan mudah. Tidak ada dua puluh ribu, tak payahlah meminang anak dara orang," kata Nenek Timah meluahkan segala kebimbangan dan kegusarannya.

"Entahlah, nek. Aini tak tahulah semua tu," jawab Aini sambil menggigit bibirnya.

Bagi aku kahwin koboi pun tak mengapa, asalkan dengan Abang Amsyar. Kata-kata itu hanya dituturkan dalam hati sahaja.

"Nenek mahu minum kopi? Aini buatkan, ya? Tadi Aini ada bawa kuih kasui. Mak buat kuih kasui petang ini."

"Sedapnya kuih kasui. Kegemaran Abang Amsyar kau kuih tu."

"Aini tahu," balas Aini.

"Tunggu sekejap, Aini buat air kopi untuk nenek."

Nenek Timah mengangguk. Hatinya senang atas layanan mesra Aini. Makin menggebu hasrat dalam hatinya ingin menjodohkan Amsyar dengan Aini.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co