Bab 5
JASMEEN memerhati Puan Nazirah menyembur minyak wangi di pergelangan tangan. Ibunya menyanyi kecil, entah lagu apa. Jasmeen tidak tahu ibunya cenderung untuk menyanyi lagu-lagu lama. Tetapi dia dapat jua menangkap liriknya. Suara Puan Nazirah agak merdu dan lagu yang dibawa itu sesuai dengan dirinya.
"Abang sayang, abang di mana. Hatiku risau mengenang dikau..."
Jasmeen senyum sendiri. Seronok dapat mengintai ibunya tanpa diketahui wanita itu. Puan Nazirah masih membelek wajahnya buat kali terakhir sebelum meninggalkan cermin besar di dalam bilik tidurnya itu.
"Mama nak keluar?" tanya Jasmeen sambil tersengih lebar.
Puan Nazirah menoleh, terkejut melihat Jasmeen yang sudah pun berdiri di ambang pintu biliknya yang ternganga.
"Dah berapa lama kau intai mama?"
"Hmmm, taklah lama sangat," jawab Jasmeen sambil tersengih lalu menyanyi secebis lagu yang didengarnya tadi. Kemudian tergelak kecil.
"Hai mama, lain macam saja Meen dengar lagu. Ada apa-apa ke?" usik Jasmeen sambil bergerak ke arah katil ibunya. Katil bersaiz queen itu ditutupi cadar dan comforter mahal. Terlihat indah bagaikan katil di hotel lima bintang.
"Sebenarnya, mama nak keluar jumpa kawan," jawab Puan Nazirah sambil tersenyum kecil, tidak ingin memperlihat wajah teruja.
Dia memang ingin bertemu dengan teman mayanya yang bernama Jebat malam itu. Ada sedikit debar yang melanda dadanya saat ini. Sudah beberapa bulan mereka berhubung melalui talian maya. Sudah agak mesra berchit-chat, bergurau senda dan usik-mengusik. Dia tidak mengerti mengapa dia begitu cepat mesra dengan jejaka itu.
Dia hanya mengikut rentak yang dimainkan sang jejaka bernama Jebat.
"Mesti kawan tu lelaki. Jubah penuh labuci dan pakai tudung rapi. Solekan lagi. Huh... Masih bergetah mama ni. Mengalahkan Meen pulak."
"Ala, Meen... Kasi peluanglah sekali-sekala. Kau juga yang kata mama sudah lama hidup sendiri. Patut cari pengganti."
"Suka hati mamalah. Janji mama bahagia."
Jasmeen mengikut Puan Nazirah turun ke tingkat bawah. Dia menghantar ibunya hingga ke muka pintu hadapan rumah teres dua tingkat itu. Puan Nazirah melambai riang semasa sudah masuk ke dalam kereta. Jasmeen ditinggalkannya sendirian. Dia memerhati ruang hadapan rumah yang lengang sebelum menutup pintu. Tiba-tiba dia rasa sunyi, rasa ditinggalkan ibu tersayang yang keluar untuk bertemu seseorang. Mungkin lelaki itu akan menjadi bapa tirinya suatu hari kelak.
KAFE itu kelihatan terang benderang, bergemerlapan indah dengan lampu pelbagai warna. Puan Nazirah meninggalkan keretanya di ruang parkir hadapan kafe, lalu terus mengatur langkah dengan teratur menghala ke pintu utama. Sebaik pintu dibuka, dia terus disambut seorang petugas lelaki yang berdasi kupu-kupu dan berkemeja putih. Kemas dan kacak.
"Ada buat tempahan, puan?" tanya penyambut tetamu.
"Ya, ada. Atas nama Jebat?" Suara Puan Nazirah seperti tidak yakin tatkala menyebut nama itu.
"Baik, ikut saya."
Puan Nazirah mengekori penyambut tetamu yang berjalan tertib memasuki ruang kafe. Meja-meja yang diletakkan dengan teratur kelihatan agak penuh. Bunyi sudu dan garpu saling berdentingan, berlaga dengan pinggan. Kebanyakan pelanggan sedang menikmati makan malam. Bau yang enak turut menyentuh deria rasa, membuat perut terasa sedikit lapar. Ditambah pula dengan dadanya yang berdebar tidak keruan, dia rasa agak kekok.
Namun langkah diteruskan jua mengekori penyambut tetamu. Anak muda itu berhenti di tepi sebuah meja sambil menundukkan sedikit kepala dan tersenyum ke arah Puan Nazirah. Lelaki yang duduk membelakangi Puan Nazirah segera bangun, berdiri dan berpaling dengan penuh hemat ke arahnya. Mata mereka bertaut lalu tanpa sedar senyuman mekar di bibir masing-masing.
"Silakan," kata Jebat sambil menghulurkan tangan ke arah kerusi di hadapannya.
Tidak semena-mena Jebat bangun, menarik kerusi untuk Puan Nazirah dan menyorongnya ke arah meja dengan cermat sebaik sahaja punggung wanita itu mencecah tempat duduk.
"Terima kasih," balas Puan Nazirah.
Dia ingin beraksi setenang mungkin walaupun dadanya berdebar dan tidak keruan. Lagaknya seperti seorang gadis yang baru menemui cinta dan lelaki pertama yang mengajaknya keluar berkencan.
"Jem ke jalan ke sini tadi?" tanya Jebat, tanpa sedikit rasa kekok. Dia senyum mesra. Matanya kelihatan bercahaya.
Puan Nazirah turut senyum dan berkata; "Lancar."
"Bagus, biasanya malam minggu ramai yang keluar," balas Jebat.
Tiba-tiba pelayan datang menghantar menu dan mereka memilih makanan.
"Terima kasih sudi terima pelawaan I untuk makan malam. I appericate it," kata Jebat.
Puan Nazirah mengangguk. Dia juga ingin berterima kasih kerana sudi membelanjanya makan malam di kafe yang kelihatan eksklusif itu. Namun kata-kata itu tidak terluah. Dia hanya memerhati sekeliling ruang kafe sebelum akhirnya mata singgah kembali ke wajah Jebat.
"Hmmm..." Dia mengangguk perlahan.
Mereka diam sejenak, kemudian Jebat berkata lagi bagi memecahkan kebisuan antara mereka.
"You nampak lebih muda di luar jika dibandingkan dalam gambar WhatsApp."
"Ah, tipulah. I dah tua," jawab Puan Nazirah dengan wajah yang merah. Segan apabila dipuji begitu.
"You terlalu muda jika dibandingkan di dalam gambar," komen Puan Nazirah.
Jebat hanya tertawa kecil dan berkata; "Rambut I banyak dah putih."
"Warna putih itu stylo," balas Puan Nazirah.
"Memangnya you jenis rambut yang mudah beruban?"
"Ya. Masa umur dua puluhan pun dah ada banyak uban," kata Jebat, langsung tidak memperlihatkan kekesalan.
"You muda lagi. Umur baru tiga puluh lima. Bukan macam I. I dah lima puluh satu."
"Umur hanyalah angka, Naz. Yang penting kita serasi dan selesa bersama," jawab Jebat.
"You selesa ke dengan I lepas kita jumpa? You tak rasa I jauh lebih tua daripada you? Enam belas tahun beza umur kita. Macam kakak dan adik. Atau emak dan anak."
"Jangan cakap gitu. Kan I dah kata umur hanyalah angka."
"Nama Jebat tu, nama betul ke?"
Jebat mengangguk.
"You nak tengok kad pengenalan I ke?" katanya sambil menyeluk poket seluar lalu mengeluarkan dompet. Dia menunjukkan kad pengenalannya di hadapan Puan Nazirah.
Benar, namanya memang Jebat. Jebat bin Tuah.
"Mesti ayah you peminat filem Melayu."
Jebat ketawa.
"Bukan ayah I. Tapi atuk I yang sebenarnya adalah orang yang pernah terlibat dalam industri perfileman Melayu zaman P. Ramlee di Jalan Ampas."
"Wow..." kata Puan Nazirah sepatah. Dia rasa kagum mendengar secebis lagi kisah hidup Jebat.
Mereka terus berbual-bual apabila makanan yang dipesan tiba di meja. Selepas acara makan, minum dan manisan, mereka masih meneruskan perbualan. Tiada sesiapa yang ingin beredar. Puan Nazirah melihat jam tangannya yang menunjukkan hampir pukul sebelas malam. Dia harus meminta diri untuk pulang walaupun esok dia tidak bekerja.
"I harap kita akan berjumpa lagi. Untuk makan malam dan berbual-bual. I seronok berbual-bual dengan you tentang filem dan lagu lama. Banyak yang you tahu tentang filem dan lagu lama, sama ada filem Malaysia dan barat," kata Jebat.
"Biasalah. Kan I orang lama," jawab Puan Nazirah sambil tertawa kecil.
Jebat tertawa sporting. Mereka sama-sama bergerak keluar, menuju ke arah kereta. Selepas berpamitan, akhirnya mereka pulang ke destinasi masing-masing.
"Lambat mama balik," kata Jasmeen yang sentiasa dalam debaran, menunggu kepulangan Puan Nazirah.
"Perjalanan saja dua jam, pergi dan balik. Sebenarnya jumpa taklah lama sangat. Sejam saja."
"Jadi macam mana orangnya, mama? Okey."
"Okey," jawab Puan Nazirah sepatah, tidak ingin memanjangkan cerita.
"Ceritalah. Mama enjoy tak?"
"Ah, kau ni. Sudah-sudahlah. Mama dah mengantuk."
"Mama, janganlah rahsiakan apa-apa dari Meen. Ceritalah."
"Kau tak pernah cerita pada mama hal-hal berkaitan dengan lelaki. Jadi bila hal mama, biarlah rahsia," balas Puan Nazirah sambil menapak naik ke tingkat atas.
Jasmeen mengekori ibunya menuju ke bilik tidur.
"Meen tak ada teman lelaki, mama. Sebab itulah Meen tak pernah cerita apa-apa. Meen bukan percaya pada lelaki. Mereka pembohong, suka putar belit, bodoh dan ambil kesempatan."
"Wah, itu dah lebih-lebih, Meen. Jangan lekas menjatuhkan hukum apabila kau belum bertemu dengan seorang pun lelaki. Kalau kau ada pengalaman yang pahit dengan mereka, bolehlah kau kata macam-macam. Apa pun berpada-padalah dalam berkata-kata. Takut nanti kata-kata makan tuan." Puan Nazirah seperti mengingatkan anak perempuannya.
Jasmeen terdiam. Dia mengakui sendiri, dia berlebih-lebihan dalam meletakkan hukuman terhadap lelaki.
"Okey, mama dah mengantuk. Kau pergi masuk bilik kau. Jangan kacau mama," kata Puan Nazirah sambil menutup pintu biliknya rapat-rapat lalu terus dikunci dari dalam.
Jasmeen terpaku sahaja. Wajahnya mulai cemberut, tidak puas hati.
"ABANG! Abang!" teriak Nadia dari seberang jalan.
Tergocoh-gocoh dia melintas dengan kasut tumit tinggi, separuh berlari ke arah Amsyar baru sahaja tiba di sisi keretanya. Dengan skirt ketat dan pendek, Nadia terkial-kial berlari mendekati Amsyar.
"Abang nak pergi mana?"
"Abang ada assignment," kata Amsyar berbohong.
Sebenarnya Amsyar hendak pergi makan tengah hari. Sejak pagi dia belum makan apa-apa. Banyak kerja yang perlu dia bereskan sepanjang pagi itu. Artikel dan berita yang akan dimuatkan esok masih banyak yang belum dibaca dan disunting.
"Diya ikut abang."
"Nak ikut abang pergi assignment buat apa? Kalau bos abang tahu, abang kena marah ni. Kerjaya abang akan terjejas. Tak pernah sesiapa ikut abang pergi assignment. Abang bukan nak pergi temu ramah mak cik goreng pisang tepi jalan. Abang nak pergi jumpa menteri," kata Amsyar lagi beria-ia.
Wajah Nadia terus lemah seperti ayam berak kapur. Sedikit sebanyak kasihan juga Amsyar melihat wajah Nadia begitu. Dia tidak sepatutnya membohongi wanita itu tetapi dia tiada jalan lain untuk melarikan diri. Memang dia sudah malas hendak melayani Nadia dan Mimi setelah mereka datang dan bergaduh di pejabatnya tempoh hari. Nama baiknya akan terjejas sekiranya hal itu berlaku lagi. Dia tidak pernah berjanji apa-apa dengan kedua-dua gadis itu. Tetapi mereka berdua tidak henti-henti mengejarnya walaupun dia menganggap mereka hanya kawan biasa sahaja.
"Petang nanti kalau abang free abang belanja minum kopi," katanya separuh memujuk sambil membuka pintu kereta.
"Maaflah, abang nak cepat." Dia terus masuk ke dalam kereta.
Nadia ditinggalkannya termangu-mangu di tepi jalan dalam panas terik matahari. Dia nampak Nadia menghentak-hentakkan kakinya beberapa kali ke atas batu kerikil jalan. Amsyar hanya senyum sendiri dan memandu laju meninggalkan kawasan pejabatnya. Dia tidak berhasrat hendak pulang cepat, bimbang Nadia menunggunya. Di dalam kepala mula membayangkan ingin mengunjungi Datuk Borhan di pejabatnya. Entah atas alasan apa dia ingin menemui Datuk Borhan kali ini, dia masih memikirkannya.
Sebenarnya dia bukan terlalu ingin bertemu dengan Datuk Borhan. Ada orang lain yang ingin dilihatnya di situ. Memandang dari jauh pun sudah mencukupi, walaupun tidak bertegur sapa. Itu sudah jadi satu kepuasan bagi Amsyar. Namun begitu hasrat Amsyar ingin bertandang ke pejabat Datuk Borhan tidak tercapai. Hasrat ingin memandang gadis yang mulai menghuni hatinya tidak terlaksana. Datuk Rahim meminta dia pulang ke pejabat sesegera mungkin. Ketika itu dia baru sahaja selesai makan tengah hari.
Amsyar terburu-buru kembali ke pejabat lalu terus menuju ke bilik Datuk Rahim.
"Amsyar. Duduklah," tegur Datuk Rahim sambil mulutnya dimuncungkan ke arah kerusi di hadapannya.
"Ya, Datuk," balas Amsyar sambil duduk dengan tertib.
"Aku tak tahu kau dapat maklumat dari mana atau daripada siapa, hingga kau tulis berita di portal berita web kita petang semalam," kata Datuk Rahim dengan wajah serius.
Amsyar diam. Dia mengerti segala maksud kata-kata bosnya itu.
"Aku mahu kau padamkan berita mengarut tu."
Amsyar diam lagi, tidak bersuara. Hanya matanya sahaja yang memandang tepat ke wajah Datuk Rahim. Wajah lelaki itu tegang, kelihatan dia sedang menyembunyikan kemarahannya.
"Kritikan sastera macam yang Affendi tu tulis pun boleh buat orang sastera marah, inikan pulak kritikan politik. Kau jangan sentuh lagi isu rasuah dan nama Datuk Don tu. Kau tak kenal Datuk Don itu siapa. Masak kau nanti! Aku hanya ingatkan kau sahaja, Amsyar."
"Tapi isu rasuah itu memang betul, Datuk. Saya ada bukti."
Datuk Rahim menggeleng.
"Jangan sentuh isu sensitif. Sebab Datuk Don tu juga kawan aku dalam business dan politik. Kau jangan jolok sarang tebuan. Aku tidak mahu juga staf aku memandai-mandai. Kau faham tak?"
"Faham, Datuk."
Panas telinga Amsyar mendengar kata-kata Datuk Rahim. Rasa bahang di wajahnya sudah tidak boleh disembunyikan lagi. Merah sudah pipinya. Namun matanya masih menentang mata Datuk Rahim. Dia tidak takut sekiranya dia diberhentikan kerja sekali pun. Amsyar yakin dia berada di pihak yang benar. Barangkali Datuk Rahim ingin menyembunyikan kebejatan rakan baiknya, Datuk Don.
"Okey. Kau boleh sambung kerja kau."
Amsyar bangun dan berjalan menuju ke pintu.
Namun sebelum dia keluar, Datuk Rahim berkata; "Dari mana sumber berita yang kau dapat tu? Aku harap kau beritahu aku kalau kau benar-benar sayangkan jawatan kau dalam syarikat ini."
Amsyar berpaling. Dia berdiri kaku sejenak kemudian berkata; "Saya tak akan menulis lagi tentang dia. Datuk jangan bimbang. Sumber berita itu saya dapat dari rakan wartawan juga," kata Amsyar berbohong meskipun sebenarnya dia dapat berita itu daripada Datuk Borhan.
"Siapa?" tanya Datuk Rahim.
"Hmmm, dah tak ingat."
Datuk Rahim tidak puas hati. Dia tahu Amsyar sengaja mengelak daripada memberitahu sumber maklumat yang diperolehi.
"Baiklah. Ini amaran pertama dan terakhir Amsyar. Ingat tu!"
Amsyar mengangguk dan berlalu keluar. Hatinya mendongkol, marah, geram, rimas semuanya bercampur baur membuat perutnya yang penuh terasa bergelora. Rasa ingin muntah. Dia kembali ke biliknya, meneruskan kerja yang ditinggalkan tanpa perasaan dan semangat yang berkobar-kobar seperti kebiasaannya. Amsyar pulang awal. Dia ingin melayani neneknya yang masih terkedang dengan kaki yang bersimen.
Sebelum pulang dia menghubungi Nenek Timah.
"Malam ini nenek nak makan apa?"
"Kau belikan nenek Nasi Lemak Wanjo. Dah lama tak makan," kata nenek dengan suara riang.
"Okey nek," balas Amsyar.
Amsyar singgah di restoran nasi lemak yang amat terkenal di Kampung Baru. Dia masuk ke dalam restoran dan beratur untuk mengambil makanan. Semasa sedang beratur, dia tidak sedar, Nadia berdiri di belakangnya. Saat dia menoleh, dia mendapati Nadia sedang tersenyum mesra sambil mencuit mesra bahunya.
"Abang!" tegur Nadia lunak.
Lagak dan gayanya ketika mendekati Amsyar seolah-olah dia ingin menerkam lalu memeluk lelaki itu. Tapi sebab ramai orang beratur di belakangnya, dia sekadar memegang bahu sahaja.
"Aik, macam mana kau ada kat sini?"
"Diya kasyaf tahu dengan pasti abang akan datang bungkus nasi lemak di sini, petang ini."
"Mengarut! Kau ikut abang? Tapi kenapa?"
Nadia mengekori Amsyar keluar dari dalam restoran. Ternyata dia tidak membeli apa-apa. Soalan Amsyar langsung tidak dijawab.
"Abang nak balik. Nenek abang pesan supaya belikan nasi lemak."
"Diya ikut? Diya nak berjumpa dengan nenek. Boleh berkenalan."
"Ah, tak bolehlah. Bukan masa yang sesuai, Nadia," kata Amsyar dengan wajah serius.
"Okey. Bila masa yang sesuai?" tanya Nadia separuh mendesak.
Amsyar diam sejenak kemudian mengajak Nadia masuk semula ke dalam restoran untuk minum, untuk mengelak daripada membawa Nadia bertemu nenek. Sudah beberapa kali dia menegaskan pada Nadia dan Mimi bahawa mereka hanya sekadar kawan. Amsyar perlu lebih tegas dalam meletakkan batas perhubungan antara mereka. Dia sudah muak dengan drama yang mereka berdua lakonkan. Selama ini dia hanya menganggap mereka berdua sebagai kawan sahaja.
Amsyar memesan jus oren dan Nadia memilih jus buah naga. Mereka duduk saling berhadapan. Nadia mengharapkan Amsyar akan memperkatakan tentang perasaan lelaki itu kepadanya lalu mengekalkan Mimi hanya sebagai kawan. Dia harus dipandang istimewa di mata Amsyar.
Amsyar menyedut minumannya dengan penuh nikmat sambil memerhati pelanggan yang kian ramai memenuhi Restoran Wanjo.
Bagaikan berjanji, tiba-tiba Mimi muncul di tepi meja mereka. Mata Amsyar terbelalak, terkejut dengan kehadiran gadis itu. Tanpa dijemput, Mimi duduk di sebelah Nadia. Dia merenung kedua-dua gadis itu tanpa suara.
"Sekarang, kami berdua dah ada kat depan abang ni. Abang pilihlah Diya ke Mimi?" soal Nadia tanpa sempat Amsyar berkata apa-apa.
"Eh, kenapa abang harus buat pilihan antara kamu berdua? Kamu ingat abang tengah pilih selipar kat pasar Chow Kit?"
"Jadi abang tak nak buat pilihan?"
"Memang taklah. Selama ni kita berkawan saja. Abang tak pernah beri harapan apa-apa pada Nadia ataupun pada kau, Mimi. Kenapa kau berdua desak abang buat keputusan? Macam kau orang letakkan pisau kat leher abang sedangkan abang tak bersalah."
Nadia dan Mimi saling berpandangan, kemudian sama-sama mencebirkan bibir. Di mata Amsyar, mereka berdua saling membenci. Mereka berdua sengaja mencipta perbalahan. Dia bukannya boneka yang patut direbut dan dimiliki oleh orang yang menang. Tidak. Dia ada pendirian yang tersendiri.
"Habis selama ni abang nak main-mainkan kami saja?" tanya Nadia dengan suara yang sedikit keras.
"Kita berkawan saja, okey? Kau orang yang salah faham," balas Amsyar tegas.
Mimi menggertapkan bibirnya. Dia memandang wajah Nadia yang kelihatan masam mencuka. Nadia kecewa mendengar jawapan Amsyar. Dia fikir Amsyar akan mengaku mencintainya di hadapan Mimi. Baru padan dengan muka Mimi! Rupa-rupanya Amsyar hanya menganggap mereka kawan biasa sahaja.
"O, kami salah faham? Tu yang abang berikan hadiah masa hari jadi Diya sebab apa?"
"Hadiah tanda persahabatan. Macam hubungan adik..."
"Habis, siapa yang abang cinta?" Cepat Nadia memangkah kata-kata Amsyar yang belum selesai.
"Hmmm... Rasanya ada seseorang di hati abang," kata Amsyar sambil tunduk.
"Siapa?" tanya Nadia dan Mimi hampir serentak.
"Adalah!" jawab Amsyar sambil memandang jauh. Di matanya terbayang wajah seseorang.
"Kami nak jawapan sekarang. Sekarang!" jerit Nadia dengan suara yang agak kuat.
"Janganlah menjerit. Malu orang tengok." Amsyar berkata perlahan sambil matanya memerhati sekeliling meja. Kebanyakan pelanggan yang ada berdekatan sibuk dengan makanan di meja masing-masing. Langsung tidak menghiraukan dia dan kedua-dua gadis itu.
Amsyar termenung jauh. Dalam hatinya berkata-kata bahawa dia sudah jatuh cinta tapi bukan pada Nadia ataupun Mimi. Lebih baik sekiranya mereka terus bersahabat sahaja. Persahabatan lebih jujur daripada cinta.
"Kau orang berdua tak nak balik ke? Abang dah penat. Abang nak balik." Dia ingin meminta diri.
"Abang!" jerit Mimi dan Nadia hampir serentak. Mereka berdua semakin hilang sabar.
"Jangan cuba nak mengelak!" pekik Nadia.
"Jangan buat kecoh kat sini, Nadia. Apa kata kalau kita balik sahaja?"
"Abang ingat Diya sayang sangat dengan abang? Boleh blah!"
Nadia berang, dia bangun lalu mencurahkan jus yang masih memenuhi gelasnya ke arah dada Amsyar. Sekelip mata sahaja baju kemeja putihnya dipaliti jus buah naga.
"Ya, betul! Mimi pun bukan suka sangat dengan abang. Kat KL ni ramai lagi lelaki lain yang lebih hebat, lebih kacak, lebih kaya daripada abang."
Mimi juga bertindak seperti perempuan yang baru bebas dari Hospital Bahagia. Kasut tumit tingginya dihentak ke atas kaki Amsyar hingga lelaki itu mengaduh dengan agak kuat. Kemudian kedua-dua gadis itu berjalan keluar dari restoran dengan wajah puas.
Kelat wajah Amsyar memerhati Mimi dan Nadia berjalan keluar dari restoran. Kakinya terasa pedih dan bajunya basah lencun dengan palitan jus buah naga.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co